Review Filem Thugs Of Hindostan


Filem:
Thugs Of Hindostan

Pengarah:
Vijay Krishna Acharya

Genre:
Aksi, Pengembaraan & Komedi

Pelakon:
Amitabh Bachchan, Aamir Khan, Katrina Kaif, Fatima Sana Shaikh,
Lloyd Owen, Ronit Roy, Abdul Quadir Amin, Mohammed Zeeshan Ayyub & Etc.

Penilaian:
6/10

Sinopsis:

Filem yang berlatar belakangkan tahun 1785 ini diadaptasi daripada novel yang ditulis pada tahun 1839 berjudul "Confessions of a Thug" oleh Philip Meadows Taylor. Filem ini mengisahkan tentang sekumpulan samseng Hindostan yang diketuai oleh panglima tentera negara Hindostan iaitu Khudabaksh ingin membebaskan kerajaan tersebut daripada penjajahan empayar British yang diketuai oleh Komander John Clive. Khudabaksh turut dibantu oleh Zafira yang merupakan satu-satunya waris daripada kerajaan Hindostan yang berjaya diselamatkan semasa serangan tentera British ke atas pihak istana Hindostan. Selama 11 tahun, Khudabaksh dan pengikutnya yang digelar samseng Hindostan oleh pihak British ini telah membuat kekacauan dan mengganggu pentadbiran pihak British. Disebabkan gangguan bertali arus daripada kumpulan Hindostan ini menyebabkan Clive mengupah seorang penipu terhandal bernama Firangi untuk menyamar dan memasuki kumpulan samseng ini untuk menangkap hidup-hidup Khudabaksh bagi menghentikan ancaman kumpulannya. Adakah Firangi berjaya memasuki kumpulan samseng Hindostan dan mendapatkan kepercayaan Khudabaksh? Adakah Firangi sanggup menjadi pengkhianat negaranya sendiri demi kekayaan yang ditawarkan pihak British. Bagaimanakah nasib empayar Hindostan yang dijajah berbelas tahun oleh pihak British? Saksikan filem aksi komedi yang cukup menarik ini di pawagam berdekatan anda untuk mengetahui jawapannya.

Ulasan Hans:

Alhamdulillah buat pertama kalinya aku berkesempatan menonton tayangan ekslusif untuk filem Bollywood terbaru iaitu filem Thugs Of Hindostan yang berlangsung dengan meriahnya di TGV One Utama pada hari Khamis, 8 November 2018 yang lepas. Terima kasih kepada pihak Propa Rangers kerana menjemput Hans untuk bersama-sama mereka menonton filem lakonan Amitabh Bachchan dan Aamir Khan yang cukup menghiburkan ini. Walaupun menghiburkan tetapi filem ini sangat jelas tidak dapat lari daripada dibayangi oleh filem Pirates Of The Carribean.


Aku menyatakan demikian kerana watak Firangi yang dibawakan oleh Aamir Khan adalah tersangat mirip seperti mana watak Jack Sparrow yang dilakonkan oleh Johnny Depp. Jadi, secara tidak langsung aku sudah boleh meramal dan membayangkan bahawa setiap ungkapan dialog yang diungkapkan oleh watak Firangi ini sebenarnya bertentangan dengan makna sebenar yang dimaksudkannya. Ini membuatkan rasa keterujaan aku sedikit kurang kerana aku sudah boleh mengagak apa yang bakal berlaku pada babak-babak seterusnya. Walau bagaimanapun, aku akui Aamir Khan telah berjaya membawa watak Firangi ini dengan gaya yang tersendiri dan bijak memasukkan elemen India di dalam perwatakannya untuk setidak-tidaknya berjaya membezakan sedikit watak ini dengan watak Jack Sparrow. Namun, berbeza dengan watak Khudabaksh yang dibawakan oleh Amitabh Bachchan dimana kudrat pelakon veteran ini sangat memukau terutama ketika melibatkan babak-babak aksi yang sangat menakjubkan di dalam filem ini.


