Review Filem Perempuan Bergaun Merah

Filem:
Perempuan Bergaun Merah

Penilaian:
7/10


Pengarah:
William Chandra

Genre:
Seram

Pelakon:
Tatjana Saphira, Refal Hady, Stella Cornelia & Etc.  

Pengedar:
Antenna Entertainments

Tarikh Tayangan:
1 Febuari 2023

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan Dinda dan sahabatnya yang bernama Kara mengadakan satu parti di rumah Kara yang disertai teman-teman rapat mereka. Selepas part tamat, Kara menghilang secara tiba-tiba. Dinda pun berusaha mencari Kara sambil dibantu Putra yang merupakan teman lelaki Kara. Selepas sekian lama Kara menghilang, kehidupan Dinda dan rakan-rakannya mula diganggu makhluk yang digelar perempuan bergaun merah sehingga ada yang mati dalam keadaan yang dasyat. Apakah kaitan perempuan bergaun merah dengan kehilangan Kara? Mampukah Dinda bertemu kembali dengan Kara? Saksikan filem seram ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 1 Februari 2023 untuk mengetahui kisah seterusnya.

Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah berjaya menonton sebuah filem seram dari Indonesia berjudul Perempuan Bergaun Merah pada 30 Januari 2023 yang lepas di GSC Paradigm Mall, Petaling Jaya


Apa yang menarik perhatian kami tentang filem Perempuan Bergaun Merah ini ialah babak-babak gore yang memang menarik dan ditayangkan tanpa sebarang suntingan. Tidak pasti jika ada adegan yang dipotong kerana setakat yang kami sedar semuanya berjalan dengan lancar. Babak-babak ngeri ini memang ganas dan mengingatkan kami kepada filem Final Destination dimana ada beberapa adegan kematian yang menjurus kepada gaya persembahan yang lebih kurang sama seperti di dalam filem tersebut.


Elemen seram yang ditawarkan oleh filem Perempuan Bergaun Merah ini juga tidak kurang hebatnya. Selain bijak bermain dengan cahaya, manipulasi saiz imej yang dibesarkan dan dikecilkan mengikut situasi babak berjaya menimbulkan rasa seram terhadap pengalaman tontonan kami. Dibantu dengan teknik solekan ngeri yang berjaya menambah rasa kepada elemen seram dan ngeri yang merupakan kekuatan utama filem ini, kami akui sedikit sebanyak faktor ini memberi kekuatan kepada filem ini untuk membuatkan penonton rasa terhibur dan mampu menonton sehingga ke penghujung cerita.


Namun, jika menyentuh berkenaan intipati ceritanya maka kami boleh nyatakan ia masih sebuah filem seram klise tetapi berjaya mengekalkan nilai komersial. Plot penceritaannya juga seakan-akan mengambil inspirasi daripada filem-filem seram terkenal seperti The Ring dan Dark Water jika dilihat kepada punca-punca yang menyebabkan roh mengganggu watak-watak di dalam filem ini. Walaupun ada beberapa perkara utama yang tidak logik namun secara keseluruhan filem ini masih menghiburkan dan memberi keseraman yang diinginkan buat mereka yang menggemari filem seram sebegini.

Jadi, selamat menonton filem seram Perempuan Bergaun Merah yang ditayangkan bermula pada 1 Februari 2023. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

Catat Ulasan

1 Ulasan

  1. Terima Kasih Hans kerana review awal film ni, tak sangka mendapat review yg OK. Minggu lepas baru je layan film Hidayah, minggu ni Insyaallah film ini pula. Berturut² layan film seram Indon, heheh...

    BalasPadam