Review Siri Korea : Ghost Doctor

Siri Korea:
Ghost Doctor

Penilaian:
9/10

Pengarah:
Bu Seongcheol

Penulis:
Kim Sun-soo

Genre:
Komedi, Fantasi & Romantik

Pelakon:
Rain, Kim Bum, Kim You-Jin, Na-Eun Son, Dong-il Sung & Etc.

Jumlah Episod:
16

Tarikh Tayangan:
3 Januari 2022

Sinopsis:
Drama bersiri dari Korea Selatan ini mengisahkan dua orang doktor iaitu Cha Young-min dan Go Seung-tak yang tidak bersefahaman daripada segala sudut. Kedua-dua mereka sangat berbeza dari segi latar belakang, imej dan juga keperibadian. Cha Young-min merupakan seorang doktor yang cukup mahir di dalam operasi pembedahan di dalam menyelamatkan pesakit yang kritikal. Manakala Go Seung-tak pula merupakan doktor muda yang sangat hebat daripada segi teori tetapi gagal di dalam praktikal. Cha Young-min yang tidak menyukai Go Seung-tak cuba melakukan beberapa perkara untuk menyingkirkan doktor muda tersebut. Namun, disebabkan satu insiden menyebabkan Cha Young-min berada dalam koma. Cha Young-min kemudian menyedari bahawa kini dia berada di dalam keadaan roh. Lebih mengejutkan apabila Go Seung-tak boleh melihat dan berkomunikasi dengannya. Satu perkara tidak dijangka berlaku dimana Cha Young-min juga turut boleh merasuk ke dalam badan Go Seung-tak untuk membantunya menjalankan pembedahan yang kompleks dan sukar. Kejayaan Go Seung-tak dalam pelbagai operasi menyelamat pesakit dengan melakukan pembedahan yang tidak dijangka menyebabkan dirinya mula menjadi kebanggaan ramai. Namun, perkara tersebut juga mengundang musuh-musuh di dalam selimut untuk memusnahkan kerjayanya dan turut mengancam nyawa Cha Young-min. Apakah yang bakal terjadi kepada kedua-dua doktor ini? Saksikan drama bersiri Ghost Doctor yang sangat menarik ini sekarang.
 
Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah berjaya menonton sebuah siri drama Korea Selatan yang cukup menarik, menghiburkan dan penuh dengan pelbagai info menarik berkenaan istilah, teori dan praktikal dunia perubatan yang cukup menarik iaitu Ghost Doctor yang mula ditayangkan pada 3 Januari 2022 yang lepas. Siri ini empunyai 16 episod yang mana setiap episodnya berdurasi sekitar 1 jam. Apa yang kami boleh katakan setiap episodnya bukan sahaja berbaloi ditonton tetapi juga penuh dengan kejutan yang menarik dan menghiburkan.


Ghost Doctor sememangnya tidak dapat lari daripada elemen komersial yang sentiasa di ulang pakai di dalam mana-mana drama Korea yang lain. Unsur komedi pasti ada. Kisah percintaan wajib diserap masuk ke dalam jalan cerita. Tetapi, satu perkara yang kami sentiasa kagum dengan majoriti drama Korea yang meninggalkan jauh drama-drama tempatan kita ialah dari sudut bagaimana mereka mengangkat sesuatu kerjaya profesional di dalam jalan cerita dengan cukup baik, kemas dan penuh informatif.


Ghost Story berjaya memaparkan kehidupan dan cara kerja doktor yang terlibat di dalam jabatan-jabatan tertentu dengan cukup baik. Sememangnya masih ada fantasi dan rekaan yang membuktikan kisah ini bukannya memaparkan 100 peratus realiti sebenar seorang doktor. Tetapi, ada banyak perkara yang boleh kita lihat, belajar dan memberi inspirasi kehidupan sebenarnya di dalam hidup kita sendiri. Bukannya tidak boleh dimasukkan elemen cinta kerana siri ini juga ada kisah cintanya. Tetapi, kisah cintanya masih berpijak di bumi yang nyata dan langsung tidak menenggelamkan kehebatan dan perjuangan doktor di dalam merawat dan berhadapan dengan pelbagai permasalahan pada setiap pesakit berbeza yang mereka jumpa setiap hari. Begitu juga dengan elemen komedinya yang sentiasa nampak bijak yang menjadikan karya ini tampak ada nilai ekslusif yang tersendiri. Bukannya mengharapkan lawak slapstik untuk menggeletek hati penonton agar terpaksa ketawa simpati.  