Filem ini mempunyai dua bunga iaitu Fatima Sana Shaikh dan Katrina Kaif namun kemunculan mereka ditenggelami oleh dua watak lelaki yang terlalu diberi fokus yang berlebihan yang lain tak bukan ialah watak yang dibawakan oleh Amitabh Bachchan dan Aamir Khan. Watak Zafira yang dibawakan oleh Fatima Sana Shaikh ini sebenarnya mempunyai pengaruh besar di dalam mencorakkan perjalanan filem ini kerana kisah yang wujud di dalam Thugs Of Hindostan ini sepatutnya merupakan kepunyaan dan hak milik mutlak Zafira. Permulaannya sudah ditunjukkan watak Zafira semasa kecil yang berasa marah, sedih, kecewa dan geram dengan pembunuhan yang berlaku terhadap keluarganya. Momen paling menarik pada babak tersebut iaitu dimana Zafira cuba mengangkat pedang tetapi tidak mampu kerana senjata tersebut terlalu berat sebelum diselamatkan oleh Khudabaksh dan dilatih sehingga mampu menjadi pahlawan wanita yang hebat. 


Permulaan filem ini sebenarnya sudah cantik dimana momentum penceritaan berkaitan Zafira telah disusun dengan baik dan berkembang ke arah yang sepatutnya namun lama kelamaan perjalanan cerita ini telah meninggalkan Zafira jauh ke belakang seolah-olah Zafira ini hanya sekadar watak tempelan. Hakikatnya, Zafira ini sebenarnya ialah watak penting yang harus dikekalkan kepentingannya didalam cerita ini. Sayang sebenarnya apabila melihat perkembangan kisah watak Zafira ini terbantut di pertengahan jalan.


Watak Suraiya yang dilakonkan oleh Katrina Kaif pula bagi aku sekadar penyedap mata memandang untuk kaum lelaki kerana babak yang melibatkan watak ini boleh dibilang dengan jari. Walau bagaimanapun, kemunculan watak ini walaupun tidak kerap tetapi ia sebenarnya berjaya memberi sesuatu yang menarik yang menggambarkan tentang pegangan wanita India yang terpaksa menghiburkan tentera British dengan menari tanpa kerelaan dirinya. Aku sukakan beberapa dialog yang diungkapkan watak ini terutama ketika dia bersama Firangi yang bagi aku kuat dan memberi satu memori yang bagus untuk filem ini. Sayangnya watak ini juga tidak diberi ruang yang lebih untuk berkembang.


Menyentuh tentang watak antagonis penjajah British yang diketuai oleh watak John Clive lakonan Lloyd Owen serta rakan-rakannya pula bagi aku ialah watak yang mudah dilupakan kerana kejahatan atau kekejaman mereka tidak dapat dirasakan di dalam filem ini. Satu perkara yang aneh untuk dilihat di dalam filem ini ialah apabila pegawai-pegawai British ini berkomunikasi di antara satu sama lain menggunakan bahasa Hindi. Adakah pihak produksi Bollywood kini ingin mengikut jejak langkah Hollywood untuk hanya menggunakan bahasa tempatan sahaja walaupun watak yang ditimbulkan adalah watak luar daripada negara mereka sendiri? Terdapat sedikit keanehan pada sudut ini namun bahasa Hindi pelakon-pelakon Inggeris ini boleh dipuji kerana kelihatan tidak terlalu janggal.


Satu perkara yang aku amat kagum di dalam filem ini ialah penggunaan kesan khas CGI yang sangat berkualiti serta sinematografi filem ini yang cukup cantik. Sangat berbeza apabila aku melihat CGI di dalam trailer filem ini dan hasil keseluruhan di dalam filem ini. Serius aku sangat kagum dengan filem ini kerana boleh dikatakan hampir 95 peratus babak-babak aksi, pertempuran dan serangan kapal lanun  yang menggunakan kesan khas ini berjalan dengan cukup sempurna, lancar dan tampal begitu nyata sehingga aku tidak sedar babak itu sebenarnya menggunakan CGI. Jadi, kepada produksi-produksi Malaysia, kalau berminat nak menggunakan CGI di dalam filem ini, sila buat betul-betul supaya boleh dibanggakan seperti mana yang dapat dilihat di dalam filem Thugs Of Hindostan ini.


