Review Filem Bodies At Rest


Filem:
Bodies At Rest

Penilaian:
7/10

Pengarah:
Renny Harlin

Genre:
Aksi, Jenayah & Misteri

Pelakon:
Nick Cheung, Richie Ren, Zi Yang, Clara Lee, Feng Jia Yi & Etc.

Tarikh Tayangan:
15 Ogos 2019

Pengedar:
GSC Movies

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan seorang pakar forensik dan pelatihnya bekerja di sebuah rumah mayat apabila secara tiba-tiba sekumpulan samseng bertopeng pecah masuk. Penjenayah itu meminta akses kepada mayat yang mempunyai bukti terhadap jenayah yang baru berlaku. Saksikan filem yang cukup menarik ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 15 Ogos 2019 untuk mengetahui keseluruhan kisahnya.

Ulasan:

Alhamdulillah pihak Rollo De Pelicula telah berjaya menonton filem Bodies At Rest bertempat di GSC Mid Valley pada 13 Ogos 2019 yang lepas. Terima kasih buat pihak KLIPS MLY atas tiket kemenangan yang diberikan. Filem ini merupakan sebuah filem aksi jenayah yang memaparkan sebuah kisah yang sedang berlaku pada malam Krismas sahaja tetapi apa yang membuatkan filem Bodies At Rest ini menjadi sangat menarik disebabkan konsep permainan kucing dan tikus yang diamalkannya untuk keseluruhan plot cerita filem ini yang menjadikan ianya sebuah karya yang sentiasa berjaya membuatkan kami rasa cemas dan teruja pada waktu yang sama. 


Filem Bodies At Rest ini sebenarnya tidak menunggu terlalu lama untuk memperkenalkan setiap watak utamanya dimana sejak daripada awal lagi kami sudah ditunjukkan tentang kisah Nick Chan yang merupakan ahli patologi dimana lelaki ini merupakan seorang duda setelah kehilangan isterinya akibat kejadian tembakan di sebuah kedai barang kemas. Jadi, pada malam Krismas tersebut, Nick bertugas pada shif malam bersama dengan budak pelatih serta seorang pengawal keselamatan yang sudah tua sebelum tiga lelaki bersenjata dan memakai topeng berlambangkan Santa, Rudolf dan Elf mula masuk ke dalam bangunan menyimpan mayat tersebut untuk mencari sesuatu yang merupakan bahan bukti kepada satu kes jenayah yang telah berlaku sebelum ini. 


Jadi, disinilah dapat dilihat bagaimana filem Bodies At Rest ini mula memaparkan konsep penceritaan kucing dan tikus dimana kumpulan manusia baik cuba melarikan diri daripada kumpulan jahat yang terdiri daripada tiga manusia bertopeng dan bersenjata ini. Satu perkara yang kami suka tentang hal ini ialah watak ahli patologi, budak pelatih serta pengawal keselamatan tua ini sememangnya dicipta menepati kehendak watak masing-masing tanpa meletakkan sebarang elemen luar biasa terutama dari segi kekuatan fizikal kepada watak-watak ini. Berbeza dengan tiga orang penjenayah bertopeng tersebut, kekuatan fizikal mereka sebenarnya ada sebab musabab yang pada akhir filem akan menyebelahi dan menyokong watak-watak ini untuk kelihatan sedemikian. Jadi, kami melihat ianya adalah sesuatu yang menarik dan punya logik filem apabila memandang melalui sudut ini. 


Pada asalnya, kami agak risau apabila filem Bodies At Rest ini terlalu cepat membongkarkan rahsia-rahsia utama watak-watak ini pada suku pertama filem lagi. Penonton akan diberitahu tentang siapa sebenarnya watak penjahat ini, dipertontonkan wajah mereka, diberitahu apa punca serta motif mereka datang ke bangunan menyimpan mayat tersebut dan banyak lagi. Kami menyangka pada awalnya hal ini akan merencatkan pertumbuhan filem ini namun ternyata kami silap apabila plot penceritaan filem ini yang bergerak pantas, penuh dengan aksi-aksi dramatik serta sedikit elemen gore menjadikan durasi filem ini tidak terasa terlalu lama oleh kami. Setiap permainan serta perubahan plot filem ini pada kami kelihatan menjadi dan berkesan untuk membuatkan adrenalin anda sentiasa meningkat saat tibanya adegan-adegan cemas atau mengerikan.


Kami dikhabarkan bahawa pengarah filem Bodies At Rest ini iaitu Renny Harlin merupakan seorang manusia yang amat sukakan adegan kaca pecah berterbangan. Jika dilihat pada filem ini, sememangnya babak-babak yang melibatkan cermin pecah adalah banyak sekali tetapi kebanyakan adegan tersebut adalah sesuai dan memenuhi kehendak babak itu sendiri. Kami melihat kekuatan utama filem ini semestinya datang daripada kreativiti jalan cerita filem ini sendiri yang menggunakan hampir 95 peratus kawasan bangunan menyimpan mayat sebagai lokasi penggambarannya. Ia adalah satu hal yang sangat menarik melihat setiap urutan penceritaan filem ini yang sememangnya sukar dijangka dan memerlukan permainan gerak tubuh yang cukup baik oleh para pelakon utamanya. Nampaknya, kebanyakan para pelakon utama filem ini berjaya memberikan yang terbaik dari segi gerak tubuh dan reaksi wajah mereka untuk meyakinkan penonton untuk merasai setiap kepedihan, kesakitan, kemarahan dan ketakutan mereka untuk setiap babak penting di dalam filem ini.


Selain daripada urutan jalan cerita yang kreatif serta persembahan lakonan yang mantap daripada para pelakonnya, tidak dinafikan koreografer aksi serta sinematografi di dalam filem Bodies At Rest ini juga wajar dipuji kerana elemen-elemen ini berjaya menjadikan babak-babak aksi serta cemas berlangsung dengan cukup baik. Selain itu, teknik solekan ngeri yang digunakan di dalam filem ini juga pada kami menunjukkan kualiti yang baik dan sangat boleh dipercayai. Cuma pada kami pengakhirannya sedikit klise dan sudah boleh diramal kesudahannya yang pada akhirnya agak membantutkan harapan kami untuk menyaksikan kesinambungan cemerlang yang sudah dipacu hampir 75 peratus di dalam keseluruhan penceritaannya sebelum ini. Namun, secara keseluruhan filem Bodies At Rest ini sememangnya menghiburkan, penuh dengan pelbagai aksi cemas, ngeri dan pertarungan yang pastinya akan membuatkan anda tidak senang duduk untuk menantikan kesudahannya. Sebuah filem yang sangat menarik dan berbaloi untuk anda tonton di pawagam.


Jadi, selamat menonton filem Bodies At Rest di pawagam seluruh Malaysia bermula pada 15 Ogos 2019 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Apa Pula Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Dan Kongsikan Dengan Anda Selepas Ini? Nantikan! 

Catat Ulasan

4 Ulasan

  1. satu filem yg perlu ditonton. penuh dgn aksi.
    done follow your blog.
    www.zukidin.com

    BalasPadam
    Balasan
    1. yes
      memang puas hati tonton
      terima kasih sudi follow blog ini :)

      Padam
  2. Menarik dari ulasan Admin Rollo De Pelicula tentang filem ni. Errmmmm... Tertarik juga untuk pergi menontonnya esok.

    BalasPadam
    Balasan
    1. selamat menonton esok
      In Sha Allah berbaloi beli tiket

      Padam