Review Filem Fast & Furious: Hobbs & Shaw


Filem:
Fast & Furious: Hobbs & Shaw

Penilaian:
6/10

Pengarah:
David Leitch

Genre:
Aksi & Pengembaraan

Pelakon:
Dwayne Johnson, Jason Statham, Idris Elba, Vanessa Kirby, Helen Mirren & Etc.

Tarikh Tayangan:
1 Ogos 2019

Pengedar:
United International Pictures

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan dua tahun selepas kejadian dalam "Fast and Furious 8", ejen Servis Keselamatan Diplomatik Luke Hobbs dan bekas ahli SAS yang menjadi pembunuh upahan Deckard Shaw mendapati mereka terpaksa bekerjasama walaupun tidak suka akan satu sama lain. Mereka perlu bersatu untuk menumpaskan seorang anarkis siber-genetik hebat, Brixton yang telah menguasai satu virus berbahaya yang mampu mengubah masa depan manusia. Saksikan filem yang menghiburkan ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 1 Ogos 2019 untuk mengetahui kesudahan ceritanya.

Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah dijemput oleh pihak TGV Cinemas untuk menghadiri tayangan istimewa filem Fast & Furious: Hobbs & Shaw selepas majlis menandatangani Memorandum Persefahaman antara pihak TGV Cinemas dan TNG Digital di TGV Indulge, One Utama pada 1 Ogos 2019 yang lepas. Sejak kali pertama menonton filem Fast & Furious sekitar tahun 2001 dimana sudah lapan buah filem menjengah pawagam dan kali ini para penonton disajikan pula dengan sebuah filem spin-off yang memberi fokus kepada hubungan antara Luke Hobbs dan Deckard Shaw yang menampilkan sisi berbeza berbanding lapan buah filem Fast & Furious sebelum ini.


Daripada permulaan kisah tentang perlumbaan kereta yang kemudian diselangi dengan perihal jenayah sehinggalah pada akhirnya plot cerita filem Fast & Furious melencong kepada perkara lain, kami melihat filem Fast & Furious: Hobbs & Shaw bukan sekadar melencong tetapi mengorak langkah ke sebuah kisah yang jauh lebih pelik daripada sebelumnya. Namun, kami memang sudah menetapkan untuk menonton filem ini bagi menikmati elemen humor dan aksinya sahaja kerana jika dilihat kepada logik filem, anda pasti sudah mendapat jawapannya melalui trailer filem ini sendiri. Filem kali ini menampilkan pelbagai perkara yang dapat dilihat mampu menyaingi filem aksi Kollywood sehinggakan pada satu peringkat filem ini dilihat terlalu mencuba untuk kelihatan gah di mata penonton. Ia boleh dilihat pada karakter Brixton yang seakan sama seperti Terminator, virus perosak yang berada di dalam tubuh Hattie Shaw serta babak Hobbs menarik kapal helikopter hanya menggunakan tangan. Hahaha! Memang kelakar dan ini bermaksud jangan sesekali anda mengharapkan logik pada filem ini.


Filem Fast & Furious: Hobbs & Shaw sememangnya dipenuhi dengan pelbagai babak aksi. Syukur kerana masih terdapat satu babak kejar mengejar di antara kereta Shaw dan motosikal Brixton yang paling tidak dapat mengisi kekosongan buat para peminat filem Fast & Furious yang dahagakan aksi-aksi sebegitu. Aksi-aksi menarik lain selain aksi 'hebat' Hobbs menarik helikopter dengan tangan semesti ialah adegan-adegan pertempuran, pergaduhan dan tembak-menembak yang menjadi identiti filem-filem Fast & Furious selepas karya ini kehilangan identiti asalnya. Secara keseluruhan untuk babak-babak aksi, kami boleh nyatakan bahawa ianya sangat menghiburkan dan menarik untuk ditonton di layar perak.


Tidak dinafikan filem Fast & Furious: Hobbs & Shaw ini kelihatan agak meleret pada permulaan dan pertengahan filem apabila elemen permasalahan keluarga mulai dimasukkan di dalam filem ini. Dapat dilihat bagaimana salah faham yang berlaku antara Deckard Shaw dan adiknya Hattie Shaw serta hubungan kekeluargaan antara Luke Hobbs dan ahli keluarganya yang secara tiba-tiba dikongsikan di dalam filem kali ini. Namun, apa yang menyelamatkan filem ini daripada dilabel bosan ialah unsur humor yang kelihatan keras, spontan dan sangat melucukan. Babak-babak pertikaman lidah antara Hobbs dan Shaw yang seakan-akan pasangan kekasih yang sedang bergaduh sememangnya cukup untuk membuatkan anda ketawa besar di dalam panggung. Setidak-tidaknya ini merupakan antara kekuatan utama filem ini yang mampu membuatkan mana-mana penonton setia menonton sehingga akhir.


Selain daripada aksi-aksi yang terlalu luar biasa sehingga tidak tercapai dek akal serta tahap komedinya yang memang tinggi, filem ini juga berjaya menyampaikan mesej-mesej kekeluargaan secara ringan dan santai untuk dihadam oleh para penonton filem ini yang secara tidak langsung membuatkan pelaburan anda untuk membeli tiket bagi filem ini dirasakan berbaloi. Kesimpulannya, tinggalkan logik anda di luar panggung wayang dan nikmatilah filem Fast & Furious: Hobbs & Shaw ini sehabis baik. Kami pasti anda akan terhibur secara maksimum jika anda mengikuti nasihat yang kami berikan ini.


Jadi, selamat menonton filem Fast & Furious: Hobbs & Shaw di pawagam seluruh Malaysia bermula pada 1 Ogos 2019 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Dan Kongsikan Dengan Anda Ialah Sebuah Filem Seram Thailand Berjudul SisterS. Nantikan Ulasannya!

Catat Ulasan

8 Ulasan

  1. menarik.... tp akak tunggu ada kuar kt astro first nnti lah ... langgan kt situ heheheh

    BalasPadam
  2. Macam makin merepek F&F ni. Rasanya yang best F&F ni pon sampai no 4 je.. yang tu baru betul2 fast n furious.

    BalasPadam
  3. Memang dah buat mindset awal2 yg filem ni tak logik.. Cume nak enjoy je ngan aksi, cgi ngan lawak.. Ni filem spin off kan, so tak kesahla kalau cerita dia bukan pasal lumba kereta.. Memang best gakla.. Lagipun dah jatuh cinta ngan vanessa kirby.. Huhu..

    BalasPadam
  4. Bila nk masuk astro first film ni?

    BalasPadam