Review Filem Jurassic World: Dominion

 

Filem:
Jurassic World: Dominion 

Penilaian:
3/10

Pengarah:
Colin Trevorrow

Genre:
Aksi & Pengembaraan

Pelakon:
Chris Pratt, Bryce Dallas Howard, Sam Neill, Laura Dern, Jeff Goldblum & Etc.  

Pengedar:
United International Pictures

Tarikh Tayangan:
9 Jun 2022

Sinopsis:
Filem ini merupakan filem ketiga daripada siri filem Jurassic World dan mengisahkan kesinambungan yang berlaku selepas filem Jurassic World: Fallen Kingdom dimana kini manusia dan dinosour dapat hidup bersama dimana-mana sahaja. Namun, masalah mulai timbul apabila anak angkat pasangan Owen dan Claire iaitu Maisie Lockwood mula diburu oleh syarikat Biosyn Genetics gara-gara genetiknya yang dikatakan membantu syarikat tersebut untuk bersaing dengan syarikat lawannya. Apakah yang bakal berlaku seterusnya? Saksikan filem ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 9 Jun 2022 untuk mengetahui kisah selanjutnya.
 
Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah dijemput oleh United International Pictures untuk menonton sebuah filem yang dinanti-nantikan oleh ramai peminat filem dinosour iaitu Jurassic World: Dominion yang telah berlangsung dengan cukup meriah di TGV Sunway Pyramid pada 7 Junm 2022 yang lepas. 


Filem Jurassic World: Dominion ini dikatakan merupakan filem terakhir daripada francais filem Jurassic ini dan menggabung pelakon-pelakon daripada filem-filem terdahulu dengan pelakon baru untuk filem ini. Namun, secara jujurnya kami merasakan filem terakhir ini gagal untuk diklasifikasikan sebagai penutup filem yang epik seperti mana yang boleh kita lihat pada sebahagian filem-filem yang menggunakan formula seangkatan dengan siri filem Jurassic ini. Sememangnya perkara ini sangat mengecewakan kami yang mengharapkan sesuatu yang lebih daripada apa yang disajikan sebentar tadi. Namun ini hanyalah pandangan peribadi kami dan ianya tidak mewakili pandangan majoriti penonton kerana selepas tamat tayangan filem ini sebentar tadi, kami dapat mendengar majoriti penonton bersorak dan bertepuk tangan dengan cukup meriah dan gembiranya yang menandakan filem ini berjaya menghiburkan mereka.


Salah satu perkara yang amat mengganggu tontonan kami sebentar tadi ialah kualiti visual yang tertera di layar pawagam. Kami tidak pasti adakah masalah ini sememangnya berpunca daripada kualiti gambar filem Jurassic World: Dominion ini atau sebenarnya berpunca daripada kualiti skrin bilik pawagam kelima di TGV Sunway Pyramid. Daripada awal hingga akhir, hampir sebahagian besar gambar kelihatan agak kabur. Ia bukan sahaja dapat dilihat kepada kualiti gambar tetapi sarikata yang tersedia turut sama kabur. Jadi, faktor ini sebenarnya merupakan salah satu punca yang betul-betul memberi impak negatif kepada pengalaman kami menonton filem ini sebentar tadi. Jika kelemahan ini datangnya daripada kualiti skrin layar pawagam, kami memohon pihak TGV untuk menaik taraf dan meningkatkan kualiti skrin pawagam anda kerana ia benar-benar mencemarkan pengalaman menonton filem yang sepatutnya menggembirakan kami.


Filem Jurassic World: Dominion ini sebenarnya mempunyai segala-gala yang kami inginkan seperti impian untuk menyaksikan kepelbagaian dinosour yang mengagumkan di dalam setiap babak serta cetusan konflik setiap watak-watak manusianya yang mewarnai plot cerita filem ini. Namun, sayangnya semua perkara tersebut sekadar berlalu tanpa meninggalkan sebarang kesan yang boleh diingati. Segala-galanya bagaikan tiada faktor yang menarik untuk dirasai dan sememangnya gagal memberikan kejutan seperti yang kami jangkakan. Pertarungan dinosour yang sepatutnya menjadi titik tolak kepada klimaks penting di dalam siri filem Jurassic sebelum ini juga dilihat gagal diterjemahkan di dalam bentuk visual dengan baik. 


Plot penceritaan filem Jurassic World: Dominion juga dilihat sangat caca marba dan gagal dikembangkan dengan baik sehingga dilihat beberapa permasalahan yang cuba ditimbulkan berubah menjadi merepek dan sia-sia. Namun, jika anda sekadar untuk merasai dan menonton pelbagai jenis susuk tubuh dinosour di dalam filem ini, ianya mungkin agak berbaloi. Secara keseluruhan, kami merasakan filem ini yang dijadikan sebagai penamat kepada siri francais Jurassic merupakan sebuah penamat yang lemah dan mengecewakan namun ianya masih mampu menghiburkan anda apabila menonton di pawagam.


Jadi, selamat menonton filem Jurassic World: Dominion yang akan mula ditayangkan pada 9 Jun 2022. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Ialah Sebuah Filem Berjudul ?! Nantikan Ulasan Filem Tersebut Dalam Waktu Terdekat.

Catat Ulasan

5 Ulasan

  1. ada plan jugak nak gi tgk cita ni..emmmm

    BalasPadam
    Balasan
    1. pergi tengok dekat oawagam yang okay...rasanya kalau pawagam okay much more better

      Padam
  2. Pernah kecewa beberapa kali dengan kualiti bunyi&gambar di tgv(cawangan tertentu, tak semua). Akhirnya layan di GSC smpai skrg.

    BalasPadam
    Balasan
    1. itulah...rasanya kalau pawagam tu okay mungkin pengalaman dan skala penilaian okay kut...sebab memang tak enjoy betul tengok dekat hall 5 TGV Sunway pyramid tu

      Padam
  3. Baru lepas tonton sebentar tadi di IMAX Sunway. Walaupon kehebatan screen, visual dan audio IMAX namun ianya tidak dpt menyelamatkan film ini. Setuju dgn Hans, pada saya plot dia membosankan dan meleret bersama ending yg lemah serta mudah. Franchise ini seolah² telah kehabisan idea dan mula mereka plot yg telah di recycle byk kali. Tidak dinafikan CGI dia memang hebat tetapi tidak digunakan sebaik² nya. Berkaitan dgn Cinema 5 di TGV Sunway, saya cadangkan Hans keluar sekejap dan cari mana² staff TGV dan mohon mereka adjust projector mereka. Saya dah byk kali hadapi masalah sama dan staff TGV akan beri kerjasama serta cuba selesaikan masalah teknikal tersebut dgn segera...

    BalasPadam