Review Filem Ratu Ilmu Hitam


Filem:
Ratu Ilmu Hitam

Penilaian:
7/10

Pengarah:
Kimo Stamboel

Genre:
Seram & Ngeri

Pelakon:
Hannah Al Rashid, Ario Bayu, Imelda Therinne, Miller Khan, Tanta Ginting & Etc.

Pengedar:
GSC Movies

Tarikh Tayangan:
2 Januari 2020

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan Hanif yang membawa isterinya Nadya serta anak-anak mereka ke rumah anak yatim jauh di pedalaman. Rumah tersebut merupakan tempat di mana Hanif dibesarkan dahulu oleh pemilik rumah tersebut yang bernama Pak Bandi. Dua rakannya iaitu Anton dan Jefri turut datang bersama dengan isteri-isteri mereka. Namun, mereka mula diganggu dengan kejadian-kejadian aneh ketika bermalam di rumah tersebut. Lebih menakutkan, anak-anak mereka turut melihat kelibat seorang wanita. Seorang demi seorang daripada mereka mula hilang dan mati. Semuanya angkara Ratu Ilmu Hitam yang berdendam dan lahir daripada dosa-dosa anak-anak yatim yang tinggal di rumah itu. Siapakah sebenarnya Ratu Ilmu Hitam dan apakah motifnya membunuh dan menyeksa mereka semua seorang demi seorang? Saksikan filem yang penuh dengan adegan seram dan menaikkan bulu roma ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 2 Januari 2020 untuk mengetahui jawapannya.

Ulasan:

Alhamdulillah pihak Rollo De Pelicula telah menerima jemputan daripada pihak GSC Movies untuk menghadiri tayangan media filem Ratu Ilmu Hitam bertempat di GSC Mid Valley pada 19 Disember 2019 yang lepas. Untuk pengetahuan semua, kami sangat menanti-nantikan kehadiran filem Ratu Ilmu Hitam ini ke Malaysia setelah kami mendengar pujian-pujian positif dan tinggi melangit daripada rakan-rakan Malaysia yang menontonnya lebih awal di Jakarta sebelum ini. Jika tidak mendengar pujian sekali pun, kami sememangnya tertarik dengan karya seram Indonesia ini kerana ia merupakan gabungan dua lelaki yang cukup dikenali di dalam industri perfileman Indonesia iaitu Kimo Stamboel yang bertindak sebagai pengarah serta Joko Anwar yang bertindak sebagai penulis skrip untuk filem ini. Sebagai info tambahan, filem ini juga menganbil inspirasi daripada filem seram Indonesia dengan tajuk yang sama dimana ianya telah diterbitkan sekitar tahun 1981.


Filem Ratu Ilmu Hitam bermula dengan momentum yang perlahan tetapi diselamatkan oleh lakonan bersahaja pelakon cilik Muzakki Ramdhan yang berjaya menceriakan penonton untuk bahagian awal filem ini. Walaupun perkembangan ceritanya mengambil masa yang agak lama namun penonton berjaya mengenali, mendekati dan memahami hampir keseluruhan watak yang timbul secara mendadak pada awal cerita. Fokus utama semestinya kepada keluarga Hanif yang datang bersama isterinya Nadya serta tiga orang anak mereka iaitu Sandi, Dina dan Haqi. Kemudian, muncul pula rakan Hanif iaitu Anton dan Jefri yang membawa isteri masing-masing iaitu Eva dan Lina. Kemudian, bilangan watak bertambah lagi dengan kemunculan pasangan suami isteri iaitu Maman dan Siti serta dua orang anak yatim yang tinggal di situ iaitu Hasbi dan Rani. Ditambah pula dengan pemilik rumah anak yatim iaitu Pak Bandi serta Ibu Mirah yang muncul dalam kisah imbas kembali. Jadi, bayangkan 15 watak telah dimunculkan sejak awal filem lagi dan nampaknya Kimo dan Joko bijak memanfaatkan momentum penceritaannya yang perlahan pada permulaan untuk memperkembangkan kesemua watak ini sehabis baik yang mungkin. Pada kami, ianya agak berjaya dimana setiap watak mempunyai karakter tersendiri yang mudah diingati dan difahami.


