Review Filem The Garden Of Evening Mists


Filem:
The Garden Of Evening Mists

Penilaian:
7/10

Pengarah:
Tom Lim

Genre:
Drama & Romantik

Pelakon:
Angelica Lee, Hiroshi Abe, Serene Lim, John Hannah, David Oakes & Etc.

Pengedar:
Astro Shaw

Tarikh Tayangan:
16 Januari 2020

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan Teoh Yun Ling yang merupakan seorang graduan undang-undang muda yang resah dengan kekejaman Perang Dunia Kedua di Malaya, cuba mencari ketenangan di ladang teh di Cameron Highlands. Di sana, dia bertemu seorang lelaki misteri bernama Nakamura Aritomo, pemilik Yugiri, iaitu satu-satunya taman Jepun di Malaya. Dalam pada dia mempelajari tanaman Jepun daripada Aritomo dan membina sebuah taman untuk memperingati adiknya yang mati di kem peperangan Jepun, cinta mula berputik, menyebabkan mereka terjebak dalam satu hubungan yang terlarang. Saksikan filem menarik ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 16 Januari 2020 untuk mengetahui kisah selanjutnya.

Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah berjaya menonton sebuah filem yang cukup menarik berjudul The Garden Of Evening Mists di MMCineplex eCurves pada 15 Januari 2020 yang lepas. Filem ini telah diadaptasi daripada sebuah novel dengan judul yang sama dimana ia telah diterbitkan pada tahun 2012 dan merupakan hasil karya oleh penulis novel tempatan iaitu Tan Twan Eng. Novel setebal lebih kurang 400 muka surat ini mengambil masa 4 tahun untuk disiapkan penulisannya. Jadi, ia adalah salah satu perkara yang sangat mencabar buat pengarah Tom Lim dan pasukan produksinya untuk mengangkat karya 400 muka surat tersebut dan menterjemahkannya ke dalam bentuk visual. Namun, kami merasakan cabaran ini berjaya disahut dan hasilnya adalah sangat memukau.


Kami melihat filem The Garden Of Evening Mists ini sememangnya sarat dengan falsafahnya yang boleh dilihat melalui susunan serta frasa dialog yang digunakan yang sememangnya mempunyai nilai kesusasteraan yang tinggi. Kisahnya juga dilihat bijak bermain dengan elemen emosi yang berjaya disampaikan dengan kadar yang sepatutnya selain diperkukuhkan lagi dengan elemen kasih sayang serta unsur kekeluargaan yang sangat tinggi. Selain itu, filem yang berlatar belakangkan era penjajahan Jepun sewaktu perang dunia kedua sekitar tahun 1941 serta sewaktu era ancaman komunis juga berjaya dipaparkan dengan cukup baik. Walaupun latar ini hanya sekadar pinjaman sementara buat kisah filem ini namun ia berjaya dipaparkan dengan baik di dalam bentuk visual dimana ia membuatkan kami sebagai penonton dapat merasai kekejaman serta kejahatan yang digunakan oleh pihak penjajah kepada penduduk tempatan pada zaman tersebut.


Filem The Garden Of Evening Mists yang turut melakar sejarah serta mengangkat nama Malaysia di mata dunia selepas mendapat sembilan pencalonan di Anugerah Golden Horse Ke-56 ini juga dilihat mempunyai keunikan yang tersendiri dimana filem ini dibentuk seakan-akan sebuah puzzle yang perlu penonton selesaikan usai menonton filem ini sehingga ke akhir. Kronologi yang disusun serta pembayang yang diberikan bagi setiap persoalan yang ditimbulkan di dalam plot penceritaan filem ini pada kami cukup kreatif dan sangat mengujakan dimana anda perlu mencari jawapan kepada kisah perhubungan antara Yun Ling dan Arimoto, pencarian lokasi adik Yun Ling iaitu Yun Hong serta apakah kaitan sebuah taman yang dihasilkan oleh Arimoto dengan keseluruhan kisah ini. Ia adalah satu teka-teki yang pasti akan membuatkan anda terasa hebat saat berjaya menyelesaikan dan menjawabnya dengan tepat.


Filem The Garden Of Evening Mists ini juga berjaya menyampaikan satu hal yang menarik berkaitan dengan kebencian dan juga percintaan yang berlaku pada waktu yang sama. Perkara ini dapat dilihat kepada watak Yun Ling yang sangat membenci tentera Jepun di atas segala penyeksaan terhadap dirinya serta adiknya tetapi pada akhirnya jatuh cinta dengan lelaki Jepun bernama Arimoto. Filem ini juga mempunyai subteks yang menarik pada kebanyakan adegan yang menjadikan filem ini sedikit luar biasa. Disebabkan momentum penceritaannya yang perlahan maka pendekatan untuk menyuntik elemen humor pada beberapa adegan dilihat sangat membantu untuk membuatkan penceritaan filem ini kelihatan lebih segar.



Semestinya filem The Garden Of Evening Mists ini akan membuatkan anda jatuh cinta dengan lanskap Cameron Highlands serta Hutan Lumut atau dikenali sebagai Mossy Forest yang menjadi antara lokasi utama filem ini. Kecantikan ini berjaya diterjemahkan dan diserlahkan dengan cukup baik oleh sinematografi filem ini yang berjaya menyampaikan cerita disebalik apa yang tersimpan di dalam lubuk hati watak-watak utama filem ini. Selain itu, rekaan busana serta props yang digunakan juga sangat terbaik dan berjaya membuatkan kami yakin dengan latar masa filem ini. Sememangnya ini adalah satu kerja keras yang sangat membuahkan hasil buat filem ini. Secara keseluruhan, kami menyukai filem ini kerana ia mempunyai nilai-nilai kreativiti yang cukup mengagumkan. Namun, kami harus akui filem ini bukannya sesuai untuk semua golongan disebabkan karyanya yang mempunyai nilai kesusasteraan yang tinggi serta momentum penceritaannya yang sangat perlahan bakal membuatkan anda yang tidak biasa dengan filem sebegini akan hilang fokus atau tertidur di pawagam. Tetapi, tidak salah untuk anda cuba menonton filem berkualiti sebegini kerana pada kami ianya sangat berbaloi untuk anda tonton dan cuba menjawab teka-teki yang ditinggalkan khas buat anda nanti.


Jadi, selamat menonton filem The Garden Of Evening Mists di pawagam seluruh Malaysia bermula pada 16 Januari 2020 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Ialah Sebuah Filem Bollywood Yang Menarik Berjudul Tanhaji: The Unsung Warrior. Nantikan Ulasannya! 

Catat Ulasan

2 Ulasan

  1. menarik nih, lagi-lagi filem yang dibuat tentang negara kita...

    BalasPadam