Jalan cerita filem Thugs Of Hindostan ini sebenarnya terlalu bergantung kepada pengaruh besar pelakon hebat Amitabh Bachchan dan Aamir Khan. Beruntungnya filem ini kerana kedua-dua aktor ini berjaya memberikan lakonan yang mantap dan disokong oleh kesan khas CGI yang sangat mengagumkan. Namun, kelemahan skrip filem ini di dalam menggabungkan kedua-dua watak utama ini dengan watak-watak yang lain dalam mengekalkan tempo penceritaan menyebabkan filem ini kelihatan lemah, terdapat beberapa kelompongan pada jalan cerita dan mendapatkan kritikan hebat daripada peminat-peminat filem Bollywood di India terutama peminat filem yang dilakonkan Aamir Khan. Boleh dikatakan filem Thugs Of Hindostan ini merupakan antara filem yang paling lemah pernah dibintangi oleh Aamir Khan sepanjang tahun 2000 dan ke atas pada pandangan aku.


Namun, aku tidak bermaksud untuk mengatakan filem ini tidak menghiburkan atau membosankan. Filem ini sebenarnya menarik dan anda pasti akan terhibur untuk menonton kerana:

1) Gelagat watak Firangi yang dibawakan oleh Aamir Khan yang sangat melucukan dan adakala mungkin sukar diramal tindakannya apabila anda menonton keseluruhan filem ini. 

2) Lakonan Amitabh Bachchan pula bagi aku agak mengagumkan sebagai Khudabaksh. Tidak nampak langsung jurang umurnya dengan Aamir Khan daripada segi kudratnya terutama apabila melibatkan babak-babak aksi.


3) Kesan khas CGI filem ini sangat mengagumkan dan cukup membanggakan. Serius anda pasti terpukau apabila menonton keseluruhan filem ini.

4) Filem ini dipenuhi dengan elemen aksi dan dialog berunsur komedi patriotik yang akan membuatkan anda tidak bosan menonton filem yang berdurasi 2 Jam 55 minit ini. Tontonlah jika anda tidak percaya.   


Jadi, selamat menonton filem Thugs Of Hindostan di pawagam berhampiran dan jangan lupa kongsikan komen serta pandangan anda tentang filem ini di ruangan komen. Sekian!

P/S : Selepas Ini Ulasan Filem The Pool Pula Akan Menemui Para Pembaca. Nantikan! 

Catat Ulasan

4 Ulasan

  1. Terima kasih di atas review film ni. Saya berjaya tonton show 10.30pm dan selesai 1.30am keesokan hari nya. Kira nya 2 hari nak habiskan film ni. Padahal 9am ada meeting yg saya kena present. Punya la ngantok tapi puas hati sebab film A.Khan & A. Bachchan ni amat menghiburkan. Visual & sound selain lakonan yg mantap buat film ini antara film Hindi yg "well made". Keep it up Hans with your awesome reviews...

    BalasPadam
    Balasan
    1. hehehehe...
      lama betul dua hari baru habis tengok tu...hehehe
      sudah tonton Andhadhun dan Badhaai Ho?

      Padam
  2. Yeesss, saya berjaya juga tonton Andhadhun sahaja itu pon selepas Hans memberi review tinggi 9/10, amat berpuas hati dan kena dgn taste saya. Saya kini menunggu film 2.0 utk di review oleh Hans... please. TQ

    BalasPadam
    Balasan
    1. In Sha Allah....kalau sempat saya tengok Khamis nih...hehehe

      Padam