Review Filem Bohemian Rhapsody


Filem:
Bohemian Rhapsody

Pengarah:
Bryan Singer

Genre:
Biografi, Drama & Muzikal

Pelakon:
Rami Malek, Lucy Boynton, Brian May, Ben Hardy, Aidan Gillen,
Allen Leech, Gwilym Lee, Joseph Mazzello,Tom Hollander, Mike Myers & Etc.

Penilaian:
7/10

Sinopsis:

Filem ini berdasarkan kisah kehidupan lagenda rock British iaitu kumpulan Queen yang memaparkan kisah hidup Freddie Mercury yang merupakan vokalis kumpulan tersebut selama 15 tahun sejak daripada penubuhan kumpulan Queen sehingga kepada persembahan mereka di konsert Live Aid pada tahun 1985. Saksikan filem yang cukup menarik ini di pawagam berdekatan anda untuk menonton perjalanan hidup Freddie Mercury.

Ulasan Hans:

Seperti yang dijanjikan kali ini aku akan berkongsi ulasan tentang sebuah filem biografi yang menjadi sebutan ramai berjudul Bohemian Rhapsody yang telah ditonton di Amerin Cineplex di Seri Kembangan pada tanggal 9 November 2018 yang lepas. Aku sememangnya menyukai filem bergenre biopik walaupun kisah individu yang dipaparkan tidak aku kenali. Tetapi, aku percaya filem biopik yang bagus akan membuatkan penonton lebih dekat dengan insan tersebut dan filem ni telah berjaya membuatkan aku terkesima dan terharu dengan perjuangan insan yang bernama Freddie Mercury di dalam dunia muzik.


Bohemian Rhapsody merupakan salah sebuah tajuk lagu yang dipilih daripada berpuluh lagu nyanyi kumpulan Queen. Semestinya lagu ini ada keistimewaan yang tersendiri. Aku melihat selain keunikan lagu ini yang merupakan lagu pertama yang berdurasi 6 minit di dalam industri disana sehingga ditolak oleh stesen radio untuk dimainkan, lirik lagu Bohemian Rhapsody ini sebenarnya berjaya menggambarkan siapakah manusia bernama Freddie Mercury ini dengan cukup baik sekali.



Tunjang utama kekuatan filem ini yang berjaya memukau penonton sebenarnya datang daripada pelakon utamanya yang sangat berbakat dan versatil tidak lain tidak bukan iaitu Rami Malek yang memegang watak sebagai Freddie. Lakonan beliau sangat mantap sehingga aku merasakan Rami Malek ini sebenarnya adalah betul-betul Freddie Mercury. Bukan sekadar bergantung kepada solekan dan pakaian sahaja, Rami betul-betul berjaya menjiwai lelaki bernama Freddie ini dengan cukup baik dan menterjemahkannya melalui cara gerak tubuhnya menyanyi, berjalan, beraksi, bercakap serta berjaya meniru persembahan Freddie yang seperti lelaki lembut semasa melakukan persembahan. Walaupun ketinggian Rami jelas kelihatan tidak sama dengan Freddie, namun usaha keras beliau mengkaji dan mendekati watak Freddie ini sangat membuahkan hasil dan wajar diberi tabik hormat dan pujian yang menggunung. Nampaknya gayanya peluang untuk memenangi anugerah Oscar sudah berada di dalam tangan Rami Malek.


Satu perkara yang aku cukup suka dengan filem yang berdurasi 2 jam 15 minit ini ialah bagaimana plot cerita ini bijak dikembangkan dengan cukup baik di dalam memperkenalkan kumpulan Queen serta teraju utamanya iaitu vokalis Freddie. Aku tidak pasti tentang kesahihan kisah yang dipaparkan kerana melalui rujukan aku secara tidak serius, ada beberapa kisah di dalam filem ini yang diubah untuk menyedapkan jalan cerita. Namun, bagi aku filem ini sangat menghiburkan dan membuatkan para penonton akan lebih mengenali perjalanan hidup Freddie bersama ahli kumpulan Queen yang lain. Menariknya juga plot cerita ini berjaya membuatkan penonton untuk memahami situasi sebenar yang dihadapi oleh Freddie dan berjaya menimbulkan rasa simpati kita kepada watak Freddie ini walaupun adakalanya watak ini bersikap mengjengkelkan dan pentingkan diri.


