Filem:
Hanum & Rangga: Faith In The City
Penilaian:
6/10
Pengarah:
Benny Setiawan
Genre:
Drama & Romantik
Pelakon:
Acha Septriasa, Rio Dewanto, Ariffin Putra, Titi Kamal, Alex Abbad,
Ciara Nadine Brosnan, Ayu Dewi, Tyson Lynch, Alexandra Gottardo, Timo Scheunemann & Etc.
Tarikh Tayangan:
28 Februari 2019
Pengedar:
Antenna Entertainments
Sinopsis:
Penilaian:
6/10
Pengarah:
Benny Setiawan
Genre:
Drama & Romantik
Pelakon:
Acha Septriasa, Rio Dewanto, Ariffin Putra, Titi Kamal, Alex Abbad,
Ciara Nadine Brosnan, Ayu Dewi, Tyson Lynch, Alexandra Gottardo, Timo Scheunemann & Etc.
Tarikh Tayangan:
28 Februari 2019
Pengedar:
Antenna Entertainments
Sinopsis:
Filem ini mengisahkan Hanum( Acha Septriasa) yang merupakan seorang wartawan bertudung yang ingin mengubah pandangan dunia Islam dengan perjudian besar meninggalkan keluarganya dan kepercayaannya. Sementara Rangga (Rio Dewanto) ragu-ragu atas pilihannya untuk mengorbankan harga dirinya sebagai ketua rumah tangga, untuk menjaga perasaan istrinya dari mimpi yang menaklukkan di kota ini. Hanum dan Rangga tiba di lapangan terbang JFK, namun kota New York rupanya memerlukan mereka untuk terus tinggal disitu. Andy Cooper (Ariffin Putra) dari Global New York TV (GNTV) menawarkan satu kesempatan yang mustahil untuk ditolak Hanum iaitu menjadi penerbit program acara televisyen GNTV yang membuat liputan dunia islam dan Amerika. Ia merupakan satu cita-cita yang selama ini diimpikan Hanum. Namun demikian, Hanum merasa dia tidak dapat menerima tawaran tersebut kerana dia harus kembali ke Vienna bersama Rangga. Tetapi, Rangga yang memahami kehendak dan impian isterinya, akhirnya mengizinkan Hanum untuk menerima tawaran Cooper yang membuatnya harus menunda dahulu tugas sebagai pelajar yang telah menunggunya di Vienna. Tuntutan pekerjaannya yang membuat Hanum sering pulang larut malam. Rangga yang merasa kesepian, berusaha untuk mengisi kekosongan waktunya dengan bekerja tanpa gaji di perpustakaan Philipus Brown, tempat yang sama dia mengenal AZIMA HUSSIEN (Titi Kamal). Azima dilihat sangat mengangumi Rangga dan membuat Hanum justeru cemburu. Adakah Hanum mampu mengelak pesona Cooper dan kota New York? Mampukah Rangga mempertahankan cinta sejatinya dari impian yang membelitnya? Atau jangan-jangan…. Impian yang menjadi kenyataan tetaplah hanyalah sebuah khayalan, jika kita melupakan iman dan keyakinan? Saksikan filem ini di pawagam berhampiran anda pada 28 Februari 2019 untuk mengetahui jawapannya.
Ulasan:
Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah dijemput oleh pihak Antenna Entertainments untuk menonton filem Hanum & Rangga: Faith In The City di MMcineplex E Curve pada 26 Februari 2019 yang lepas. Filem ini merupakan hasil adaptasi daripada sebuah novel paling laris berjudul Faith In The City yang ditulis oleh Hanum Salsabiela dan Rangga Almahendra. Kami tidak meletakkan harapan yang tinggi kepada filem ini pada peringkat awalnya memandangkan filem ini bergenre romantik. Namun, sangkaan kami meleset kerana filem ini berjaya lari daripada dimensi kisah cinta yang lazimnya menawarkan kisah-kisah cinta stereotaip yang berpijak di atas fantasi semata. Filem ini membawakan sebuah perjuangan yang berpaksikan kepada cinta. Cinta kepada hubungan, kerjaya, agama, keamanan dan penghormatan. Ini yang menjadikan filem yang berdurasi 1 jam 30 minit ini mampu membuatkan sesiapa sahaja yang menonton sama ada menyukai filem sebegini atau sebaliknya akan jatuh hati dengan penceritaannya yang separa berani untuk bersuara kepada dunia.
