Filem:
Ford v Ferrari
Penilaian:
10/10
Pengarah:
James Mangold
Genre:
Genre:
Aksi, Biografi & Drama
Pelakon:
Matt Damon, Christian Bale, Jon Bernthal, Caitriona Balfe, Tracy Letts, Josh Lucas& Etc.
Pengedar:
Walt Disney Pictures
Tarikh Tayangan:
14 November 2019
Sinopsis:
Filem yang diinspirasikan daripada kisah benar ini mengisahkan tentang keinginan pemilik syarikat Ford Motor Co. yang ingin menewaskan kereta lumba Enzo Ferrari dalam kejohanan 24 Hours of Le Mans di Perancis pada tahun 1966. Jadi, mereka mendapatkan kepakaran pereka kereta dari Amerika iaitu Carroll Shelby untuk mencipta kereta lumba yang mampu menyaingi Ferrari. Carroll Shelby pula cuba bekerjasama dengan Ken Miles yang bukan sekadar pakar memandu kereta lumba tetapi juga bijak di dalam mengenal pasti setiap jenis kereta yang dinaikinya. Carroll Shelby dan Ken Miles mula bekerjasama di dalam percubaan mereka mengatasi undang-undang fizik namun masalah peribadi serta masalah yang dicetuskan oleh pihak syarikat Ford Motor Co menjadi antara faktor penghalang di dalam menyaingi kereta lumba milik Ferrari. Namun, adakah syarikat Ford Motor Co. berjaya mengatasi Enzo Ferrari di dalam perlumbaaan Le Mans? Adakah kehidupan Carroll Shelby dan Ken Miles akan berubah selepas kejohanan tersebut? Saksikan filem yang sangat menarik ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 14 November 2019 untuk mengetahui kisah seterusnya.
Ulasan:
Alhamdulillah pihak Rollo De Pelicula telah memenangi peraduan anjuran TGV Cinemas yang memberikan kami peluang untuk menonton filem Ford v Ferrari ini lebih awal sewaktu berlangsungnya tayangan istimewa di TGV Central i-City pada 6 November 2019 yang lepas. Terima kasih juga kepada pihak Walt Disney Pictures yang turut menjemput kami untuk melihat filem ini buat kali kedua. Filem yang diadaptasi daripada kisah benar ini sudah berjaya menarik dan mengunci fokus kami sejak awal tayangan lagi melalui skor bunyi yang sangat padu serta latar tempat yang sangat hebat dan selari dengan tarikh kejadian yang mengimbau ke era 50-an. Dimulakan dengan perjalanan Carroll Shelby yang sedang bersaing dalam pusingan akhir 24 Hours of Le Mans yang mana meninggalkan jauh pelumba-pelumba lain sebelum debaran mula menerjah perhatian penonton melalui pandangan Shelby yang mula mengabur sebelum akhirnya penonton di bawa kepada pertemuan Shelby dan doktor yang bertanggungjawab merawatnya. Apa yang istimewanya tentang filem ini ialah kaedah sebegini yang membuatkan penonton berdebar dan tertanya-tanya kerap kali digunakan sepanjang filem ini bersiaran namun ianya sangat berkesan dan sentiasa berjaya memanipulasi tekaan penonton.
Akhirnya, kami mendapat jawapan bahawa Shelby sebenarnya menciota sejarah menjadi pelumba Amerika yang berjaya menjuarai kejohanan 24 Hours of Le Mans namun kejayaan yang diraih terhenti disitu disebabkan masalah kesihatan jantungnya yang menghalangnya daripada terus berlumba. Selepas itu, kami sangat menyukai bagaimana caranya filem ini membawa kami untuk mengenali dunia kapitalis yang kejam melalui watak Henry Ford II yang mengugut para pekerjanya untuk mencari idea-idea baru jika tidak ingin dipecat kerana Syarikat Ford sedang menuju ke arah masalah kewangan yang teruk. Jadi, perkembangan cerita menjadi semakin menarik apabila watak Lee Lacocca yang merupakan pekerja bahagian pemasaran Ford dilihat berani menyuarakan pendapatnya yang tidak bersifat 'Yes Boss!' untuk meyakin Henry Ford II bahawa mereka perlu membeli Ferrari untuk kembali mendapat tempat dihati pelanggan terutama golongan anak muda. Perseteruan antara Ford dan Ferrari berjaya diangkat dengan baik melalui urus niaga yang bukan sahaja gagal tetapi memalukan kumpulan syarikat Ford apabila dihina oleh Enzo Ferrari yang sangat kuat jati diri dan sifat nasionalisma di dalam dirinya.
