Review Filem Luka Chuppi


Filem:
Luka Chuppi

Penilaian:
5/10

Pengarah:
Laxman Utekar

Genre:
Komedi & Romantik

Pelakon:
Kartik Aaryan, Kriti Sanon, Aparshakti Khurana, Pankaj Tripathi & Etc.

Tarikh Tayangan:
1 Mac 2019

Pengedar:
Suraya Filem

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan seorang lelaki bernama Guddu yang merupakan seorang wartawan televisyen Mathura. Guddu telah jatuh cinta pandang pertama dengan seorang wanita bernama Rashmi yang merupakan anak perempuan kepada ketua parti politik. Guddu melakukan kejutan dengan melamar Rashmi namun Rashmi yang masih belum bersedia mencadangkan agar mereka berdua mempraktikkan amalan tinggal bersama untuk mengenali pasangan sebelum membuat keputusan untuk berkahwin atau tidak. Namun, amalan tersebut sebenarnya ditentang oleh ayah Rashmi di dalam kempen politiknya. Jadi, Rashmi dan Guddu melakukan perkara tersebut secara tetapi akhirnya perkara sebaliknya berlaku apabila perbuatan tersebut telah diketahui oleh kedua-dua pihak. Untuk menyelamatkan diri, mereka berpura-pura bahawa mereka sudah berkahwin dan tindakan tersebut telah menyebabkan masalah lebih besar berlaku. Apa sebenarnya yang terjadi? Saksikan filem lucu ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 1 Mac 2019 untuk mengetahui kisah seterusnya.

Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah menonton sebuah filem Bollywood berjudul Luka Chuppi di TGV Cinemas Jaya Centre pada 1 Mac 2019 yang lepas. Filem ini mengetengahkan beberapa isu anak muda zaman kini dengan menggunakan pendekatan secara santai dan humor disamping menerapkan elemen-elemen wajib yang perlu ada di dalam isi penceritaan filem Bollywood iaitu kisah cinta dan nilai kekeluargaan yang tinggi. Topik utama filem sebenarnya memberi satu fokus tentang kewajaran pasangan bercinta untuk tinggal bersekedudukan walaupun belum berkahwin untuk mengenali pasangan masing-masing terlebih dahulu. Hal ini sangat bertentangan dengan hukum-hakam agama Islam. Namun, apabila menonton penceritaan filem ini sehingga habis maka dapat dilihat bahawa hakikat yang dipaparkan secara tersirat memaparkan kepentingan berkahwin mengikut konteks masyarakat disana telah menyatakan secara terang bahawa amalan berkahwin adalah lebih mulia dipandang dan dipraktikkan berbanding amalan bersekedudukan yang mengundang pelbagai jenis fitnah dan malapetaka di dalam kehidupan. 



Filem Luka Chuppi ini sebenarnya berjaya memaparkan tentang banyak perkara bermula dengan kebaikan dan keburukan kepada pasangan yang memilih untuk tinggal bersama tanpa bernikah. Disamping itu, secara sampingan juga filem ini cuba memaparkan budaya politik yang konservatif yang menggunakan pelbagai cara termasuk agama demi meraih undi dan perbuatan tersebut telah menindas kehidupan anak-anak muda sehingga akhirnya apabila ahli politik ini sedar bahawa anak-anak muda ialah penyumbang kemenangan maka mereka pula beralih dengan mengganti ideologi keagamaan dengan hiburan pilihan anak muda. Jadi, dapat dilihat disini agama telah menjadi satu alat buat mana-mana golongan politik di seluruh dunia untuk diperalatkan sewaktu diperlukan dan sebaliknya apabila ia memberi kesan negatif kepada parti mereka. Selain itu, filem ini juga memaparkan tentang kepercayaan nenek moyang yang tidak membenarkan amalan langkah bendul dimana si adik berkahwin dahulu sebelum si abang. Ini adalah salah satu kepercayaan yang sebenarnya membebankan pihak-pihak yang terbabit dan cuba dipaparkan di dalam visual filem ini sebagai salah satu bahan didikan senyap untuk menyedarkan penonton konservatif tentang amalan lama yang sudah tidak sesuai dipakai buat masa sekarang.


