Review Filem Rise: Ini Kalilah


Filem:
Rise: Ini Kalilah

Penilaian:
3 / 10

Pengarah:
Saw Teong Hin, Nik Amir Mustapha, M.S.Prem Nath 

Genre:
Drama

Pelakon:
Remy Ishak, Mira Filzah, Sangeeta Krishnasamy, Jack Tan, Shashi Tharan,
Jenn Chia, Mark O'Dea, Sweet Qismina, Mustaqim Bahadon, Sharifah Sakinah,
Yana Samsudin, Datuk Jalaluddin Hassan, Tony Eusoff, Pushpa Narayan,
Noon Yoong, David Anthony & Etc 

Tarikh Tayangan:
13 September 2018

Sinopsis:

Filem ini mengikuti kehidupan rakyat biasa yang bergabung demi matlamat yang sama, yakni, kasih terhadap negara. Menerusi 6 cerita individu yang saling berkait, ia merakamkan suasana penuh ketegangan waktu akhir sebelum berlangsungnya pilihan raya umum yang terpenting dalam sejarah Malaysia. Setiap cerita akan menyingkap kesedaran tentang apakah ertinya sebagai seorang rakyat Malaysia yang sebenar iaitu kehormatan, harapan, mempertahankan diri anda, membela hak anda, penebusan dan membina masa hadapan yang baru. Seorang pelajar yang berada di London cuba dengan sedaya upayanya untuk mengirim balik undi pos yang penting. Seorang ahli peniaga yang terkongkong dalam emosi ketakutan kerana politik. Seorang wartawan yang berdekad melaporkan kebenaran. Seorang polis yang terperangkap dalam dilema untuk melakukan apa yang betul dan apa yang terbaik demi keluarganya. Kisah cinta terhalang antara pasangan daripada dua kaum yang berbeza, seorang penjaja Singapura yang tidak mempunyai matlamat hidup dan seorang agen pengundian di Malaysia. Tiba masa iaitu 4.58 petang pada 9 Mei 2018, keenam-enam watak ini akan bertembung bersama-sama. Menjelang ketibaan zaman baru, pilihan yang mereka buat akan dicerminkan dan meninggalkan kesan nyata dalam kehidupan mereka. Saksikan filem Rise: Ini Kalilah untuk melihat kisah perjalanan pilihan raya paling sengit dalam sejarah negara.

Ulasan:

Ulasan ringkas aku di dalam kumpulan Movie Addict di laman sosial Facebook berkenaan filem ini tiba-tiba mendapat perhatian ramai ahli. Aku menulis secara ringkas, "Filem Rise: Ini Kalilah ibarat makan nasi putih dengan telur mata. Minta sambal belacan tetapi sambal habis. Tak ada sambal jadi cuba minta kicap pula. Sayangnya, kicap juga habis. Akhirnya, terpaksa makan dan cuba habiskan nasi kosong dengan telur mata tadi sedaya upaya yang boleh." Analogi amatur yang serba ringkas ini rasanya senang dihadam oleh ramai pihak yang membacanya walau sepintas lalu. Secara jujurnya, aku tidak tahu tentang kewujudan filem ini sehingga terjumpa pada satu artikel. Kemudian, rezeki muncul apabila aku mendapat jemputan untuk menghadiri Rise Movie Gala Premiere bertempat di 1 Utama pada 3 September 2018 dan seterusnya dapat menonton filem ini secara percuma atas tiket media. Aku membaca sinopsis melalui siaran media yang diperoleh dan mendapat tahu terdapat enam kisah yang akan dipaparkan di dalam filem ini. Memandangkan filem berkonsepkan realiti dan sejarah ini merupakan antara genre filem kegemaran aku, jadi sememangnya aku tak sabar-sabar menanti tayangan filem ini yang ditayangkan pada pukul 9.15 malam. 


Jadi, permulaan cerita menunjukkan Azman (Remy Ishak), seorang anggota polis serta seorang rakannya yang bercerita berkenaan tentang kehidupan dan cabaran hidup dengan mengaitkannya dengan klip video singa dan zebra yang ditonton di telefon pintar. Secara jujurnya, permulaan cerita filem ini adalah tersangat perlahan dan sangat membosankan aku. Paling aku tak faham apabila nama POLIS di pakaian uniform Azman dan rakannya ditapis dan disamar-samarkan. Untuk apa? Untuk menjaga nama baik pasukan polis Malaysia agaknya. Tetapi, memang sudah terang lagi bersuluh watak ini menceritakan tentang seorang anggota polis. Buntu sekejap otak aku bila memikir balik tentang bab ini. Aku harap filem One Two Jaga nanti tak ada isu macam ini. Hahaha!


