Review Filem Marlina Si Pembunuh Dalam Empat Babak


Filem:
Marlina Si Pembunuh Dalam Empat Babak

Pengarah:
Mouly Surya

Genre:
Drama & Thriller

Pelakon:
Marsha Timothy, Egy Fedly, Dea Panendra, Yoga Pratama, Haydar Salishz & Etc.

Penilaian:
8/10

Sinopsis:

Filem ini mengisahkan Marlina, seorang janda yang tinggal di Bukit Sumba, Indonesia yang didatangi seorang perompak bernama Markus di rumahnya. Markus memberitahu secara terang-terangan kepada Marlina bahawa dia dan enam orang rakannya akan datang merompak seluruh ternakan yang diusahakan Marlina dan kemudia mereka akan memperkosa Marlina pada malam yang sama secara beramai-ramai. Apabila malam tiba, mereka datang merampas ternakan Marlina dan dalam masa yang sama meminta Marlina memasak sup ayam sebagai makan malam untuk mereka. Marlina mendapat idea untuk menyelamatkan diri dengan meletakkan racun untuk membunuh kesemua perompak tersebut. Namun, dua orang daripada perompak tersebut telah pulang awal sebelum makan kerana diarahkan oleh ketua mereka untuk menghantar ternakan Marlina kepada pembeli. Manakala empat orang lagi pula mati diracun oleh Marlina setelah menikmati makanan sup ayam tersebut. Namun, Markus yang tidak menikmati juadah tersebut berjaya memperkosa Marlina. Marlina yang tidak menyerah kalah kepada keadaan telah mengambil sebilah golok lalu memenggal kepala Markus. Jadi, perjalanan Marlina kini bermula di dalam menuntut keadilan melalui empat babak iaitu rompakan, perjalanan, pengakuan dan kelahiran. Saksikan filem menarik ini untuk mengetahui kesudahan perjalanan Marlina.  

Ulasan Hans:

Filem Marlina Si Pembunuh Dalam Empat Babak atau dalam bahasa Inggeris berjudul Marlina the Murderer in Four Acts merupakan sebuah filem Indonesia yang telah pun ditayangkan di Festival Filem Cannes pada tahun 2017. Apa yang mengagumkan, filem ini telah mendapat sambutan yang cukup hebat daripada penonton di sana. Sekali imbas filem ini mengambil konsep seakan-akan Western kerana ramai pengkritik yang memuji filem ini menamakan filem ini dengan pelbagai istilah seperti Spaghetti Western dan Satay Western. Namun, apa yang harus diakui ialah filem ini masih berjaya mengekalkan identiti dan wajah Indonesia dengan cukup baik walaupun berlatarkan suasana western.


Secara peribadi, aku merasakan filem ini bukan sesuai untuk tontonan semua orang kerana filem ini memerlukan kita berfikir dan melihat di luar, dalam dan tengah kotak dari sudut naratifnya, subteksnya, imej dan perlambangan yang ditunjukkan sepanjang filem ini berlangsung. Namun, dari satu sudut filem ini membuktikan bahawa Indonesia telah berjaya menghasilkan salah sebuah filem yang cukup bagus dan meninggalkan Malaysia di belakang untuk penghasilan filem-filem berkualiti sebegini. Aku merasakan hampir keseluruhan adegan di dalam filem ini mempunyai subteks yang tersendiri dan genius. 


Filem ini adalah filem kemegahan wanita kerana nilai feminism yang cukup tinggi dalam mempersoalkan tentang tahap patriarki iaitu sebuah sistem sosial yang meletakkan golongan lelaki sebagai pemegang kuasa yang utama dan mendominasi di dalam setiap kepimpinan atau keputusan. Perkara tersebut sehingga kini masih boleh dilihat di antara jantina lelaki dan perempuan di dalam persekitaran kita sendiri. Aku cukup suka melihat watak Marlina ini yang dipertontonkan di dalam rumahnya yang dapat dilihat mempunyai tiga lokasi iaitu dapur, ruang tamu dan bilik tidur yang mempunyai perlambangan tersendiri. Disini dapat dilihat bahawa Marlina hanya 'disanjung' oleh perompak-perompak itu di lokasi bilik tidur semata-mata. Manakala lokasi dapur melambangkan kepercayaan masyarakat terdahulu dimana tempat wanita hanya terletak di dapur dimana perlu taat kepada arahan lelaki sahaja. Manakala ruang tamu iaitu ruang tengah menunjukkan terpisahnya jurang kuasa antara wanita dan lelaki di dalam filem ini.


Namun, di dalam filem ini Marlina telah berjaya mengubah sistem patriarki tersebut dimana watak Marlina berjaya membuatkan si lelaki yang pada masa tertentunya menangis dan ada masanya juga terpaksa menyerah diri kepada perempuan seperti babak Marlina menahan lelaki yang memandu pengangkutan awam. Menariknya disini, watak Marlina berjaya dikembangkan dengan cukup baik dan bersesuaian dengan tema filem ini yang feminism dan anti terhadap sistem patriarki tanpa sebarang lompong dan tersusun kukuh. Antara yang menarik perhatian aku juga ialah penampakan sebuah manusia yang berselubung yang sentiasa berhubungan dengan Marlina dan ini menjadi persoalan kepada aku pada awalnya. Akhirnya, baru aku menyedari bahawa manusia tersebut ialah mayat suami Marlina yang di awet dan disimpan di dalam rumah kerana Marlina tidak mempunyai wang untuk mengebumikan mayat suaminya mengikut adat-adat penduduk di Pulau Sumba mengikut bacaan dan pemahaman aku. Satu perkara yang bagi aku menarik yang dapat dilihat di dalma filem ini.


