Review Filem 7ujuh


Filem:
7ujuh

Penilaian:
6 / 10

Pengarah:
Raja Mukhriz Raja Ahmad Kamaruddin

Genre:
Seram

Pelakon:
Johan As'ari, Cristina Suzanne, Siti Saleha, Aeril Zafrel, Pekin Ibrahim, Deedee Nash, Riz Amin, Marsha Milan, Wan Hanafi Su, Faizal Hussein & Etc.

Tarikh Tayangan:
8 November 2018

Pengedar:
Primeworks Studios

Sinopsis:


Filem ini berlatar belakangkan tahun 70-an dimana mengisahkan tentang tujuh orang rakan yang sedang dalam cuti semester telah mengambil keputusan untuk datang bercuti di sebuah banglo mewah milik salah seorang daripada mereka iaitu Sam. Banglo tersebut terletak di kawasan pedalaman dan dijaga oleh Tok Batin serta anak perempuannya yang bernama Suri. Sam dan rakan-rakannya telah mengadakan sebuah parti dan meminta Suri untuk membantu mereka membersihkan rumah dan melayan tetamu. Namun, parti tersebut bertukar menjadi liar dan Suri telah dirogol. Suri kemudian mengambil keputusan untuk membunuh diri tetapi sebelum itu telah bersumpah bahawa Sam dan keenam-enam rakannya tidak akan dapat keluar daripada kawasan banglo tersebut dan akan menerima nasib yang sama seperti. Pada mulanya Sam dan rakan-rakan tidak terlalu mengambil berat tentang sumpahan tersebut. Namun apabila mereka tidak dapat keluar daripada kawasan banglo tersebut dan mula dilanda pelbagai peristiwa aneh maka mereka mula berasa takut. Tambahan pula apabila kematian mula menghampiri mereka seorang demi seorang. Mampukah Sam dan rakan-rakannya menyelamatkan diri daripada sumpahan Suri? Siapakah sebenarnya yang telah merogol Suri? Saksikan filem yang cukup menarik ini di pawagam berhampiran anda untuk mengetahui jawapannya.

Ulasan:

Pertama sekali aku ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak Primeworks Studios atas jemputan untuk menghadiri tayangan perdana filem 7ujuh tetapi memandangkan aku berada di luar Malaysia pada tarikh majlis tersebut diadakan maka aku terlepas untuk menonton lebih awal filem ini. Jadi, setelah menanti dengan penuh kesabaran maka akhirnya aku berpeluang juga menonton filem seram yang berjudul 7ujuh ini di Mmcineplexes Damansara pada tanggal 8 November 2018 yang lepas. 


Secara jujurnya, filem 7ujuh ini sebenarnya tidak mendatangkan seram buat aku tetapi aku menyukai unsur-unsur thriller yang wujud di dalam filem ini terutamanya apabila ia melibatkan babak-babak pembunuhan yang bermain dengan permainan cahaya, props serta kesan solekan yang membantu perjalanan cerita ini menjadi agak menarik. Paling menggembirakan aku juga apabila filem ini hanya menggunakan teknik jumpscare dalam kuantiti yang sangat minima kerana bagi aku teknik ini terlalu biasa digunakan dan sedikit murahan untuk mendapatkan ketakutan penonton. Melainkan jika teknik ini digunakan tepat pada babaknya maka ia berbaloi untuk penonton merasa ketakutan. Menyentuh tentang wajah dan pergerakan hantu yang dipaparkan di dalam filem ini juga mengingatkan aku kepada filem Dukun dimana pergerakan hantunya seakan-akan sama dengan watak Umie Aida sewaktu berada di dalam penjara.



