Review Filem Kin


Filem:
Kin

Pengarah & Penulis Skrip:
Jonathan Baker & Josh Baker

Genre:
Aksi & Sains Fiksyen

Pelakon:
Myles Truitt, Jack Reynor, Zoe Kravitz, Carrie Coon, Dennis Quaid,
James Franco, Ian Matthews, Gavin Fox, Michael B. Jordan, Lily Gao & Etc.

Penilaian:
5/10

Sinopsis:

Filem ini mengisahkan tentang Jimmy Solinski yang merupakan seorang bekas banduan yang baru dibebaskan dari penjara bersama adik angkatnya, Eli Solinski yang melarikan diri daripada buruan penjenayah kejam kerana melarikan duit mereka. Eli dan Jimmy hanya mempunyai satu benda sahaja untuk melindungi mereka iaitu senjata misteri purba yang ditemui oleh Eli di sebuah bangunan usang yang terbiar. Tanpa sedar senjata yang dibawa Eli itu sebenarnya merupakan senjata kepunyaan dua makhluk misteri yang kini turut sama menjejak Eli dan abangnya untuk mendapatkan semula senjata tersebut. Apakah rahsia disebalik senjata bernama Kin tersebut dan apakah kaitannya dengan Eli? Saksikan filem ini untuk mengetahui jawapannya.

Ulasan Hans:

Alhamdulillah aku menerima dua tiket hasil kegigihan mengisi borang pertandingan filem Kin ini di laman sosial Facebook. Jadi, pada tanggal 5 September 2018 yang lepas, aku bersama rakan Mona menonton filem ini di TGV One Utama pada pukul 8.45 malam dengan harapan filem ini mampu memberikan aku kegembiraan semula selepas sedikit murung menonton filem Rise: Ini Kalilah pada hari sebelumnya. Hahaha.


Filem ini bergerak perlahan pada peringkat awal di mana ia lebih memberi fokus kepada watak utama iaitu Eli Solinski serta hubunggan sebagai anak angkat kepada keluarga orang kulit putih. Kisah Eli ini mempunyai banyak sub plot yang agak berliku-liku dengan kisah utamanya dan pada akhirnya kesemua jalan cerita ini dihubungkan dengan sebuah senjata pemusnah misteri yang cukup berkuasa dan mempunyai lambang Kin di hujungnya. Senjata pemusnah misteri ini sebenarnya yang membawa persoalan besar dan juga jawapan utama di dalam filem ini sepanjang satu jam lebih ia ditayangkan. Bayangan awal yang diberi adalah senjata ini berasal dari teknologi canggih yang dikaitkan dengan kepunyaan makhluk asing. Persoalan menjadi agak menarik apabila hanya Eli sahaja yang mampu menggunakan senjata ini dan tidak pada orang lain. Tetapi, babak yang melibatkan penggunaan senjata misteri ini agak terhad dan tidak disokong dengan babak-babak yang memberikan memori menarik untuk dikagumkan. Dengan kata mudahnya, plot cerita filem agak membosankan pada peringkat awal hingga pertengahan filem. Hahaha!


Plot ceritanya bagi aku kurang menarik kerana ia sekadar menunjukkan hubungan adik beradik tiri iaitu Eli dan Jimmy yang cuba menerima perbezaan mereka dengan cara yang terlampau mudah. Babak Jimmy mengajar Eli memandu, bercerita seketika tentang ibu mereka dan juga berhibur ke kelab malam sahaja tidak cukup kuat untuk menjadikan hubungan ini sekelip mata menjadi baik. Kisah berkaitan bapa dan ibu mereka juga tidak kuat untuk menyokong pembinaan naratif filem ini menjadi lebih kukuh. Konsep filem ini bagi aku agak kurang menarik untuk ditonton di skrin kerana konsep sebegini cukup mudah di lihat di dalam siri-siri sains fiksyen yang bersepah di saluran berbayar seperti Netflix misalnya.