Filem ini mempersembahkan hasil sinematografi yang menarik walaupun pengambilan sudut kameranya tidak lah terlalu kreatif. Tetapi, disebabkan sememangnya kawasan Bukit Sumba itu sangat cantik dan betul-betul sesuai dengan tema filem ini, jadi ia berjaya diterjemahkan dengan baik dan membantu menghidupkan tema dan latar filem ini. Bertambah unik apabila lagu latar yang menghiasi filem ini juga sangat bersesuaian dengan lanskap serta tema filem ini yang berjaya membantu meningkat rasa dan emosi penonton. Susunan penceritaan, dialog, emosi serta reaksi setiap pelakon dan dibantu lagi dengan pelbagai elemen lain sememangnya menjadikan filem ini kemas dan berdiri di dalam kelasnya yang tersendiri.


Lakonan pelakon-pelakon di dalam filem ini juga memang cukup hebat. Marsha Timothy sebagai pemain watak utama Marlina berjaya menghidupkan watak Marlina yang resah dalam tenang itu dengan cukup baik. Tidak dilupakan juga Dea Panendra yang memegang watak sebagai Novi yang merupakan kenalan Marlina yang sangat becok dan memberi warna humor terhadap filem ini yang perjalanan ceritanya bergerak perlahan tetapi konsisten. Satu lagi watak yang cukup menghiburkan ialah watak wanita tua yang aku tidak tahu namanya. Berkongsi kisah tentang amalan seks sewaktu mengandung untuk mempercepat dan mempermudahkan kelahiran itu sememangnya menggelikan hati kerana dicerita dengan begitu bersahaja. 


Filem ini juga bijak menyindir sistem perundangan dan pasukan keselamatan negara Indonesia melalui babak kreatif iaitu sewaktu para anggota bermain pingpong dan juga semasa laporan diambil dengan reaksi acuh tidak acuh. Bagi aku babak ini cukup menarik sewaktu Marlina diperlihatkan menanti anggota polis untuk membuat laporan dengan memerhati mereka bermain pingpong. Mungkin disebabkan statusnya sebagai janda menyebabkan polis-polis ini memandang sinis apa yang dilaporkan. Disini juga diperlihatkan sistem patriarki yang sebenarnya menyebabkan undang-undang tidak diaplikasikan dengan sejujurnya kerana sifat bias atau merendah-rendahkan kaum wanita terutama janda oleh kaum lelaki.


Antara babak-babak yang menarik bagi aku di dalam filem ini ialah :

1) Babak awal pertemuan Marlina dan Markus disamping mayat suami Marlina yang diawet kerana disini mula menunjukkan tahap patriarki yang ingin di potretkan di dalam filem ini.

2) Babak Nenek Tua yang mahu menaiki pengangkutan awam sambil bercerita tentang pengalamannya berkaitan hamil dan mengandung

3) Babak Novi bertemu dengan suaminya yang tidak mempercayai kandungan itu adalah anaknya. Dekat sini sebenarnya banyak benda yang dapat dilihat terutama terhadap tanggungjawab seorang lelaki dan betapa dayusnya suami seperti suami Novi.

4) Babak petikan alat muzik dan diikuti kemunculan Marcus yang tidak berkepala 'mengekori' Marlina sepanjang perjalanan. Ini pun antara babak menarik yang menunjukkan antara kekesan atau rasa kejijikan terpaksa membunuh manusia yang jijik.

5) Babak anak kecil yang menemani Marlina sewaktu di kedai makanan satay dan sewaktu mandi juga sangat menarik untuk dilihat terutama dari segi penghapusan dosa dan rasa bersalah melalui adegan disini.

6) Terakhir ialah babak Novi bersalin di sekeliling mayat selepas berjaya menyelamatkan Marlina daripada sekali lagi diperkosa oleh anak ketua perompak. Bagi aku menarik kerana ia melambangkan kematian yang digantikan dengan kehidupan tetapi bagaimana pengakhirannya kehidupan bayi tersebut di masa akan datang kerana bayi tersebut mengikut keyakinan aku ialah lelaki dan di dalam masa yang sama filem ini mengangkat wanita dan cuba menunjukkan keburukan sistem patriarki yang disalah guna oleh lelaki


Aku meminati filem sebegini. Ia bukanlah filem yang menyogok mata anda tentang jawapan sebenar filem kerana daripada awal hingga akhir filem ini menguji imaginasi dan pandangan anda terhadap nilai kemanusiaan, hak wanita, toleransi lelaki serta perjuangan seorang wanita mencari keadilan melalui sebuah perjalanan panjang yang berkongsi keindahan pemandangan Bukit Sumba yang cantik dan cukup mendamaikan. Sebuah cerita yang walaupun bergerak perlahan tetapi tetap konsisten dan ini menjadikan karya ini cukup menarik kerana kesemua elemennya bergabung menjadi satu untuk membantu penonton terus setia mengikuti perjuangan Marlina yang kelihatan lembut dan tenang di luar tetapi sebenarnya tegas dan berkecamuk di dalam semasa menuntut keadilan buat dirinya. Jika anda peminat filem sebegini, jangan lepaskan peluang untuk tonton filem ini kerana pasti naskhah ini akan menghilangkan haus anda terhadap karya eksotik yang menarik dan berkualiti. Selamat menonton!

P/S : Tak Sabarnya Aku Nak Menonton Filem PASKAL. Tambah-Tambah Banyak Komen Dan Pujian Positif Diberi Kepada Filem Tersebut. 

Catat Ulasan

4 Ulasan