Review Filem Article 15


Filem:
Article 15

Penilaian:
10/10

Pengarah:
Anubhav Sinha

Genre:
Jenayah & Ngeri

Pelakon:
Ayushmann Khurrana, Isha Talwar, Sayani Gupta, Kumud Mishra & Etc.

Tarikh Tayangan:
28 Jun 2019

Pengedar:
Sri Saheb Production

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan Ayan Ranjan yang merupakan seorang anggota polis IPS yang dibesarkan di Eropah. Jadi, pemahaman Ayan terhadap negara India adalah lebih eksotik dan berilmu. Pada hari pertama dia bekerja di sebuah kawasan pedalaman di India, kehidupannya berubah selepas terlihat jenayah ngeri melibatkan tiga orang gadis Dalit dari kampung kelas bawahan, Harimanpur. Konflik timbul apabila dia sedar berkenaan cara sistem tradisional menyelesaikan kes tersebut tetapi jika dia masuk campur maka ia akan menjadi musibah. Salah seorang daripada tiga gadis itu masih hilang dan Ayan perlu memilih antara melepas tangan atau bertindak dengan betul dalam melawan sistem kasta India yang tidak adil. Saksikan filem yang cukup hebat dan menarik ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 28 Jun 2019 untuk mengetahui jawapannya.

Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah berjaya menonton sebuah filem Bollywood yang boleh dikatakan antara filem terbaik untuk tahun 2019 ini yang berjudul Article 15 di TGV Cinemas Jaya Centre pada 30 Jun 2019 yang lepas. Daya tarikan utama filem ini yang membuatkan kami mewajibkan diri menonton filem hebat ini semestinya disebabkan pelakon utamanya iaitu Ayushmann Khurrana. Kami melabelkan pelakon lelaki ini sama seperti Bront Palarae dimana naskah-naskah filem yang disertainya pasti tidak akan mengecewakan. Apa yang paling penting kehadiran pelakon ini di dalam sesebuah filem pasti akan memberikan anda satu pengalaman sinema yang sukar untuk dilupakan. Itulah yang terjadi kepada kami saat menonton filem Article 15 ini yang bukan sekadar sebuah filem jenayah yang menakutkan dan penuh dengan unsur kejutan atau permainan kreatif plot cerita tetapi kisahnya sangat bijak memancing penonton dan memukul rata keseluruhan penduduk India yang masih lagi rasis mahupun prejudis terhadap isu-isu berat berkaitan dengan sistem serta kedudukan kasta yang diamalkan di negara mereka sehingga ke hari ini.


Filem Article 15 berjaya menampilkan jalan cerita serta plot yang cukup hebat berkaitan dengan diskriminasi kasta. Kami cukup menyukai hal ini kerana ia sebenarnya membawa penonton untuk mengenali tentang perihal sistem kasta yang diamalkan di India dimana ia bukan sekadar tentang sistem atau jumlah bilangan kasta yang wujud di sana tetapi ia sebenarnya memaparkan kegoyahan serta kepincangan yang merosakkan sistem masyarakat apabila manusia yang sepatutnya diberikan hak kehidupan yang sama telah dibeza-bezakan tahap kehidupan, kekayaan atau maruah hidup mereka. Apa yang kami boleh nyatakan ialah filem ini begitu berani memaparkan realiti kebenaran melalui olahan cerita yang dipaparkan. Plot ceritanya disusun dengan sangat bijak bermula daripada awal penceritaannya lagi dan ia berjaya mencengkam jiwa penonton secara perlahan-lahan apabila babak-babaknya mula memaparkan pemikiran pelbagai jenis manusia mengikut kasta di dalam filem ini. Bagaimana Ayan Ranjan yang merupakan seorang pegawai polis berkasta tinggi iaitu brahmin yang berfikiran global kerana dibesarkan di negara Barat mula berasa keliru dengan situasi barunya di negara India apabila melihat bagaimana hak serta isu kemanusiaan boleh dipisah-pisahkan atau dibeza-bezakan disebabkan mengikut tahap kasta seseorang manusia itu. Ia dapat dilihat pada adegan-adegan Ayan Ranjan yang bertanyakan anggota polis bawahannya tentang dari kasta mana mereka berasal. Begitu juga pada masa yang sama watak Ayan Ranjan ini dilihat mula memahami perjuangan sebenarnya yang dilakukan oleh teman wanitanya yang lebih mengenali negara India daripada dirinya sendiri. Menonton filem ini akan membuatkan anda kagum melihat keterbukaan isi kandungannya yang berbicara isu ini secara jelas walaupun ia merupakan isu yang sangat berat dan lantang mengkritik perkara ini sehingga melangkaui kepada politik dan sistem pemerintahan India sendiri.



