Review Filem Tiada Tajuk


Filem:
Tiada Tajuk

Penilaian:
6/10

Pengarah:
Asmawi Bin Ani

Genre:
Komedi

Pelakon:
Hazama Azmi, Along Cham, Joey Daud, Mawi,
Ropie, Kamarul Hj Yusof, Amirah Othman, Johan As;ari & Etc.

Tarikh Tayangan:
4 April 2019

Pengedar:
Empire Film Solution

Sinopsis:
Filem ini merupakan kesinambungan daripada telefilem "Rock Sangkut". Ia berkisarkan mengenai pengembaraan tiga orang sahabat di dalam mengejar impian mereka untuk menjadi penyanyi terkenal. Pelbagai cabaran dan halangan yang mereka perlu hadapi demi merealisasikan impian mereka. Adakah mereka akan berjaya mencapai impian tersebut atau sebalinya? Saksikan filem komedi ini di pawagam berdekatan anda bermula pada 4 April 2019 untuk mengetahui kisah seterusnya.

Ulasan:

Alhamdulillah kami di portal filem Rollo De Pelicula telah berjaya menonton filem Tiada Tajuk bertempat di Amerin Cineplex, Seri Kembangan pada 5 April 2019 yang lepas. Pada asalnya kami menerima jemputan daripada pihak Empire Film Solution untuk menonton filem ini pada tayangan media tempoh hari namun tidak berkesempatan disebabkan urusan kerja. Memandangkan filem Tiada Tajuk mendapat komen yang pelbagai tidak kira positif mahu pun negatif maka kami mengambil keputusan untuk menonton sendiri filem ini dengan tiket berharga RM14. In Sha Allah selepas ini boleh masuk pertandingan yang dianjurkan oleh Mawi untuk filem ini.


Filem Tiada Tajuk merupakan kesinambungan kepada telemovie Rock Sangkut yang yang telah diterbitkan pada lima tahun yang lepas. Masih berjaya mengekalkan para pelakon yang sama seperti Hazama, Along Cham dan Joey Daud, filem Tiada Tajuk sebenarnya mempunyai keunikan tersendiri dari segi bahasa dialog watak-wataknya yang bersifat sarkastik tetapi pada masa yang sama penuh dengan nilai-nilai Islamik. Menariknya tentang filem Tiada Tajuk ini ialah walaupun ia secara terang-terangan boleh dianggap sebagai medium untuk menyampaikan syarahan berkaitan agama namun cara bagaimana ia disampaikan melalui persembahan lakonan, lontaran dialog serta bahasa tubuh tiga watak utamanya ini telah berjaya menjadikan filem ini kelihatan ringan dan dapat diterima dengan cukup baik oleh majoriti penonton. Walaupun hakikatnya telalu banyak mesej-mesej tersurat dan tersirat yang cuba dimasukkan dan dipadatkan di dalam filem ini namun kami melihat hasil kerja Mawi dan tenaga produksinya untuk filem sulungnya ini boleh diberikan pujian.


Filem ini bijak memanfaatkan isu-isu semasa serta permasalahan-permasalahan agama yang tidak lapuk dek masa untuk dikupas di dalam filem ini. Kami sangat tertarik tentang sindiran pedas filem ini yang cukup berani untuk disampaikan kepada golongan agama yang menunggang agama dimana paparan visual serta kekuatan dialog yang sangat berjaya memainkan peranan di dalam menguatkan beberapa babak yang berkaitan perkara tersebut. Selain itu, kami melihat mesej serta nasihat yang disampaikan di dalam filem Tiada Tajuk ini sebenarnya lebih ditujukan kepada masyarakat Malaysia sendiri melalui beberapa babak yang memaparkan tentang topik solat, laman sosial, # tanda pagar dan sebagainya. Selain itu, mesej-mesej menarik ini juga boleh dilihat melalui beberapa babak bagaimana watak-watak utama di dalam filem ini melihat dan menilai manusia sekeliling mereka serta bagaimana watak-watak utama ini pula dilihat dan dinilai oleh watak-watak pembantu lain. Ia sebenarnya merupakan mesej kita sudah biasa lihat, dengar serta tahu tetapi sekali lagi disebabkan cara penyampaiannya yang santai dan berani membuatkan filem Tiada Tajuk ini berjaya berdiri di atas dasarnya dengan teguh. 


Pujian wajar diberi kepada barisan pelakon yang sangat membantu di dalam menaikkan adrenalin ketawa penonton daripada awal sehingga akhir tontonan. Kombinasi mantap watak-watak utamanya iaitu Hazama, Joey dan Along Cham serta dibantu oleh Ropie dan Kamarul Yusof menjadikan filem Tiada Tajuk ini berjaya menjadikan filem bergenre agama sebegini kelihatan ringan dan santai untuk ditonton. Namun, ada beberapa perkara yang agak mengganggu tontonan kami saat menyaksikan filem Tiada Tajuk ini. Bersesuaian dengan nama filem ini sendiri iaitu Tiada Tajuk seperti memberi bayangan bahawa filem ini juga tidak mempunyai arah tuju yang jelas di dalam mengekalkan genre islamik yang dibawanya sejak dari awal. Ini dapat dilihat melalui campuran pelbagai genre lain yang cuba dimasukkan di dalam filem ini seperti seram, drama dan aksi. Walaupun ianya hanya seketika tetapi ia membuatkan filem ini seperti kehilangan identiti serta arah tujunya yang sebenar.


Tidak dinafikan mesej-mesej keagamaan di dalam filem ini berjaya disampaikan dengan cukup baik tetapi kami juga tidak dapat menafikan pandangan kami berkenaan susur galur penceritaan filem ini yang boleh dikatakan sangat lemah pada pengakhirannya. Naratif awalnya bermula perlahan namun ia berjaya ditutup dengan baik oleh fasa tengah yang sangat cemerlang sebelum kemudian ia kembali ghaib entah kemana pada babak-babak akhir filem ini. Tiga fasa berbeza dimana dua fasa awal bermula dengan baik sebelum tiba-tiba ia ditamatkan dengan kesudahan yang kosong. Bersesuaian betul dengan nama filem ini iaitu Tiada Tajuk dimana pengakhirannya juga pun boleh dikatakan seperti tiada kesudahan yang menarik untuk diperkatakan.


Kesimpulannya, filem Tiada Tajuk boleh dikatakan sebagai sebuah naskhah yang agak menarik dan penuh dengan unsur-unsur komedi islamik bersifat sarkastik. Walaupun filem ini bukannya sebuah filem yang terbaik untuk tahun 2019 namun untuk percubaan pertama kami boleh kata ia adalah hasil yang agak menarik untuk diperoleh daripada seorang manusia bernama Asmawi Ani. Jadi, selamat menonton filem Tiada Tajuk di pawagam seluruh Malaysia bermula pada 4 April 2019 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Akan Diulas Ialah Sebuah Lagi Filem Tempatan Berjudul Bu. Nantikan Ulasannya!

Catat Ulasan

2 Ulasan

  1. filem ini bukan kesinambungan rock sangkut, ia adalh rock sangkut versi filem dengan pengembangan watak dan matlamat. good try.

    BalasPadam
    Balasan
    1. owh..sinopsis itu yang diberitahu lah...bukan saja mereka-reka :)

      Padam