Review Filem 1917


Filem:
1917

Penilaian:
10/10

Pengarah:
Sam Mendes

Genre:
Drama & Perang

Pelakon:
George MacKay, Dean-Charles Chapman, Mark Strong, Andrew Scott,
Richard Madden, Claire Duburcq, Colin Firth, Benedict Cumberbatch & Etc.

Pengedar:
United International Pictures

Tarikh Tayangan:
16 Januari 2020

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan tentang perjalanan hidup dua tentera muda British semasa Perang Dunia Pertama berlaku. Saksikan filem yang sangat menarik ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 16 Januari 2020 untuk mengetahui kisah selanjutnya.

Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah berjaya menonton sebuah filem perang yang cukup menarik iaitu 1917 di TGV Cinemas Sunway Pyramid pada 11 Januari 2020 yang lepas. Baru-baru ini, filem 1917 telah merangkul 3 anugerah di dalam Golden Globes Awards iaitu di dalam kategori Filem Terbaik Drama , Pengarah Terbaik Filem Drama dan Original Score. Pada kami, sememangnya filem ini layak menerima anugerah berikut kerana hasil arahan yang cukup baik dibantu oleh plot penceritaan yang cantik serta hasil kerja kamera yang sangat kreatif membuatkan filem ini cukup menarik untuk ditonton sejak permulaan kisah sehingga kepada penamatnya.


Filem 1917 menampilkan satu teknik kerja yang pasti memukau ramai penonton melalui gerakan kamera panjang yang dilihat merakam tanpa henti walaupun sebenarnya ada teknik-teknik tertentu yang digunakan untuk memastikan ia kelihatan sedemikian. Namun, inilah yang dilihat sebagai satu keunikan kepada filem ini selain memaparkan sebuah kisah yang membawa penonton seakan-akan turut sama berada di dalam situasi genting yang melibatkan peperangan antara dua negara besar pada era perang dunia pertama iaitu antara British dan Jerman. Mengisahkan perjalanan Lans Koperal Schofield dan Lans Koperal Blake yang diberi misi penting untuk menghentikan serangan 1600 askar British untuk menyelamatkan mereka daripada serangan yang telah dirancang oleh pihak Jerman. Jadi, mereka berdua harus memastikan misi ini tercapai untuk menggelakkan semua anggota Batalion Ke-2 Rejimen Devonshire mati terbunuh. Jadi, perjalanan kedua-dua Lans Koperal ini yang penuh liku saat harus melintasi dan memasuki kawasan musuh membuatkan adrenalin penonton pasti meningkat terutamanya disebabkan hasil sinematografi yang memukau dan berjaya menyampaikan jalan cerita dengan cukup berkesan sekali.


Filem 1917 banyak menggunakan rakaman tunggal yang panjang dimana ia memberikan pengalaman sinematik yang sangat luar biasa kepada kami. Permainan kamera yang licik dan meyakinkan berjaya membuatkan kami agak berdebar di dalam beberapa adegan yang mencemaskan atau mengejutkan apabila ianya melibatkan tembakan, pergelutan serta melibatkan mayat-mayat yang bergelimpangan disana-sini. Walaupun pada kami plot penceritaannya menampilkan satu kisah yang mudah namun elemen-elemen kamera ini yang menjadikan karya ini betul-betul unik dan kelihatan sangat semula jadi. Segala rasa serta emosi berjaya disampaikan hanya melalui urutan gerakan kamera-kamera ini yang membuatkan kami sangat gembira dengan hasil keseluruhan filem ini.


Selain itu, adegan-adegan tambahan lain yang menampilkan momen-momen bermakna seperti helikopter terhempas dan nilai kemanusiaan yang diragut saat Lans Koperal Blake ditikam, pemandangan padang rumput yang dipenuhi bunga yang indah disebalik kepulan asap hitam dan pertempuran udara di hadapan, pertemuan dengan seorang wanita dan bayi serta nyanyian seorang anggota tentera yang sayu menambah rasa serta keindahan kepada keseluruhan filem 1917 ini dimana momen-momen ini sebenarnya membawa penonton untuk lebih memahami jiwa dan karakter kedua-dua watak utama ini dengan lebih dekat.


Secara keseluruhan, filem 1917 harus ditonton di dalam pawagam yang menampilkan ciri-ciri serta teknologi moden seperti IMAX untuk memastikan anda dapat merasai kepuasan menonton filem berlatar belakangkan perang dunia pertama ini dengan lebih menyeluruh. Filem yang padat dengan elemen kemanusiaan, kesetiaan dan persahabatan ini pasti akan membuatkan anda senyum lebar usai selesai menonton filem ini kerana pelaburan wang anda untuk membeli tiket filem ini adalah sangat berbaloi. Antara filem wajib tonton di tahun 2020. 


Jadi, selamat menonton filem 1917 di pawagam seluruh Malaysia bermula pada 16 Januari 2020 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Ialah Sebuah Filem Berjudul Playing With Fire. Nantikan Ulasannya! 

Catat Ulasan

4 Ulasan

  1. Sorry Hans, saya pasti bukan "Helicopter" yg terhempas, heheh. Overall, memang layak dpt ulasan 10/10, saspen dr mula hingga ke akhir, kita tak boleh nak agak apa akan terjadi seterusnya. Nak puas ati tonton lah di IMAX...

    BalasPadam
    Balasan
    1. hahaha pesawat pejuang...tertaip helikopter pula dah...hahahaha

      Padam
    2. Tulis ulasan masa ngantuk le tu, heheh...

      Padam