Review Filem Aladdin


Filem:
Aladdin

Penilaian:
9/10

Pengarah:
Guy Ritchie

Genre:
Penggembaraan, Komedi, Fantasi & Muzikal

Pelakon:
Will Smith, Mena Massoud, Naomi Scott, Marwan Kenzari, Navid Negahban, Nasim Pedrad & Etc.

Tarikh Tayangan:
23 Mei 2019

Pengedar:
Walt Disney Pictures

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan Aladdin seorang pemuda jalanan yang hidup bersama monyet peliharaannya, Abu. Dia kemudian jatuh cinta kepada puteri Agrabah, Jasmine. Apabila Aladdin dan Abu menemui sebuah lampu ajaib dan Aladdin membebaskan jin dari dalam lampu itu, jin itu membalas budinya dengan memberikan dia tiga hajat. Namun Aladdin perlu menghalang seorang wazir bernama Jafar, yang ingin menguasai Agrabah, daripada mendapatkan lampu ajaib tersebut. Saksikan filem yang sangat menarik dan menghiburkan ini di pawagam berhampiran anda bermula 23 Mei 2019 untuk mengetahui keseluruhan kisahnya.

Ulasan:

Alhamdulillah kami di portal filem Rollo De Pelicula telah berjaya menonton filem Aladdin di Amerin Cineplex pada 22 Mei 2019 yang lepas. Selepas pelbagai kontroversi melanda filem ini terutamanya kritikan ramai terhadap pemilihan pelakon Will Smith untuk watak Genie maka kami sendiri memilih untuk menjadi antara penonton terawal menonton filem ini pada sesi pertama tayangannya untuk hari Rabu ini. Melalui keseluruhan visual yang dilihat, filem ini sebenarnya memberi kejutan yang teramat besar kepada kami terutamanya apabila membawa pelbagai elemen penuh warna di dalam satu bingkai filem yang cukup indah dimana ia seolah-olah menjadikan diri kami yang menonton kembali semula ke zaman kecil untuk mengintai, melihat dan meneroka sebuah dunia baru yang bernama Agrabah.


Seperti yang semua sedia maklum terutamanya peminat siri animasi Aladdin ialah Aladdin pada asalnya merupakan seorang pencuri jalanan yang ditemani oleh seekor monyet bernama Abu. Tujuan Aladdin mencuri pula lebih kepada sebagai satu keperluan untuk kelangsungan hidup selepas kehilangan kedua-dua ibu bapanya sejak kecil lagi. Namun, filem ini membawakan banyak pembaharuan terutamanya tentang penceritaan watak Genie dan juga Princess Jasmine yang lebih menarik. Princess Jasmine misalnya terpaksa menyusup keluar bertemu rakyat dalam keadaan menyamar untuk mengelakkan daripada diketahui oleh ayahnya. Manakala Genie pula kali ini mempunyai sikap positif yang unik seperti kasih sayang serta penghormatan terhadap manusia yang dipanggilnya sahabat. Jadi, pertembungan ketiga-tiga watak ini berjaya menjadikan penceritaan filem ini dikembangkan kepada pelbagai perkara lain seperti sistem hamba, nilai kemerdekaan, elemen persahabatan serta etika persahabatan yang kemudian merebak kepada isu lebih besar seperti pengorbanan diri, ketamakan dan kepentingan diri. Semua ini berjaya ditulis dengan baik dan disampaikan di dalam bentuk visual dalam keadaan yang sangat tersusun, senang difahami dan mudah diterima oleh setiap peringkat umur tidak kira kanak-kanak, dewasa mahu pun warga emas.


Sudah lama kami tidak dapat menonton filem-filem dongeng keluaran Disney yang terbaik dan akan diingati namun filem Aladdin akan dikenang sebagai antara filem terbaik Disney untuk tahun 2019 dan tergolong di dalam filem-filem terbaik mereka sepanjang masa. Ia bukan sahaja mengagumkan daripada segi jalan ceritanya tetapi bertepatan dengan genre filem ini yang berbentuk muzikal dimana lagu-lagu yang terpilih untuk didendangkan di dalam babak-babak filem ini semuanya sedap-sedap belaka. Tidak perlu diperkatakan lagi lagu tema filem Aladdin iaitu Arabian Nights sememangnya akan membuatkan bulu roma anda meremang kerana ia membuatkan ia mengimbau kenangan lampau anda tentang karya animasi Aladdin menerusi lirik lagu dan melodinya yang merdu. Seterusnya, lagu Speechless yang didendangkan oleh Naomi Scott sebagai Puteri Jasmine di dalam babak-babak klimaks yang sangat memberi kesan emosi kepada kami saat menonton filem ini. Ia bukan sekadar sebuah nyanyian biasa tetapi impak emosi daripada pergerakan pelakon ini sememangnya hebat dan memukau. Tidak dilupakan juga lagi Prince Ali dan Friend Like Me yang berjaya memberikan warna dan kemeriahan kepada momentum penceritaan filem ini dimana babak yang melibatkan lagu ini berjaya menampilkan visual yang sangat cantik melalui pemilihan props dan busana yang berwarna-warni serta meriah disamping suntikan elemen humor yang sangat menceriakan kami saat menonton dan mendengar kedua-dua lagu ini. Salah satu lagi lagu latar yang sangat indah di dalam filem ini ialah lagu A Whole New World dimana bait-bait kata serta melodinya pasti akan tersimpan erat di minda anda walaupun selepas anda keluar daripada panggung wayang. Apa yang kami boleh katakan, sebagai sebuah filem muzikal, Aladdin berjaya membuktikan bahawa karya ini layak digelar sedemikian rupa.


