Review Filem Rampant


Filem:
Rampant

Pengarah:
Kim Sung-Hoon

Genre:
Aksi & Sejarah

Pelakon:
Hyun Bin, Dong-Gun Jang, Woo-jin Jo, Eui-sung Kim, Ju-hyuk Kim & Etc.

Penilaian:
6/10

Sinopsis:

Filem ini mengisahkan Lee Chung iaitu seorang Putera Joseon yang mempunyai kemahiran bermain pedang tetapi dia juga seorang kaki perempuan dan kaki judi. Dia telah diberikan kepada Dinasti Qing sebagai tebusan politik. Selepas 10 tahun, dia pulang semula ke Joseon atas permintaan abangnya Lee Young yang meminta dia kembali semula untuk memberi dan anaknya keluar daripada Joseon. Kehadiran Lee Chung di Joseon nampaknya telah menemui sesuatu yang mengejutkan. Bukan sahaja dia terpaksa berdepan dengan manusia-manusia yang dipanggil jembalang (zombie) tetapi juga menerima berita kematian abangnya disebabkan oleh konspirasi dalaman istana. Berjayakah Lee Chung menyelamatkan isteri abangnya yang sedang hamil? Mampukah bakal putera Joseon ini menyelamatkan negaranya daripada serangan jahat manusia zombie? Saksikan filem yang mendebarkan ini di pawagam berdekatan anda untuk mengetahui jawapannya.

Ulasan Hans:

Alhamdulillah, aku berkesempatan menonton filem Rampant di GSC IOI Mall Puchong pada tanggal 25 Oktober 2018 yang lepas. Nampaknya filem Korea yang bertemakan zombie masih lagi diungguli oleh filem Train To Busan. Filem Rampant ini walaupun berjaya menghiburkan penonton namun apabila dilihat melalui sudut pandang yang lain maka beberapa kelemahan dapat ditemui dengan begitu mudah.


Filem ini bermula dengan kisah tentang cubaan pemberontakan dari dalam istana untuk rampasan kuasa setelah tampuk pemerintahan dan menteri-menterinya diketuai oleh orang-orang yang tidak mementingkan rakyat jelata. Namun, percubaan ini diketahui oleh menteri pertahanan dan para pemberontak berjaya ditangkap. Pada masa yang sama, menteri pertahanan yang bercita-cita untuk menjadi raja telah berpakat dengan menteri-menteri kanan lain untuk menggulingkan raja dengan memanfaatkan senjata-senjata api yang diperoleh daripada pemberontak yang mendapatkannya daripada pembekal luar yang dibawa melalui kapal laut. Malangnya di atas kapal tersebut terdapat seorang kelasi yang dikurung dimana dia dijangkiti oleh satu wabak yang mengubah sifat naluri manusia menjadi ganas dan sukakan darah. Akhirnya salah seorang hulubalang istana Joseon yang digigit menjadi punca wabak ini tersebar di sebuah daerah di negara Joseon yang menyebabkan keseluruhan penduduk kampungnya menjadi zombie dan kemudian datang menyerang istana. 


Apa yang menyebabkan filem Rampant ini kekurangan aura yang gah kerana jalan cerita filem ini telah dibayangi oleh babak-babak di dalam filem Train To Busan. Lebih mudah untuk difahami ialah latar zaman dan tempatnya berbeza tetapi cara isi-isi nya disampaikan adalah sama. Babak manusia bertukar menjadi zombie dipertontonkan dengan cara yang sama dan kalau ada berbeza sedikit pun ialah zombie di dalam Rampant ini boleh melompat terbang jauh sedikit. Melihat perwatakan antagonis di dalam filem ini pun mengingatkan kepada watak antagonis lelaki kaya di dalam Train To Busan. Sikap dan karakter watak utama filem ini iaitu Hyun Bin yang bertindak sebagai wira juga sama seperti mana watak Gong Yoo di dalam Train To Busan yang pada mulanya digambarkan sebagai pentingkan diri tetapi akhirnya menjadi seorang yang sangat penyayang dan mementingkan manusia sekitar yang lain. Walaupun begitu, pelakon Hyun Bin telah memberikan satu lakonan yang menarik serta menunjukkan aksi bertempur dan seni bermain pedang yang hebat. Manakala pelakon Jang Dong-Gun yang memegang watak antagonis juga berjaya mengembangkan karakter watak itu dengan cukup baik sehingga adakalanya membayangi watak utama filem ini sendiri.