Satu perkara utama yang menarik perhatian kami apabila melihat filem ini memilih untuk mengupas apa yang berlaku pasca tragedi serangan 9 November 2001 yang telah meranapkan menara berkembar World Trade Center (WTC) dan mencetuskan agenda Islamophobia yang meragut kegembiraan umat Islam dengan pantasnya di seluruh dunia. Menghasilkan sebuah filem beralaskan sebuah isu popular seantero dunia yang telah berlaku pada 18 tahun lepas sememangnya merupakan satu cabaran yang bukan biasa-biasa. Ini kerana filem-filem sebegini memerlukan satu medium tenaga yang kuat untuk menyokongnya menjadi sebuah naskhah yang menarik untuk dimainkan di layar perak dan tenaga tersebut harus datang daripada dua perkara iaitu skrip cerita yang kukuh serta penjiwaan watak para pelakonnya perlu cemerlang sehabis mungkin.
Hanum & Rangga: Faith In The City memerlukan satu frasa yang kuat untuk diungkapkan untuk menguatkan jalan ceritanya seterusnya menarik perhatian para penonton untuk diingati saat menonton filem ini. Lantas apabila sebuah dialog hebat mula dicetuskan pada pertengahan filem ini yang berbunyi,"Adakah dunia akan lebih baik tanpa Islam?" maka ia merupakan satu persoalan panas yang menarik dan bukan sekadar mengusik hati tetapi juga mengundang pelbagai jawapan daripada para penonton untuk memikir, menjawab, menidakkan mahu pun membuktikannya itu tidak benar atau sebaliknya. Ia kelihatan menarik apabila filem ini bijak bermain dengan ayat tersebut dengan membawa penonton melihat dan mengaitkannya dengan kehidupan dan tindakan para watak di dalam filem ini dalam setiap babak-babak sama ada dari segi hubungan suami isteri, kisah ibu tunggal, nilai-nilai murni saat bekerja dan juga berkaitan dengan pantang larang serta hukum-hakam agama Islam itu sendiri.
Filem Hanum & Rangga: Faith In The City ini membawa kita untuk melihat semua itu melalui cabaran sosok seorang wartawan muda muslimah bernama Hanum Rais ini yang dipaparkan berhempas pulas untuk menukar persepsi masyarakat bukan muslim serta muslim itu sendiri bahawa dunia sebenarnya adalah lebih baik dengan adanya Islam. Namun, perkara yang menarik disini ialah perjalanannya serta tindakan yang dipilih Hanum untuk mengejar impiannya tersebut pula berlawanan dengan nilai-nilai yang diterapkan Islam itu sendiri. Ini dapat dilihat kepada konflik menarik yang ditimbulkan di dalam filem ini bermula dengan dilema Hanum sebagai seorang isteri yang mempunyai impian dan ingin mengejar cita-citanya untuk bekerja di Global New York TV (GNTV) namun pada masa yang sama tersepit dengan tanggungjawabnya sebagai seorang isteri kepada Rangga. Manakala Rangga pula tersepit dengan status serta egonya sebagai suami yang pada masa sama tercabar dengan beberapa tindakan Hanum yang dilihat membelakanginya dalam banyak perkara walaupun sudah pun bertegas dan berkeras melarang tindakan isterinya namun telah pun diingkari oleh Hanum sendiri.
Ia menjadi semakin menarik apabila kedua-dua watak ini sebenarnya mewakili suara para isteri dan suami di luar sana. Hanum mewakili suara wanita bekerjaya yang punya impian seperti kaum lelaki untuk dikejar namun bersikap ego memberontak apabila merasakan pengorbanan mereka seolah-olah tidak dihargai. Tetapi, konflik yang tercetus pada watak ini yang bagus untuk dilihat ialah Hanum ingin memperbetulkan persepsi salah masyarakat tentang Islam itu sendiri tetapi pada masa yang sama dia telah berlawan dengan hukum-hakam berkaitan taat setianya kepada si suami. Memang ini merupakan sebuah permasalahan hebat yang berjaya disuntik masuk ke dalam penceritaan dan menjadikan para penonton sendiri pun dapat merasai rasa berbelah bahagi yang dihadapi oleh Hanum yang sememangnya mencabar sesiapa pun yang berada di tempatnya.
Manakala Rangga pula mewakili suara dalaman sebahagian para lelaki yang lebih memilih untuk bersabar dan sukar untuk berterus-terang tanpa kiasan memandangkan wanita sememangnya merupakan makhluk hidup yang kompleks. Konflik menjadi klimaks apabila kedua-dua watak ini yang awalnya bahagia mula memasuki fasa ancaman penceraian melalui beberapa isu integriti kepercayaan dan agama yang membuatkan filem ini bukan sekadar sebuah filem romantik biasa tetapi sebenarnya punya kuasa sihirnya yang tersendiri. Lihat sahaja perihal yang disuap kepada penonton tentang kisah ibu tunggal yang sering dipandang negatif serta kelemahan lelaki yang gagal memahami tutur kata wanita yang tidak sama seperti mana yang diucapkannya menjadikan kisah perhubungan Hanum & Rangga ini semakin menarik walaupun ada naik turunnya.
