Filem:
Misteri Dilaila

Penilaian:
8/10

Pengarah:
Syafiq Yusof

Genre:
Seram

Pelakon:
Zul Ariffin, Elizabeth Tan, Datuk Rosyam Nor, Sasqia Dahari,
Mas Khan, Namron, Nafiez Zaidi, Kenji Sawahii & Etc.

Tarikh Tayangan:
21 Februari 2019

Pengedar:
Skop Productions Sdn Bhd & Astro Shaw Sdn Bhd

Sinopsis:
Filem Misteri Dilaila ini mengisahkan pasangan suami isteri, Jefri (Zul Ariffin) dan Dilaila (Elizabeth Tan) yang bercuti di sebuah banglo di Bukit Fraser. Malam pertama disana, Jefri diganggu dengan sebuah kejadian aneh. Pada keesokan harinya, Jefri mendapati isterinya telah hilang. Tiba-tiba Imam Aziz (Namron) telah muncul dengan membawa sebuah berita gembira yang memaklumkan bahawa isterinya Dilaila sudah dijumpai dalam keadaan selamat. Jefri bagaimanapun terkejut apabila wanita yang muncul bersama dengan Imam Aziz itu bukan isterinya yang sebenar namun mengakui dirinya adalah Dilaila. Persoalan mula bermain di fikiran, siapa betul dan salah dalam situasi berkenaan. Adakah Jefri mampu merungkai misteri sebenar kehilangan Dilaila? Saksikan filem ini di pawagam berdekatan anda pada 21 Februari 2019 ini untuk mengetahui jawapannya.

Ulasan:

Portal filem Rollo De Pelicula terlebih dahulu ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pengarah Syafiq Yusof atas kreativiti beliau menghasilkan filem Misteri Dilaila di dalam dua versi. Walaupun secara jujurnya, pihak kami agak geram dengan 'kenakalan' beliau kali ini kerana berjaya menyusahkan kami di dalam mencari versi yang belum ditonton di pawagam-pawagam sekitar Kuala Lumpur dan Selangor. Namun setelah kami berjaya menjumpai dan selesai menonton filem Misteri Dilaila Versi 1 di GSC Mid Valley pada 21 Februari 2019, apa yang boleh disimpulkan disini ialah satu kepuasan sebenar yang hilang pada tontonan filem yang sama tetapi di dalam Versi 2 pada tempoh hari.



Pihak Portal Filem Rollo De Pelicula telah pun menulis ulasan untuk MISTERI DILAILA VERSI 2 sebelum ini dan anda semua boleh membacanya semula jika terlepas pandang atau terlupa. Untuk ulasan kali ini, kami lebih tertarik untuk berkongsi tentang plot cerita, bahagian akhir filem serta perbandingan antara kedua-dua versi untuk rujukan serta kefahaman para pembaca sekalian. Baiklah! Kita berikan fokus kepada ulasan filem Misteri Dilaila Versi 1 terlebih dahulu. Misteri Dilaila Versi 1 menampilkan sebuah plot cerita menarik yang berkait rapat antara setiap babak serta kesinambungan berjaya dicipta dan disusun dengan begitu cantik sekali. Faktor ini dilihat sebagai satu kejayaan besar di dalam membantu struktur plot cerita filem Misteri Dilaila Versi 1 ini berkembang dengan baik. Secara tidak langsung ia juga mengelakkan jalan cerita filem ini daripada mengalami kelompongan yang besar dan terkesan dengan faktor logik filem yang sering dibicarakan sebelum ini.



Menyentuh pula bahagian akhir filem Misteri Dilaila Versi 1 ini, apa yang kami boleh katakan ialah ia bukan sekadar menarik dan meninggalkan satu persoalan misteri yang masih lagi cuba diselesaikan oleh semua kaki wayang, pengulas filem serta pengkritik filem tempatan. Tetapi, versi pertama ini juga dilihat berjaya di dalam mempotretkan serta menggabungkan perkembangan, hubungan serta motif sebenar semua watak yang terlibat di dalam jalan cerita filem ini. Lebih penting kemunculan makhluk-makhluk halus atau mistik di dalam versi 1 ini dilihat sesuai dan berkepentingan dengan jalan cerita dan watak utamanya. Jadi, secara peribadinya jika diminta membuat pilihan versi yang mana satukah antara kedua-dua versi filem Misteri Dilaila ini yang disukai oleh pihak kami maka tanpa perlu berfikir panjang kami semua sebulat suara menyatakan Misteri Dilaila Versi 1 adalah sebuah naskhah yang lebih menarik, terbaik dan meninggalkan jauh Misteri Dilaila Versi 2. Ibarat langit dengan bumi bezanya. Pasti ramai yang tertanya-tanya kenapa begitu jauh sangat bezanya sedangkan 3/4 kisahnya untuk kedua-dua versi adalah sama? Baik! Mari kami kongsikan dengan lebih teliti untuk anda nilaikan sendiri nanti selepas menonton.