Perkembangan watak Fizah (Mira Filzah) juga amat lemah. Pada awalnya ditunjukkan dia bercakap dengan kakaknya (Yana Samsudin) di telefon. Kemudian tiba kepada babak dia bekerja secara sambilan di sebuah kafe dan berhadapan dengan seorang pelanggan berbangsa Afrika yang bertindak biadap meletakkan sup di tangannya. Aku kurang mengerti sebenarnya apa kepentingan babak ini di dalam memperkenalkan watak Fizah. Hakikat sebenarnya nak beritahu penonton berkenaan hari penting kakaknya iaitu perkahwinan dan juga kerjaya penting Fizah di London dimana jika dia pulang ke Malaysia maka dia akan terlepas jawatan tersebut kerana ada kaitan dengan visanya. Situasi ini boleh diibaratkan seperti di telan mati emak, diluah mati bapa. Setelah penat menanti plot menarik muncul dan akhirnya harapan aku tiba apabila muncul babak Fizah yang berhadapan dengan konflik apabila kebanyakan pelajar Malaysia di London bertemu dengannya untuk memohon bantuan menghantar undi pos mereka pulang ke Malaysia seteleh mengetahui bahawa Fizah akan pulang ke Malaysia melalui video youtube rakannya (Sweet Qismina). Tetapi, selepas itu sekali lagi aku hampa apabila plot ceritanya kembali mendatar. Analogi amatur aku untuk kisah Fizah ini boleh aku samakan dengan ayam berempah sudah siap di atas meja, sayur cendawan telah terhidang berasap di atas meja tetapi baru teringat nasi pula lupa masak. Baru nak feel tetapi terus potong.


Watak Selva (Shashi Tharan) ini berkait rapat dengan pekerja asing serta politik perniagaan. Aku betul-betul nampak watak ini menarik hanya pada akhir cerita dimana dia terpaksa menerima arahan daripada rakan perniagaannya yang berpengaruh untuk menjadi penyamar petugas pilihan raya untuk membawa kotak-kotak serta bekas berisi undi palsu ke pusat pengundian. Selain daripada itu, aku tak nampak kekuatan watak ini di dalam sepanjang perjalanan cerita. Bukannya lakonannya tak bagus tetapi kelemahan jalan cerita dan kelemahan perkembangan watak sangat ketara kelihatan di dalam filem ini. Analogi amatur aku untuk kisah Selva ini pula ialah ibarat kau di kedai makan pesan satay ayam lima cucuk, tunggu punya tunggu tapi satay tak sampai-sampai dan akhirnya kau pesan makanan lain. Lepas kenyang baru satay sampai tetapi masa tu rasa sedap satay pun dah tak berapa rasa nak sedap dah. Faham kan maksud aku?


Watak Leong (Jack Tan) yang digambarkan sebagai seorang yang panas baran dan bergaduh dengan bosnya warga Singapura gara-gara bosnya mengutuk sebuah pasangan kekasih Cina India. Awalnya memang aku tak faham kenapa si Leong ini nak mengamuk tak pasal-pasal tetapi rupa-rupanya ia ada kaitan dengan kisah percintaannya dengan seorang gadis India yang terhalang gara-gara bapa si gadis tidak merestui hubungan mereka. Ini pun hanya akan diketahui pada babak-babak akhir filem. Masalah filem ini yang aku nampak, wataknya pelbagai. Kisahnya pelbagai. Tetapi, skripnya kacau bilau. Dilakukan secara tergesa-gesa sehingga aku tak nampak langsung semangat si Leong sebagai anak muda yang berkobar-kobar untuk pulang ke Malaysia untuk mengundi bagi menjadi mengubah Malaysia dan menjadi sebagai salah seorang yang terlibat di dalam sejarah besar Malaysia. Hanya ditunjukkan anak abangnya berkata kenapa ayahnya tak balik. Kemudian, abangnya pula beri wang dan hadiah kepada Leong untuk disampaikan kepada ibu mereka. Leong berjumpa dengan ibu dan kemudiannya ibunya cakap dia tahu memang abangnya tak mahu pulang dan jangan beri alasan untuk lindungi abangnya. Aku nampak disini ialah untuk menunjukkan yang abangnya kecewa dengan Malaysia dari segi kehidupan tetapi seperti yang aku cakapkan perkembangan kisah Leong ini teramatlah lemah. Analogi amatur aku untuk kisah Leong ini pula aku kaitkan dengan kekeliruan nama menu yang terjadi di sesetengah kedai makan. Aku lapar mee hailam jadi aku pesan mee hailam. Tetapi, makanan yang sampai dekat aku ialah mee bandung. Rasa kecewa juga lah kan sebab walaupun menu sama tetapi cara masakannya lain dan tak kena dengan citarasa.


