Review Filem Hide And Seek Minako


Filem:
Hide And Seek Minako

Penilaian:
4/10

Pengarah:
Billy Christian

Genre:
Seram

Pelakon:
Miller Khan, Nicky Tirta, Ario Astungkoro, Novinta Dhini, Regina Rengganis & Etc.

Tarikh Tayangan:
28 Februari 2019

Pengedar:
Horizon Film Entertainment Sdn Bhd & TGV Pictures

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan seorang pemuda profesional bernama Baron yang mendapat jemputan ke parti perjumpaan sekolah menengah bersama Gaby teman wanitanya. Pada mulanya, Baron tidak berminat untuk datang ke pesta tersebut. Namun, sejak Gaby berkeras dan Baron juga sangat mencintainya, dia memaksa dirinya untuk datang bersama dan mengambil Gaby dari parti. Ketika Baron tiba di parti , nampaknya Gaby dan semua rakannya hilang. Tempat parti itu tiba-tiba terasa sangat menyeramkan dan tiada siapa yang berada di sana. Baron mula menyiasat tempat itu, mencari Gaby dan kawan-kawannya. Ketika menjelajah tempat mencari Gaby dan kawan-kawannya, Baron terperangkap dalam banyak situasi yang pelik dan menakutkan. Dalam usaha mencari Gaby, Baron bertemu dengan salah seorang sahabatnya , bernama Kaisar yang ketakutan dan memberitahunya bahawa parti perjumpaan itu berubah menjadi neraka kerana Vindha, gadis yang mempunyai perasaan kepada Baron di sekolah menengah memulakan game misteri yang dipanggil Hide And Seek Minako. Baron tetap berkeras untuk mencari Gaby dan semua temannya. Bersama-sama dengan Kaisar, dia meneruskan pencariannya dan mengetahui bahawa permainan Hide and Seek Minako ini sangat menakutkan kerana hanya seorang sahaja daripada semua pemain ini yang akan dapat bertahan. Adakah Baron dan Kaisar akan dapat mencari Gaby dan menyelamatkannya serta kawan-kawannya yang lain dari Minako? Adakah mereka boleh memenangi permainan ini? Siapa yang akan bertahan dalam permainan Hide and Seek Minako ini? Saksikan filem seram ini di pawagam berhampiran anda pada 28 Februari 2019 untuk mengetahui jawapannya.

Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah dijemput oleh pihak Horizon Film Entertainment Sdn Bhd dan TGV Pictures untuk menonton filem Hide And Seek Minako di TGV Cinemas One Utama pada 25 Februari 2019 yang lepas. Aku sebenarnya tidak meletakkan harapan yang tinggi selepas menonton trailer filem ini. Bagi aku tahap keseraman yang wujud di dalam trailer tersebut hanya berada pada paras tahap budak sekolah rendah sahaja. Namun, aku secara peribadi amat menyukai hasil poster filem Hide And Seek Minako ini yang mempunyai unsur komersial dan keseraman yang sangat menarik untuk memancing penonton bagi membeli tiket dan menonton filem ini di panggung wayang.


Terlebih dahulu, aku ingin menyentuh serba sedikit tentang fokus utama filem ini terhadap permainan Hide And Seek Minako. Sebenarnya, menjadikan permainan yang kita panggil sewaktu kecil dengan pelbagai panggilan yang antaranya disebut 'main sembunyi-sembunyi' ini untuk dijadikan sebagai tiang pasak kepada penceritaan filem boleh dikatakan sudah berada di landasan yang sangat betul dan kelihatan menarik. Tetapi, sayang seribu kali sayang kerana plot penceritaannya bukan sahaja kelihatan lemah tetapi agak huru-hara, tidak dramatik dan terlalu banyak drama yang tidak perlu diadakan. Banyak babak-babak yang sebenarnya ingin memaparkan rasa tidak puas hati atau dendam sesama mereka yang disimpan di dalam hati dan fikiran sewaktu zaman belajar dahulu. Namun, cara ia disampaikan sangat kebudak-budakan yang tidak melambangkan langsung bahawa mereka ini sudah dewasa. Lihat sahaja tentang watak Mami, Poltak dan beberapa watak lagi yang mengungkapkan frasa dialog yang sia-sia terutamanya pada satu babak yang memaparkan watak Poltak itu sendiri yang tidak membenarkan Baron untuk duduk sama bersembunyi di kawasannya atas sebab dendam zaman sekolah. Aku memahami rasa marah Poltak itu tetapi cara penyampaiannya, situasinya serta fizikalnya itu langsung tidak menyokong babak tersebut untuk mendapat penerimaan yang sepatutnya daripada sesiapa pun yang menonton. Ia kelihatan kosong dan sia-sia!


Aku secara peribadi sangat suka dengan filem-filem yang menggunakan konsep penceritaan yang disampaikan menggunakan cara babak imbas kembali. Filem Hide And Seek Minako ini juga tidak terkecuali menggunakan cara yang sama. Pada mulanya ia agak cantik dan berkesan namun lama kelamaan ia bertukar menjadi konsep 'kebetulan yang disengajakan'. Ini sebenarnya menghilangkan rasa teruja dan melahirkan nikmat bosan sepanjang menonton filem ini. Bayangkan hampir setengah watak di dalam filem ini berubah karakter mereka dan apa yang menyedihkan kekerapan penggunaan babak imbas kembali telah digunakan sewenang-wenangnya untuk menyokong punca tersebut sambil memaksa penonton menerimanya dengan hati yang terbuka. Namun, hati aku sangat keras menolak cubaan ini kerana mustahil untuk menerima perkara yang sama berulang-ulang kali.  