Jadi, apa yang menarik tentang filem Ratu Ilmu Hitam yang membuatkan kami cukup gembira dan terhibur menonton naskah seram dari negara seberang ini? Jawapannya ialah penggunaan teknik jump scare yang sangat minima tetapi mereka telah memaksimumkan babak-babak yang sangat mengganggu untuk membuatkan kami tidak senang duduk menyaksikan setiap detik-detik cemas yang menggerunkan dan menggelikan ini. Ada banyak adegan yang membuatkan kami terasa seram sejuk saat menontonnya. Salah satunya seperti adegan di dalam gambar di atas dimana permainan kamera serta lakonan yang cukup meyakinkan oleh pelakon-pelakon yang berkaitan berjaya membuatkan kami terasa begitu ngeri menyaksikannya. Filem Ratu Ilmu Hitam mempunyai kekuatan yang sangat besar daripada sudut ini.



Walaupun tidak semua adegan di dalam filem Ratu Ilmu Hitam yang menggunakan imej janaan komputer atau CGI kelihatan meyakinkan namun ianya masih boleh diberi pujian. Pada pandangan kami, adegan-adegan yang melibatkan darah, badan berlubang serta kulit yang disiat-siat dengan pisau berjaya membuatkan kami tertarik dengan apa yang cuba disampaikan oleh filem ini kepada kami sebagai penonton. Secara tidak langsung, ia juga memberi satu gambaran jelas bahawa ilmu hitam bukan lah satu perkara yang boleh dibuat main-main dan ianya adalah salah satu bentuk ancaman yang cukup mengerikan serta menyeksakan. Setiap mangsa yang terkena ilmu hitam pula berjaya menimbulkan misteri serta tanda tanya kepada penonton tentang apa sebenarnya yang terjadi dan kenapa ianya terjadi kepada mereka sedangkan semuanya kelihatan baik-baik sahaja. Hal ini juga dilihat berjaya memacu momentum penceritaan untuk mula menarik perhatian penonton terutama pada babak pertengahannya yang sangat pantas dan penuh dengan tipu muslihat yang bijak.



Ratu Ilmu Hitam juga bijak menyusun kronologi plot serta bermain permainan plot yang kerap kali berubah untuk membuatkan kami sebagai penonton teruja untuk mencari siapa yang betul dan siapa yang salah. Ini adalah antara satu keistimewaan Joko Anwar dimana ia mampu mengubah protagonis dan antagonis di dalam penceritaannya dengan cara yang cukup meyakinkan. Dibantu pula oleh sinematografi, solekan ngeri serta kesan bunyi yang menyatu dengan baik sehingga menghasilkan beberapa adegan yang pantas membuat bulu roma anda meremang. Salah satu adegan menarik yang anda pasti suka untuk tonton ialah adegan di dalam bas yang cukup menyeramkan.



Filem Ratu Ilmu Hitam juga tidak terlepas untuk cuba menyampaikan beberapa mesej menarik terutamanya berkaitan masalah pedofilia, anorexia, orang kurang upaya (OKU) serta masalah psikologi yang menimpa individu yang tertekan dengan keadaan sekeliling. Pada kami ianya masih menarik walaupun tidak lah terlalu mendalam dimana ianya bersesuaian dengan genre filem ini yang lebih menekankan kepada elemen seram dan ngeri. Namun, kami sedikit kecewa dengan pengakhiran filem ini yang dilihat terlampau mudah atau mungkin pihak produksi yakin bahawasanya akan ada sekuel untuk filem Ratu Ilmu Hitam ini. Pengakhirannya berlaku dengan satu adegan yang sememangnya dilihat tidak mampu memberi impak seperti mana yang diperoleh dengan cukup baik dan nikmat pada bahagian pertengahan filem ini. Secara keseluruhan, filem Ratu Ilmu Hitam sangat memuaskan hati kami yang mendambakan filem seram berkonsepkan 'disturbing' sebegini. Setidak-tidaknya kami tidak lagi perlu menonton filem seram yang terlalu suka menggunakan elemen kejutan jump scare yang langsung tidak menakutkan. Terima kasih filem Ratu Ilmu Hitam kerana memberi kami kepuasan dari sudut ini. Berbaloi untuk anda tonton di pawagam pada awal tahun hadapan. 



Jadi, selamat menonton filem Ratu Ilmu Hitam di pawagam seluruh Malaysia bermula pada 2 Januari 2020 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Ulasan Filem Seterusnya Yang Kami Akan Kongsikan Dengan Anda Ialah Sebuah Filem Yang Ditonton Ramai Pada Minggu Ini Iaitu Star Wars: The Rise of Walker. Nantikan Ulasannya!

Catat Ulasan

2 Ulasan

  1. Wah, dari ulasan Hans menarik lah. Dah lama tak layan film ber genre mcm nih. Insyaallah ada rezeki akan ditonton. TQ Hans...

    BalasPadam