Review Filem Kung Fu Monster


Filem:
Kung Fu Monster

Penilaian:
6/10

Pengarah:
Andrew Lau

Genre:
Aksi, Pengembaraan & Fantasi

Pelakon:
Louis Koo, Dong Yu Zhou, Cheney Chen, Bea Hayden Kuo, Bei Er Bao & Etc.

Tarikh Tayangan:
3 Januari 2019

Pengedar:
ATriNaga Sdn Bhd

Sinopsis:
Filem ini berkisarkan tentang kisah ketika pemerintahan Maharaja Wanli pada zaman dinasti Ming, Sun Yehe yang merupakan penyelia di Depot Timur telah diarahkan untuk menangkap raksasa yang berjaya melarikan diri dari istana. Pada masa yang sama, seorang pahlawan militia berkomplot dengan juniornya dan seorang pahlawan wanita untuk merompak perak daripada pegawai korup. Bagaimanapun, perak itu hilang, manakala seorang penjenayah dikehendaki tiba-tiba muncul dengan seorang gelandangan. Ketika semua ini berlaku, mereka tidak menyedari yang mereka sedang diperhatikan oleh raksasa yang telah melarikan diri itu. Saksikan filem aksi yang penuh dengan elemen komedi ini di pawagam berdekatan anda bermula pada 3 Januari 2019 untuk mengetahui kisah selanjutnya.

Ulasan:

Alhamdulillah permulaan tahun 2019 dimulakan dengan berita gembira apabila aku menerima jemputan daripada pihak ATriNaga Sdn Bhd untuk menonton filem Kung Fu Monster bertempat di TGV Cinemas Jaya Shopping Centre pada 2 Januari 2019 yang lepas. Terima kasih tidak terhingga kepada pihak ATriNaga kerana sentiasa sudi menjemput aku menghadiri pelbagai tayangan filem terbaru sepanjang blog ini kembali aktif dengan pelbagai ulasan tentang filem-filem terbaru yang ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia.


Filem Kung Fu Monster ialah sebuah filem aksi komedi yang ringan. Filem ini dimulakan dengan pengenalan terhadap pelbagai jenis raksasa yang berada di bawah seliaan Sun Yehe yang merupakan penyelia di Depot Timur. Watak Feng Sihai yang dilakonkan oleh Louis Koo ini pula merupakan pelatih kepada haiwan-haiwan raksasa ini untuk dijadikan sebagai askar perang buat Dinasti Ming untuk menewaskan pihak musuh. Namun, disebabkan kecomelan seekor raksasa kecil yang diberi nama Lucky membuatkan Feng Sihai tidak menyiksa dan melatihnya seperti raksasa lain bahkan rasa sayang kepada raksasa tersebut. Ini menyebabkan Feng Sihai melepaskan Lucky daripada penjara Depot Timur dan menyebabkan dia serta raksasa tersebut menjadi buruan Sun Yehe yang kejam dan dan pada masa yang sama bercadang untuk menggulingkan pemerintahan Dinasti Ming. Sun Yehe menawarkan ganjaran yang lumayan buat sesiapa yang berjaya menangkap mereka dan ini menyebabkan filem ini mula berkembang melalui pelbagai karakter watak yang menghiburkan.


Dimulakan dengan watak-watak 'cameo' seperti di dalam komik pahlawan terkenal dari Hong Kong sebelum filem ini mula dipecahkan kepada pengenalan watak-watak utama dan pembantu yang kekal daripada awal sehingga ke akhir penceritaan. Aku agak senang dengan plot ceritanya yang ringkas dan digarap agak baik untuk membuatkan penonton dekat dengan setiap watak-watak yang wujud di dalam filem ini. Misalnya tentang watak pasangan suami isteri iaitu Feng Sihai dan Leng Bingbing. Diikuti watak pasangan kekasih yang berjuang untuk askar negeri mereka iaitu Xiong Jiojiao dan Zhen Jian. Tidak dilupakan juga watak lelaki tua dengan sempuanya, dua penyamun yang sentiasa berceloteh dan berebutkan pau dan seorang lelaki yang merupakan bekas pengawal penjara. Kesemua watak ini berjaya melengkapi antara satu sama lain di dalam mencetuskan elemen komedi yang cukup mencuit hati dan membuatkan filem ini terasa pantas berlalu.


Seperti biasa filem-filem aksi daripada Hong Kong sememangnya tidak mengecewakan kerana banyak babak aksi seperti pertarungan kung fu, melompat, terbang dan pelbagai jurus-jurus aneh berjaya dipersembahkan dengan kadar yang memuaskan hati aku. Apabila menonton bagaimana penggambaran filem ini dijalankan semasa waktu-waktu akhir filem ini berjalan membuatkan anda pasti kagum apabila melihat hasilnya di layar perak. Visual babak-babak aksi atau letupan sememangnya berjaya dipertontonkan dengan cukup kemas dan berjaya menghilangkan alatan-alatan yang digunakan dengan jayanya sekali.


Namun, aku melihat kelemahan yang agak ketara dari sudut kesan khas CGI terhadap imej janaan raksasa comel bernama Lucky serta beberapa kesan khas lain. Tidak terlalu teruk tetapi bukannya berada ditahap yang baik. Masih menarik untuk dinikmati tetapi tidak terlalu dikagumi. Bahasa mudahnya cukup-cukup makan sahaja. Namun, kekuatan utama filem ini iaitu aksi dan komedi sememangnya berjaya menyelamatkan filem ini dan meletakkannya di satu tahap yang cukup menghiburkan anda sepanjang menonton filem ini.


Jadi,disini aku senaraikan beberapa sebab kenapa anda perlu menonton filem Kung Fu Monster ini di pawagam berhampiran bermula pada 3 Januari 2019:

1) Filem yang mudah untuk dihadam jalan ceritanya kerana naskhah ini merupakan sebuah filem fantasi yang bergerak sehala. Ada satu dua perubahan plot tetapi ia sudah boleh diagak namun hasilnya tetap menarik untuk ditonton dan dihayati.

2) Kekuatan utama filem ini dari kaca mata aku ialah elemen komedinya yang dapat ditonton daripada awal filem sehingga kepada penamatnya. Ada sahaja perkara yang pasti akan menggeletek hati anda untuk bergelak ketawa beramai-ramai di panggung nanti.

3) Props serta busana yang digunakan di dalam filem ini bagi aku agak cantik dan sesuai dengan latar penceritaan.


Permulaan tontonan filem yang baik kerana Kung Fu Monster ini sememangnya sangat menghiburkan untuk ditonton di pawagam berhampiran anda bermula pada 3 Januari 2019. Jadi, selamat menonton filem Kung Fu Monster dan jangan lupa kongsikan pandangan anda melalui komen di ruangan komen di bawah. Sekian!

P/S : Esok (3 Januari 2019) Merupakan Hari Dimana Banyak Filem Baru Ditayangkan. Filem Mana Yang Menjadi Pilihan Dan Akan Ditulis Ulasannya Disini? Nantikan!

Catat Ulasan

2 Ulasan

  1. Menarik dan kelakar juga ni kalau pergi menonton di wayang hari ni..hehe..

    BalasPadam
    Balasan
    1. memang layan dan terhibur juga dengan dialog-dialog kelakar dalam filem nih
      selamat menonton

      Padam