Review Filem Ready Or Not


Filem:
Ready Or Not

Penilaian:
8/10

Pengarah:
Matt Bettinelli-Olpin & Tyler Gillett

Genre:
Seram, Misteri & Ngeri

Pelakon:
Samara Weaving, Adam Brody, Mark O'Brien, Henry Czerny, Andie MacDowell & Etc.

Tarikh Tayangan:
22 Ogos 2019

Pengedar:
Walt Disney Pictures

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan kehidupan seorang pengantin perempuan bernama Grace yang berubah 360 darjah pada malam pertama perkahwinannya dengan Daniel Le Domas yang mempunyai latar belakang orang berada. Grace menyertai suaminya menghadiri acara tradisi keluarga mertuanya yang bertukar menjadi sebuah permainan perjuangan yang menakutkan. Saksikan filem seram yang menggerikan ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 22 Ogos 2019 untuk mengetahui apakah kejadian sebenar yang berlaku kepada Grace dan Daniel pada malam tersebut.

Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah berjaya menonton sebuah filem yang pada kami agak menarik berjudul Ready Or Not di TGV @ Central i-City pada 22 Ogos 2019 yang lepas.  Mendapat maklum balas positif daripada kebanyakan rakan-rakan filem maka kami mengambil keputusan untuk menonton sendiri filem ini yang diklasifikasikan sebagai filem tontonan 18 tahun ke atas. Selepas menonton, kami dapati banyak perkara menarik yang dapat dilihat wujud di dalam filem ini terutamanya apabila menyentuh tentang jalan ceritanya yang penuh dengan kritikan sosial berbentuk satira serta unsur komedi gelapnya yang sangat mencuit hati.


Filem Ready Or Not bermula dengan momentum penceritaan yang sangat cantik dan penuh misteri pada bahagian awalnya untuk memaparkan tradisi aneh keluarga Le Domas sebelum momentum penceritaan mula bergerak perlahan sewaktu tiba kepada pengenalan watak utama cerita ini iaitu Grace yang dilakonkan oleh Samawa Weaving. Pada bahagian pengenalan ini, penonton akan diperkenalkan dengan watak Grace yang mewakili wanita-wanita di luar sana yang resah memikirkan tentang penerimaan ahli-ahli anggota keluarga mentua masing-masing walaupun pada masa yang sama berasa teruja untuk menjadi isteri kepada lelaki yang dicintainya. Kami melihat setiap watak-watak ahli keluarga Le Domas berjaya dipaparkan dengan menarik dimana masing-masing mempunyai karakter yang penuh variasi dan berbeza antara satu sama lain. Secara tidak langsung, hal ini berjaya mewujudkan pelbagai persoalan serta membangkitkan aura misteri di kalangan para penonton yang mula mengesyaki sesuatu yang aneh dan luar biasa bakal terjadi selepas watak-watak ini diperkenalkan secara santai pada fasa pertama. 


Adegan-adegan pertemuan di antara Grace dan ibu mertuanya turut memainkan peranan penting di dalam cubaan mengelirukan penonton tentang sikap sebenar ahli keluarga Le Domas serta penerimaan mereka terhadap Grace. Pada awalnya, penonton cuba ditipu melalui adegan keluarga Le Domas ini yang menyatakan tentang keperluan bermain permainan mengikut cabutan tepat jam 12.00 tengahari sebagai salah satu usaha untuk melihat ketelusan niat Grace berkahwin dengan Daniel. Namun, unsur kejutan yang berlaku saat Grace menerima kad yang tertera perkata 'Hide And Seek' telah mengubah keseluruhan wajah filem ini dimana wajah sebenar keluarga Le Domas mulai kelihatan. Tetapi, babak-babak awal ini sangat menarik perhatian kerana Grace masih belum mengetahui tentang niat sebenarnya keluarga Le Domas yang memburunya atas tujuan tradisi untuk dipersembahkan kepada roh syaitan yang dikatakan menjadi punca serta sumber kepada kekayaan yang dimiliki oleh mereka. Cara bagaimana setiap adegan ini saling berkait rapat di dalam memberi jawapan sebenar kepada watak Grace juga berjaya ditulis dan disusun dengan baik untuk menjadikan ianya sebuah jalan cerita yang menarik dan kukuh dari segi tujuannya.


Percayalah anda akan sukakan filem Ready Or Not ini disaat misi pemburuan yang dilakukan oleh ahli keluarga Le Domas mulai berjalan. Ketegangan yang diwujudkan di dalam setiap adegan filem ini boleh dikatakan menjadi dan memberi kesan. Kami tertarik melihat bagaimana setiap watak-watak ini dipaparkan dimana ianya jelas bahawa setiap watak-watak ini telah dipaparkan kebolehan mereka dengan sewajar yang mungkin. Lebih tepat lagi, ahli keluarga Le Domas pada hakikatnya bukannya pembunuh jadi bagaimana kelemahan mereka di dalam mengendalikan senjata masing-masing adalah sangat bersesuaian dengan kehendak jalan cerita dan menepati logik filem itu sendiri. Gabungan setiap adegan yang dipenuhi unsur seram, misteri, thriller, slasher serta gore ini sememangnya berjaya mewujudkan elemen yang pastinya membuatkan penonton berasa ketakutan atau kerisauan mengenangkan nasib yang bakal menimpa Grace.


