Review Filem The Mystery Of The Dragon Seal


Filem:
The Mystery Of The Dragon Seal

Penilaian:
5/10

Pengarah:
Oleg Stepchenko

Genre:
Pengembaraan & Fantasi

Pelakon:
Jason Flemyng, Charles Dance, Rutger Hauer, Jackie Chan, Arnold Schwarzenegger & Etc.

Pengedar:
TGV Pictures

Tarikh Tayangan:
9 Januari 2020

Sinopsis:
Filem sekuel kepada filem tahun 2014 berjudul Viy ini mengisahkan tentang seorang lelaki Inggeris bernama Jonathan Green. Kali ini dia sekali lagi melakukan pengembaraan hebat yang mana ia telah membawanya ke China. Dia telah berjaya membuat penemuan menakjubkan, bertemu dengan makluk pelik, bertemu kerabat diraja China dan berdepan dengan guru seni mempertahankan diri berbahaya. Dia juga perlu berdepan raja segala naga, Dragon King. Saksikan filem ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 9 Januari 2020 untuk mengetahui kisahnya.

Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah menerima jemputan daripada TGV Pictures untuk menonton sebuah filem yang kami nantikan sejak tahun 2018 berjudul The Mystery Of The Dragon Seal atau judul asalnya ialah Journey to China: The Mystery of Iron Mask yang bertempat di TGV Cinemas One Utama pada 6 Januari 2020 yang lepas. Kami sebenarnya baru mengetahui bahawa filem ini ada sekuel kepada filem Viy. Memandangkan kami sendiri tidak tahu menahu apa-apa berkaitan filem Viy, jadi kami menonton filem ini tanpa membuat sebarang perbandingan dengan filem yang pertama. Namun, jalan ceritanya mudah difahami dan pada kami tiada masalah jika anda tidak pernah menonton filem Viy.


Filem The Mystery Of The Dragon Seal ini mengisahkan tentang kisah seekor naga yang mana bulu matanya yang tumbuh boleh digunakan untuk menyembuhkan sebarang penyakit dengan menjadikannya sebagai tanaman teh. Jadi, disebabkan keajaiban ini maka seluruh dunia datang ke negara China untuk mendapatkan dan membeli daun teh tersebut. Naga ini memerlukan bantuan manusia untuk memotong bulu matanya maka dia memberikan ilmu kepada manusia yang paling dipercayainya dimana mereka ini digelar sebagai ahli sihir putih. Namun, lama kelamaan terdapat beberapa orang di dalam kumpulan ini yang dikuasai ketamakan sehingga melahirkan kumpulan ahli sihir hitam yang cuba merampas dan mengawal naga tersebut. Jadi, filem ini cuba memaparkan perjalanan seorang ahli sihir hitam yang mengawal kerajaan China dengan menyamar sebagai puteri raja dari golongan ahli sihir putih. Namun, disebabkan ahli sihir hitam ini tidak mempunyai loket magis yang mampu mengawal naga tersebut dimana ianya berada pada puteri yang baik maka dia cuba mencari dimana puteri itu berada.


Namun, itu hanya sebahagian daripada kisah utama filem sekuel The Mystery Of The Dragon Seal ini dimana ia sebenarnya masih memberi fokus kepada watak protagonis utama iaitu Jonathan Green yang pakar di dalam memetakan kawasan-kawasan yang dilalui sepanjang pengembaraannya. Pada masa yang sama, watak-watak pembantu lain juga turut muncul satu demi satu seperti Miss Dudley yang merupakan tunang kepada Jonathan, Cheng yang merupakan anak kepada Master (lakonan Jackie Chan) serta James Hook (lakonan Arnold Schwarzeneggeryang merupakan pengawal penjara yang gagah. Pada kami, babak-babak pertemuan serta pertarungan melibatkan Jackie Chan dan Arnold Schwarzenegger di dalam filem ini adalah antara yang menarik yang boleh dijumpai di dalam keseluruhan filem. Walaupun Jackie Chan seakan-akan seperti Gandalf di dalam The Lord of The Rings dan Arnold Schwarzenegger pula seakan-akan ketua lanun di dalam filem Pirates of The Caribbean namun karakter mereka yang lucu membuatkan adegan tersebut kelihatan menarik dan sangat epik untuk filem ini.


Selain itu, filem The Mystery Of The Dragon Seal ini juga dipenuhi dengan pelbagai adegan yang melibatkan penggunaan imej janaan komputer atau CGI namun hasilnya tidak sekata. Ada yang kelihatan cantik dan ada juga yang sebaliknya. Kemunculan naga, monyet biru yang bersayap, kapal yang melalui laut batu naga yang bergelora serta aksi peperangan dengan manusia yang terbang menggunakan tiga payung dilihat tidak terlalu luar biasa. Ini menjadikan filem ini hanya sekadar mampu menghiburkan pada peringkat sederhana sahaja dari sudut CGI nya.


Tetapi, selain daripada adegan pertemuan serta pertarungan antara Jackie Chan dan Arnold Schwarzenegger, kami juga turut tertarik dengan tiga pegawai kanan Ratu Sihir Hitam yang mempunyai kostum yang cukup besar, unik dan menampilkan kuasa yang berlainan. Pada kami, ketiga-tiga karakter ini mempunyai auranya yang tersendiri dimana yang pertama menggunakan kuasa elektrik untuk menumpaskan musuh. Manakala yang kedua menggunakan kuasa bunyi untuk melumpuhkan pergerakan musuh. Terakhir pula mempunyai kuasa kabus ribut untuk mengelirukan dan mengalahkan musuh. Selain daripada itu, kami merasakan tiada apa-apa yang menarik tentang filem The Mystery Of The Dragon Seal yang boleh diperkatakan. Sekadar untuk anda berhibur menonton sebuah filem fantasi yang mempunyai elemen magis dan aksi yang ala kadar.


Jadi, selamat menonton filem The Mystery Of The Dragon Seal di pawagam seluruh Malaysia bermula pada 9 Januari 2019 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Ialah Sebuah Filem Tamil Lakonan Superstar Rajinikanth Iaitu Darbar. Nantikan Ulasannya! 

Catat Ulasan

4 Ulasan

  1. Wah! Ade lakonan Jackie Chan dan Arnold Schwarzenegger laa.. Menarik ni. 09hb boleh booked date untuk tonton ni.. Tq Admin Portal

    BalasPadam
  2. Mcm filem terbitan Russia je nih... berhati², nanti umpama indah khabar dari rupa, heheh

    BalasPadam
    Balasan
    1. kerjasama China dan Russia
      so boleh agak dah lah cerita dia macam mana
      hahaha

      Padam