Review Filem Satte


Filem:
Satte

Penilaian:
3/10

Pengarah:
Ray Dinesh David

Genre:
Jenayah, Drama & Ngeri

Pelakon:
Haridhass S, Lingeshvaran Maniam, Kuben Mahadevan, Senthil Kumaran Muniandy, Sangkari Elancheran & Etc.

Tarikh Tayangan:
28 Februari 2019

Pengedar:
DCinema

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan seorang pemuda bernama Aiyavu yang mahu menjadi gengster besar. Rakan baiknya, Mani sentiasa menyokongnya dalam segala perkara yang dilakukan. Kedua-dua gengster kecil ini bekerja dengan Veerana yang mengendalikan organisasi jenayah di bandar bagi ketua penjenayah Periya Anna. Pada suatu hari, Veerana telah memberikan tugas kepada Aiyavu untuk membuang senjata pembunuhan Periya Anna iaitu sepucuk pistol tetapi Aiyavu mengambil keputusan untuk menyimpannya dalam beberapa hari. Bagaimanapun, perkara sebaliknya berlaku apabila pistol tersebut hilang pada sewaktu dia terjaga selepas mabuk bersama Mani akibat minum arak pada malam sebelumnya. Mereka berdua mengambil keputusan untuk mencari semula pistol itu sebelum Veerana mendapat tahu mengenainya. Saksikan filem ini di pawagam berhampiran anda pada 28 Februari 2019 untuk mengetahui kisah seterusnya.

Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah menonton filem Satte di GSC IOI Puchong pada 1 Mac 2019 yang lepas. Disebabkan promosi yang agak kurang di media sosial apatah lagi di media elektronik menyebabkan pihak kami agak lewat untuk mengetahui tentang kewujudan serta kehadiran filem ini di pawagam tempatan. Jadi, kami mengambil keputusan untuk memberi sokongan kepada filem tamil tempatan ini di pawagam disamping mengharapkan agar filem ini mampu memberikan sesuatu yang menarik dan baru buat kami.


Filem Satte bermaksud 'Kumpulan' jika menurut kepada terjemahan di layar panggung yang kami tonton semalam (Jika ada pembetulan sila maklumkan.) Filem ini dikatakan diadaptasi daripada sebuah kisah benar berkenaan sebuah kumpulan samseng. Kami melihat filem ini sebenarnya mempunyai idea serta jalan cerita yang menarik namun kami percaya mungkin disebabkan kekangan baget menyebabkan filem ini ketinggalan daripada pelbagai sudut dan perkara. Kelemahan ketara filem ini dapat dilihat melalui kualiti penggredan warna filemnya serta suntingan setiap babak-babaknya yang membuatkan filem ini lebih tepat untuk dikatakan seakan-akan sebuah telemovie yang ditonton di saluran televisyen. Kualiti audio filem ini pula masih boleh dimaafkan walaupun ada juga beberapa kekurangan dapat dikesan di dalam beberapa babak.  


Menyentuh jalan cerita filem Satte ini, tidak dapat dinafikan sebenarnya filem ini ada isi. Ada penceritaan dan dramanya. Konflik yang dicetuskan juga agak menarik. Tetapi, kami melihat kupasannya tidak mendalam dan terlalu mendatar. Filem ini berkisar tentang keinginan seorang pemuda bernama Aiyavu yang mengidolakan seorang ketua samseng dan ingin menjadi sepertinya sehingga sanggup mengetepikan sikap-sikap kemanusiaan. Tambahan pula apabila Aiyavu ini boleh dikatakan sebagai anak emas Veerana sehingga menjadi orang kanan yang boleh dipercayai kerana selalu berjaya melakukan setiap tugasan yang diberikan. Berbezanya dengan rakannya Mani yang sebenarnya menyedari dan dapat melihat realiti sebenar kehidupan gangster. Mani tahu mereka sebenarnya hanya bekerja dengan ketua gangster Veerana demi sesuap nasi dan tidak lebih daripada itu kerana Mani percaya pada satu ketika nanti apabila mereka tidak diperlukan maka mereka akan dibuang juga dari kumpulan Veerana sama ada secara hidup mahu pun mati. Namun, disebabkan Mani ini pula hidup sebatang kara menyebabkan dia terlalu bergantung kepada Aiyavu daripada segi hubungan persaudaraan supaya dia tidak rasa kesunyian. Walaupun dimasukkan sedikit elemen percintaan dan tentangan keluarga namun ia masih tidak dapat membantu filem Satte untuk berdiri seteguh mungkin. Walaupun paparan kisahnya cuba menyuntik elemen realisme namun semuanya seolah-olah tidak menjadi. 


Konflik filem ini agak menarik kerana walaupun subjeknya mudah iaitu watak utamanya Aiyavu ini kehilangan pistolnya dan menyedarinya selepas pulih daripada mabuk melampau. Namun, perjalanan untuk mencari punca dan bagaimana dia kehilangan pistol ini sebenarnya menarik keranan filem ini cuba bermain dengan penggunaan babak imbas kembali dan masa melalui persoalan serta jawapan yang ditemui mereka satu persatu di dalam penceritaan filem ini. Namun sekali lagi disebabkan kelemahan ketara dari segi suntingan, kualiti visual filem serta skrip penceritaan filem Satte yang agak ringkas menyebabkan filem ini hanya mampu kelihatan bagaikan sebuah telemovie berkos rendah. Kami percaya filem Satte sebenarnya boleh dihasilkan dengan lebih berkesan, hebat dan dramatik seperti mana filem-filem Tamil antarabangsa yang lain jika ia dibuat di dalam skala baget yang lebih besar dengan skrip penceritaan yang lebih menarik dan dramatik.  


Walau bagaimanapun, klimask dan pengakhiran filem Satte ini agak menarik buat kami. Walaupun kisahnya bukan sesuatu yang terlalu baru untuk ditonton namun sekurang-kurangnya filem ini tidak lah terlalu klise atau pun mempunyai jalan cerita yang stereotaip. Jadi, selamat menonton filem Satte di pawagam-pawagam terpilih bermula pada 28 Februari 2019. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Akan Diulas Ialah Sebuah Filem Bollywood Berjudul Luka Chuppi . Nantikan Ulasannya!

Catat Ulasan

0 Ulasan