Kekuatan filem Misteri Dilaila Versi 1 ialah kisah penceritaannya berjaya mengikut logik filem dengan baik. Logik filem yang dimaksudkan disini bukannya logik seperti kisah realiti tetapi lebih kepada hubungan plot cerita yang berjaya digabungkan dengan baik bersama-sama dengan watak serta perwatakan yang terlibat di dalam kisah tersebut. Kemunculan hantu-hantu yang sentiasa membuatkan para wanita di dalam wayang menjerit ketakutan sambil memeluk erat lengan suami atau lelaki disebelah dilihat bertepatan dan berkepentingan di dalam versi 1. Berbeza dengan versi 2 dimana kemunculan hantu-hantu ini tidak membawa sebarang makna langsung kepada penceritaannya dan motif kemunculannya boleh dipersoalkan atau dianggap merosakkan jalan cerita. Sebab itu apabila kami menonton filem Misteri Dilaila Versi 2 pada tayangan media tempoh hari, perasaan seusai menonton filem tersebut seolah-olah seperti kosong tanpa terisi dengan rasa kepuasan hati.



Kemudian, mari lihat pula kepada 'plot hole' atau kelompongan plot cerita filem bagi kedua-dua versi. Kami tidak katakan Misteri Dilaila Versi 1 terlampau sempurna kerana babak akhir pembongkaran tentang jenayah yang dirancang dan diketahui pihak berkuasa juga boleh dikatakan sangat meragukan. Ini dapat dilihat sewaktu babak imbas kembali dimana cara pihak berkuasa menerangkan tentang modus operandi mereka seolah-olah kehilangan Dilaila berlaku sudah lama untuk mengesyaki perubahan serta perbuatan watak antagonis. Sedangkan hakikat sebenarnya, kejadian tersebut baru sahaja terjadi di dalam tempoh masa sekitar sehari dua sahaja. Jadi, ada sedikit kejanggalan untuk babak ini kerana ia seolah-olah menyatakan watak antagonis tersebut telah melakukan pelbagai jenis jenayah sehingga menjadi pemerhatian dan buruan pihak polis. Sedikit kelemahan untuk bahagian cerita tersebut tetapi untuk bahagian penceritaan yang lain, pihak kami menyukai dan memuji kreativiti di dalam menjadikan setiap kisah itu mempunyai kesinambungan yang baik.



Tetapi, hal ini dilihat berbeza dengan Misteri Dilaila Versi 2 dimana walaupun pada awalnya ia memberikan satu kejutan yang agak menarik apabila berjaya mengubah watak protagonis yang tidak disangka-sangka untuk menjadi antagonis yang hebat namun kegembiraan tersebut hanyalah sekejap. Lebih tepat untuk dikaitkan dengan sebuah peribahasa yang berbunyi 'Yang Dikejar Tak Dapat, Yang Dikendong Berciciran'. Tidak dinafikan perubahan tersebut menarik tetapi ia juga menyebabkan kelompongan cerita yang bukan sedikit-sedikit tetapi bersepah-sepah di merata-rata babak sehingga menjejaskan keseluruhan filem Misteri Dilaila Versi 2. Tolak ketepi tentang kewujudan makhluk-makhluk mistik kerana kami sudah beritahu pada perenggan di atas dimana kewujudan makhluk seram ini sangat sia-sia untuk versi 2. Apa kata kita lihat kepada hubungan watak-watak serta plot cerita yang sangat lemah untuk versi ini. Ia dapat dilihat pada hubungan antara watak penguatkuasa berpangkat koperal yang tidak mengambil tindakan awal kepada watak antagonis sedangkan konflik dan permasalahan sebenar sudah diketahuinya pada satu babak pertengahan filem lagi. Pada babak tersebut, identiti palsu watak antagonis telah dijerit dengan kuat sekali oleh watak protagonis dan didengari oleh pihak berkuasa namun tiada apa-apa tindakan pada ketika itu dan ini sangat mendukacitakan. Kemudian, hubungan beberapa watak antagonis ini juga menjadi kacau bilau apabila ada antara mereka yang mati ditembak oleh ahli pakatan mereka sendiri tanpa sebab musabab yang kukuh untuk menyokong babak tersebut. Seterusnya apa yang lebih mencacatkan penceritaan filem Misteri Dilaila Versi 2 ini adalah tentang motif utama watak protagonis menjadi tumpuan dan sasaran utama watak antagonis untuk dikambing hitamkan. Ia kelihatan sangat lemah apabila melihat watak yang mempunyai hubungan rapat dengan watak protagonis turut bekerjasama dengan watak antagonis tanpa hala tuju yang jelas serta tempoh masa pengenalan yang digambarkan sangat meragukan. 