Kami juga sebenarnya sangat tertarik dengan Ghost Story ini kerana sebagai penonton kita bukan sahaja mendapat ilmu baru dengan mengetahui pelbagai istilah perubatan serta penyakit tetapi juga dapat menyaksikan babak-babak pembedahan yang visualnya sangat realistik. Drama ini berjaya mengangkat kerjaya doktor ini sebagai satu kerjaya yang sangat mulia dan secara tidak langsung membuatkan penonton lebih dekat dan faham dengan tugas doktor itu sendiri. Lebih menarik drama ini sering menekankan bahawa doktor bukannya malaikat tetapi jiwa mereka yang sentiasa ingin membantu menyelamatkan pesakit itu berjaya membuat kami berasa cukup terharu. Disini kita dapat lihat penat lelah seorang doktor yang komited dan bagaimana kehidupan mereka yang sangat sibuk sehingga perlu mencuri-curi masa untuk bersosial. Inilah sebenarnya yang kami harapkan ada pada drama-drama tempatan di Malaysia tetapi nampaknya kita masih jauh untuk sampai ke fasa tersebut.


Satu lagi elemen penting yang menjadi kejayaan kepada siri Ghost Doctor ini ialah bagaimana mereka bijak menggabungkan elemen kekeluargaan, persahabatan dan percintaan yang berselirat di dalam satu kisah dengan cukup mantap. Setiap watak daripada doktor bedah sehingga kepada tukang cuci mempunyai kekuatan masing-masing yang membuatkan penonton boleh mengenali dan menyukai setiap daripada mereka. Plot penceritaan yang baik dan kronologi yang disusun dengan pelbagai perubahan plot yang mengejutkan ini juga semestinya dibantu dengan lakonan para pelakonnya yang cukup hebat di dalam menjiwai watak masing-masing. Seperti mana pelakon-pelakon daripada India yang dikenali sebagai pelakon yang hebat bermain emosi, begitu juga dengan barisan pelakon Korea yang mempunyai kekuatan yang cukup utuh di dalam faktor ini. Hal ini yang menyebabkan setiap permasalahan yang melibatkan emosi cukup mudah memberi kesan tontonan dan menyentuh hati penonton. Kelebihan ini juga menjadi pendorong untuk drama ini sentiasa menjadi ikutan penonton pada setiap episod.


Kesimpulannya, kami sangat berpuas hati serta terhibur dengan keseluruhan episod Ghost Doctor ini yang berjaya dihasilkan dan disunting dengan cukup kreatif. Alhamdulillah, drama bersini ini bukannya sebuah kisah fantasi kosong yang tidak memberi sebarang makna selepas tamat tontonan. Sebaliknya, banyak perkara menarik dan nilai-nilai kemanusiaan yang diterapkan di dalam penceritaan siri ini berjaya memberi kesan positif kepada kami sendiri yang menonton. Inilah formula terkini yang perlu dihadam dan diaplikasikan di dalam drama-drama tempatan masa kini jika tidak mahu kita tertinggal lebih jauh di belakang. Secara keseluruhannya, kami sangat gembira untuk menyarankan anda semua menonton drama bersiri ini jika masih belum berkesempatan menyaksikannya lagi. 


Jadi, selamat menonton Ghost Doctor sekarang di laman strim VIU. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap siri ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Ialah ?! Nantikan Ulasan Tersebut Dalam Waktu Terdekat!

Catat Ulasan

2 Ulasan