Filem Ford v Ferrari ini juga bukan sekadar hanya memberi fokus kepada perseteruan antara dua syarikah hebat tersebut tetapi sebenarnya juga secara tersirat berjaya menunjukkan kejayaan Ford sebenarnya dicemari dengan kekotoran pekerja yang berada di dalamnya, Hal ini dilihat menarik melalui banyak babak-babak yang bukan sahaja menghiburkan tetapi penuh dengan subteks yang cemerlang sama ada melibatkan adegan antara Carroll Shelby dan Henry Ford II, Carroll Shelby dan Leo Beebe yang angkuh mahu pun sengketa menarik antara Carroll Shelby serta Ken Miles yang merupakan bintang utama di dalam penceritaan ini. Segala sengketa, pergaduhan mahu pun prinsip antara ketiga-tiga hubungan ini dilihat sangat menarik dan memberi warna serta arah yang pelbagai di dalam menjadikan filem Ford v Ferrari sebagai salah sebuah filem yang berpontensi untuk menyinar di dalam Oscar yang akan datang.
Filem Ford v Ferrari bukan sekadar cemerlang dari sudut bunyi, sinematografi, props atau latar tempat semata-mata tetapi juga bijak di dalam menangkap ketagihan peminat kereta atau penggembar automotif dengan koleksi-koleksi kereta yang sangat mengujakan. Selain perkara ini, ramai yang tertanya-tanya adakah filem ini hanya untuk mereka yang meminati bidang automotif atau penggemar perlumbaan kereta semata-mata? Sudah tentu jawapannya tidak kerana kekuatan sebenar filem ini sebenarnya datang daripada elemen drama yang bijak disulam serta dicampur aduk dengan pelbagai rencah rasa terutama dari sudut emosi, humor serta nilai-nilai murni seperti persahabatan, kekeluargaan serta falsafah hidup yang menarik untuk dilihat. Kami sangat menyukai kejutan yang dibawa oleh filem ini di dalam melihat pasang surut hubungan persahabatan antara Carroll Shelby dan Ken Miles yang sentiasa akan membuatkan anda berdebar, gembira, sedih dan bersimpati dengan mereka berdua. Lakonan Matt Damon dan Christian Bale sememang berada di satu tahap yang cukup hebat dimana setiap momen yang melibatkan mereka pastinya hadir dalam keadaan yang berbeza tetapi diingati. Kami juga cukup tersentuh dengan watak Peter Miles lakonan Noah Jupe yang merupakan anak kepada Ken Miles dimana terdapat tiga momen penting yang pasti bakal meruntun hati anda saat menonton filem ini nanti. Paling menarik dan membuatkan kami teringat-ingat sehingga kini ialah tabik hormat Enzo Ferrari kepada Ken Miles selepas tamat perlumbaan 24 Hours of Le Mans yang pada kami membawa pelbagai makna menarik untuk dirungkaikan. Serius, filem ini sememangnya berjaya memberikan kejutan yang kami sendiri tidak sangka!
Secara keseluruhan, filem Ford v Ferrari sememangnya berjaya digarap dengan cukup sempurna dimana kisahnya yang pelbagai tidak kira kisah utama mahu pun kisah sampingannya berjaya memberi impak yang menarik. Elemen dramanya juga tidak berlebih-lebih tetapi berjaya memberi kesan yang baik kepada perjalanan cerita melalui detik-detiknya yang berjaya tiba tepat pada waktu yang dinanti-nantikan. Konflik-konflik yang dipilih berjaya membuat filem ini tidak pernah lekang daripada memberikan satu pengalaman menarik, mendebarkan dan mengejutkan buat anda sejak awal tayangan sehingga kepada penamat. Unsur humor yang sederhana tetapi berjaya memberikan pukulan yang menarik terus kepada jiwa penonton adalah satu percubaan yang sangat cemerlang. Paling penting hubungan kekeluargaan yang dipaparkan telah berjaya melengkapkan filem ini sebagai sebuah filem yang mempunyai jiwa serta roh dan cukup menarik untuk diangkat sebagai sebuah filem yang wajib ditonton pada tahun 2019 ini.
Jadi, selamat menonton filem Ford v Ferrari di pawagam seluruh Malaysia bermula pada 14 November 2019 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!
P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Ialah Sebuah Filem Tempatan Iaitu KL Vampires. Nantikan Ulasannya!
1 Ulasan
Satu penilaian yang cukup hebat untuk penonton pergi menonton di pawagam. Nampak gayanya kenalah LeYa bersiap siaga untuk 14 November ni.. Tonton filem Ford V Ferrari...Hehe..
BalasPadam