Review Filem How To Train Your Dragon: The Hidden World


Filem:
How To Train Your Dragon: The Hidden World

Penilaian:
6/10

Pengarah:
Dean DeBlois

Genre:
Aksi, Pengembaraan & Animasi

Pelakon:
Jay Baruchel, America Ferrera, Cate Blanchett, Craig Ferguson, F. Murray Abraham,
Gerard Butler, Kristen Wiig, Jonah Hill, Christopher Mintz-Plasse, Justin Rupple & Etc.

Tarikh Tayangan:
31 Januari 2019

Pengedar:
United International Pictures

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan Hiccup yang sudah bergelar sebagai ketua puak Viking dan kini melindungi kampung halamannya iaitu Berk serta rakyatnya daripada bahaya bersama dengan Toothless. Secara tidak langsung, impiannya untuk berdamai dengan naga sudah pun tercapai. Pada masa yang sama, Toothless telah bertemu dengan seekor naga yang sama spesis dengannya iaitu Light Fury dan mulai jatuh cinta dengan naga betina tersebut. Namun, segala-galanya berubah apabila kampung halaman Hiccup dan Toothless diserang oleh seorang pemburu naga terulung yang sangat kejam iaitu Grimmel The Grisly dan mereka berdua perlu bertindak untuk menyelamatkan naga-naga yang lain. Mampukah mereka menumpaskan pemburu naga tersebut? Bagaimana pula hubungan antara Hiccup dan Toothless setelah kemunculan Light Fury? Saksikan filem animasi yang menghiburkan ini di pawagam berdekatan anda bermula pada 31 Januari 2019 untuk mengetahui kisah jawapannya.

Ulasan:

Sebenarnya filem How To Train Your Dragon: The Hidden World telah lama ditonton di GSC IOI Puchongs sekitar minggu akhir bulan Januari 2019 yang lepas namun baru kali ini portal filem Rollo De Pelicula berkesempatan untuk menulis dan berkongsi ulasan berkenaan filem ini. Merupakan trilogi kepada dua buah filem How To Train Your Dragon sebelum ini, filem animasi ini masih memberi fokus terhadap kehidupan naga yang masih menjadi buruan manusia yang ingin menghapuskan mereka daripada muka bumi. 


Kali ini, Hiccup sekali lagi berperanan untuk membantu menyelamatkan dan membebaskan naga yang ditangkap dan perlu berhadapan dengan penjahat yang merupakan pemburu naga yang sangat kejam. Selain daripada itu, filem kali ini juga turut membawa penonton untuk melihat dunia rahsia yang tersembunyi dimana ia merupakan sebuah lokasi istimewa untuk naga-naga ini tinggal tanpa diganggu oleh manusia seperti yang dikatakan Hiccup. Filem ini sebenarnya sarat dengan emosi antara watak Hiccup dan naganya Toothless tetapi ia bijak diseimbangkan dengan elemen lain seperti humor serta drama yang dibawakan oleh watak-watak lain untuk memberikan pengalaman menonton yang menggembirakan sepanjang filem How To Train Your Dragon: The Hidden World ini berlangsung.


Filem ini banyak bermain dengan nostalgia filem-filem terdahulu melalui babak imbas kembali kehidupan Hiccup sewaktu kecil bersama ayahnya. Aku melihat babak-babak imbas semula ini bukan sekadar membantu penonton untuk mengingati semula punca Hiccup membantu menyelamatkan naga-naga ini tetapi secara tidak langsung bijak bermain emosi dengan para penonton untuk sama-sama merasai kerinduan yang ada di dalam diri Hiccup terhadap ayahnya itu. Walaupun ini sebuah filem animasi namun elemen emosi yang dipaparkan di dalam beberapa filem ini sememangnya berjaya membuatkan penonton rasa terkesan dengannya.


Filem animasi ini juga berjaya memberi keseimbangan kepada semua watak tidak kira watak utama, antagonis atau sekadar pembantu untuk berkembang dengan baik melalui keunikan karakter yang ada pada setiap watak. Sebagai contoh watak Ruffnut Thorston sangat berjaya membawakan elemen humor dengan cukup baik. Namun, aku melihat watak Grimmel pula tidak terlalu berjaya menonjolkan elemen antagonis yang kejam kerana suara yang memainkan watak ini kedengaran agak lembut daripada kebiasaan watak-watak antagonis versi animasi lain.


Sinematografi untuk filem animasi How To Train Your Dragon: The Hidden World memang tidak boleh dinafikan sangat cantik dan mengujakan terutamanya pada babak-babak pertemuan Toothless dan Light Fury di dunia naga yang sangat berwarna-warni. Serius babak tersebut betul-betul menarik dan sangat mempesonakan mata sesiapa sahaja yang menontonnya dengan penuh imaginasi di fikiran.


Cuma aku merasakan filem animasi How To Train Your Dragon: The Hidden World kali ini menampilkan plot cerita yang begitu pelbagai cabangnya sehingga membuatkan jalan ceritanya adakala lari daripada sepatutnya. Terlalu banyak yang ingin disampaikan di dalam sebuah filem sehingga membuatkan jalan ceritanya menjadi meleret dan membosankan pada babak-babak tertentu. Filem ini sahaja mempunyai pelbagai intipati cerita yang ingin dikongsikan seperti hubungan Hiccup dengan Toothless, Hiccup dengan Astrid, Toothless dan Light Fury, kisah Grimmel si pemburu naga, dunia rahsia tersembunyi yang dicari Hiccup serta pelbagai lagi yang menyebabkan filem ini kelihatan paling lemah berbanding dua filem How To Train Your Dragon sebelum ini. 


Seperti kebiasaan, filem animasi pasti berakhir dengan babak menggembirakan dimana pada akhirnya Hiccup berkahwin dengan teman wanitanya iaitu Astrid manakala Toothless pula hidup bersama dengan Light Fury. Pada akhir babak menunjukkan pertemuan semula mereka berempat bersama anak masing-masing dalam suasana yang sungguh mengharukan. Walaupun trilogi filem animasi How To Train Your Dragon ini bukannya yang terbaik namun aku berpuas hati dengan pengakhiran kisahnya yang agak cantik dan penuh dengan nilai positif.


Jadi, selamat menonton filem animasi How To Train Your Dragon: The Hidden World sempena cuti Tahun Baru Cina ini bersama anak-anak dan keluarga tersayang. Jangan lupa kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini. Semoga terhibur!

P/S : Filem Seterusnya Yang Akan Diulas Ialah Sebuah Filem Kantonis Lakonan Jackie Chan Iaitu The Knight Of Shadows: Between Yin And Yang. Nantikan Ulasannya!

Catat Ulasan

0 Ulasan