Kami begitu tertarik melihat bagaimana pelakon utamanya iaitu Samara Weaving menghidupkan wataknya sebagai Grade di dalam filem ini. Anda akan melihatan perubahan 360 darjah watak ini dimana perubahan karakter serta emosinya jelas kelihatan dan berjaya disampaikan dengan baik. Apa yang membuatkan kami kagum dengan persembahan hebat pelakon ini ialah kami dengan mudah dapat merasai, menghayati dan memahami setiap perubahan perwatakannya berdasarkan situasi-situasi yang dihadapi olehnya di dalam keseluruhan filem ini. Begitu juga dengan setiap karakter watak lain yang dilihat mempunyai kepelbagaian yang seimbang sehingga membuatkan setiap watak mampu menyinar dan memberi impak sebaik mungkin kepada penonton. Hal ini nampak menarik kerana bukan semua ahli keluarga Le Domas bersikap psiko atau pun benar-benar mahu membunuh. Ada yang melakukannya atas dasar tradisi. Ada yang mempercayai tentang sumpahan yang bakal terjadi dimana mereka semua akan mati jika mereka tidak membunuh Grace. Ada juga yang tidak mahu membunuh. Jadi, segala perbezaan ini yang berjaya memberi warna kepada filem Ready Or Not ini untuk berkembang menjadi lebih menarik.


Kami melihat filem Ready Or Not ini berjaya menyampai pelbagai mesej menarik sama ada dari sudut kekeluargaan, perkahwinan, pendidikan kanak-kanak mahu pun berkaitan kepercayaan ritual yang melatari penceritaan filem ini dari sudut subteks filemnya. Keunikan ini yang berjaya memberikan perbezaan ketara tentang bagaimana penilaian golongan kaya terhadap golongan sederhana dimana sikap ketidakpercayaan mereka yang menebal apabila menerima ahli keluarga baru yang tidak setaraf dari segi kekayaan. Selain itu, kami tertarik melihat bagaimana pendidikan kanak-kanak sebenarnya bermula dari rumah. Filem ini berjaya memaparkan dua adegan yang kami maksudkan tentang pendidikan kanak-kanak yang mendapat contoh dan galakan yang salah daripada ibu bapa mereka. Lebih menarik apabila filem ini turut bijak memainkan emosi antara ibu dan anak serta suami dan isteri dimana anda akan dapat melihat sisi-sisi hitam setiap watak ini yang pada akhirnya akan memberikan satu pengakhiran yang menarik dan berkesan pada penghujung cerita. Kami sebenarnya sangat tertarik dengan watak suami Grace iaitu Daniel dimana bagaimana perubahan terhadap perwatakan karakter ini yang berubah 360 darjah sebenarnya ada hubung kait dengan permulaan awal filem ini lagi. Menarik untuk melihat perubahan ketara watak Daniel ini yang berjaya dihubung kaitkan dengan kata-kata daripada Grace, ibu Daniel dan adiknya yang memberi pembayang awal kepada jawapan anda terhadap identiti sebenar Daniel ini.


Melengkapkan lagi kenikmatan menonton filem Ready Or Not ini ialah skor muzik yang pada kami sangat baik dan berjaya membangkitkan suasana setiap adegan dengan baik. Perubahan-perubahan plot atau plot twist filem ini juga boleh dikatakan berjaya walaupun ada sebahagiannya agak klise. Elemen komedi gelap yang diwujudkan di dalam filem ini juga pada kami sangat membantu penonton untuk lebih memahami tujuan sebenar serta fungsi setiap watak-watak yang wujud di dalam filem ini. Cuma babak akhir atau klimaks filem ini pada pandangan kami tidak terlalu berjaya membuatkan kami teruja kerana kami melihat terdapat elemen-elemen filem Jepun yang diguna pakai pada babak akhir tersebut. Namun, secara keseluruhan filem ini sememangnya berbaloi untuk ditonton kerana naskah ini akan berjaya membawa anda menikmati graf penceritaannya yang sentiasa meningkat dan penuh dengan pelbagai jenis elemen penyampaian yang sentiasa segar dan pantas. Sebuah filem yang sangat berbaloi untuk ditonton pada minggu ini.


Jadi, selamat menonton filem Ready Or Not di pawagam seluruh Malaysia bermula pada 22 Ogos 2019 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Ialah Sebuah Filem Dari Rusia Berjudul Abigail. Nantikan Ulasannya!

Catat Ulasan

10 Ulasan

  1. Balasan
    1. tengok dekat mana hari tu?
      babak mana yang Encik H suka sekali?

      Padam
    2. Sebenarnya byk jugak babak yg aku suka..sebab jarang kot aku boleh tergelak time tengok cerita kejam camni..

      Tapi antara yg menarik, moment bila nak start Hide and Seek..terus masing2 in kerekter muka jahat..

      Padam
    3. hahahaha..yang maintain muka jahat makcik bapak dia tu...kah3...xpadan tua dok pegang kapak

      Padam
  2. Macam best bila baca ulasan Hans Hanis pasal Hide and Seek ni.. Hari ni mesti tgk filem ni.. Mcm berbaloi kalau pergi menonton.. Tq Hans Hanis atas ulasan yg bagus.. Gaya penceritaan yg menarik minat saya utk menonton filem ni.

    BalasPadam
    Balasan
    1. kalau minat filem bunuh-bunuh psiko darah-darah mercik memang seronok tengok filem nih

      Padam
  3. PH baru tonton cerita ni semalam. Boleh tahan seronok dan tension. Ada juga adegan gore tapi lucu hah...hah.... Ada penonton duduk sebaris dengan PH dok teriak "lari! lari!" dan lepas tu menjerit pula masa adegan heroine terperangkap hah...hah...

    BalasPadam
    Balasan
    1. hahahaha...memang bila adegan yang perempuan tu kena tangkap buat penonton rasa cuak...hahaha

      Padam
  4. Watak suami Grace, Alex boss. Bukan Danial.

    BalasPadam
    Balasan
    1. owh yer yer
      tak apa
      asalkan orang faham dah lah
      hahahaha

      Padam