Aku juga cukup menyukai ketelitian produksi filem ini di dalam memastikan setiap props, busana, solekan serta latar tempat yang ditunjukkan menyamai keadaan sebenar yang berlau pada era 70-an dan 80-an. Paling membuatkan aku terpukau semestinya babak akhir kumpulan Queen mengadakan persembahan di Konsert LIVE AID di Stadium Wembley pada tahun 1985 dimana setiap adegan di dalam babak itu seolah-olah seperti kejadian sebenar. Daripada barang-barang props yang dipastikan sama seperti asal serta suasana di dalam stadium yang memang seperti kejadian sebenar. Dibantu pula dengan persembahan lakonan yang berkelas dunia daripada Rami Malek yang membuatkan aku merasakan seperti menonton aksi Freddie Mercury sendiri. Segala-galanya kelihatan sama, hidup dan membuatkan aku seolah-olah seperti turut sama berada di dalam kejadian yang sebenar sewaktu menonton babak ini di dalam panggung. Serius aku begitu teruja menonton babak akhir filem Bohemian Rhapsody ini. 


Menyentuh kembali tentang jalan cerita filem Bohemian Rhapsody ini, aku sukakan penceritaannya dimana keseluruhan babak di dalam filem ini berjaya menyampaikan pelbagai jenis emosi, jiwa serta mesej dalam gaya penyampaian yang sederhana tetapi cukup cemerlang. Setiap momen di dalam filem ini berjaya membuatkan aku berasa lucu, sedih, geram, benci dan pelbagai lagi rasa tetapi ia dalam kadar yang tidak berlebihan dan mencukupi sebagai satu naskhah yang hebat. Hebatnya disini ialah daripada sebesar-besar watak sehinggalah sekecil-kecil watak, filem ini berjaya membuatkan tiada satu watak pun yang boleh diletakkan sebagai antagonis atau dikambing hitamkan kerana setiap kejadian yang berlaku di dalam filem ini berjaya diberikan penerangan tentang sebab dan punca kenapa ia berlaku dan kenapa ia diselesaikan atau ditamatkan dengan cara-cara tertentu seperti yang dipertontonkan. Bagi aku, filem biopik ini sangat berjaya daripada sudut tersebut. 


Menyentuh tentang pemilihan pelakon-pelakon filem Bohemian Rhapsody, pemilihan Rami Malek sangat tepat untuk membawakan watak Freddie. Selain itu juga, pemilihan Gwilym Lee untuk membawakan watak Brian May juga memang suatu yang menakjubkan kerana memang wajahnya dan Brian May saling tidak tumpah antara satu sama lain. Lucy Boynton yang membawakan watak sebagai Mary Austin juga berjaya memberikan impak yang cukup baik terutama apabila melibatkan babak-babak emosi antara dia dan Freddie. Begitu juga dengan pelakon-pelakon di dalam filem ini yang semua berjaya menghidupkan watak masing-masing sehinggakan ada satu babak dimana beberapa ekor kucing yang ada di dalam babak tersebut juga berjaya memberikan sesuatu aura yang cukup hebat untuk menjadikan filem Bohemian Rhapsody bukan sekadar sebuah filem biopik biasa tetapi melangkau kehebatan filem biopik sedia ada.


Kepada sesiapa yang tidak mengenali kumpulan Queen dan Fredde Mercury, aku yakin anda pasti pernah mendengar lagu-lagu hebat mereka seperti We Are The Champions, We Will Rock You, Bohemian Rhapsody, Somebody To Love, I Want To Break Free dan banyak lagi. Jadi, sememangnya tidak ada masalah untuk anda menonton filem ini kerana jalan ceritanya memang mesra penonton dan anda dengan mudahnya akan dapat mengenali lebih dekat lagi siapakah manusia bernama Freddie Mercury dan ahli kumpulan Queen yang lain. Manusia bernama Freddie Mercury ini mempunyai sebuah kisah kehidupan yang sangat menarik dan aku cukup suka tentangb kecintaannya terhadap muzik. Menarik untuk melihat babak-babak bagaimana Freddie ini begitu berani mengambil risiko mencuba sesuatu benda yang baru dan melawan norma citarasa pendengar pada setiap kali kumpulan Queen ingin melancarkan album baru. Aku sangat kagum dengan hal ini dan tidak hairan lah kumpulan Queen ini menjadi fenomena seluruh dunia kerana keberanian mereka melawan arus citarasa muzik pada zaman mereka bertapak. Berkenaan dengan watak Freddie ini yang ditunjukkan sebagai seorang manusia biseksual dan menimbulkan sedikit isu panas buat segelintir penonton, aku beranggapan hal ini sebenarnya tidak perlu dipanjangkan kerana sudah hakikatnya lelaki bernama Freddie Mercury ini memang bernafsu sebegitu. Tambahan pula filem ini sememangnya adalah filem biopik yang menceritakan tentang kisah hidup Freddie jadi kewajaran untuk babak-babak ini dimasukkan di dalam filem sangat penting. Tambahan pula Freddie mati kerana penyakit AIDS. Jadi, hal ini rasanya tidak perlu diperbesarkan dan bagus untuk penonton mengambil pengajaran dan iktibar daripada kesan kehidupan bebas yang diamalkan olehnya ini.


