Review Filem Jiivi


Filem:
Jiivi

Penilaian:
7/10

Pengarah:
VJ Gopinath

Genre:
Drama & Thriller

Pelakon:
Vetri, Karunakaran, Rohini, Mime Gopi & Etc.

Tarikh Tayangan:
27 Jun 2019

Pengedar:
Lotus Five Star

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan Saravan iaitu seorang lelaki yang bijak pandai dan rakannya merancang untuk memecah masuk ke kediaman tuan rumahnya selepas dia kecewa dengan percintaanya yang gagal di pertengahan jalan. Dia berjaya melakukannya dan berjaya menggunakan pelbagai tipu helah untuk memperdayakan pihak polis. Akhirnya, dia menyedari terdapat persamaan aneh berkaitan dengan satu peristiwa kematian yang melanda keluarganya dan keluarga tuan rumahnya. Apa sebenarnya yang berlaku? Saksikan filem menarik ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 27 Jun 2019 untuk mengetahui jawapannya.

Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah berjaya menonton sebuah filem Tamil yang berjudul Jiivi di LFS State Cineplex Petaling Jaya pada 4 Julai 2019 yang lepas. Satu perkara menarik di dalam filem ini ialah mereka memanfaatkan elemen thriller itu dengan cukup baik di dalam susunan plot penceritaannya yang bijak dan memukau. Hal ini dapat dilihat pada dua watak utama filem ini iaitu Saravanan dan Mani yang dilakonkan oleh Vetri dan Karunakaran dimana Vetri berjaya memanfaatkan permainan ekspresi wajah dan memainkan wataknya dengan penting secara bersungguh-sungguh disamping dibantu Karunakaran yang bukan sekadar berjaya dari segi membangkitkan humor semata-mata tetapi turut memberi kejutan lain kepada para penonton. 


Filem ini memerlukan fokus serta tumpuan yang cukup tinggi daripada anda sebagai penonton untuk memahami setiap plot yang berlaku dimana ia ditulis dengan cukup baik dan menghubungkan anda kepada satu titik punca yang menjadi penyebab kepada berlakunya segala permasalahan di dalam hidup Saravanan. Menarik untuk melihat bagaimana watak Saravanan ini dikembangkan melalui gabungan ciri-ciri yang pada kami cukup menarik. Seorang lelaki yang kurang berminat dan tidak percaya pada sistem pendidikan secara teori kerana baginya pendidikan praktikal yang mampu menjamin kehidupan akan kekal bertahan sehingga penamat usia. Namun, satu perkara menarik tentang watak ini ialah sikap ingin tahunya yang tinggi dan menyebabkan lelaki ini gemar membaca buku ilmiah serta menonton saluran televisyen yang berbentuk ilmu pengetahuan. Lebih unik apabila watak Saravanan ini juga terlalu ego dan taksub dengan pendiriannya sehingga berani mencabar Tuhan apabila dipersoal oleh rakannya dengan satu ayat,"Adakah engkau tidak takut dengan Tuhan yang melihat perbuatan jahat kau untuk mencuri ini?" Daripada sinilah sebenarnya Saravanan kembali dicabar oleh Tuhan disebabkan keangkuhannya yang terlalu berfikiran secara teori dan sains berbanding memikirkan tentang keagamaan.



Filem Jiivi menampilkan sedikit kisah romantik melalui subplot yang kecil pada bahagian awal filem tetapi ia cepat-cepat dimatikan dengan cara yang bijak sebelum anda dapat melihat kesannya pada pengakhiran filem. Walaupun kami sendiri akui filem ini sangat perlahan momentum penceritaannya pada peringkat awal namun bermula pada pertengahan sehingga ke akhir filem, ia berjaya membuatkan penonton yang sukakan filem yang memerlukan pemikiran yang tinggi ini untuk berasa puas apabila melihat bagaimana pengarah serta penulis berjaya menggabungkan teori berkaitan kehidupan manusia serta elemen kepercayaan agama mereka di dalam teras utama filem ini. Menarik untuk melihat bagaimana mereka bermain dengan subjek-subjek seperti kipas siling dan patung dewa sebagai metafora untuk kisah ini menerangkan dan merungkaikan tentang satu sistem kepercayaan segitiga yang berkait antara hidup Saravanan serta keluarga lain yang berada di dalam ruang segitiga tersebut. Kami melihat pengakhiran kisahnya bukan sahaja memberi satu keadilan kepada semua watak tetapi ia juga adalah hasil yang cukup luar biasa buat watak utama kisah Jiivi ini iaitu Saravanan yang berjaya dipotretkan bagi membuatkan anda sebagai penonton untuk tidak menyokong atau menghina watak ini kerana sisi-sisi positif dan negatif yang dipaparkan di dalam filem ini. Ianya hanya akan difahami oleh anda seandainya anda selesai menonton filem ini nanti.  


Namun, seperti yang kami nyatakan sebelum ini bahawa terdapat beberapa kelemahan dapat dikesan di dalam filem Jiivi seperti naratif penceritaan yang terlalu perlahan pada peringkat awal dimana ada beberapa perkara yang sebenarnya mampu menambah debaran kepada kisah ini tetapi tidak dieksploitasi sepenuhnya. Begitu juga dengan beberapa adegan yang sebenarnya menarik seperti satu adegan Saravanan di perpustakkan yang terjumpa tentang satu perkara menarik di dalam buku psikologi sebelum dia mempraktikkan perkara tersebut kepada pustakawan disitu. Namun, kami melihat adegan seperti ini agak kurang jelas maksudnya dan tidak membantu penonton daripada segi kefahaman cerita. Dari segi teknikal pula boleh dirumuskan bahawa semuanya berjalan lancar, cantik dan membantu penceritaan filem ini dari segala aspek. Secara keseluruhan, filem ini sebenarnya menarik untuk ditonton oleh mereka yang meminati filem bergenre thriller cuma anda perlu memberikan sepenuh tumpuan bagi memahamui konsep keagaaman dan teori kehidupan yang sedikit berat dan kurang dekat dengan pemahaman anda sebelum ini.


Jadi, selamat menonton filem Jiivi di pawagam seluruh Malaysia bermula pada 4 Julai 2019 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Dan Kongsikan Dengan Anda Ialah Filem Dari Negara Jepun! Nantikan Ulasannya!

Catat Ulasan

0 Ulasan