Kami dengan yakinnya menyatakan filem Artikel 15 ini sangat berbeza berbanding filem-filem lain kerana ia merupakan sebuah karya bijak dan intipati filem ini dilihat meneroka subjek-subjek yang pada dasarnya kelihatan dilindungi oleh perkara yang terkandung di dalam artikel 15 tersebut namun hakikatnya mereka yang sepatutnya menjadi pengamal telah menyisihkan perkara ini cukup jauh sehinggakan golongan yang teraniaya tidak mendapat pembelaan sewajarnya. Filem ini juga sebenarnya membawakan banyak persoalan serta jawapan untuk anda fikirkan melalui sentuhan nilai simpati serta elemen kemanusiaan yang cukup menusuk kalbu. Lihat sahaja bagaimana watak Ayan Ranjan mempersoalkan kredibiliti serta sisi manusia seorang pegawai besar melalui dialog hebatnya,"3 rupee bersamaan tiga titik air yang awak minum!". Dapat dilihat bagaimana kesengsaraan serta penghinaan yang terpaksa ditanggung oleh setiap kasta yang berbeza berjaya menangkap jiwa penonton untuk merasainya dengan lebih dekat dan kemudian memahami apa sebenarnya perbezaan kasta serta diskriminasi yang cuba disampaikan di dalam filem ini. Kami juga melihat idea filem ini sangat hebat kerana ia sebenarnya memaparkan masalah sosial sebenar dimana perbezaan kasta menyebabkan masyarakat di India sebenarnya terpisah jauh dan menyebabkan kepercayaan bahawa India adalah sebuah negara yang merdeka itu kelihatan menyimpang dan rumit untuk dipercayai atau ditelan fakta tersebut kerana rakyatnya sendiri masih terkongkong dan terjajah dengan masalah diskriminasi kasta. 


Kami juga cukup sukakan imej-imej filem ini yang membawakan rasa suram yang bukan sahaja tegang tetapi berjaya menimbulkan unsur provokatif dalam cara yang bijak. Anda yang menonton pasti tidak akan lupa tentang adegan seorang lelaki yang masuk ke dalam longkang atau lubang kumbahan untuk membaiki kerosakan yang berlaku. Adegan sekumpulan polis yang melakukan pencarian seorang gadis yang hilang di kawasan paya sambil mencucuk kayu ke dalam air juga menarik perhatian kami. Belum lagi melihat bagaimana indahnya adegan mayat dua remaja wanita yang menjadi mangsa rogol dan digantung di atas pokok dimana terdapat seorang kanak-kanak lelaki yang berlari melalui mayat tersebut. Sekadar menyebut beberapa adegan ini, ia bukan sebuah adegan kosong tetapi ia berjaya mencengkam jiwa penonton melalui frasa dialog watak Ayan Ranjan terhadap anggota polis dibawah pengurusannya yang cukup bermakna dan penuh dengan subteks menawan. Lebih menarik apabila keseluruhan filem ini berjaya dicantikkan lagi dengan sinematografi yang bertaraf tinggi.


