2/08/19

Review Filem SisterS


Filem:
SisterS

Penilaian:
6/10

Pengarah:
Prachya Pinkaew

Genre:
Drama & Seram

Pelakon:
Ploiyukhon Rojanakatanyoo, Nannaphas Loetnamchoetsakun, Rhatha Phongam, Supakorn Kitsuwon & Etc.

Tarikh Tayangan:
1 Ogos 2019

Pengedar:
TGV Pictures

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan dua orang adik beradik perempuan yang dipisahkan dan dibesarkan secara berasingan sewaktu mereka mula meningkat remaja atas beberapa sebab yang tidak dapat dijelaskan. Si kakak perlu melatih diri sebagai Demon Hunter demi melindungi adik perempuannya yang lemah dan menjadi sasaran raksasa yang bangkit semula dari kekalahan mereka sejak dua dekad lalu. Raksasa-raksasa tersebut mendapat tenaga dengan menyedut roh manusia yang diburu. Menggunakan klinik kecantikan sebagai penyamaran, mereka mengumpan mangsa sambil menunggu ratu baru untuk bangkit dan kembali memerintah. Kini dua beradik itu perlu memutuskan sama ada mengambil jalan hidup masing-masing atau bertarung bersama-sama. Saksikan filem seram ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 1 Ogos 2019 untuk mengetahui kesudahan ceritanya.

Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah berjaya menonton sebuah filem seram Thailand berjudul SisterS di MMcineplexes, eCurve Mutiara Damansara pada 1 Ogos 2019 yang lepas. Filem SisterS ini merupakan filem kedua Thailand selepas Krasue: Inhuman Kiss yang mengangkat kisah seram Krasue atau lebih dikenali dengan panggilan Balan-Balan atau Penanggal di dalam masyarakat Malaysia. Kami melihat filem SisterS ini lebih bersifat gore dimana walaupun sudah diklasifikasikan untuk tontonan 18 tahun ke atas namun masih banyak adegan yang dipotong disebabkan terdapat unsur seks dan ngeri yang berlebihan terutama sewaktu adegan perubahan daripada manusia kepada krasue.


Filem SisterS dimulakan dengan kisah adik beradik wanita yang merupakan Krasue dimana ada segelintir daripada mereka berniat jahat golongan manusia. Konflik bermula apabila salah seorang daripada mereka mempunyai hubungan dengan manusia dan telah melahirkan sepasang anak kembar. Jadi, untuk melindungi anak-anak tersebut daripada berubah menjadi Krasue yang jahat maka mereka mula melarikan diri namun salah seorang daripada anak mereka telah terkena sumpahan. 


Jadi, bapa kepada anak ini telah mendidik kakak kembarnya sejak kecil di dalam pelbagai perkara seperti seni bela diri, bacaan jampi serapah dan sebagainya bertujuan untuk melindungi adiknya nanti apabila sudah meningkat umur 16 tahun. Namun pada masa yang sama pula, si kakak berasa terkongkong dan inginkan kehidupan peribadinya yang tersendiri. Jadi, ini adalah antara beberapa konflik menarik yang dapat dilihat di dalam filem SisterS pada pandangan kami.


Namun,kami melihat filem SisterS ini menampilkan naratif filem yang agak perlahan pada bahagian awal dan pertengahan filem dimana momentumnya kelihatan tidak konsisten. Adakalanya ia membuatkan kami terasa sedikit bosan menantikan perjalanan serta perkembangan cerita watak-wataknya yang dikembangkan dimana ianya terlalu perlahan dan kurang berkesan untuk memberi impak kepada jalan cerita. Ada juga beberapa perkara atau watak-watak yang tidak dijelaskan dengan lebih teliti di dalam filem ini menjadikan adegan-adegan tersebut kelihatan lebih kepada sekadar untuk menyeramkan penonton berbanding membantu plot ceritanya menjadi lebih kemas. Kami memahami filem ini cuba untuk menerangkan satu persatu perihal kisah yang melanda adik beradik ini namun disebabkan teknik penceritaan yang digunakan terlalu perlahan membuatkan filem ini kelihatan meleret pada beberapa bahagian cerita. Namun, secara keseluruhannya ia masih sebuah filem seram yang menarik untuk ditonton.


Kami sememangnya mendapat info bahawa filem SisterS mengalami potongan yang agak banyak tetapi jangan risau kerana anda masih mampu memahami jalan ceritanya dengan baik. Cuma mungkin anda sedikit terganggu sewaktu babak pertempuran di akhir cerita disebabkan potongan yang terlalu kerap. Namun, potongan ini disebabkan perubahan manusia menjadi krasue sebenarnya memaparkan adegan yang menampakkan susuk tubuh tidak berpakaian yang terlalu keterlaluan dan potongan ini boleh diterima dengan baik oleh kami. Tetapi, kami secara peribadi sangat kagum dengan teknik janaan imej komputer atau CGI yang terdapat di dalam visual filem ini dimana ianya kelihatan sangat realistik pada sebahagian besar babak yang mampu membuatkan anda terasa ngeri melihatkan adegan-adegan darah yang gore dan menyeramkan. Sinematografi filem ini boleh dipuji sewaktu adegan-adegan awal yang memaparkan hantu wanita mengandung berjaya menimbulkan elemen seram yang sangat baik. Dibantu dengan skor bunyi yang baik pada beberapa adegan juga menjadikan filem SisterS cukup untuk membuatkan bulu roma anda meremang di dalam pawagam.


Jadi, selamat menonton filem SisterS di pawagam seluruh Malaysia bermula pada 1 Ogos 2019 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!


P/S : Apakah Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas? Nantikan!


2 ulasan:

  1. Terima kasih sekali lagi kpd Hans kerana berjaya menonton dan memberi ulasan yg telah membantu saya membuat keputusan utk menyaksikan filem penanggal versi Thai ni. Saya sebenarnya berjaya menonton nya semlm, hari terakhir di pawagam. Amat setuju dgn Hans... selepas meminati filem Krasue Inhuman Kiss, saya rase tak puas kerana adengan penanggal nya tak ganas. Tetapi SisterS kali ni dpt memuaskan hati saya terutama pertarungan Krasue dan pembunuhan kejam oleh hantu ni. Yg paling saya saspen Hantu Tingkat 3 tu... dah la saya selalu parking kereta di tingkat 3 kat pejabat, ni confirm buat saya terbayang2 hantu tu... ciisss, heheh. Teruskan lagi usaha murni Hans memberi ulasan yg menarik, yeah...

    BalasPadam
    Balasan
    1. hahahaha
      hantu tingkat 13 kan?
      memang suspen cara kamera dia...hahaha

      Padam