Namun, filem ini dilihat berdepan dengan kelemahan struktur jalan ceritanya sewaktu melibatkan situasi pekerjaan Hanum bersama Global New York TV (GNTV). Walaupun watak Andy Cooper dan Sam berjaya mencetuskan impak tersendiri di dalam filem Hanum & Rangga: Faith In The City ini namun isu dalaman media yang dipaparkan ada sesetengahnya kelihatan terlalu mencuba dan tidak berpijak di bumi yang nyata. Berbicara tentang jumlah penonton sesebuah rancangan atau rating adalah 'tuhan' kepada syarikat-syarikat media itu adalah satu kebenaran yang menarik untuk didedahkan namun apabila terlalu bercita-cita tinggi untuk memartabatkan bahasa tempatan dengan mengikut jejak industri Hollywood dan Bollywood menjadikan ia sesuatu yang menyedihkan buat filem ini untuk ditonton. Bersiaran secara langsung dengan berbahasa melayu Indonesia di sebuah rancangan televisyen yang ditonton oleh majoriti manusia yang bertutur bahasa Inggeris dan tiba-tiba berjaya memberi impak yang sangat pantas kepada seluruh masyarakat adalah sebuah perkara yang sangat melucukan. Ditambah dengan babak susun atur kerja produksi sebelum dan semasa siaran langsung rancangan dibuat juga menjadikannya ia lebih rumit untuk diterima. Lebih mengecewakan lagi apabila pengakhiran filem ini di dalam menghukum watak Andy Cooper dengan penyelesaian plot yang tidak mencabar dengan masih 'bertuhankan' perihal wang sememangnya merugikan dan seolah-olah mensia-siakan momentum bertenaga yang telah dibawakan dengan gahnya pada pertengahan filem ini. Mungkin bagi segelintir penonton tiada masalah tentang hal ini dan terhibur sepanjang waktu. Bagi yang mengetahui dan terlibat di dalam perkara yang sama pasti akan mempersoalkan hal ini disebabkan nilai logiknya yang tiada. Sama isunya apabila doktor bersuara tentang babak perubatan di dalam filem mahu pun pihak tentera yang mempersoalkan isu disiplin anggotanya di dalam drama.
Namun, harus diakui para pelakon yang terlibat di dalam filem Hanum & Rangga: Faith In The City ini berjaya memberikan persembahan lakonan yang menarik dengan menjiwai watak masing-masing dengan cukup mendalam dan menyampaikan emosi tersebut dengan begitu bersemangat sekali. Permainan emosi dalaman dan dugaan yang dihadapi Hanum dapat diterjemahkan dengan baik oleh Acha Septriasa. Manakala Rio Dewanto yang bertindak sebagai Rangga juga dilihat bijak bermain ekspresi wajah di dalam meluahkan atau menyembunyikan sesuatu yang dirasai oleh watak tersebut tetapi ia sampai kepada penonton yang menonton perjalanan watak ini. Namun, pujian harus diberikan kepada Alex Abbad yang memegang watak sebagai Sam atau Samantha dimana walaupun karakter watak ini agak negatif kerana membawa watak yang boleh dipercayai songsang jiwanya namun ia menyumbang elemen humor yang begitu menceriakan keseluruhan filem ini.
Sinematografi filem ini yang berlatar belakangkan kota New York juga wajar dipuji kerana keindahan visualnya. Gabungan rakaman time lapse, establish shot serta suntingan pantas membantu di dalam penghasilan panorama yang cukup indah untuk filem Hanum & Rangga: Faith In The City ini. Dibantu pula dengan keindahan melodi dan lirik lagu Satu Sayap Tertinggal nyanyian penyanyi wanita hebat Krisdayanti menjadikan filem ini kelihatan bergaya dan gah daripada sudut tersebut.
Kesimpulannya, filem Hanum & Rangga: Faith In The City ini masih merupakan sebuah naskhah yang menghiburkan. Ia mempunyai kekuatan tersendiri dan boleh dikatakan mempunyai segala-gala yang diperlukan di dalam sesebuah filem bergenre sebegini. Walaupun mempunyai kelemahan seperti yang telah dinyatakan di dalam ulasan ini, ia masih boleh dikatakan sebuah filem yang berbaloi untuk ditonton di panggung wayang. Jadi, selamat menonton filem Hanum & Rangga: Faith In The City pada 28 Februari 2019 nanti. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Semoga terhibur!
P/S : Filem Seterusnya Yang Akan Diulas Ialah Sebuah Filem Malaysia Berjudul Banglasia 2.0 Yang Pernah Mencetuskan Kontroversi Sebelum Ini. Nantikan Ulasannya!
0 Ulasan