Review Filem Suatu Ketika


Filem:
Suatu Ketika

Penilaian:
9/10

Pengarah:
Prakash Murugiah

Genre:
Drama, Sejarah & Sukan

Pelakon:
Namron, Pekin Ibrahim, Danial Akmal Fariz, Dheva Naish, Danial Iman, Kuhan Divagaran,
Farez Iqmal, Armand, Lim Xuan, Adeq Jiey, Azlan Raihan, Daniel Syahidan, Ahmas & Etc.

Tarikh Tayangan:
12 September 2019

Pengedar:
GSC Movies

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan impian 12 orang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun dan ke bawah yang mencuba sedaya upaya untuk memastikan pasukan bola sepak mereka yang ditubuhkan oleh seorang tukang kebu serta seorang guru berjayaMereka perlu bersaing dengan pasukan dari sekolah berprestij British, St James, untuk layak ke perlawanan "JG Davidson Cup". Pelbagai kejadian menarik berlaku dimana ia pasti akan membuatkan anda terpaku untuk menyaksikan perjalanan kumpulan bola sepak dari Sekolah Ujong Pasir sewaktu bersaing untuk menjadi sekolah melayu pertama layak ke pertandingan akhir kejohanan ini. Saksikan filem yang yang sangat menarik ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 12 September 2019 untuk mengetahui keseluruhan kisahnya.

Ulasan:

Alhamdulillah pihak Rollo De Pelicula telah mendapat jemputan daripada pihak GSC Movies untuk menghadiri malam gala filem Suatu Ketika bertempat di GSC Mid Valley pada 4 September 2019 yang lepas. Filem yang diadaptasi daripada beberapa kisah benar yang digabungkan menjadi sebuah kisah yang bernama Suatu Ketika ini ternyata menjadi buat kami kerana ia berjaya memberi impak yang luar biasa. Apa yang lebih membanggakan kami apabila idea asal serta salah seorang penulis skrip untuk filem Suatu Ketika ini merupakan rakan sekelas kami sendiri sewaktu menuntut di UiTM Shah Alam pada 8 tahun yang lepas.


Kami sangat menyukai plot penceritaan yang ada di dalam filem Suatu Ketika ini yang berlatar belakangkan tahun 1952 dimana ia mengisahkan sekumpulan kanak-kanak yang berbilang kaum, umur dan fizikal dari sebuah sekolah Melayu iaitu Sekolah Ujong Pasir bersatu untuk menentang pasukan sekolah elit kepunyaan British yang telah menjuarai sebanyak dua kali kejohanan JG Davidson Cup iaitu Sekolah St. James. Bagi kami gaya penceritaannya santai, mudah dihadam tetapi bijak bermain dengan pelbagai falsafah, kiasan atau mesej yang diserap masuk ke dalam cerita secara halus dimana jika anda sebagai penonton mencari hal-hal yang kami sebutkan ini, anda dengan mudah akan dapat melihat dan menjumpainya. Namun, jika anda menonton filem ini hanya bertujuan untuk berhibur dan menghayati semangat muhibah, kemerdekaan atau penyatuan rakyat berbilang kaum sehingga membentuk sebuah negara tercinta bernama Malaysia, anda juga akan dapat merasai dan menemuinya di dalam filem Suatu Ketika ini. Sebab itu kami menganggap filem Suatu Ketika ini begitu berjaya dari sudut ini. 


Satu perkara yang sangat menyentuh hati kami berkaitan filem ini ialah bagaimana naskah hebat ini berjaya membangkitkan sikap patriotik kami apabila menonton adegan-degan yang memaparkan ketuanan British yang berada di Tanah Melayu pada zaman sebelum merdeka. Adega-adegan yang kami maksudkan ini sebenarnya mudah tetapi berjaya memberi impak yang cukup hebat kepada pengalaman tontonan kami iaitu adegan bendera British yang berkibar megah. Filem ini tidak mengajak kita membenci British tetapi cara ia disampaikan membangkitkan satu rasa dimana kami merasakan betapa hinanya apabila maruah kita direndah-rendahkan di negara sendiri oleh orang luar. Hal ini diperkukuhkan lagi bagaimana masyarakat kita memberi hormat kepada British, bagaimana seorang guru besar yang tidak yakin dengan bangsa sendiri dan terlalu memandang tinggi British serta bagaimana pandangan jijik dan hina budak-budak sekolah British apabila memandang sekumpulan budak kampung yang selekeh dan comot yang bakal menentang mereka di dalam perlawanan bola sepak. Segala perkara ini berjaya dikembangkan dan disampaikan dengan sangat baik sama ada secara visual, dialog mahu pun emosi. Paling penting ianya disampaikan dengan sangat ringan tanpa beria-ia untuk memberitahu penonton bahawa ini adalah sebuah filem yang punya unsur patriotik atau nasionalisma yang tinggi. Tetapi, hasilnya sangat cemerlang apabila mesej-mesej berat atau tersirat ini sampai kepada kami dengan begitu mudah. 


