Review Filem Dilan 1991


Filem:
Dilan 1991

Penilaian:
7/10

Pengarah:
Fajar Bustomi & Pidi Baiq

Genre:
Drama & Romantik

Pelakon:
Iqbaal Ramadhan, Vanesha Prescilla, Jerome Kurnia, Adhisty Zara & Etc.

Tarikh Tayangan:
11 Julai 2019

Pengedar:
TGV Pictures

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan teman wanita Dilan yang bernama Milea risau akan masa depan mereka terutama selepas kejadian Dilan bergaduh dengan Anhar. Berkemungkinan besar Dilan akan dibuang sekolah maka Milea akhirnya meminta Dilan memilih antara kumpulan motosikalnya atau hubungan mereka. Pada masa yang sama, Milea berkenalan dengan Yugo yang merupakan anak kepada sepupu jauh ayahnya. Yugo baru sahaja pulang dari Belgium dan mereka banyak menghabiskan masa bersama. Walaupun Yugo menaruh hati pada Milea namun Milea masih mencintai Dilan. Apakah kesudahan hubungan cinta antara Dilan dan Milea? Saksikan filem romantik ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 11 Julai 2019 untuk mengetahui jawapannya.

Ulasan:

Alhamdulillah pihak Rollo De Pelicula mendapat jemputan daripada pihak TGV Pictures untuk menghadiri tayangan media filem Dilan 1991 bertempat di TGV One Utama pada 3 Julai 2019 yang lepas. Untuk pengetahuan semua, ini adalah tontonan kedua kami selepas pertama kali menonton filem bahagian kedua ini di bumi Jakarta pada bulan Mac 2019 yang lepas. Sekuel filem ini akan membawa penonton melihat kembali memori pahit manis hubungan Dilan dan Milea selepas kejyaan besar filem Dilan 1990 sebelum ini. Jika filem pertama dahulu menampilkan bagaimana Dilan berjaya membuatkan Milea jatuh cinta kepada dirinya dengan perwatakan yang romantis namun untuk filem kedua ini ia menampilkan sisi lelaki Dilan yang lain daripada kebiasaan. Namun, inilah keunikan dan keistimewaan watak Dilan ini yang jarang ditemukan di dalam mana-mana watak sebelum ini.


Filem Dilan 1991 yang berdurasi sekitar 2 jam ini ternyata berjaya membangkitkan penceritaan dunia lelaki yang hampir dekat dengan realiti sebenar. Ia berjaya memaparkan bagaimana jiwa seorang lelaki yang pada asalnya bermatian-matian mendapat cinta seorang wanita yang dicintainya sepenuh hati namun bagaimana selepas itu pegangan prinsip seseorang lelaki itu pula memainkan peranan besar di dalam mengekalkan hubungan yang telah terbina cantik pada awalnya. Watak Dilan di dalam filem sekuel ini bukan sahaja lebih kompleks tetapi ia memberikan satu pencerahan yang sangat cantik dimana ia tidak sama seperti kisah-kisah cinta lain yang terlalu berpaksikan fantasi serta imaginasi semata-mata. Disini ia memaparkan kematangan watak Dilan ini dari sudut melihat apa sebenarnya yang dikatakan cinta dan kepercayaan antara lelaki dan wanita yang berjanji untuk menjadi sebagai pasangan kekasih.


Kali ini filem Dilan 1991 berjaya memaparkan beberapa konflik yang boleh dikatakan sangat menarik di dalam alur ceritanya selain percintaan iaitu berkaitan persahabatan, perjanjian, kepercayaan, kekeluargaan, keibubapan dan juga tentang kebodohan di alam percintaan. Walaupun separuh masa pertama menampilkan banyak momen-momen yang agak perlahan dan hambar disebabkan dialog-dialog romantiknya yang terlalu berlebih-lebih namun plot penceritaan ini bertukar menjadi menarik apabila masuk kepada bahagian kedua yang membuatkan kami yang menonton berasa teruja untuk melihat apakah yang akan berlaku kepada hubungan antara Dilan dan Milea yang berhadapan dengan pelbagai konflik-konflik yang sebenarnya tidak besar tetapi dibesar-besarkan atas sebab cinta tanpa memikirkan kesannya pada jangka panjang.


Satu perkara yang menjadi persoalan atau tanda tanya buat kami tentang filem ini ialah berkaitan dengan sikap keterbukaan ibu bapa Dilan dan Milea di dalam menerima percintaan anak-anak mereka. Memandangkan filem ini berlatar belakangnya tahun 1990 dan 1991 maka kami merasakan ia adalah satu perkara yang agak janggal untuk melihat sikap ibu bapa yang terlalu mudah menerima dan memberi galakan kepada kedua-dua anak muda ini untuk meneruskan hubungan cinta walhal dapat dilihat bagaimana masing-masing masih terumbang-ambing di dalam pelajaran. Adakah penerimaan keluarga di Indonesia pada tahun 90-an sememangnya sebegitu kerana ia berbeza jika dilihat pada budaya keluarga di Malaysia pada tahun yang sama. Walau bagaimanapun, dari satu sudut kami cukup suka dengan usaha pihak produksi untuk memastikan suasana bandar Bandung pada tahun 90-an itu kelihatan realistik dimana babak di panggung wayang berjaya diterjemahkan dengan cukup baik melalui poster-poster filem lama sehingga kepada ruang dalaman pawagam itu sendiri.


Salah satu faktor yang menjadikan filem ini menarik adalah dari sudut penggunaan ayat-ayat dialognya yang sangat menarik. Kena pula dengan bantuan yang diterima daripada kehebatan skor filem ini serta lagu latar yang membangkitkan rasa setiap babak menjadikan naskah ini berada di dalam kategorinya yang tersendiri. Pujian harus diberikan kepada pelakon Iqbaal Ramadhan yang berjaya menterjemahkan watak Dilan dengan cukup baik dimana pada kali ini watak tersebut lebih bercirikan kemanusiaan sebenar dimana kami dapat melihat watak ini kini mempunyai pegangan yang tersendiri dan tidak lagi dikongkong oleh perasaan cinta. Maka, watak ini dilihat mempunyai pesona yang tersendiri. Beberapa watak pembantu juga berjaya mencuri perhatian kami seperti watak ibu Dilan dan ibu Anhar yang berjaya menyampaikan isu-isu menarik tentang hubungan keibubapaan serta cara mendidik anak-anak dengan cukup kreatif dan menghiburkan. Walaupun filem Dilan 1991 kali langsung tidak menampilkan sebarang aksi seperti mana filem pertamanya iaitu Dilan 1990 namun apa yang kami boleh katakan naskah ini masih menghiburkan dan wajar ditonton terutama buat anda yang telah menonton filem Dilan 1990.


Jadi, selamat menonton filem Dilan 1991 di pawagam seluruh Malaysia bermula pada 11 Julai 2019 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Dan Kongsikan Dengan Anda Ialah Sebuah Filem Tamil Yang Mendapat Komentar Positif Oleh Barisan Pengkritik Filem Kollywood Iaitu Jiivi! Nantikan Ulasannya!

Catat Ulasan

0 Ulasan