Jadi, disini aku senaraikan beberapa sebab kenapa filem Bohemian Rhapsody ini wajar ditonton:

1) Kisah biopik yang bagi aku cukup bagus dan membuatkan anda yang tidak kenal siapa Freddie Mercury dan kumpulan Queen pun akan mula mengenali dan menyukai semangat mereka di dalam bidang muzik.

2) Momentum plot ceritanya bergerak sederhana dan ini membantu memudahkan penonton untuk fokus terhadap setiap watak-wataknya tanpa merasa bosan. Setiap watak yang wujud di dalam filem ini daripada manusia sehingga lah kepada kucing berjaya memberi sebab yang jelas kenapa mereka perlu ada dan peranan mereka berjaya menyerikan dan menghidupkan lagi filem biopik ini ke satu tahap yang mengagumkan.


3) Props, latar tempat, solekan serta pakaian yang dipakai oleh kumpulan Queen sangat mengagumkan kerana ketelitian pihak produksi memastikan segala aspek ini menyamai kejadian asal. Serius amat mengagumkan kerana ketelitian mereka ini berjaya memastikan babak-babak yang berkaitan mencapai piawaian kualiti seperti mana kejadian sebenar.

4) Rami Malek telah berjaya membuatkan penonton percaya mereka seolah-olah sedang menonton persembahan sebenar daripada Freddie Mercury dan ahli kumpulan Queen yang lain sewaktu babak akhir konsert LIVE AID di dalam filem ini. Serius satu pengalaman yang sangat berharga apabila anda menonton babak ini di panggung wayang.  


Jadi, selamat menonton filem Bohemian Rhapsody di pawagam berhampiran dan jangan lupa kongsikan komen serta pandangan anda tentang filem ini di ruangan komen. Sekian!

P/S : Selepas Ini Ulasan Filem Tamil Berjudul Sarkar Pula Akan Menemui Para Pembaca. Nantikan! 

Catat Ulasan

6 Ulasan

  1. Review yg amat baik dr Hans. Merangkumi segala aspek dlm filem ini. Saya amat bersetuju dgn apa yg ditulis. Sbg peminat muzik dan membesar dgn Queen, saya juga amat terhibur dgn apa yg cuba ditampilkan oleh tuan direktor. Keep it up Hans, TQ

    BalasPadam
    Balasan
    1. terima kasih kerana sudi membaca ulasan saya yang panjang ini
      terima kasih juga kerana sukakan ulasan yang saya tulis ini
      teruskan menyokong blog ini yer :)

      Padam
  2. baca review dr hans ni pun dh buat rasa tererja nk lyn filem ni...
    akak dh google mmg ada iras2 pelakon utama tu mcm watak asal tu... akak suka layan movie biopik nih... cumanya movie ni tak sesuai la klu nk bwa si aiyan... kene lyn ber2 je ngn papa nya

    BalasPadam
    Balasan
    1. hahaha
      kena tengok dengan papanya aja
      budak-budak tak elok bawa tengok
      hehehe

      Padam
  3. Setuju sangat dengan pandangan dan ulasan Hans! Filem ni terbaik bagi PH. Nak layan tonton kali kedua haha...

    BalasPadam
    Balasan
    1. hehehehe
      memang layan kan
      seronok tengok Rami Malek

      Padam