Kami juga sangat menyukai elemen simbolik yang banyak digunakan di dalam adegan filem ini dimana pada kami ia adalah satu usaha yang wajar untuk diberi pujian. Beberapa adegan yang kami rasa wajar dikongsikan kepada pembaca sebagai pemahaman tambahan ialah sebagai contoh adegan unggun api yang sedang marak membakar serta alunan air laut yang tidak tenang menggambarkan rasa marah seorang bapa yang sedang membara tetapi cuba ditahan sebaik mungkin. Adegan yang memaparkan kisah penceritaan bunga raya serta kaitannya dengan watak seorang budak tempang di dalam filem ini juga pada kami begitu memberi kesan. Selain itu, adegan seorang watak kanak-kanak lelaki Cina yang tidak lekang dengan sikatnya juga berjaya menyampaikan sesuatu kepada pemahaman kami tentang perbezaan tahap ekonomi setiap kaum pada ketika itu yang membawa kepada perbezaan kepada ketrampilan setiap kanak-kanak itu sendiri. Selain itu, kami juga turut tertarik untuk melihat bagaimana filem ini menyampaikan perbezaan tiga orang bapa berlainan kaum di dalam memberi layanan terhadap anak mereka dimana anda akan memahaminya apabila menonton sendiri filem ini nanti. Tak akan semua nak cerita dalam ulasan ini pula kan?



Berkenaan lakonan, tolak ketepi dahulu tentang persembahan Namron mahu pun Pekin. Bukannya kerana mereka tidak bagus tetapi kami lebih tertarik untuk berkongsi dengan anda semua berkaitan persembahan luar biasa daripada 12 orang budak berbilang bangsa yang mewakili pasukan boleh sepak Sekolah Ujong Pasir. Kami tidak pasti jika ada seorang dua pelakon kanak-kanak ini yang pernah berlakon di dalam drama tempatan namun apa yang kami ketahui hampir kesemuanya adalah bakat baru yang ditemui secara tidak sengaja. Tetapi, inilah keunikan serta keistimewaan semua budak-budak ini kerana mereka semua adalah pelakon yang boleh berlakon dan memberi jiwa kepada watak masing-masing dengan cukup bergaya sekali. Walaupun bukan semua watak mendapat masa yang secukupnya di layar namun masing-masing punya aura sendiri untuk bersinar dengan masa kemunculan yang sangat terhad. Pujian harus diberikan kepada pihak yang melatih mereka kerana pada kami gabungan lakonan 12 belas pelakon kanak-kanak ini wajar dibanggakan.



Selain itu, kami juga sangat menyukai filem Suatu Ketika ini kerana elemen-elemen menarik yang berjaya diterapkan di dalam penceritaannya seperti elemen kekeluargaan, hubungan adik beradik, nilai persahabatan, kecintaan kepada keamanan dan perpaduan serta yang paling penting keyakinan terhadap diri sendiri. Sebenarnya setiap elemen-elemen ini sebenarnya adalah elemen biasa yang anda boleh temui di dalam filem-filem lain tetapi apa yang menjadikan elemen ini kelihatan cukup istimewa di dalam filem ini ialah bagaimana ianya digarap, dikembangkan, disatukan dan pada akhirnya cara ia dipersembahkan sebagai sebuah penceritaan yang pada kami menjadikan filem Suatu Ketika ini antara filem cemerlang dari sudut isi, gaya dan cara penyampaian ceritanya untuk tahun 2019 ini. Emosi anda pasti akan terusik di dalam kebanyakan babak tanpa anda sendiri fahami kenapa pada awalnya tetapi percayalah anda pasti akan terasa perkara ini nanti saat menonton filem ini.