Filem Aladdin versi 2019 ini sebenarnya merupakan sebuah karya klasik yang indah dan benar-benar menakjubkan. Setiap watak diberi masa yang secukupnya dan peluang sama rata untuk berkembang. Pemilihan Will Smith untuk memegang watak Genie sebenarnya adalah satu pilihan yang sangat tepat sehinggakan kami merasakan tiada sesiapa buat masa ini yang mampu menghidupkan watak Genie sebaik Will Smith usai tamat menonton filem ini. Will Smith berjaya mejadikan watak Genie ini bukan sekadar satu watak humor yang biasa-biasa tetapi sebagai satu watak yang akan diingati dengan frasa dialog ungkapannya yang menarik iaitu,"Anda tidak pernah ada sahabat seperti saya!" Pelakon Mena Massoud pula yang memegang watak sebagai Aladdin juga turut mempunyai pesona sendiri yang berjaya meyakinkan anda untuk melihat lelaki ini sebagai Aladdin dan bukannya Mena Massoud di layar perak. Naomi Scott sebagai Puteri Jasmine juga merupakan seorang lagi pelakon utama yang perlu diberi pujian kerana berjaya mengangkat wataknya ke satu tahap yang tinggi. Penjiwaan wataknya yang baik dapat dilihat melalui cara Naomi bermain emosi dengan watak ini dan ianya memberi kesan buat kami yang menonton. Penceritaan untuk ketiga-tiga watak ini berjaya disampaikan dengan cukup mendalam dalam cara yang santai dan mudah yang menjadikan filem ini kelihatan begitu cantik, magis dan wajib ditonton oleh anda pada bulan Mei ini.


Filem Aladdin bergerak di dalam momentum penceritaan yang jelas dan kemas pada permulaan dan pertengahan. Namun, pada babak-babak akhirnya kami mendapati penceritaan agak terkejar-kejar kerana terlalu banyak menghabiskan masa pada babak-babak melibatkan watak antagonis filem ini iaitu Jafar. Kami juga melihat filem ini terlalu mencuba untuk membawa penonton untuk meneroka dunia luar Agrabah melalui beberapa adegan yang kelihatan terlalu panjang. Tetapi, ia agak menarik dan luar biasa untuk melihat gabungan kerja kamera, pencahayaan, sinematografi serta suntingan yang cantik menjadikan kelemahan-kelemahan ini berjaya ditutup dengan hasil visual yang indah dan hebat. Kesimpulannya, filem Aladdin ini sangat berbaloi dan wajib anda tonton di pawagam kerana kami sangat yakin ia merupakan sebuah filem live action daripada Disney yang sangat hebat dan berada di dalam kelas kemegahannya yang tersendiri.


Jadi, selamat menonton filem Aladdin di pawagam seluruh Malaysia bermula pada 23 Mei 2019 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Selepas Ini Ialah Sebuah Filem Tamil Berjudul Mr Local. Nantikan Ulasannya!

Catat Ulasan

8 Ulasan

  1. Pengarah Guy Ritchie pon tak pernah mengechewakan peminat nya. Pemilihan dia sebagai tuan director pon tepat dan sesuai seperti Will Smith. TQ Hans for review

    BalasPadam
  2. PH tak sure nak tengok ke tidak sebab macam cerita budak2. Tapi berasakan ulasan dan penilaian Hans yang bagus, PH teruja nak tengok.

    BalasPadam
    Balasan
    1. hahahaha
      dia sesuai untuk semua golongan sebab bukan terlalu budak pun..
      hehe

      Padam
  3. it's gonna be weird watching aladdin this time sbb not cartoon anymore haha

    BalasPadam
  4. Rasenye aladdin yg ni tak sama sepenuhnya dengan jalan cerita yg lama.. Untuk yg minat muzikal tu memang rase best la dia punya lagu ngan tarian.. Genie will smith warna biru buat teringatkan cerita avatar lak.. Haha.. Hmm, tp sedihla skrg.. Tiket wayang dah mahal sampai rm18.. Kene pilih yg berbaloi.. Blog ni jela jadi panduan..

    BalasPadam
    Balasan
    1. dalam kartun pun memang Genie warna biru...hehehe
      In Sha Allah...harap blog ini banyak membantu membuat pilihan untuk filem mana yang ingin ditonton

      Padam