Review Filem The Pool


Filem:
The Pool

Pengarah:
Ping Lumprapleng

Genre:
Aksi & Ngeri

Pelakon:
Theeradej Wongpuapan, Ratnamon Ratchiratham, Anjing, Buaya & Etc.

Penilaian:
5/10

Sinopsis:

Filem ini mengisahkan Day dan Koi yang merupakan pasangan kekasih telah terperangkap di dalam sebuah kolam renang terbiar yang berkedalaman 6 meter. Apa yang lebih mengerikan ialah bukan sahaja kolam renang tersebut tidak mempunyai tangga dan jalan keluar lain tetapi juga terdapat seekor buaya besar yang turut sama terperangkap di dalam kolam tersebut selepas keluar daripada tempat persembunyiannya yang berdekatan dengan kawasan tersebut. Bagaimanakah Day dan Koi menghadapi buaya tersebut? Adakah mereka akhirnya berjaya menyelamatkan diri atau mati dibaham buaya yang sedang kelaparan? Saksikan filem yang cukup mendebarkan ini di pawagam berdekatan anda untuk mengetahui jawapannya.

Ulasan Hans:

Seperti yang dijanjikan kali ini aku akan berkongsi ulasan tentang sebuah filem daripada Thailand berjuduh The Pool atau di dalam perkataan Thailand ditulis นรก 6 เมตร yang bermaksud Neraka 6 Meter. Alhamdulillah aku sangat beruntung kerana kawasan tempat tinggal aku berdekatan dengan banyak panggung wayang dan memang rezeki dapat menonton filem yang sangat mendebarkan ini di Amerin Cineplex di Seri Kembangan pada tanggal 9 November 2018 yang lepas. 


Aku memang menggemari filem-filem daripada Thailand dan menonton trailer filem ini sememangnya memanggil-manggil aku untuk melabur wang bagi melihat sendiri keseluruhan filem ini di layar perak. Hanya menggunakan satu lokasi sahaja sebagai tempat penggambaran untuk sebuah filem yang berdurasi 1 jam 31 minit, aku merasakan produksi ini bijak memanfaatkan segala ruang dan sudut yang ada untuk memastikan filem The Pool ini begitu menghiburkan untuk ditonton. Susunan plot ceritanya disusun dengan menarik. Walaupun pada permulaan filem dimulakan dengan keadaan watak Day yang telah terperangkap pada hari keenam di dalam kolam renang tersebut namun filem ini tetap berjaya membuatkan aku berdebar untuk menonton babak imbas kembali yang menyatakan bagaimana watak Day dan kekasihnya ini boleh terperangkap di dalam kolam renang yang terbiar tersebut. 


Secara jujurnya, bagaimana filem ini menunjukkan watak Day ini boleh terperangkap di dalam kolam renang terbiar ini sememangnya agak tidak masuk akal. Ini kerana perkara tersebut bukannya berlaku secara tiba-tiba tanpa pengetahuan Day tetapi hal itu telah diberitahu oleh rakan Day sendiri yang meminta lelaki ini keluar daripada kolam renang tersebut. Ini kerana rakannya itu telah menutup kolam tersebut dan air daripada kolam renang tersebut akan dikeluarkan sehingga kering. Tetapi, watak Day ini dipertontonkan seperti tiada apa-apa perasaan atau punya alasan yang kukuh untuk membuatkan penonton faham atau dapat menerima kenapa dia masih berada di dalam kolam renang tersebut sehinggakan seronok membuta di atas pelampung yang empuk itu. Melainkan jika watak rakan Day itu ditunjukkan sebagai seorang lelaki yang suka berbohong sewaktu bercakap atau menunjukkan Day sendiri pengsan sewaktu baring di atas pelampung gara-gara kekurangan insulin maka mungkin alasan untuk watak ini terperangkap agak relevan. Jadi, memang hal ini sahaja sebenarnya telah mencacatkan jalan cerita filem ini.


Namun, filem ini sangat bernasib baik kerana skrip filem ini berjaya meletakkan elemen-elemen jalan cerita yang penuh dengan kejutan dan debaran yang sangat menarik. Dari sudut ini, aku sangat bangga bagaimana jalan ceritanya diolah untuk melihat apa yang berlaku sepanjang tujuh hari pasangan Day dan Koi ini terperangkap di dalam kolam renang terbiar tersebut bersama seekor buaya besar serta anjing peliharaan Day yang ditambat di atas kolam renang. Kemunculan buaya besar ini juga dapat diterima memandangkan buaya ini sebenarnya bukannya muncul daripada lubang kolam renang tetapi terjatuh daripada atas kolam renang selepas keluar daripada tapak persembunyiannya. Kewujudan buaya ini juga disokong oleh satu babak yang menunjukkan keratan akhbar yang menyatakan pihak berkuasa sedang menjejaki seekor buaya yang hilang sewaktu banjir melanda kawasan tersebut. Walaupun hal ini kelihatan klise tetapi setidak-tidaknya penonton dapat menerima kehadiran buaya tersebut di dalam hal ini. 


Aku sangat sukakan teknik solekan ngeri yang berjaya divisualkan dengan cukup kemas dan meyakinkan di dalam filem ini. Bermula daripada kulit kuku yang terkopek, tangan yang berdarah menggenggam dawai kawat duri serta pelbagai lagi kecederaan yang terjadi pada fizikal pelakonnya yang berjaya dipertontonkan dengan cukup menarik dan sedikit ngeri. Memang hal ini sangat membantu menyokong ekspresi pelakon-pelakonnya di dalam menangkap perhatian dan perasaan penonton untuk sama-sama menyelami ketakutan dan kesakitan yang dialami oleh dua watak utama filem ini.