Perkara terakhir ialah pengakhiran kisah untuk kedua-dua versi filem ini. Kami di portal filem Rollo De Pelicula menyukai Misteri Dilaila Versi 1 kerana pengakhirannya memberikan satu kejutan menarik serta meninggalkan sebuah persoalan yang cukup misteri dan mencabar untuk diselesaikan oleh para penonton. Jadi, pengakhiran untuk versi 1 ini juga boleh dijadikan, dikhayalkan atau direka dengan pelbagai kisah mengikut kefahaman, dalil atau bayangan anda sendiri yang menonton. Secara tidak langsung, filem Misteri Dilaila Versi 1 dilihat sebagai sebuah filem yang tidak malas di dalam penceritaannya tetapi berjaya memberikan sesuatu yang baru serta kreatif untuk perfileman tempatan. Berbeza dengan Misteri Dilaila Versi 2 apabila dilihat pengakhirannya yang bukan sahaja tidak berkaitan dengan kisah tetapi langsung tidak memberi makna kepada jalan cerita filem tersebut. Anda akan faham tentang hal ini apabila anda menonton kedua-dua versi ini.



Kesimpulannya, filem Misteri Dilaila kali ini telah memberitahu seluruh penonton Malaysia, Brunei, Singapura dan Indonesia bahawa Syafiq Yusof telah berjaya mencipta satu keunikan tersendiri dan memberi sebuah kejutan misteri yang penuh dengan teka-teki untuk diselesaikan oleh para penontonnya. Kami melihat ini ialah satu perkara baru buat industri filem tempatan yang wajar dipuji dan dibanggakan. Namun, hal ini akan menjadi lebih cantik jika Misteri Dilaila Versi 2 adalah sehebat dan setaraf dengan Misteri Dilaila Versi 1. Jika ini menjadi kenyataan, kami percaya ia bukan sahaja memberi impak yang besar tetapi juga mencetuskan fenomena yang lebih besar untuk diperdebatkan oleh keseluruhan penonton filem Misteri Dilaila ini.



Sekali lagi kami tegaskan disini bahawa kami menyukai filem Misteri Dilaila Versi 1 tetapi sebaliknya untuk Misteri Dilaila Versi 2. Jadi, selamat menonton kedua-dua versi dan semoga anda terhibur. Jangan lupa kongsikan artikel ini di laman sosial anda. Dan jangan lupa untuk tinggalkan komen anda di bawah berkenaan versi yang mana satu menjadi pilihan anda. Sekian!



P/S : Banyak Lagi Ulasan Filem Yang Akan Dikongsikan Selepas Ini Iaitu Filem Bikers Kental 2, Cold Pursuit, Happy Death Day 2U Dan Can You Ever Forgive Me. Nantikan Ulasannya!

P/S Lagi : Anda Nak Tahu Versi Mana Yang Anda Tonton? Sebelum Pembukaan Filem, Akan Muncul Di Layar "IZIN PRODUKSI". Di Bawah Perkataan Itu Telah Diberitahu Dengan Huruf Besar Berwarna Merah Yang Bertulis V1 atau V2.