Apa yang lebih menarik, lagu latar atau runut bunyi nyanyian Datuk Zainal Abidin yang turut merupakan hasil tulisannya sendiri juga memainkan peranan yang sangat penting di dalam filem ini dimana lagu ini membantu kami untuk lebih merasai setiap penangan terhadap beberapa situasi saat lagu ini muncul melatari adegan tersebut. Jadi, kami yakin lirik lagu serta melodi lagu ini pun sebenarnya dihasilkan berdasarkan kisah filem ini sendiri kerana gabungan kedua-dua ini dilihat sangat bersesuaian dan berjaya menyatu dengan sangat baik.



Cuma disini kami ingin nyatakan dua kelemahan filem ini yang pada kami jika ianya tidak berlaku, filem ini pasti akan memberikan impak yang lebih tinggi kepada para penonton termasuk kami. Pertama berkaitan dengan kualiti visual atau gred warna filem ini dimana ia dapat dilihat tidak sekata antara satu babak ke satu babak. Kelemahan ini dilihat semakin ketara apabila melibatkan adegan yang menggunakan dron dimana apabila kami menontonnya di skrin, jelas kelihatan noise terhadap visual gambar yang membuatkan kami sedikit terganggu. Secara dasarnya, permainan kamera sebenarnya sudah cantik tetapi kualiti warna visual filem ini sangat lemah. Jika ianya dibuat cantik, kami pasti filem ini akan secantik seperti mana anda menonton kualiti visual yang ada pada sebuah filem Indonesia berjudul Laskar Pelangi. 



Kelemahan kedua filem ini ialah tentang beberapa perkembangan watak yang kurang jelas sehingga menimbulkan kelompongan cerita pada watak itu sendiri. Namun, kami dikhabarkan oleh rakan media yang menonton lebih awal dan berpeluang bersoal jawab tentang hal ini. Kami diberitahu bahawa durasi asal filem ini ialah 2 jam lebih dimana banyak babak yang dipotong sehingga menjadikan durasi filem ini hanya dalam 1 jam 40 minit. Jadi, jika anda menonton filem ini nanti maka anda akan melihat momentum filem ini bergerak dengak agak laju. Secara keseluruhan, hasil yang anda tonton di pawagam ini bukannya teruk kerana ianya menarik dan menghiburkan. Tetapi, jika anda seperti kami yang suka untuk mengetahui lebih mendalam maka anda pasti akan menyedari sesuatu yang kehilangan seperti beberapa adegan yang tidak memberi penjelasan yang lebih menyeluruh terhadap sesuatu isu atau perkembangan watak itu sendiri. Jika betul apa yang disampaikan kepada kami berkenaan durasi sebenar filem ini adalah 2 jam lebih, maka kami sangat mengharapkan pihak penerbit untuk membuat tayangan tertutup dan menjemput kami serta peminat filem yang berminat untuk menonton filem ini yang berdurasi lengkap. 



Walau bagaimanapun, secara jujurnya kami sangat menyukai filem Suatu Ketika ini yang mempunyai kekuatan yang sangat padu dari sudut penceritaan, perlambangan, falsafah, persembahan lakonan dan runut bunyinya. Wajib tonton dan sokong lah filem yang berkualiti, punya isi dan melambangkan suara hati dan jiwa manusia yang sayang pada negaranya. Jangan hanya riuh menyatakan kebencian anda kepada kisah drama cinta anak orang kaya yang pada akhirnya hanya memberi publisiti semata tetapi berikan keriuhan yang sama kepada filem sebegini agar lebih ramai buka mata dan datang ke pawagam menyokong filem hebat sebegini. 



Jadi, selamat menonton filem Suatu Ketika di pawagam seluruh Malaysia bermula pada 12 September 2019 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Ialah Filem The Bravest. Nantikan Ulasannya!

Catat Ulasan

18 Ulasan

  1. Balasan
    1. untuk kami filem nih kena dengan citarasa dari sudut storyline

      Padam
  2. Eksaited ni.. Tgk genre tu drama.. Ade macam drama pukul 7 petang tak?..