Berkenaan penggunaan teknik khas CGI terutama terhadap buaya besar yang mengganas di dalam filem ini, aku melihat ada babak-babak yang berjaya membuatkan aku percaya itu adalah buaya yang sebenar kerana ketelitian mereka dalam menghasilkan imej buaya tersebut. Tetapi, ada beberapa babak juga yang kelihatan buayanya sedikit berbentuk animasi tetapi tidak lah terlalu teruk. Masih boleh diterima kerana disokong oleh jalan ceritanya yang penuh dengan elemen kejutan.


Keistimewaa filem ini juga bukan sekadar tentang kemahiran hidup manusia berjuang untuk terus hidup atau amukan buaya besar yang menggerunkan. Tetapi, nilai kehidupan serta tanggungjawab yang diterapkan di dalam cerita ini juga agak menarik untuk dilihat. Bagaimana sebuah perhubungan serta tanggungjawab yang perlu dipikul oleh Day yang tidak yakin untuk menjadi bapa berhadapan dengan situasi kekasihnya sedang mengandungkan zuriatnya sebenarnya menjadikan filem ini lebih berwarna. Disokong dengan hubungan anjing peliharaan Day dan Day sendiri yang membuatkan filem ini memberi pelbagai jenis emosi melibatkan manusia dan haiwan. Ini antara kekuatan utama filem ini di dalam memberi kelainan kepada perkembangan jalan ceritanya. 


Namun, terdapat beberapa kelemahan ketara yang dapat dilihat di dalam babak-babak tertentu di dalam filem The Pool ini seperti:

1) Ada satu atau dua babak Day berlawan dengan buaya yang sangat kelakar dan terlalu tidak logik untuk diterima dimana Day mampu mengangkat buaya dan melemparkannya jauh sedangkan buaya tersebut sebenarnya sangat besar. Ini memang buat aku ketawa di dalam panggung kerana Day bukannya The Hulk. Watak Day ini nak mengangkat kekasih atau sofa di dalam kolam renang tersebut pun sangat bersusah payah tetapi selamba pula dia boleh lempar buaya ini jauh-jauh. 

2) Berkaitan dengan kesan khas CGI buaya tersebut dimana ada babak-babak tertentu yang tiba-tiba buaya ini kelihata mengecil. Masalah yang sama terjadi seperti mana ada menonton ikan jerung Megalodon dalam The Meg yang mana sekejap nampak terlalu besar dan kemudian nampak kecil pula.


3) Satu lagi perkara melucukan dan mengurangkan debaran apabila babak buaya besar ini cuba menyerang Day dimana hanyakaki Day yang sudah berbalut kerana patah itu sahaja yang menjadi tumpuan serangannya. 

4) Selain daripada itu ialah babak bagaimana Day berjaya menyelamatkan teman wanitanya daripada mati lemas. Walaupun ikutkan kepada jalan cerita dan situasinya memang teman wanita si Day ini wajib menjadi mendiang sebab sudah terlampau lama lemas di dalam air tetapi apakan daya filem ini mahu ditamatkan dengan pengakhiran yang menggembirakan.   


Walau bagaimanapun, aku merasakan filem ini sangat berbaloi untuk ditonton. Walaupun skala yang diberi hanya lima tetapi aku mengakui filem ini agak kreatif dan mampu membuatkan anda setia berada di tempat duduk untuk menghabiskan tontonan anda. Antara sebab aku menyatakan filem ini wajar ditonton ialah:

1) Walaupun ada beberapa plot ceritanya yang tidak masuk akal, namun suntingan setiap plot menjadikan tempo jalan ceritanya pantas, menarik dan membuatkan anda sentiasa berdebar menantikan apakah yang akan berlaku seterusnya. 

2) Jalan cerita filem ini bijak menunjukkan pelbagai cabaran dan dugaan sepanjang pasangan kekasih ini terperangkap di dalam kolam renang terbiar tersebut bersama buaya dan anjing mereka. Aku melihat ini sebagai satu idea kreatif yang menarik kerana segala yang dipertontonkan itu menggunakan props-props yang sedia ada dan berhubung kait daripada awal jalan cerita.


3) Lakonan pelakon utama lelakinya iaitu Theeradej Wongpuapan sangat memberi kesan terutama daripada segi emosi. Apabila sesuatu babak yang memberi harapan untuk watak ini terselamat tetapi kemudiannya dia gagal menyelamatkan diri, aku dapat melihat emosi sedih, kecewa dan putus asa yang ditunjukkannya betul-betul sampai dan dapat dirasai.

4) Hanya satu lokasi pengambaran, dua watak utama milik manusia dan dibantu oleh dua watak haiwan iaitu anjing dan buaya, filem ini sememangnya merupakan antara filem menarik daripada Thailand yang perlu anda tonton di pawagam pada bulan November 2018 ini.   


Jadi, selamat menonton filem The Pool di pawagam berhampiran dan jangan lupa kongsikan komen serta pandangan anda tentang filem ini di ruangan komen. Sekian!

P/S : Selepas Ini Ulasan Filem Bohemian Rhapsody Pula Akan Menemui Para Pembaca. Nantikan! 

Catat Ulasan

0 Ulasan