Antara kelemahan filem ini yang paling ketara dapat dilihat ialah seperti yang dikongsikan di bawah :

1) Salah satu watak pembantu yang merupakan abang kepada seorang wanita yang disukai oleh Putera Gang Lim telah terkena gigitan zombie. Rahsia ini dibongkar oleh dia sendiri sebelum dia menyelesaikan tugas yang diamanahkan untuk mengetuk gong bagi menarik perhatian seluruh zombie untuk datang ke dalam istana. Paling kelakar disini ialah bila watak ini dengan yakinnya bagitahu kepada Gang Lim yang dia mampu bertahan daripada menjadi zombie sehingga tugasnya selesai. Serius babak ini buat aku ketawa sebab dialog ini sedang memberitahu kita satu wabak yang tiada siapa tahu puncanya, kesannya dan penawarnya tetapi dialog yang dituturkan memang buat aku geli hati. Berbeza dengan filem Train To Busan dimana dialog yang diungkapkan oleh pelakon Ma Dong Seok yang terkena gigitan zombie tidak pula seperti ini dan lebih logik untuk diterima.

2) Babak klimaks sewaktu Putera Gang Lim memasuki istana yang dipenuhi zombie dimana zombie-zombie yang sebelum ini dipertontonkan terlalu rakus dan kejam tiba-tiba berubah menjadi seperti tikus apabila berhadapan dengannya. Tidak dinafikan watak wira sememangnya sentiasa ditunjukkan hebat tetapi babak ini betul-betul menjatuhkan martabat Putera Gang Lim yang sebelum ini kelihatan gah dipandang sewaktu kemunculannya.

3) Filem ini mempunyai dua kisah utama tetapi ia kelihatan lemah kerana tidak menyokong antara satu sama lain. Plot kisah pertama berkaitan keinginan politik dan kuasa oleh watak Kim Ja-joon yang ingin merampas kuasa atas nama sebuah negara baru. Plot kisah kedua pula ialah tentang nasib dan masa depan seorang putera Gang Lim yang sebelum ini tidak pernah kisah tentang takhta dan kini berubah menjadi seorang penyelamat utama. Selepas menonton perjalanan cerita ini pada satu jam yang pertama, plot cerita dan pengakhiran cerita sudah boleh diramal dengan mudah.


Jadi, di bawah ini disenaraikan beberapa sebab kenapa anda wajib menonton filem Rampant pada bulan Oktober ini:

1) Penggemar filem yang sukakan elemen gore pasti gembira dengan naskhah ini yang dipenuhi dengan banyak babak sebegitu dan berjaya dipaparkan dengan sangat realistik sekali. Anda pasti berasa ngeri menonton adegan-adegan tikaman, kepala dipenggal pedang, muntahan darah dan sebagainya yang kelihatan menjijikkan dan memualkan. 

2) Selain dipenuhi aksi-aksi serangan zombie dan pertempuran yang menarik, filem ini juga tidak lupa untuk memanfaatkan sentimen emosi di dalam beberapa babak untuk membuatkan anda jatuh cinta dengan filem ini. Unsur humor dan melodrama yang wujud di dalam filem ini agak kuat dan membuatkan anda mampu menonton filem berdurasi 2 jam 10 minit ini tanpa rasa kebosanan

3) Sinematografi filem ini berjaya memberi yang terbaik terutama melalui babak-babak pertempuran pedang yang yang cukup menakjubkan. Peminat filem zombie pasti menyukai babak-babak serangan zombie yang berpakaian tradisional Hanbok yang pantas, kuat dan kejam ini. Ditambah pula dengan percikan darah yang likat dan mengerikan pasti membuatkan penonton teruja.

4) Perbezaan Zombie di dalam filem ini dengan Train To Busan ialah waktu mereka aktif bergerak dan mengganas. Zombie di dalam Rampant aktif bergerak di waktu malam manakala Train To Busan pula di waktu siang. Jadi, disini anda dapat menonton pula aksi zombie versi Korea aktif di waktu malam.


Kesimpulannya, filem Rampant mempunyai ciri-ciri sebuah filem yang boleh berjaya melalui hasil kutipan tiket tetapi sangat jauh untuk mengikut jejak atau menjadi sebutan khalayak penonton seperti mana yang diperoleh oleh filem Train To Busan. Walau bagaimanapun, filem ini masih menarik dan menghiburkan untuk ditonton oleh peminat filem zombie yang dahagakan aksi-aksi ganas yang dipenuhi darah serta kemunculan mereka yang mampu mendebarkan jantung anda. Jadi, selamat menonton filem Rampant di pawagam-pawagam seluruh Malaysia dan jangan lupa kongsikan pandangan atau komen anda berkenaan filem ini di ruangan bawah. Sekian! 

P/S : Selepas Ini Ulasan Filem Halloween Pula Akan Menemui Para Pembaca. Nantikan! 

Catat Ulasan

2 Ulasan

  1. Peminat filem zombie wajib layan especially Train to Busan. Pasti tak kechewa...

    BalasPadam
    Balasan
    1. boleh layan tapi kecewa sikit lah kut sebab Train To Busan lebih menarik berbanding Rampant :)

      Padam