Kisah wartawan dari England, Marcus (Mark O'Dea) dan jurukamera wanita dari Sabah iaitu Jun (Jenn Chia) ini juga sebenarnya menarik tetapi sayang kerana disusun terlampau pantas sehingga kelihatan terkejar-kejar. Akhirnya, aku sendiri terpinga-pinga apabila si Marcus ini cakap dia sayang dan kagum dengan Malaysia tanpa ada satu sebab kukuh untuk menyokong kenyataan tersebut. Sekadar menyatakan dia kagum dengan semangat Jun? Serius lah beb? Itu jer alasan kukuh untuk buat kau terus kagum dengan Malaysia? Memang aku tak dapat nak hadam sikit bab kisah si Marcus di dalam Rise: Ini Kalilah. 


Watak Shanti (Sangeeta Krishnasamy) ini sebenarnya antara watak yang boleh pergi jauh di dalam filem ini. Aku cukup suka dengan emosi dan ketegasan yang dibawakan oleh Sangeeta di dalam kisah yang melibatkannya dengan ayahnya yang merupakan guru besar sekolah. Paling menarik babak apabila dia dapat mengenal pasti terdapat seorang lelaki Bangladesh yang menyamar sebagai pengundi dan terjadi konflik di antara dia dan ayahnya pada hari pengundian tersebut. Tetapi, sekali lagi plot cerita telah membunuh kehebatan watak Shanti ini seperti mana terjadi kepada watak-watak yang lain di dalam filem ini. Apa masalah filem Rise: Ini Kalilah ini sebenarnya?


Pengarah yang terlibat bukan calang-calang orang sebab ketiga-tiganya hebat-hebat belaka. Pelakon-pelakon yang terlibat juga bukannya pelakon cap ayam. Rata-rata memang hebat dan ada yang menang anugerah-anugerah hebat juga. Jadi, apa masalah sebenarnya filem ini? Pada pandangan aku, masalah sebenar yang paling utama dan menjejaskan perjalanan filem ini tak lain tak bukan ialah susunan dan perkembangan plot ceritanya yang kelihatan sangat terkejar-kejar, terlompat-lompat disana-sini dan tidak ada pembaharuan. Pembaharuan yang aku maksudkan disini ialah apa yang dipaparkan di dalam filem ini sebenarnya sudah diketahui oleh majoriti penonton yang mengikuti perjalanan pilihan umum ke-14 tempoh hari. Ramai yang tahu tentang adanya runner yang menanti di lapangan terbang untuk hantar undi pos dari luar negara ke kawasan-kawasan pengundian. Ramai yang tahu tentang pengundi hantu. Ramai yang tahu tentang undi palsu. Ramai yang tahu tentang gerakan bas percuma. Ramai yang tahu tentang duit tepi. Semua yang dipaparkan di dalam ini hampir kesemuanya telah diketahui oleh penonton. Jadi, kalau semuanya orang dah tahu, apa lagi yang boleh dipertontonkan? Bukankah itu memang kisah sebenar perjalanan pilihanraya baru-baru ini? Baik, mari baca pandangan aku di bawah tentang persoalan ini.


Bagi aku, untuk membuat sebuah filem yang ceritanya hampir diketahui oleh keseluruhan rakyat Malaysia adalah sangat sukar tetapi bukannya bermaksud mustahil. Tidak salah pun untuk mengambil kisah-kisah yang sudah sedia ramai tahu kerana memang itu pun kisah yang disiar dan dikongsikan sepanjang pilihan raya. Tetapi, setiap kisah dipaparkan terlalu mendatar. Tiada konflik yang mampu membuatkan kisahnya nampak menarik atau teruja. Emosinya seakan-akan kurang rasa. Klimaks kisahnya juga tidak berjaya mencengkam jiwa aku. Filem ini bercerita tentang kisah pilihan raya umum mengubah Malaysia secara keseluruhannya tetapi cabaran itu tidak nampak. Kisah Fizah sebagai contohnya jika ingin dibincangkan. Fizah ini sebenarnya hero tidak didendang yang memberi impak yang hebat sebenarnya. Sanggup korbankan kerjaya demi negara. Sanggup menjadi sukarelawan menghantar undi pos dalam waktu yang sangat terhad. Tetapi, apa yang aku lihat watak ini gagal memberi impak tersebut. Aku hanya nampak watak Fizah sekadar orang yang cuma pulang bercuti ke Malaysia dan hantar undi pos rakan-rakan. Ibarat macam kita pesan dekat rakan-rakan atau ahli keluarga yang bercuti ke luar negara untuk membeli buah tangan atau bawa balik kurma tetapi tidak memaksa untuk buah tangan itu ada. Kalau ada maka adalah. Kalau tak ada maka kita redha. Sepatutnya, kisah ini perlu lebih memberi penekanan kepada betapa pentingnya kertas undi tersebut walaupun hanya sekeping dan kukuhkan dengan cabaran-cabaran yang lebih getir lagi. Tetapi, entah lah! Aku merasakan sangat kosong penceritaan kebanyakan watak di dalam filem ini. Bukannya Mira Filzah dan lain-lain berlakon tak bagus tetapi cerita wataknya yang tidak menarik.


