Review Filem Cold Pursuit


Filem:
Cold Pursuit

Penilaian:
7/10

Pengarah:
Hans Petter Moland

Genre:
Aksi & Ngeri

Pelakon:
Liam Neeson, Laura Dern, Emmy Rossum, Tom Bateman, Michael Richardson, Michael Eklund,
Bradley Stryker, Wesley MacInnes, Domenick Lombardozzi, Benjamin Hollingsworth, Tom Jackson & Etc.

Tarikh Tayangan:
21 Februari 2019

Pengedar:
TGV Pictures & Square Box Pictures

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan Nels Coxman yang hidup dalam keadaan aman dengan isteri serta anak lelakinya. Namun segalanya berubah apabila anak lelaki kesayangannya dibunuh oleh sekumpulan geng kartel dadah. Lebih memilukan ialah apabila pembunuhan tersebut dibuat seolah-olah anak lelaki Nelx Coxman mati disebabkan kesan `overdose` akibat pengambilan dadah yang berlebihan. Kematian anaknya membuatkan Nelx Coxman kini bertekad mahu membalas dendam terhadap kumpulan kartel dadah yang terlibat di dalam komplot pembunuhan anaknya. Berjayakah dia menjejaki mereka dan menuntut belas atas kematian anaknya? Saksikan filem menarik ini di pawagam berhampiran anda pada 21 Februari 2019 untuk mengetahui jawapannya.

Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah mendapat jemputan daripada TGV Pictures untuk menghadiri Tayangan Premier Filem Cold Pursuit bertempat di TGV Cinemas One Utama pada 20 Februari 2019 yang lepas. Filem ini sebenarnya merupakan sebuah filem pembuatan semula atau 'remake' dari sebuah filem Norway yang telah dihasilkan pada tahun 2014 dengan tajuk filemnya In Order Of Disappearance. Lebih menghairankan lagi kerana kedua-dua filem ini diarahkan oleh pengarah yang sama iaitu Hans Petter Moland. Jarang sebenarnya untuk melihat pengarah yang sama membuat dan menerbitkan semula filemnya sendiri. Jadi, apakah keistimewaan filem Cold Pursuit ini?


Jika kita lihat pada barisan pelakonnya, pasti sebuah nama ini menjadi tumpuan ramai. Mengetahui Liam Neeson memainkan peranan sebagai watak utama filem Cold Pursuit ini sahaja sudah pasti memberikan anda bayangan awal atau mungkin juga jawapan muktamad dimana filem ini pastinya akan memaparkan babak-babak aksi serta pembunuhan yang bermotifkan balas dendam serta melibatkan isu-isu jenayah besar. Walaupun umum mengetahui bahawa Liam Neeson sudah pun mengjangkau usia 66 tahun, namun kami harus akui bahawa wataknya sebagai Nels Coxman di dalam filem ini masih mempunyai aura tersendiri dan berjaya menyampaikan elemen komedi gelap dengan begitu bersahaja.



Pada awalnya, filem Cold Pursuit ini dimulakan dengan pengenalan awal yang bergerak dengan begitu perlahan. Tetapi, pengenalan awal filem ini yang sangat lembab berjaya di selamatkan dengan permainan sinematografi yang begitu bijak bermain dengan pemandangan bandar Kehoe bersalji sebagai latar tempat. Paparan visualnya sangat cantik dan pasti memukau sesiapa sahaja yang menyaksikannya di layar perak. Namun, penceritaan filem ini mula menampilkan sesuatu yang menarik apabila watak Nels Coxman ini kehilangan anaknya Kyle yang dikatakan mati akibat pengambilan dadah yang berlebihan. Konflik semakin menarik apabila Nelx ditinggalkan isterinya yang sentiasa menyalahkannya serta menganggap suaminya tidak menyayangi anak lelaki mereka. Ini dibuktikan melalui permainan emosi apabila jawapan yang diterima oleh isterinya tentang beberapa soalan berkaitan anak mereka tidak dapat dijawab oleh Nels. Disebabkan rasa tekanan dan kekosongan maka Nels Coxman mengambil keputusan untuk membunuh diri dengan cuba menembak dirinya sendiri sebelum dihentikan oleh rakan anaknya yang menceritakan kejadian sebenar. Selepas babak ini maka perkembangan cerita Cold Pursuit mulai bertambah menarik sehingga kepada pengakhirannya dimana para penonton akan menyaksikan perjalanan Nels Coxman di dalam misi menjejaki siapa sebenarnya yang terlibat di dalam membunuh anaknya.



Secara dasarnya, walaupun naratif filem Cold Pursuit secara keseluruhannya bergerak sederhana namun ia tidak menjadi masalah kepada penonton kerana filem ini berjaya membina setiap watak yang wujud di dalam filem ini dengan cemerlang. Secara tidak langsung para penonton dapat menangkap serta memahami setiap watak dan kisah mereka dengan lebih jelas dan tersusun. Memandangkan filem ini merupakan sebuah filem aksi jenayah kejam yang disulami dengan komedi gelap maka penonton akan disajikan dengan pelbagai jenis kejadian pembunuhan serta pelupusan mayat yang menarik dan kreatif tetapi mengerikan. Namun, apa yang menarik perhatian kami ialah bagaimana filem ini berjaya meredakan ketegangan penonton sewaktu menyaksikan babak-babak pembunuhan kejam ialah melalui elemen komedi gelap yang disuntik masuk ke dalam setiap babak tersebut. Jelas terbukti kaedah yang diguna pakai ini berjaya membantu penonton untuk merasa lebih tenang, terhibur dan menyukai keseluruhan cerita filem Cold Pursuit ini.