Satu perkara membuatkan aku agak teruja menonton filem 7ujuh ini ialah aku merasakan filem ini merupakan sebuah filem tempatan Malaysia pertama yang aku tonton yang berani mengetengahkan isu homoseksual dan memberi fokus kepada hubungan lesbian secara terang-terangan. Babak ini kemudian disokongan budaya hedonisme anak-anak muda yang gemar berparti, minum arak serta mengambil dadah dan dipertontonkan melalui visual yang sangat menarik dan realistik. Penggunaan props botol arak dan minuman air berkarbonat yang bercampur memang menjadikan babak parti liar itu sangat menjadi dan meyakinkan. Lebih cantik apabila budaya kotor ini dipertembungkan dengan budaya tradisi masyarakat orang asli dan disokong pula oleh dialog-dialog Tok Batin tentang kepercayaan dan amanah yang dipegang mereka. Satu perlambangan yang menarik bagi aku.



Menyentuh tentang sinematografi serta gred warna untuk filem 7ujuh ini, apa aku boleh katakan ialah filem ini memang memberikan kualiti yang baik dari sudut tersebut. Daripada permulaan cerita filem ini lagi sudah boleh dilihat hasil sinematografi yang sangat cantik serta gred warna filem ini yang berjaya mengekalkan suasana seram itu dengan baik daripada sehingga kepada penamat kisah. Satu perkara yang memang agak membanggakan dan wajar diberi kredit serta pujian kepada pihak yang terlibat di dalam bab ini. 



Berkaitan dengan lakonan para pelakonnya pula, aku merasakan kebanyakan pelakon berjaya menghidupkan watak yang diberi dengan lakonan yang hebat. Walaupun ada sesetengah watak kelihatan agak berlebihan daripada segi intonasi dialog dan pergerakan tubuh tetapi yang bagusnya aku merasakan ia adalah kerana karakter wataknya sebegitu dan bukan kerana kegagalan pelakon tersebut di dalam mempotretkan watak yang dipegang mereka. Cuma kelemahan plot cerita dalam beberapa babak membantutkan potensi sebenar para pelakon ini untuk memberikan yang lebih baik di dalam watak mereka. Selain daripada itu, aku melihat ada sedikit kekeliruan terutamanya berkaitan dialog yang diungkapkan oleh para pelakon apabila mengambil kira latar masa filem ini berlaku iaitu pada era 70-an. Seperti mana aku keliru melihat saiz dan rupa bentuk rambut palsu para pelakon lelaki di dalam filem 7ujuh ini maka perkara yang sama juga berlaku apabila aku keliru dengan ungkapan dialog para pelakonnya yang lebih bernada ke arah frasa ayat golongan rempit. Itu atas apa yang aku dengar dan rasa.


Berkenaan plot cerita filem ini pula, bagi aku kisahnya amat mudah untuk difahami dan kesudahannya sudah boleh diramal. Tetapi, aku percaya ada beberapa kepincangan daripada segi penyusunan serta hubung kait struktur kisahnya yang kelihatan seperti disunting melompat kesana dan kesini tanpa meninggalkan satu momen yang kuat untuk membuatkan penonton menerima dengan sepenuhnya naratif filem ini. Adakala plot cerita filem ini tampak lompong terutama apabila melibatkan babak-babak kemunculan Inspektor Azmi yang tidak kuat di dalam memacu perjalanan cerita menjadi lebih kukuh. Kemunculan Inspektor Azmi ini menyebabkan jalan cerita filem ini kelihatan lemah kerana ia tidak menyokong tujuh watak utama ini untuk bergerak sama ada secara rambang atau terancang untuk menyelamatkan diri, menyelesaikan misteri yang mereka kurang pasti atau keluar daripada kawasan sumpahan tersebut. Sebagai contoh apabila watak Ilyas bertanyakan Inspektor Azmi bagaimana polis tersebut boleh masuk ke kawasan rumah mereka sedangkan ada sebatang pokok besar tumbang. Tetapi, selepas pertanyaan itu dan adegan tersebut terus terhenti disitu tanpa ada sebarang tindakan atau cara penyelesaian yang kukuh. Paling aneh dan sedikit melucukan sewaktu babak ketibaan Inspektor Azmi yang tiba-tiba datang menyelamatkan Yasmin untuk keluar daripada banglo juga membuatkan jalan cerita filem ini menjadi agak lemah.  