Cuma apa yang menyelamatkan filem ini apabila tiba di babak pertengahan yang membawa hingga babak akhir filem yang mempunyai aksi lebih dramatik serta menjawab persoalan siapa sebenarnya Eli dan kenapa hanya dia sahaja yang mampu menggunakan senjata pemusnah misteri Kin tersebut. Dan aku akui ia membuatkan aku agak teruja untuk menanti sekuel kedua filem ini yang mungkin memberi sinar bahawa filem tersebut akan lebih menarik dan penuh dengan pelbagai aksi-aksi pertempuran yang meyakinkan dan menyeronokkan. Tetapi, persoalannya ada lagikah sambungan filem ini jika filem awalnya sahaja kurang meyakinkan penonton? Hahaha!


Secara jujurnya, aku merasakan filem ini sebenarnya ada potensi besar untuk berkembang menjadi lebih menarik tetapi sayangnya perjalanan ceritanya bukanlah kategori luar biasa. Segala-galanya mudah diramal dan tidak dinafikan agak cliche untuk filem bergenre sains fiksyen seperti ini. Sekali lagi aku ulangi perasaan menonton Kin sama seperti menonton drama siri sains fiksyen. Aku tidak merasakan Kin ini seperti sebuah filem sewaktu menontonnya di dalam panggung wayang.


Aku juga ingin senaraikan beberapa kelemahan filem ini pada pandangan aku yang menyebabkan filem ini sepatutnya lebih menarik dan mengujakan :

1) Menonton filem Kin ini seolah-olah menonton episod pertama siri sains fiksyen di Netflix. Jika disebut episod pertama maka apa yang boleh dibayangkan disini ialah episod pengenalan. Jadi, tak ada banyak sangat perkara menarik yang dapat dilihat pada filem Kin ini. Mungkin jika filem ini ada sambungan maka plot ceritanya akan lebih menarik kerana aku nampak filem Kin ini sebenarnya ada potensi untuk menyerlah pada sekuelnya. 

2) Plot-plot yang cerita yang dihubungkan di dalam filem ini bagi aku agak lemah dan tidak mencengkam. Segala-galanya seperti tidak cukup rempah. Mesej kekeluargaan yang kurang sampai. Kisah misteri yang kurang magisnya. Babak aksi yang boleh dibilang dengan jari. Senang cakap semua aspek yang diperlukan untuk sebuah filem sains fiksyen ada tetapi kesemuanya bergerak secara sederhana dan adakalanya dibawah jangkaan.

3) Makhluk misteri yang mengejar Eli dan Jimmy juga kurang elemen misteri kerana sudah boleh diramal siapakah makhluk-makhluk yang bersembunyi disebalik uniform tersebut. 


Apa-apapun, untuk hiburan aku rasa filem Kin masih mampu membuatkan sesiapa yang menontonnya terhibur kerana terdapat babak-babak aksi yang menarik untuk ditonton. Jadi, kepada yang meminati filem-filem berkonsepkan sains fiksyen seperti ini, silalah menonton di panggung wayang berdekatan anda. Selamat menonton!

P/S : Sebentar Tadi Aku Berkesempatan Menonton Filem Mencari Rahmat Di Kafe Buku Oakheart Di Bandar Baru Bangi. Sebuah Filem Yang Cukup Dalam Dan Indah Bahasanya. Jika Anda Gembira Menonton One Two Jaga Maka In Sha Allah Anda Pasti Boleh Menerima Filem Ini. Jika Tidak Berminat Dengan One Two Jaga Mungkin Mencari Rahmat Bukan Tontonan Yang Sesuai Anda. Yang Paling Penting Kalau Dah Tengok Tidak Boleh Minta 'Refund'. Hehehe!

Catat Ulasan

2 Ulasan

  1. salam.
    bru tengok smlm..
    no wonder Rotten Tomatoes bg rating sikit utk filem ni..huhu
    babak menarik bg yaya cuma 10min terakhir tu je..wahahah =p

    BalasPadam
    Balasan
    1. hahaha...yups
      babak 10 minit tu yang buat kita nak tahu siapa Eli tu

      Padam