Review Filem Takut Ke Tak

 

Filem:
Takut Ke Tak

Penilaian:
6/10
Pengarah:
Muzammer Rahman

Genre:
Komedi & Seram

Pelakon:
Nabil Aqil, Fabian Loo, Ika Nabella, Arwind Kumar, Han Zalini & Etc.

Pengedar:
GSC Movies

Tarikh Tayangan:
27 Ogos 2020

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan Abbas yang merupakan seorang pelajar jurusan filem bersama empat orang rakannya Yang Guo, Linda, Amir dan Sivar. Mereka dikehendaki menerbitkan sebuah filem sebagai projek graduasi mereka. Jadi, mereka bercadang untuk melakukan penggambaran sebuah filem seram di sebuah rumah berhantu. Namun projek mereka terganggu apabila kejadian-kejadian aneh mula berlaku sewaktu penggambaran dilakukan. Situasi menjadi semakin kecoh apabila mereka menemui sebuah almari pelik. Dalam pada mereka perlu membuat keputusan penting demi menyelamatkan diri dari rumah itu, mereka turut menyedari kepentingan ikatan persahabatan mereka. Saksikan filem seram ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 27 Ogos 2020 untuk mengetahui kisah selanjutnya.

Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah dijemput oleh pihak GSC Movies untuk menonton sebuah filem seram komedi tempatan berjudul Takut Ke Tak bertempat di GSC Mid Valley pada 18 Ogos 2020 yang lepas. Tidak dinafikan filem ini sebenarnya mempunyai banyak kelemahan ketara yang memang mudah dikenal pasti. Tetapi, apa yang membuatkan kami memberikan filem ini jumlah penilaian yang agak tinggi adalah disebabkan kami menyukai elemen-elemen komedi yang kena dengan jiwa kami yang pada waktu itu menginginkan sebuah karya ringan yang melucukan. 


Filem Takut Ke Tak mengingatkan kami kepada filem-filem seram komedi daripada negara Thailand dimana unsur humor filem tempatan ini dilihat mengambil konsep yang sama seperti mana filem-filem jiran kita tersebut. Konsep yang Hans maksudkan disini ialah dari segi pembinaan frasa dialog terhadap setiap watak-watak di dalam filem ini dimana ia sangat bertentangan dengan bayangan awal dialog yang selalu digunakan di dalam filem-filem seram yang lain. Jadi, tujuannya untuk memaparkan bahawa filem seram ini tidak klise jika dibandingkan dengan filem-filem seram yang lain boleh dikatakan berjaya untuk bahagian pertama filem ini. Namun, bahagian kedua filem ini mula dilihat agak mendatar dari sudut penceritaannya dimana ia dilihat bukan sahaja meleret tetapi juga gagal memberi impak yang menarik seperti mana yang dapat dilihat pada bahagian pertama filem. Walaupun elemen komedinya masih mampu mencuit hati namun plot penceritaannya dilihat mula caca marba disaat kemunculan seorang wanita daripada sebuah kotak lama sehingga kepada penamat cerita. Sayangnya apabila bahagian kedua filem ini telah menghilangkan langsung aura keseraman yang berjaya dibina dengan baik pada bahagian pertama filem ini. Ini sememangnya adalah satu kerugian yang sangat besar apabila filem ini menampilkan watak hantu-hantu yang tidak seram sedangkan filem ini sepatutnya menjadi lebih baik jika konsep seram tersebut dikekalkan sahaja. Pada akhirnya, unsur-unsur lucu yang terlalu kerap diada-adakan mula kelihatan hambar dan tidak menyokong dengan baik keseluruhan jalan cerita filem ini. Memang agak merugikan sebenarnya!  



Filem Takut Ke Tak sememangnya banyak membariskan muka-muka baru untuk memainkan watak-watak utama di dalam filem ini. Pelakon Nabil Aqil yang memegang watak Abbas sememangnya dilihat mempunyai kelemahan yang agak ketara terutama dari sudut pengungkapan frasa dialognya yang dilihat agak meleweh dan kurang meyakinkan. Begitu juga dengan pelakon lain seperti Arwind Kumar serta Han Zalini yang masih kelihatan gugup di dalam filem ini. Namun, apa yang membuatkan kelemahan tersebut berjaya dikaburkan atau ditutup seketika adalah disebabkan oleh kekuatan dialog setiap daripada watak mereka yang sememangnya melucukan dan sukar dijangka. Banyak adegan yang boleh dikatakan sebagai lawak 'bodoh' ini dilihat sangat menjadi dan ia secara tidak langsung berjaya membuatkan filem ini berjaya menghiburkan kami. Namun, dari sudut keseraman pula kami merasakan filem ini kurang berjaya membuktikannya ditambah dengan teknik solekan serta kualiti CGI yang kurang mantap yang kami rasakan disebabkan oleh kekangan kos kewangan. Namun, walaupun filem ini dilihat mempunyai banyak kelemahan disana sini tetapi kami masih mampu berasa terhibur dengan lawak jenakanya yang sememangnya berjaya lari daripada klise filem seram yang selalu kami tonton sebelum ini. Tahniah buat semua yang menjayakan filem Takut Ke Tak kerana anda berjaya menghiburkan kami sepanjang menonton filem ini di dalam panggung wayang.



Jadi, selamat menonton filem seram komedi Takut Ke Tak di pawagam seluruh Malaysia bermula pada 27 Ogos 2020 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Apa Pula Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas? Nantikan Ulasan Filem Seterusnya Dalam Waktu Terdekat!

Catat Ulasan

3 Ulasan

  1. semua pelakon baru ke ni. Tak kenal sorang pun.
    Agaknya sebab tu banyak kelemahan nya.

    BalasPadam
    Balasan
    1. hehehe
      kena tengok baru nampak
      apa-apapun filem nih menghiburkan juga lah

      Padam
  2. Paling benci suara annoying Han Zalini. Tonton separuh jalan, terus cut off. Damn bodoh and annoying. Lawak pun x lawak sangat...lawak bodoh ada lah...

    BalasPadam