Review Filem Bombshell


Filem:
Bombshell

Penilaian:
10/10

Pengarah:
Jay Roach

Genre:
Biografi & Drama

Pelakon:
Charlize Theron, Nicole Kidman, Margot Robbie, John Lithgow & Etc.

Pengedar:
TGV Pictures

Tarikh Tayangan:
2 Januari 2020

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan sekumpulan pekerja wanita di Fox News yang berjaya menjatuhkan pengasas dan ketua CEO Roger Ailes dengan mendedahkannya atas gangguan seksual. Saksikan filem yang sangat menarik ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 2 Januari 2020 untuk mengetahui kisahnya.

Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah menerima jemputan daripada TGV Pictures untuk menonton sebuah filem yang sangat hebat berjudul Bombshell bertempat di TGV Cinemas One Utama pada 26 Disember 2019 yang lepas. Filem biografi yang bergenre drama satira yang disuntik dengan sedikit kisah fiksyen tambahan ini dilihat berjaya menambat hati kami melalui kisah skandal terbesar yang berlaku di Fox News sekitar tahun 2016 yang lepas. Sangat menarik untuk melihat pemilihan isu dan watak yang diketengahkan sambil membawakan mesej-mesej berkaitan hak-hak pekerja, feminisme serta genderism yang sangat mengujakan.


Filem Bombshell dimulakan dengan babak-babak menarik melibatkan Megyn Kelly (lakonan Charlize Theron) dengan Presiden US terkini iaitu Donald Trump. Disini dapat dilihat bagaimana beraninya Kelly memalukan Trump yang dikatakan mempunyai hubungan yang baik dengan watak antagonis iaitu Roger Ailes (lakonan John Lithgow) yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Fox News. Melalui wawancara dengan Trump yang menjadi tumpuan ramai, Kelly telah memalukan Trump melalui satu soalan yang berbunyi,"Anda sering memanggil wanita yang anda tidak suka dengan gelaran 'babi berlemak', anjing serta binatang yang menjijikkan. Anda juga pernah memberitahu seorang peserta berkenaan gambarnya untuk melihat bahagian atas lututnya. Jadi, adakah suara lelaki seperti anda ini layan untuk dipilih oleh rakyat Amerikan untuk diangkat sebagai Presiden?" Megyn akhirnya diserang bertalu-talu oleh Trump di laman twitter sepanjang tahun dan melalui babak-babak ini sendiri penonton telah disajikan bagaimana Amerika pada masa kini mempunyai seorang presiden yang bukan sahaja pendendam tetapi juga berhati tisu dan tidak dapat menangani serangan persoalan netizen dengan cara yang berhemah. Jadi, kenapa ianya dimulakan oleh kisah berkaitan Megyn dan Trump dan bukannya terus memberi fokus kepada watak antagonis utamanya iaitu Roger Ailes? Ini disebabkan filem ini cuba memberitahu secara sinisnya bahawa sikap yang ada pada Trump sebenarnya saling tidak tumpah dengan apa yang ada pada Roger Ailes itu sendiri dimana masing-masing mempunyai kuasa dan menggunakan kuasa yang ada untuk menindas mereka yang berada di bawah. 


Filem Bombshell kemudian mula bergerak perlahan-lahan kepada subjek kedua iaitu Gretchen Carlson (lakonan Nicole Kidman) yang dilihat berani untuk menentang kehendak Roger Ailes. Pada masa yang sama, penonton mula dipaparkan dengan kisah Kayla Pospisil (lakonan Margot Robbie) yang berkeinginan untuk tiba ke puncak tertinggi Fox News sebagai muka hadapan rancangan berprofil serta mempunyai jumlah tontonan yang tinggi dan pada akhirnya terperangkap di dalam situasi berdua-duannya dengan Roger Ailes. Disini, plot penceritaan mula dipecahkan kepada beberapa bahagian untuk penonton mengenali lebih lanjut bagaimana kebijaksanaan Roger Ailes di dalam menggunakan pengaruh dan kuasa yang ada padanya di dalam Fox News untuk menggubal syarat-syarat yang hanya memberi kebaikan kepada dirinya seperti para pekerja wanita diwajibkan memakai skirt serta baju yang mendedahkan dada. Jika ingin berjaya sebagai pengacara pula, perlu memiliki potongan kaki yang cantik. Jadi, apabila Gretchen dipecat dan mengambil keputusan untuk menyaman Roger Ailes atas dakwaan gangguan seksual maka keseluruhan penceritaan mula berubah ke arah yang cukup dramatik dan cemerlang.