Satu perkara lagi yang turut menarik perhatian kami tentang filem Cold Pursuit ini ialah keterbukaannya di dalam memaparkan adegan dan dialog yang sangat berbaur perkauman. Ini dapat dilihat dengan jelas di dalam banyak babak pertikaian atau pertemuan di antara golongan kulit putih dan golongan orang asli sepanjang filem ini berlangsung. Salah satu babak berkaitan yang menarik untuk dilihat disini ialah sebuah babak yang berlaku di sebuah hotel. Babak ini memaparkan kumpulan mafia yang terdiri daripada puak orang asli yang mengugut pekerja di kaunter pertanyaan hotel yang pada awalnya bersikap rasis kepada mereka. Lebih menarik apabila pada babak seterusnya, layanan yang diterima mereka sangat baik walaupun hakikatnya mereka menyedari itu semua hanyalah sandiwara disebabkan rasa takut golongan kulit putih apabila mengetahui mereka mempunyai pengaruh dan kuasa di kawasan tersebut. Ia sebenarnya sebuah paparan yang cukup menarik dan berani untuk memberitahu sesuatu kepada penonton bahawa sikap rasis ini sebenarnya berlaku di seluruh dunia melalui situasi yang sama dan ia mudah dilihat atau dirasai buat sesiapa yang terlibat di dalam situasi tersebut. 


Unsur homoseksual nampaknya semakin tidak dapat lari untuk diperkatakan di dalam filem-filem luar sebegini dan filem Cold Pursuit turut sama menampilkan perkara tersebut. Namun, bagaimana perkara ini dipaparkan tanpa potongan diakui berjaya menambah nilai kepada plot penceritaannya untuk menjadi lebih menarik. Namun, kami secara jujurnya mengakui filem ini memang sesuai dengan klasifikasi yang diberikan iaitu untuk tontonan 18 tahun ke atas. Ini disebabkan filem ini sangat tidak sesuai untuk ditonton oleh kanak-kanak bukan sahaja disebabkan perkara-perkara berkaitan rasis mahu pun unsur LGBT. Tetapi, ia juga kerana babak-babak pembunuhannya terlampau kejamnya yang dipaparkan dalam keadaaan seolah-olah ia kelihatan benar-benar terjadi. Ditambah pula dengan kesan audio serta solekan ngeri yang dilakukan membuatkan babak-babak ini betul-betul meresahkan penonton dewasa apatah lagi jika kanak-kanak yang menontonnya. 



Namun, keunikan tersendiri yang dapat dilihat di dalam filem Cold Pursuit ini sehingga mengingatkan kami kepada sebuah filem Jepun berjudul Battle Royale ialah nama-nama wataknya yang mati pasti akan ditulis semula dan dipaparkan maklumat penuh nama serta nama panggilannya kepada penonton. Pada satu sudut, ia membantu penonton untuk lebih tahu dan mengenali watak mana yang sebenarnya mati kerana begitu banyak watak-watak di dalam filem ini yang akan dimatikan dengan pelbagai jenis cara dan situasi. Namun, pada masa yang sama, kami melihat ia juga seolah-olah sebagai satu gurauan serta penghormatan menarik buat penonton untuk merasa tertawa apabila melihat nama-nama gelaran para si mati yang dipaparkan berbunyi sangat gah dan ganas. Perkara ini yang berjaya melengkapkan filem Cold Pursuit untuk diangkat sebagai sebuah filem aksi jenayah komedi gelap yang begitu menghiburkan.


Filem Cold Pursuit ini sebenarnya menampilkan sebuah penceritaan berkonsepkan jalan cerita sehala sahaja. Tidak ada persoalan-persoalan yang diberikan kepada penonton untuk difikirkan. Babak aksi yang dipaparkan pula secara keseluruhannya menarik walaupun aksi yang ditampilkan oleh Liam Neeson agak minima. Mungkin disebabkan faktor usia. Elemen humornya pula sama ada babak lucu atau komedi gelap diakui sememangnya berjaya menghiburkan keseluruhan penonton dengan jayanya. Sesiapa sahaja yang menonton pasti tidak dapat lupakan dua babak yang sangat melucukan. Babak pertama ialah surat yang ditinggalkan tanpa sebarang tulisan manakala babak kedua pula sewaktu anak watak antagonis Trevor Viking diculik oleh Nels Coxman mendengar cerita berkaitan kehebatan trak pencuci salji jalanan yang begitu menghiburkan.


Kesimpulannya, filem Cold Pursuit tidak lah sehebat filem lakonan Liam Neeson yang lain seperti Taken, Batman Begins atau Unknown. Tetapi, filem ini masih menarik dan menghiburkan untuk ditonton. Kami juga sangat yakin bahawa membeli tiket untuk menonton filem ini adalah keputusan yang berbaloi. Jadi, jangan lupa untuk kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini. Selamat menonton dan semoga terhibur!

P/S : Filem Seterusnya Yang Akan Diulas Ialah Filem Happy Death Day 2U. Nantikan Ulasannya!

Catat Ulasan

2 Ulasan

  1. Amat tak disangka film dia mcm ni. Terhibur dan gerun... gerun sebab first time tengok Gangster Red Indian, heheh

    BalasPadam
    Balasan
    1. filem-filem lakonan Liam Neeson memang konsep macam nih
      tetapi memang seronok lah tengok puak kartel Red Indian dalam filem Cold Pursuit nih
      hehehe

      Padam