Filem ini sebenarnya cuba membawa kisah cinta di dalam watak-wataknya tetapi kekangan perkembangan kisah wataknya telah membantutkan elemen ini untuk berkembang dengan lebih mekar. Tetapi, bagusnya  secara tidak langsung filem ini berjaya mengelakkan daripada mengikut jejak filem Langsuir yang terlalu memberi fokus kepada kisah cinta sehingga menenggelamkan aspek seram yang sepatutnya menjadi objektif utama yang patut diberi tumpuan. Hasil bantuan babak-babak pembunuhan yang melingkari perjalanan cerita filem 7ujuh ini sebenarnya berjaya menyelamatkan filem 7ujuh untuk mengekalkan genre sebenar filem ini iaitu seram. Setiap kematian yang berlaku menarik kerana cara kematian yang dipaparkan sedikit unik dan kreatif dengan bijak memanfaatkan penggunaan props yang berdekatan dengan persekitaran watak-watak mangsa. Hal ini yang menjadikan filem ini menarik dan punya sesuatu yang unik bagi aku.


Filem ini berlatar belakangkan era 70-an dan aku melihat penggunaan props serta busana untuk setiap watak-watak yang terlibat amat kena pada zaman tersebut. Tetapi, satu perkara yang aku sedar dimana masalah ini amat merimaskan mata aku sewaktu menonton daripada awal sehingga ke akhir filem ini ialah penggunaan rambut palsu atau wig yang teramatlah buruk dan sangat mencacatkan pemandangan mata. Memandangkan aku baru sahaja menonton filem Bohemian Rhapsody sebentar tadi maka filem itu adalah perbandingan yang paling dekat untuk aku jadikan sebagai rujukan untuk kes rambut palsu di dalam filem ini. Memang penonton Malaysia akan tahu itu ialah rambut palsu kerana majoriti penonton tempatan kenal sangat dengan bentuk dan jenis rambut kebanyakan pelakon yang membintangi filem ini. Tetapi, biarlah senonoh sikit bentuk rambutnya walaupun palsu sekalipun. Serius sampai satu tahap aku sudah tidak boleh nak bezakan yang mana satu si Johan dan yang mana satu si Marsha. Lebih menyayat hati melihat rambut palsu kepunyaan Aeril Zafrel. Serius sadis betul rambut palsunya. Lebih menggerunkan rambut-rambut palsu ini yang dipakai pelakon wanitanya menyebabkan rupa mereka saling tidak tumpah seperti geng Sajat dan Safiey Ilias. Serius, sifat dan bentuk rambut palsu ini walaupun tampak remeh tetapi memberi kesan kepada aku yang menonton.


Aku percaya filem ini masih berbaloi untuk ditonton dan tetap menghiburkan. Aku sebenarnya ingin memberikan skala penilaian 7 kepada filem ini supaya kena dengan tajuk filemnya tetapi memandangkan isu rambut palsu yang aku tidak dapat terima ini jadi aku tolak satu markah menjadikan skala penilaian filem ini kepada 6. Hahaha! Jadi, selamat menonton filem 7ujuh dan jangan lupa kongsikan komen dan pandangan anda tentang filem ini di ruangan komen. Sekian!

P/S : Selepas Ini Ulasan Filem Bollywood Terbaru Iaitu Thugs Of Hindostan Pula Akan Menemui Para Pembaca. Nantikan! 

Catat Ulasan

2 Ulasan

  1. Hahahaa betul tu Hans. Rambut palsu tu mencacatkan cerita ni. Palingbtak boleh blah bila rambut diorang seakan geng safiey iliyas tu. So far ok la bila baca ulasan Hans ni. Kinah sebenarnya teringin nak tengok filem Malaysia ni macam ala ala holywood. Baru best

    BalasPadam
    Balasan
    1. hahahaha
      itulah
      rambut palsu dia terlampau menyerlah sangat sebagai rambut palsu

      Padam