Sekali lagi pelakon lelaki hebat Ayushmann Khurana yang sebelum ini menyinar di dalam filem Andhadhun dan Badhaai Ho tidak mengecewakan apabila berjaya memberikan persembahan yang cukup hebat dan memukau sebagai seorang pegawai polis yang ikhlas dan benar-benar setia kepada perlembangaan negara India. Secara jujurnya, memang agak sukar untuk melihat sebuah watak protagonis yang berjiwa lembut tetapi tegas, mempunyai semangat patriotik yang jujur dan tidak dibuat-buat serta persembahan lakonan yang sangat boleh dipercayai oleh penonton. Tetapi, Ayushmann berjaya melakukannya dengan menggabungkan kesemua perkara tersebut menjadi satu di dalam watak yang dibawakannya di dalam filemnya ini dan ini yang menyebabkan prestasi pelakon hebat ini di dalam filem Article 15 sememangnya berada di atas puncak kecemerlangan. Pelakon lain seperti Kumud Mishra juga berjaya menghidupkan wataknya dengan cukup baik sehingga membuatkan adegan tamparan hebatnya kepada satu watak antagonis sebagai salah satu momen yang cukup menarik di dalam filem ini. Begitu juga dengan para pelakon lain seperti Isha Talwar, Sayami Gupta, Manoj Pahwa dan juga Mohd Zeeshan Ayyub yang berjaya mencorakkan perjalanan ini ke satu tahap yang sempurna. Secara keseluruhannya, filem Article 15 merupakan sebuah naskah yang sangat bermakna dan menggembirakan kami kerana ianya begitu mewah dengan kritikan serta pandangan sosial setiap manusia terhadap isu utama filem ini iaitu diskriminasi kasta. Segala elemen drama yang cuba dibawakan di dalam filem ini menjadi sehingga membuatkan filem ini merupakan salah satu calon filem Bollywood terbaik untuk tahun 2019 dan wajib ditonton oleh anda di pawagam pada bulan Julai ini.


Jadi, selamat menonton filem Article 15 di pawagam seluruh Malaysia bermula pada 28 Jun 2019 ini. Pastikan anda tidak terlepas daripada menonton filem hebat ini kerana ianya bukan sekadar wajar ditonton tetapi wajib anda tonton kerana segala-galanya telah dibuat dengan sangat cantik. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Dan Kongsikan Dengan Anda Ialah  Sebuah Filem Tamil Tempatan Yang Menarik Iaitu Azhaggiye Thee! Nantikan Ulasannya! 

Catat Ulasan

10 Ulasan

  1. Terima kasih Hans di atas ulasan film ni... 10/10 Insyaallah akan ditonton, heheh...

    BalasPadam
    Balasan
    1. hehehe wajib tonton
      terbaik punya filem
      jalan cerita padu dan berani

      Padam
  2. Adduuhhh, dasat ayat Hans ni, pendek dan menginzalkan... rase mcm nak tengok malam pulak. TQ TQ

    BalasPadam
    Balasan
    1. memang menginzalkan filem nih
      rugi kalau tak tengok

      Padam
  3. Alhamdulillah berjaya tonton. Memang patot la Hans bg 10/10. Apa yg Hans review tu amat tepat sekali. Film ni memang lain dr film Hindustan yg saya pernah tonton sebelom ini. Bukan setakat plot, imej dan sinematografi... soundtrack dia pon hebat. Penuh saspen dan mendebarkan, mcm soundtrack Sicario pon ada. Pendek kata film ni wajib tonton. Terima kasih Hans kerana rekemen film ni pd kami...

    BalasPadam
  4. Aku frust sikit..sebab bila rating 10/10, aku punya expectation tu tinggi la..terus teringat filem One Cut of The Dead..hahaha

    BalasPadam
    Balasan
    1. apa yang frust nya?
      itu terpulang kepada citarasa masing-masing
      tetapi untuk Rollo De Pelicula, filem Article 15 ini memang layak dapat 10/10 :)

      Padam
  5. Terlalu slow..hihi..expect rating 10 mcm best sangat...yevadu best lg min..apa pn btl la,citarasa masing2...

    BalasPadam
    Balasan
    1. Admin memang suka filem slow tetapi rasanya filem nih tak slow mana pun

      Padam