Review Filem Halloween


Filem:
Halloween

Pengarah:
David Gordon Green

Genre:
Seram & Ngeri

Pelakon:
Jamie Lee Curtis, Judy Greer, Andi Matichak, James Jude Courtney,
Nick Castle, Haluk Bilginer, Will Paton, Rhian Rees, Toby Huss & Etc.

Penilaian:
7/10

Sinopsis:

Filem sekuel ini adalah kesinambungan daripada kejadian yang berlaku pada 40 tahun yang lalu di dalam filem "Halloween" yang diterbitkan pada tahun 1978. Laurie Strode yang terselamat daripada pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan oleh Michael Myers kini perlu sekali lagi berdepan dengan lelaki gila tersebut buat kali terakhir apabila Michael berjaya melarikan diri daripada pihak polis. Saksikan filem yang cukup mendebarkan dan sarat dengan elemen kejutan ini di pawagam berdekatan anda untuk mengetahui kisah seterusnya.

Ulasan Hans:

Aku berkesempatan menonton filem Halloween di TGV Cinemas The Mines pada tanggal 25 Oktober 2018 yang lepas. Sebenarnya begitu banyak filem-filem berjudul dan bertemakan tajuk yang sama iaitu Halloween namun melihat trailer filem ini yang kelihatan menarik dan merupakan kesinambungan pada kisah yang terdapat di dalam filem Halloween (1978) membuatkan aku ingin menonton dan melihat sendiri apa yang mampu diberikan kepada penonton untuk versi tahun 2018 ini.


Menarik untuk menonton kisah dan perspektif watak-watak di dalam filem ini yang mengalami trauma disebabkan kisah silam. Memandangkan aku tidak pernah menonton versi 1978, jadi agak menarik untuk dilihat apakah hubungan sebenar Laurie Strode dan Michael Myers ini yang membuatkan mereka saling mencari dan menanti antara satu sama lain walaupun kejadian tersebut sudah 40 tahun berlalu. Lebih menarik apabila kedua-dua watak ini seolah-olah saling bertukar terma pemangsa dan mangsa dimana menjadikan naratif filem ini begitu mendebarkan untuk ditonton.



Filem Halloween yang sesuai dikategorikan sebagai sebuah filem slasher gore ini berjaya menyerlahkan sisi kejam Michael Myers yang benar-benar menakutkan daripada dua aspek. Aspek yang sudah diketahui ialah tentang cara pembunuhan kejamnya dilakukan disebalik topeng yang memang betul-betul mengerikan. Namun aspek kedua yang berjaya membina sisi kejam pembunuh ini ke satu tahap yang lebih menakutkan untuk ditonton ialah sifat dirinya yang pendiam tanpa sebarang bunyi suara. Serius watak Michael Myers ini sangat psikopat dan berjaya menangkap jiwa penonton untuk sentiasa berdebar saat watak ini muncul di layar.



Aku cukup sukakan latar lagu dan skor muzik filem ini yang bersifat retro klasik tetapi berjaya memberi sokongan kepada visual untuk menambah rasa tegang buat penonton saat menonton beberapa babak ganas di dalam filem ini. Bukan semua babak pembunuhan bermain dengan percikan darah tetapi filem ini juga berjaya menampilkan babak-babak pembunuhan yang melambangkan sikap yang langsung tidak berperikemanusiaan yang dimiliki oleh watak Michael Myers yang akan membuatkan anda menyumpah seranah kerana berasa terkejut, ngeri dan mual dengan babak-babak ngeri ini. Paling menarik sekali apabila lagu latar ini digunakan pada permulaan filem yang menunjukkan labu yang rosak di belakang senarai nama-nama pelakon. Labu ini kemudiannya mengembang kembali ke bentuk asal secara perlahan-lahan dan ini secara tidak langsung berjaya menggambarkan kemunculan semula Michael Myers sebagai seorang pembunuh yang sangat gila dengan satu gaya yang menarik.


Kelemahan filem ini pada pandangan aku ialah jalan cerita filem sebegini yang sentiasa mengitar semula dan mencedok babak-babak yang boleh kita lihat pada filem-filem bergenre slasher gore dan seangkatan dengannya.

1) Semestinya pembunuh yang psiko seperti Michael Myers ini ditunjukkan mempunyai 10 nyawa (lebih satu daripada 9 nyawa kucing). Tikam lah berpuluh kali pun! Tembak lah kena dada atau kepala sekali pun! Mesti tetap hidup dan fizikal badan tetap kuat dan utuh! Aku teringin untuk melihat babak-babak yang lebih kreatif selain hanya menunjukkan pembunuh psiko seolah-olah kebal daripada mati.

2) Pengakhiran filem ini agak klise dimana babak akhirnya cuba bermain tali dengan membuatkan penonton tertanya-tanya dan beranggapan bahawa Michael Myers seolah-olah seperti masih selamat. Cara yang klise stereotaip ini sering kali digunakan untuk cubaan menghasilkan sambungan kisah seterusnya pada filem yang akan datang dan menandakan keseraman Halloween tidak akan pernah pudar..


Filem Halloween ini bagi aku agak menarik bukan sahaja kerana babak-babak pembunuhan yang wujud di dalam filem ini yang kelihatan sangat tidak berperikemanusiaan tetapi juga kerana babak tersebut berjaya dipertontonkan melalui visual yang cukup menarik hasil bantuan kesan khas serta solekan yang betul-betul memberi satu gambaran yang sangat realistik dan tamparan buat penonton yang gerun melihat babak-babak gore seperti ini. Serius anda pasti tidak akan senang duduk saat babak-babak yang menakutkan ini muncul. 


Tiada banyak sangat yang menarik tentang filem ini yang boleh diperkatakan. Tetapi, filem ini masih mampu menawarkan pengalaman yang ngeri untuk ditonton dan disukai oleh anda. Jadi, selamat menonton filem Halloween di pawagam berhampiran anda dan jangan lupa kongsikan pandangan atau komen anda berkenaan filem ini di ruangan bawah. Sekian! 

P/S : Blog Ini Akan Berehat Selama Dua Minggu. Jadi, Banyak Filem-Filem Baru Tidak Akan Dapat Ditonton Dan Diulas. Apa-Apapun, Nantikan Filem Seterusnya Yang Akan Diulas Selepas Penulis Kembali Ke Malaysia Yer! Jumpa Lagi :) 

Catat Ulasan

6 Ulasan

  1. Tak sabar nak menonton weekend nie insyaAllah. Eh. Hans pergi mana tu? Nak ikut!

    BalasPadam
  2. Semoga selamat & dipermudahkan segala urusan sepanjang perjalanan Hans. Take care...

    BalasPadam
  3. Balasan
    1. hahaha
      memang kena kuat sikit sebab filem nih kejam
      hahaha

      Padam