Review Filem The Knight Of Shadows: Between Yin And Yang


Filem:
The Knight Of Shadows: Between Yin And Yang

Penilaian:
5/10

Pengarah:
Vash

Genre:
Aksi & Fantasi

Pelakon:
Jackie Chan, Ethan Juan, Lin Peng, Elane Zhong, Peng Lin, Po-Hung Lin, Charles Luu & Etc.

Tarikh Tayangan:
5 Februari 2019

Pengedar:
GSC Movies

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan seorang pemburu syaitan lagenda yang bekerjasama dengan sekumpulan raksasa baik untuk melindungi tamadun manusia daripada dijajah oleh makluk lain. Selepas sempadan di antara dunia manusia dan raksasa runtuh, tembok yang menghalang dunia raksasa mula terbuka dan menyebabkan penculikan gadis-gadis kampung. Apabila pemburu syaitan itu dalam misi menyelamat, dia bertemu dengan seorang lagi pemburu syaitan yang bukan sepenuhnya manusia. Saksikan filem ini di pawagam berdekatan anda bermula pada 5 Februari 2019 untuk mengetahui kisah selanjutnya.

Ulasan:

Portal filem Rollo De Pelicula mengambil peluang sempena cuti Tahun Baru Cina untuk menonton sebuah filem lakonan pelakon terkenal Jackie Chan yang berjudul The Knight Of Shadows: Between Yin And Yang di TGV Cinemas The Mines pada 5 Februari 2019 yang lepas. Sememangnya harapan terhadap filem ini setinggi gunung kerana Jackie Chan terlibat di dalam filem ini sebagai pemain utama.


Setiap tahun pelakon Jackie Chan pasti tampil di layar perak dengan karya-karya terbaru dan berjaya menarik perhatian ramai kaki wayang untuk menonton filem lakonannya di pawagam walaupun bukannya semuanya mendapat kritikan positif. Begitu juga dengan filem The Knight Of Shadows: Between Yin And Yang ini yang tidak kurang hebatnya kerana menawarkan pengalaman berbeza buat sesiapa yang menyaksikan filem bergenre aksi mempertahankan diri ini di dalam bentuk fantasi 3D beserta elemen wajib iaitu komedi yang pasti ada di dalam mana-mana filem lakonan superstar Jackie Chan ini.


Bertindak sebagai seorang pemburu syaitan dan dibantu oleh sekumpulan raksasa aneh yang menghiburkan, aku melihat plot penceritaan filem ini seakan-akan lemah berbanding filem-filem lakonan Jackie Chan terdahulu. Namun, apa yang menyelamatkan filem The Knight Of Shadows: Between Yin And Yang ini daripada terus terjerumus ke lembah dalam ialah pesona dan aura yang ada pada Jackie Chan itu sendiri yang membuatkan para penonton mudah suka dan terhibur dengan aksi-aksi bersahaja beliau walaupun ia sudah boleh dijangka dan seakan-akan kitar semula daripada filem-filem lakonannya yang terdahulu. Hal ini boleh dikatakan seakan-akan sama seperti mana yang terjadi kepada superstar filem Tamil iaitu Rajinikanth dimana mereka berdua ini mempunyai sesuatu daya penarik yang mampu membuatkan peminat mahu pun penonton setia menghabiskan tontonan walaupun adakala filem lakonan mereka tidak lah terlalu menarik untuk dibanggakan.


Plot cerita filem The Knight Of Shadows: Between Yin And Yang ini sebenarnya sangat mudah dan kelihatan terlalu santai. Selain memberi fokus terhadap peranan Jackie Chan sebagai pemburu syaitan, ia juga membawa penonton untuk melihat kisah cinta antara manusia dan syaitan yang bertukar identiti. Masing-masing cuba untuk memperbaiki permasalahan cinta mereka namun hal ini yang menyebabkan kehidupan manusia terancam dan menjadi tugas Jackie yang memegang watak sebagai Pu Songling untuk memulihkan dan menyelesaikan kembali masalah tersebut. 


Pada pendapat aku, filem ini sebenarnya agak membosankan pada peringkat awal kerana momentum ceritanya bergerak sangat perlahan melalui beberapa penceritaan yang terlalu meleret. Namun kehadiran watak pembantu sherif lakonan Po-Hung Lin serta watak-watak pembantu berjaya memecahkan suasana hening filem The Knight Of Shadows: Between Yin And Yang ini dengan humor yang ringan dan mudah diterima penonton untuk beberapa babak yang menarik. Pada pertengahan filem ini, akhirnya sinar mula menjelma kerana akhirnya ia mula memaparkan konflik sebenar berkaitan rasa cinta dan emosi antara manusia dan syaitan serta hubung kaitnya dengan watak Pu Songling sebagai pemburu syaitan bersama para pembantu raksasanya yang mempunyai pelbagai jenis karakter yang unik. Adegan-adegan emosi dan ditambah rasa lucu ini secara tidak langsung berjaya membantu plot cerita berkembang dengan lebih baik. Emosi yang dibawa oleh pelakon Elane Zhong dan Ethan Juan untuk watak mereka iaitu Nie Xiaoqian dan Ning Cai Cheng berjaya disampaikan dengan baik. Aku sangat menyukai kesakitan emosi yang telah diterjemahkan oleh kedua-dua pelakon ini pada pengakhiran cerita yang berjaya membantu penonton untuk menyelami rasa seksa disebabkan cinta terlarang yang terjalin antara mereka berdua ini.


Menyentuh tentang sinematografi dan kesan khas imej janaan komputer atau CGI yang terdapat di dalam filem The Knight Of Shadows: Between Yin And Yang ini pula, aku tidak nafikan ini merupakan kekuatan utama buat filem ini. wWlaupun tidak semuanya kelihatan kemas namun aku boleh katakan ia masih berada di dalam kategori sederhana baik dan sedikit sebanyak ia membantu memberi warna kepada latar pemandangan filem ini yang kelihatan sangat indah. Faktor ini juga sangat membantu menghidupkan lakonan para pelakon yang terlibat dan memudahkan mereka menyampaikan teks serta subteks untuk dirasai oleh jiwa para penonton di dalam panggung. Kesimpulannya, aku merasakan filem ini tidak lah terlalu menarik tetapi aku lebih suka untuk mengatakan filem ini memberi segala-galanya dalam bentuk hiburan yang sederhana kerana aku tidak nampak keunikan atau perbezaan yang terlalu ketara berbanding filem-filem Jackie Chan terdahulu. Apa-apapun, filem ini masih menghiburkan. 


Jadi, selamat menonton filem The Knight Of Shadows: Between Yin And Yang sempena Tahun Baru Cina ini dan semoga anda terhibur dengan filem terbaru lakonan pelakon hebat Jackie Chan. Jangan lupa kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini.

P/S : Filem Seterusnya Yang Akan Diulas Ialah Sebuah Filem Kantonis Yang Sangat Kelakar Arahan Stephen Chow Iaitu The New King Of Comedy. Nantikan Ulasannya!

Catat Ulasan

2 Ulasan

  1. Watak Jackie Chan dalam mana-mana filem yang dilakonkannya memang tak pernah menghampakan penonton..

    BalasPadam