Review Filem Mulan

 

Filem:
Mulan

Penilaian:
6/10

Review Youtube:

Pengarah:
Niki Caro

Genre:
Pengembaraan, Drama & Keluarga

Pelakon:
Crystal Liu Yifei, Donnie Yen, Jason Scott Lee, Yoson An, Gong Li, Jet Li & Etc.

Pengedar:
Walt Disney Pictures

Tarikh Tayangan:
4 September 2020

Sinopsis:
Filem 'live action' ini adalah adaptasi daripada sebuah kisah lagenda mengenai pahlawan wanita bernama Hua Mulan. Mulan telah menyamar sebagai seorang lelaki supaya dia dapat mengambil alih tempat bapanya yang sudah tua di dalam tentera untuk berperang dengan tentera Rouhan yang cuba merampas dan memusnahkan kekuasaan Maharaja China pada waktu tersebut. Mulan terpaksa berhadapan dengan pelbagai cabaran terutama di dalam menyembunyikan identiti sebenarnya daripada diketahui rakan-rakan lelaki di dalam kem latihan serta membina kekuatan diri agar setanding dengan kaum lelaki. Berjayakah Mulan berhadapan dengan segala cabaran tersebut? Saksikan filem yang menarik ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 4 September 2020 untuk mengetahui kisah selanjutnya.

Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah berjaya menonton sebuah filem daripada Walt Disney Pictures yang sememangnya ditunggu sejak bulan April yang lepas iaitu Mulan bertempat di TGV The Mines pada 4 September 2020 yang lepas. Masih mengekalkan hampir kebanyakan babak di dalam filem animasi Mulan yang diterbitkan pada tahun 1998 namun filem Mulan tidak ketinggalan untuk tampil dengan gaya penceritaan yang lebih segar, realistik dan menambah baik mengikut kesesuaian yang sememangnya patut ada di dalam filem yang bergenre sebegini.


Filem Mulan menampilkan seorang wanita bernama Mulan yang sejak daripada peringkat awal filem ini lagi sudah memaparkan anak gadis ini mempunyai kekuatan yang setaraf dengan lelaki. Cuma kemampuan dan kelebihan yang dimiliki oleh Mulan ini terpaksa dipendamkan kerana wanita yang berkemahiran serta sama taraf dengan kemampuan lelaki pada era tersebut hanya tidak lebih daripada dipandang serong serta mengakibatkan satu keaiban besar buat si wanita, keluarga serta tempat tinggal wanita tersebut. Faktor merupakan antara satu perkara yang dilihat sangat berbeza jika dibandingkan dengan jalan cerita filem animasinya yang terdahulu.


Jika filem animasi Mulan menampilkan watak Naga tetapi berlainan pula dengan filem Mulan di tahun 2020 yang lebih realistik dimana ia memaparkan watak seorang ahli sihir wanita yang boleh berubah menjadi burung hantu serta mana-mana jasad yang wanita jahat ini ingin jelmakan. Kami melihat pembaharuan yang ditampilkan ini amat bagus dan ia kelihatan bertambah hebat disebabkan oleh kualiti imej janaan komputer atau CGI yang boleh dipuji kualitinya di dalam filem ini. Pertembungan dua watak wanita yang hebat ini dimana Mulan sebagai protagonis dan Xianniang sebagai antagonis dilihat berjaya diperkembangkan dengan sebaik mungkin menggunakan 'formula selamat' Disney dimana ianya menampilkan jalan cerita yang lebih mesra keluarga. Jadi, memang banyak nilai-nilai murni serta elemen kekeluargaan, persahabatan dan kenegaraan yang berjaya dipaparkan dengan cukup baik untuk membuatkan ianya sesuai ditonton oleh semua lapisan umur terutamanya buat kanak-kanak.


Filem Mulan ini berdurasi sekitar 115 minit dimana bahagian pertama filem ini dilihat cuba menceritakan siapakah wanita bernama Mulan ini serta apakah dilema yang harus ditanggung oleh wanita yang hidup di dalam persekitaran yang mengehadkan keupayaan wanita. Walaupun  ramai yang beranggapan bahagian pertama filem ini terlalu perlahan namun kami merasakan ianya sesuatu yang bagus dan kena dengan penceritaan filem ini untuk membuatkan penonton lebih dekat dengan watak gadis bernama Mulan ini. Setiap babak penting diceritakan secara teliti dan kami melihat cabaran-cabaran yang dihadapi oleh Mulan ini terutama pada bahagian bagaimana Mulan berhadapan dan menyembunyikan identiti sebenarnya daripada pengetahuan rakan-rakan pelatih lelaki diceritakan dengan cukup teliti dan jelas. Setiap elemen sama ada kekeluargaan, aksi, percintaan atau kesetiaan berjaya digabungkan dengan baik untuk membentuk sebuah filem Disney yang boleh dikatakan menghiburkan secara keseluruhannya. 


Filem Mulan berjaya dihidupkan dengan jayanya melalui pemilihan para pelakon yang tepat. Pujian harus diberikan kepada pelakon utama Crystal Liu Yifei yang membawakan watak sebagai Mulan dimana wanita ini bukan sekadar bijak bermain emosi serta bahasa tubuh tetapi juga hebat di dalam melakonkan sendiri babak aksi serta lagak ngeri di dalam filem ini. Selain itu, filem ini juga dilihat cukup hebat daripada segi koreografi aksinya yang sememangnya menawan. Sebuah filem daripada Disney yang memaparkan elemen dan gaya seni bela diri masyarakat China seperti kungfu sememangnya kelihatan cukup segar dan menawan pandangan mata. Babak-babak aksi di dalam filem ini sememangnya menghiburkan serta dibantu oleh rekaan kostum serta busana yang kena dengan karakter setiap pelakon sama ada pahlawan, orang kampung mahu pun penduduk di istana. Hal ini menjadikan filem Mulan sememangnya sebuah filem yang dirancang rapi dari sudut tersebut dan memberikan nilai tambahan daripada sudut komersial. Secara keseluruhannya, filem Mulan boleh dikatakan menghiburkan dan mempunyai elemen serta nilai murni yang bersesuaian dengan sasaran peringkat umur penonton yang mereka inginkan.


Jadi, selamat menonton filem Mulan di pawagam seluruh Malaysia bermula pada 4 September 2020 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Apa Pula Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas? Nantikan Ulasan Filem Seterusnya Dalam Waktu Terdekat!

Catat Ulasan

2 Ulasan

  1. hmmm my most favorite disney 'princess' adalah Mulan ,tapi tak tahu la how nak accept bila Musyuuu tak ada dan digantikan dgn ahli sihir tu ... :(

    BalasPadam