Seperkara lagi yang sangat mengelirukan ialah berkenaan karakter dan fizikal hantu Minako serta para penjaga yang terkena sumpahan Minako itu sendiri. Lihat sahaja kepada hantu Minako yang mana roh Minako ini diseru dengan menggunakan boneka gemuk yang sungguh comel. Saat awal boneka ini membunuh mangsa pertamanya kelihatan agak kelakar dan sangat lah tidak menggerikan. Namun, aku agak menyukai cara pergerakan hantu minako ini dengan wajah bonekanya yang kelihatan cantik diukir. Tetapi, masalah seterusnya ini telah mencacatkan rasa seram yang sepatutnya aku rasai. Aku agak kecewa apabila melihat babak-babak yang memaparkan bagaimana caranya mangsa-mangsa ini dibunuh atau disumpah oleh Minako. Kekecewaan aku ini terhasil disebabkan cara pembunuhan Minako itu sendiri yang langsung tidak konsisten. Jangkaan awal aku tentang filem ini ialah apabila mangsa-mangsa yang sedang bersembunyi ini ditemui oleh Minako, nasib mereka akan menjadi seperti mana yang dapat ditonton di dalam filem seram Jepun berjudul As The Gods Will. Tetapi, ia berlainan di dalam filem ini dimana sebenarnya para mangsa boleh sahaja melarikan diri pada babak awal sewaktu bertemu Minako yang bergerak begitu lembab tetapi mereka tidak berbuat demikian. Sebaliknya lebih memilih untuk menjerit tanpa arah tuju sehingga menjengkelkan aku yang terpaksa menyaksikan babak-babak 'seram' tersebut. Ditambah lagi dengan watak hantu Minako ini yang tiba-tiba pula bergerak seakan-akan hantu di dalam filem Hong Kong dan ada ketikanya boleh pula terbang seperti superhero barat.  Karakter hantu Minako ini sahaja sudah cukup untuk mengelirukan aku sepanjang menonton filem ini.


Begitu juga dengan mangsa-mangsa yang dibunuh atau terkena sumpahan Minako ini yang kemudian akan berubah menjadi penjaga. Tetapi, malangnya disini ialah mereka yang bergelar penjaga ini dibentuk mengikut acuan zombi filem Korea. Walaupun diakui solekan serta mainan cahaya yang digunakan untuk babak-babak melibatkan penjaga 'zombi' ini agak cantik dan berjaya menimbulkan rasa seram namun aku melihat keasliannya telah hilang disitu. Sudahlah aku letih dengan watak Minako yang cukup mengelirukan dan kemudian ditambah pula dengan watak-watak 'zombi' ini yang menjadikan segala-gala seakan-akan tidak kena pada filem Hide And Seek Minako yang gah pada posternya yang memikat.


Filem ini sebenarnya mempunyai sinopsis yang menarik. Intipati kisahnya ada. Tetapi, sayang ia menjadi kacau bilau disebabkan terlalu ramai watak yang wujud dan boleh dikatakan hampir semua watak-watak ini ingin digali kisahnya untuk dipaparkan kepada penonton. Tidak menjadi kesalahan untuk melakukan perkara ini namun caranya tidak menjadi. Aku sangat suka untuk membandingkan filem ini dengan sebuah filem Jepun yang menjadi kesukaan aku iaitu Battle Royale. Filem tersebut mempunyai lebih ramai watak di dalam penceritaanya yang tidak silap aku melebihi 40 orang. Tetapi, lihat bagaimana filem ini membuatkan aku sebagai penonton boleh mengenali dan merasai kewujudan kesemua watak-watak itu dengan dekat walaupun ada beberapa watak yang hanya muncul dalam beberapa minit sahaja. Ini disebabkan cara filem tersebut memperkenalkan setiap karakter dengan gaya penceritaan berbeza tanpa terlalu berlebih-lebihan mengaplikasikan elemen cinta yang menyebabkan filem tersebut bebas daripada penjara kesilapan yang dihuni oleh filem Hide And Seek Minako ini yang terlalu gemar mengambil jalan selamat  menggunakan konsep selari pada setiap pembongkaran wataknya. 


Kesimpulannya, filem Hide And Seek Minako ini sepatutnya mampu dizahirkan mengikut acuan yang menarik. Filem ini sebenarnya sudah mempunyai rencah-rencah yang mencukupi untuk menghasilkan sebuah sajian sinema yang mengenyangkan. Namun, disebabkan penghasilannya tidak mengikut aturan masa atau menggunakan acuan yang sepatutnya menyebabkan hasilnya terbantat di dalam sebuah layar kaca yang gah di hadapan mata. Tidak salah untuk anda menonton kerana ada sahaja yang sukakan filem ini. Namun, saranan aku adalah lebih baik untuk anda semua yang ingin menonton agar tidak terlalu meletakkan harapan yang tinggi kepada filem ini. Jadi, selamat menonton filem Hide And Seek Minako di pawagam seluruh Malaysisa bermula pada 28 Februari 2019 nanti. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Akan Diulas Ialah Sebuah Lagi Filem Dari Indonesia Berjudul Hanum Dan Rangga. Nantikan Ulasannya!

Catat Ulasan

4 Ulasan

  1. Terima kasih Hans kerana telah review dan menyelamat saya dari tonton film ini. Dgn itu lebih baik minggu ni saya layan Misteri Dilaila Ver.01 je, heheh

    BalasPadam
    Balasan
    1. hahahaha
      pergilah tonton Minako nih
      mana tahu kalau kena dengan citarasa
      sebab ramai juga yang suka
      cuma untuk Hans, memang tak berapa lah

      Padam
  2. Saya amat confident dgn review Hans, seiring dgn tagline "Ulasan Filem Yg Boleh Dipercayai", kalo tak bagos, memang confirm la tak bagos nya, heheheh...

    BalasPadam