Review Filem Sadako


Filem:
Sadako

Penilaian:
2/10

Pengarah:
Hideo Nakata

Genre:
Seram

Pelakon:
Himeka Himejima, Elaiza Ikeda, Ren Kiriyama & Etc.

Pengedar:
TGV Pictures

Tarikh Tayangan:
17 Oktober 2019

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan Mayu Akigawa yang merupakan seorang kaunselor psikologi dan perlu menjaga seorang budak perempuan yang hilang ingatan. Budak perempuan misteri itu berada di bawah kawalan polis walaupun ramai yang tidak mengetahui sebabnya. Sementara itu, adik lelaki Mayu iaitu Kazuma merupakan seorang YouTuber yang cuba menghidupkan sumpahan Sadako. Saksikan filem seram dari Jepun ini di pawagam berdekatan anda bermula pada 17 Oktober 2019 ini untuk mengetahui jawapannya.

Ulasan:

Alhamdulillah pihak Rollo De Pelicula telah menerima jemputan daripada TGV Pictures untuk menonton sebuah filem seram dari Jepun berjudul Sadako bertempat di TGV Cinemas One Utama pada 16 Oktober 2019 yang lepas. Filem seram ini cuba membawakan beberapa mesej yang dilihat punyai nilai tersendiri seperti tentang elemen keluarga, penderaan emosi serta kesan trauma kepada kanak-kanak serta impak sosial media kepada generasi muda yang terlalu mengejar populariti demi meraih wang sehingga mengabaikan perkara berkaitan pendidikan serta hubungan adik-beradik.


Namun, kami secara jujurnya kurang pasti adakah filem Sadako ini merupakan filem remake (pembuatan semula) atau merupakan sebuah karya yang baru. Tetapi, elemen-elemen wajib seperti lubang perigi, air yang menitik serta hantu yang keluar dari kaca televisyen masih dikekalkan dimana ia merupakan identiti asli kepada filem seram Jepun ini. Kami melihat hal ini sedikit sebanyak mengembalikan nostalgia pada filem lampau namun kesan seramnya dilihat gagal menonjol seperti yang diharapkan dimana ia kelihatan gagal menyaingi keseraman filem-filem Sadako atau yang berkaitan dengannya sebelum ini.


Filem Sadako membawa kami melihat dan mencerna perihal kisah seorang kanak-kanak yang dikurung oleh ibunya yang merupakan seorang bomoh. Ibunya mempercayai anaknya merupakan jelmaan Sadako yang jahat dan yakin bahawa anaknya perlu dibunuh untuk menghentikan kegiatan roh Sadako. Jadi, kisah ini telah menyatakan bahawa kanak-kanak tersebut telah menyeru roh Sadako untuk membantunya keluar daripada kurungan tersebut. Roh Sadako ini pula dilihat mulai menganggu orang-orang yang berdekatan atau rapat dengan kanak-kanak ini. 


Namun, penceritaan filem Sadako ini dilihat sangat perlahan dan agak meleret untuk tiba kepada objektif utama filem ini iaitu berkaitan dengan siapa dan apakah motif utama Sadako pada karya kali ini. Selain itu, jika anda mengimpikan untuk melihat banyak kelibat hantu wanita berambut panjang maka anda mungkin akan kecewa kerana kemunculan hantu berambut panjang di dalam filem ini tidak kerap dan ianya boleh dibilang dengan jari. 


Selain itu, kami juga merasakan filem Sadako kali ini tidak berjaya memberikan impak seram yang maksimum dimana penggunaan teknik jump scare juga dilihat gagal membantu memberi kesan yang mendalam kepada penonton. Hal ini dikenal pasti disebabkan kegagalan di dalam mengekalkan suasana seram tersebut apabila berlakunya transisi perubahan daripada adegan seram kepada adegan biasa. Ianya berlaku terlalu pantas dan secara tidak langsung telah mematikan terus elemen seram tersebut. Hal ini sememangnya amat membuatkan kami berasa kecewa kerana keinginan untuk menikmati suasana seram tersebut direntap terlalu cepat.


Secara keseluruhan, filem Sadako dilihat lebih terarah kepada genre drama sehingga tanpa sedar telah menenggelamkan elemen seram yang patut diisi lebih banyak ke dalam kisah penceritaan filem ini. Momentum penceritaanya yang juga perlahan turut memberi kesan yang besar kepada tontonan kami. Sebenarnya, kami mengharapkan unsur seram yang diberikan di dalam filem Sadako ini lebih daripada apa yang kami telah tonton sebentar tadi. Untuk peminat filem seram dari Jepun, filem ini mungkin mampu mengubati rindu anda pada hantu jepun berambut hitam lurus namun kami merasakan ianya tidak lebih hanya sekadar bersandarkan kepada populariti atau kejayaan filem Sadako terdahulu. Pada kami, Sadako hanya sebuah filem yang biasa-biasa sahaja.


Jadi, selamat menonton filem Sadako di pawagam seluruh Malaysia bermula pada 17 Oktober 2019 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Dan Kongsikan Dengan Anda Ialah  Sebuah Menarik Dari China Berjudul The Climbers. Nantikan Ulasannya!

Catat Ulasan

4 Ulasan

  1. Selain dari filem Russia, filem dari Jepun saya akan elak dari tonton. Filem The Ring dan Ju-On yg terdahulu menarik la juga tetapi sejak akhir² ni, filem mereka terlalu perlahan dan selalu lost fokus membuatkan saya hilang sabar dan tobat taknak tonton lagi. Terima kasih Hans kerana sanggop tonton dan memberi ulasan serta menyelamatkan masa dan duit kami, heheh...

    BalasPadam
    Balasan
    1. filem Jepun kalau tengok yang festival hari tu banyak yang best

      Padam
  2. Aku rasa ko patut terus bagi rating siap2..

    Tinggal2 last2 terlupa..

    BalasPadam