Assalammualaikum dan selamat berpuasa kepada pembaca yang sedang berpuasa dan juga salam sejahtera untuk semua pembaca blog ini. Baru - baru ini kita digemparkan dengan iklan - iklan Ramadhan daripada stesen 8TV dan TV9 yang dilanda kontroversi gara - gara mendapat kritikan hebat daripada penonton - penonton televisyen tempatan yang tidak berpuas hati dengan iklan yang ditayangkan di saluran - saluran tersebut kerana dikatakan tidak tepat atau tidak melambangkan istilah Ramadhan dan berunsurkan perkauman.





Iklan Ramadhan untuk siaran stesen 8TV dengar khabarnya sudah diharamkan dan tidak disiarkan lagi di saluran tersebut namun ia tersebar meluas di youtube. Aku yang pada mulanya menonton iklan ini di saluran 8TV beranggapan iklan ini sebenarnya ada pengisian yang bagus tetapi cara penyampaiannya langsung tidak sesuai dan sangat teruk. Apabila keempat - empat iklan ini hanya menjadikan seorang gadis cina sebagai fokus utamanya dalam kesemua situasi yang ditunjukkan maka ia kelihatan seperti menuding jari dengan meletakkan semua kesalahan ini kepada orang bukan Islam sahaja sedangkan orang Islam sendiri pun ada yang bersikap demikian dan ada yang lebih teruk lagi. Sebagai contoh dari segi menutup aurat dimana aku boleh katakan ada gadis - gadis Islam yang pakaian mereka juga jauh lebih dasyat daripada orang bukan Islam dan lelaki - lelaki Islam pula ada yang berseluar pendek menunjukkan lutut. Iklan ini mendapat bantahan keras kerana ia seolah - olah menuding jari pada satu pihak sahaja sedangkan hakikatnya tidak sebegitu. Isi dan mesej ada tetapi cara penyampaiannya tidak sesuai.




Aku tidak pasti tentang status iklan ramadhan TV9 ini sekarang sama ada senasib dengan iklan ramadhan 8TV atau sebaliknya namun iklan ini juga sangat tidak bertepatan dengan maksud Ramadhan itu sendiri. Iklan pertama tentang sahur yang menunjukkan si lelaki tidak sempat menjamah menu yang dimasaknya gara - gara berlawan bunyi kuali sewaktu memasak dengan jiran sebelah manakala iklan kedua pula melibatkan juadah yang dibeli di baazar ramadhan yang akhirnya kelihatan membazir kerana si lelaki berlumba - lumba berlawan jumlah juadah yang dibeli oleh jiran wanitanya. Apa yang mengecewakan aku tentang kedua - dua iklan ini ialah pengakhiran iklan yang menunjukkan si wanita itu yang cuba menasihati lelaki itu tetapi caranya kelihatan salah. Ia menunjukkan seolah - olah wanita itu gembira dengan apa yang menimpa jiran lelakinya itu sedangkan konsep itu sebenarnya bertentangan dengan agama Islam yang mementingkan jiran sekeliling.

Daripada kedua - dua iklan disini dapat aku simpulkan mungkin pihak yang terlibat di dalam pembikinan iklan ini lebih menumpukan atau menitik beratkan dari segi humor tetapi terlupa tentang sensitiviti masyarakat dan agama. Jadi diharapkan untuk iklan hari raya nanti dan pada masa akan datang maka pihak terlibat lebih sensitif dan peka pada pengisian iklan mereka dan secara tidak langsung masalah sebegini dapat dielakkan dari terus berulang.

P/S : Contohilah Karya Allahyarham Yasmin Ahmad Yang Disukai Semua Pihak! (^_^)Y