    BalasPadam
    Balasan
    1. drama tak semestinya drama pukul 7 petang jer...
      ini kisah drama yang ekslusif...keluar time2 raya slot prime time punya

      Padam
  3. Ok. Walaupun gaji bulan ni nk habis, esk ak prgi tgk.

    BalasPadam
  4. PH baru selesai tonton filem ni. Setuju sangat filem ni memang best. Sayangnya masa menonton, PH sorang saja dalam hall :( Tu lah, boleh ketawa sekuat hati waktu babak lucu dan menangis waktu babak sedih. Serious PH menangis. PH pun suka lakonan budak2 tu. PH suka dengan Kudin tempang yang jadi tukang bagi air kat pasukan bolasepak dan kaitan watak beliau dengan cerita bunga raya. Haih...tersentuh PH tengok cerita ni. Adegan sebelum credit pun lucu dengan cerita apa yang terjadi bila mereka dewasa especially pasal rambut Ah Meng gugur hah..hah...

    BalasPadam
    Balasan
    1. hehehehehe
      yang credit last tu merepek tetapi kelakar lah
      apa-apapun secara keseluruhan memang menghiburkan bukan?

      Padam
  5. Suatu ketika sebuah filem yang sangat menarik. Menyentuh perasaan. Syabas diucapkan kepada pengarah dan kepada para pelakon. Khususnya pemain bola sepak ujong pasir. Hidup filem tempatan. I love the unity shown in this movie. Malay, Chinese and Indian.

    BalasPadam
  6. Nk kongsi cerita psl mase nk tgk filem ni.. Mule2 dah booking kat tgv sbb tgv ni byk promosi tiket murah.. Tp tak dpt pegi sbb ade hal kecemasan.. Lepastu survey lg.. Aik, kenapa showtime dia dh kurang.. Gigih la pegi pulak ke gsc ngan harga tiket standard.. Adela dua baris penonton kat dlm pawagam tu.. Filem ni bagus.. Tp sedih bile ramai org yg tak tau kewujudannye.. Asalnye mmg takde plan nk tgk.. Bile bace blog ni bg review tinggi barula berminat.. Dan tq, ulasan yg mmg boleh dipercayai.. Puas hati..

    BalasPadam
    Balasan
    1. Alhamdulillah ulasan ini membantu penonton menonton filem yang bagus :)

      Padam
  7. Sudah tonton tapi sayang tak banyak panggung yang tayang cerita ni dan waktu tayangannya juga terhad.

    Jadi saya sekeluarga pergi menonton di MBO Starling Mall semalam. Quite surprisingly, panggung kami tu separuh penuh dengan penonton.

    Cerita ini mmg baik dan sesuai di tonton seisi keluarga.

    BalasPadam
    Balasan
    1. yes
      terbaik lah menonton
      memang berbaloi dan puas hati kan?

      Padam
  8. 1. kasut putih dulu org kaya2 bangsawan saja pakai.org kampung x pakai kasut. 2. dulu pakai kapur dan papan utk tulis. pensel dan kertas ni mahal dan org2 kaya saja pakai. 3. kebanyakkan lelaki melayu kampung pakai baju melayu dan kiain sarung atau tak berbaju diselempang kain sarung dibahu. 4. orang melayu kampung dulu miskin rumah kayu tiada berbilik. 5. basikal pon dikira mewah dulu ramai yang jalan kaki ke sekolah berkilo meter. 6. budak2 kampung selalunya berambut pendek jarang yang rambut panjang. 7. orang melayu dan budak2 dulu sangat kurus kerana tiada pemakanan yang sempurna dan mereka bekerja kuat disawah. 8. jarang sekolah ada kelas tambahan terutama pelajar melayu yang miskin. petang selalunya ke sekolah pondok belajar mengaji alquran. bola sepak pon dikira sukan yg elit ramai orang melayu yang bermain sepak raga dari bola sepak.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Biasalah tu filem....kalau ikut realiti semua nanti hilang pula dramatiknya melainkan memang dia nak buat filem betul-betul adaptasi dari kisah sebenar...ini pun campur-campur jer antara kisah benar dan fiksyen :)

      Padam