Pembongkaran skandal yang melibatkan Roger Ailes mula dibogelkan satu persatu di dalam filem Bombshell dimana wajah sebenar Roger Ailes yang bertopeng mula ditanggalkan sedikit demi sedikit. Kejelikan dan kejijikan lelaki ini semakin mencanak saat banyak wanita-wanita yang menjadi mangsanya tampil membuat laporan selepas yakin dengan usaha yang dilakukan oleh Gretchen. Namun, menarik untuk mengetahui bahawa bintang hebat seperti Megyn juga turut pernah menerima nasib yang sama. Jadi, persoalan yang ditimbulkan disini juga sangat menarik dimana peluang untuk bekerja di salah sebuah syarikat antarabangsa yang berpengaruh, hebat, dan berkualiti sangat sukar untuk diperoleh tetapi berhadapan dengan ketua yang kemaruk seks dan tidak bermoral seperti Roger Ailes pula membuatkan ia menepati pepatah orang tua-tua iaitu 'Ditelan Mati Emak, Diluah Mati Bapak'. Dua pilihan diberikan kepada wanita-wanita ini iaitu sama ada memilih maruah atau peluang pekerjaan. Ada juga dinyatakan bahawa mereka yang telah bekerja di Fox News tidak akan diterima di tempat lain melalui satu adegan melibatkan Kayla Pospisil dan rakan lesbiannya iaitu Jess Car. Jadi, wanita-wanita yang menjadi mangsa ini tersepit di atas kejahatan yang dilakukan oleh Roger Ailes ini dimana tiada siapa-siapa yang berani melawan kuasa dominan Roger Ailes. Jika ada pun, ianya menemui kegagalan namun keberanian Gretchen akhirnya telah berjaya mengubah situasi buruk ini.


Skrip filem Bombshell telah digarap dengan sangat baik dimana kronologi ceritanya berjaya memaparkan bahawa setiap watak-watak ini tidak lah sesuci mana. Masing-masing ada kekotoran masing-masing cuma siapa yang lebih kotor menjadi kunci utama disini. Watak Roger Ailes yang dilakonkan oleh John Lithgow berjaya dihidupkan dengan gaya yang mengjengkelkan dan ia jelas menunjukkan bahawa lelaki ini mengambil kesempatan kepada gadis-gadis yang disukainya tetapi menawarkan mereka pilihan untuk menjadi terkenal, berjaya serta mempunyai kerjaya yang hebat. Filem ini juga memaparkan bahawa sebahagian besar wanita-wanita yang menjadi mangsanya ini juga berfikiran yang sama dimana walaupun pada awalnya mereka tidak rela diperlakukan sedemikian rupa tetapi pada akhirnya mereka melakukan hal tersebut demi mengejar cita-cita untuk berjaya sebagai wajah hadapan stesen Fox News tersebut. Ini yang menariknya tentang filem ini dimana walaupun watak Roger Ailes adalah watak yang sangat terkutuk namun watak-watak wanitanya juga tidak lah sesuci mana. Ianya juga digarap dengan baik untuk menjadikan kebanyakkan babaknya penuh dengan tekanan yang menepati tajuk filem ini sendiri.


Filem Bombshell juga mempunyai elemen humor yang tersendiri dimana ianya dapat menyatu baik dengan drama yang dipaparkan kepada penonton. Ketiga-tiga watak utama yang dilakonkan oleh tiga pelakon wanita yang hebat iaitu Charlize Theron, Nicole Kidman dan Margot Robbie juga sangat meyakinkan untuk membuatkan penonton simpati dan percaya kepada watak-watak yang dibawa mereka. Kejutan moral yang dipaparkan di dalam filem ini juga pada kami cukup berani. Babak akhir filem ini juga meninggalkan beberapa persoalan menarik kepada penonton untuk melihat apakah keputusan sebenarnya yang terjadi selepas pemergian Roger Ailes. Secara keseluruhan, filem Bombshell sememangnya memberikan satu kejutan yang kami sama sekali tidak jangkakan. Naratif ceritanya menarik. Mesej yang dibawakannya juga bijak. Persembahan lakonan yang memukau. Segala-galanya cukup mengujakan dan membuatkan kami segar sepanjang masa menonton kisah gelap disebalik kemasyuran bintang-bintang Fox News ini. Berbaloi untuk anda tonton di pawagam pada awal Januari 2020 nanti. 


Jadi, selamat menonton filem Bombshell di pawagam seluruh Malaysia bermula pada 2 Januari 2019 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Selepas Ini Ialah Filem IP Man 4. Nantikan Ulasannya! 

Catat Ulasan

2 Ulasan