Filem Luka Chuppi ini sebenarnya sangat menghiburkan tetapi ia perlu menunggu masa agak lama untuk penonton dapat menikmatinya. Permulaan awal filem ini sebenarnya agak lemah dimana hubungan cinta antara Guddu dan Rashmi ini terlalu cepat terjalin tanpa ada sebab musabab yang kuat. Memang ada dipaparkan tentang ugutan Guddu kepada abangnya bahawa dia akan berkahwin dahulu namun untuk Rashmi menerimanya walau dalam keadaan hanya percubaan untuk tinggal bersama sahaja terlebih dahulu tanpa berkahwin sudah membuktikan penceritaan filem ini pada awalnya agak tidak masuk akal dan sangat tergesa-gesa. Cuma apa yang menarik pada sejam awal filem ini ialah sewaktu babak Guddu, Abbas dan Rashmi menemuramah penduduk-penduduk sekitar secara vox pop berkaitan pendapat setuju atau tidak amalan tinggal bersama pasangan sebelum berkahwin. Dapat dilihat jawapan-jawapan yang diwujudkan itu adalah realiti jawapan semasa mengikut pandangan ramai, lingkungan umur serta nilai sosio ekonomi setiap manusia. Antara yang menarik perhatian tentang luahan hati seorang janda tua yang menyatakan tentang perkahwinannya dimana lelakinya mabuk dan meninggalkannya tanpa sebarang anak mahu pun harta. Kata janda tersebut alangkah bagusnya jika sikap dan kelakuan suaminya itu diketahui awal sebelum berkahwin dan pasti dia tidak akan menikahi suaminya. Babak yang agak menarik ini sebenarnya yang berjaya membantu plot penceritaan kisah hubungan dua watak utama ini berkembang dengan baik pada pertengahan filem. 


Dan pertengahan filem Luka Chuppi mula berjaya mengisi hati penonton dengan plot penceritaannya yang penuh dengan humor dan suasana realistik budaya masyarakat tempatan yang terlalu gemar mengorek kisah kejiranan di sekeliling mereka dan menjadi manusia pertama untuk disebarkan. Hal ini menarik untuk dilihat dimana keaiban yang mereka sebar digunakan atas nama kebenaran, agama dan budaya yang perlu dipertahankan namun tanpa disedari bagaimana caranya mereka menemui keaiban itu juga adalah salah satu lagi aib yang lebih hina tetapi tidak dipersoal sesiapa. Perkara ini dapat dilihat kepada watak seorang jiran kepada Abbas dan Rashmi yang sentiasa menghendap-hendap dan mencuba pelbagai idea untuk memasuki rumah sewa pasangan berkenaan semata-mata untuk mencari sesuatu aib yang dipercayainya wujud untuk disebarkan. Ini juga adalah satu perkara yang menarik untuk diperhalusi kerana budaya ini juga wujud dengan mekarnya di bumi Malaysia ini.


Boleh dikatakan filem Luka Chuppi ini lebih terarah untuk mengkritik nilai polisi moral di kalangan masyarakat India dimana ia bukannya seratus peratus kesalahan di kalangan para anak muda tetapi sebenarnya berpunca daripada pihak yang lebih dewasa tanpa mereka sendiri sedari. Kritikan moral ini bukan sahaja berkaitan amalan bersekedudukan, fitnah liar masyarakat dan berkaitan keburukan perilaku pemimpin politi semata-mata tetapi juga merangkumi kritikan terhadap masyarakat Hindu disana yang berpandangan serong kepada masyarakat Islam yang boleh dilihat dengan jelas di dalam babak-babak yang melibatkan jurugambar Abbas yang beragama Islam. Walaupun ia dipaparkan secara komedi namun jelas dilihat subteks yang cuba diterjemahkan sebenarnya mengetawakan mereka-mereka yang bersikap diskriminasi ini terutama ahli politik yang bertalam dua mukanya.


Walaupun Luka Chuppi bukan sebuah filem Bollywood yang terlalu hebat penceritaannya untuk dibanggakan tetapi ia sudah memadai untuk membuatkan anda terhibur menonton perjalanan Guddu dan Rashmi di dalam misi untuk menghalalkan hubungan mereka yang disangkakan halal oleh kedua-dua belah pihak ahli keluarga. Babak pertengahan sehingga klimaks akan membuatkan anda sebagai penonton terhibur melihat pelbagai situasi yang perlu dihadapi oleh kedua-dua watak utama ini di dalam menyelesaikan masalah yang tercetus dek kerana pilihan mereka sendiri. Keserasian yang dipaparkan oleh pelakon Kartik Aaryan dan Kriti Sanon membantu para penonton untuk lebih mudah memahami karakter Guddu dan Rashmi ini dengan baik. Sebuah filem yang boleh dikatakan sederhana di dalam setiap perkara namun masih berbaloi untuk membelanjakan tiket bagi menonton filem komedi romantik ini.


Jadi, selamat menonton filem Luka Chuppi di pawagam-pawagam terpilih bermula pada 1 Mac 2019. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Akan Diulas Ialah Sebuah Filem Tamil Berjudul Thadam. Nantikan Ulasannya!

Catat Ulasan

0 Ulasan