Adakah harapan awal aku terhadap filem ini terlampau tinggi? Aku antara penggemar filem Tamil. Filem Tamil memang terkenal dengan kisah menelanjangkan ahli politik serta polis mereka dengan jayanya. Sebenarnya, aku sangat mengimpikan kisah-kisah sebegitu banyak di paparkan di dalam filem ini terutama sekali melalui watak polis Azman, Selva serta bapa Shanti. Tetapi, sayangnya tiada! Itu yang menjadikan filem ini sangat bosan kerana tiada penujah adrenalin langsung kepada penonton.Babak polis terima rasuah dan selesai. Babak kanak-kanak baling telur dekat kereta polis dan kemudia selesai. Babak pasang bendera dan bagi rasuah dan selepas itu selesai. Babak calon wakil rakyat berkempen dan ada sedikit pergaduhan dan kemudian selesai. Nampak tak masalah-masalah yang ditunjukkan ini tidak dikembangkan sepenuhnya sedangkan ini sebenarnya yang penonton tertunggu-tunggu dan nanti-nantikan supaya permasalahan seperti ini mampu buat filem Rise: Ini Kalilah tampil lebih menarik dan panas. Aku faham filem ini cuba memberi fokus kepada enam kisah utamanya tetapi kalau dah kisah-kisah watak utamanya tidak kuat, jadilah seperti mana pandangan aku terhadap filem ini.


Sayang seribu kali sayang! Bagi aku filem ini sebenarnya boleh pergi jauh tetapi kekuatan dan kepentingan jalan cerita watak-wataknya sangat tidak membantu. Menyebut tentang perubahan sejarah Malaysia menjadi Malaysia Baharu melalui satu-satunya pilihan raya umum yang sangat memberi impak, jika ditanya apa yang aku ingin lihat di dalam filem ini, semestinya aku ingin melihat tentang cabaran dan perjalanan pilihan raya umum tersebut daripada sudut-sudut kontroversinya yang dibawa oleh watak-wataknya seperti babak Shanti dengan pengundi Bangladesh tersebut. Sayangnya cukup sukar untuk melihat babak-babak seperti itu bertebaran di dalam naskhah filem ini.


Sinematografi menarik. Lakonan pelakon bagus. Jalan cerita? Kalau baca daripada awal sehingga ke bahagian penulisan ini, aku rasa masing-masing dah boleh andaikan apa yang aku rasa tentang jalan ceritanya. Serius ini adalah satu penyeksaan jiwa buat aku yang terpaksa menonton filem ini dengan sifat sabar yang tinggi. Mungkin lagu dendangan Datuk Sheila Majid di dalam pertengahan filem ini sahaja yang boleh diibaratkan sebagai dos penenang sewaktu menonton filem ini. Selebihnya, anda yang membaca sendiri boleh menilai. Aku tak menghalang untuk anda menonton kerana setiap orang ada citarasa masing-masing. Kesimpulannya, filem ini sebenarnya mampu menjadi naskhah yang menarik dan boleh diingati sepanjang zaman tetapi ia gagal dizahirkan ke arah tersebut. Apa-apapun, terima kasih kepada pihak WebTVAsia yang sudi menjemput aku ke Rise Movie Gala Premiere untuk menonton filem ini. Minta maaf jika ulasan ini tidak memihak kepada filem ini kerana aku perlau berlaku jujur terhadap diri aku sendiri sewaktu menulis ulasan mana-mana filem sekali pun. Apa-apapun, kepada semua yang meminati filem, selamat menonton filem Rise: Ini Kalilah di pawagam berdekatan anda. Jangan lupa kongsikan pandangan anda di ruangan komen dibawah yer. Sekian.


P/S : Minggu Ini In Sha Allah, Aku Akan Menonton One Two Jaga! Nantikan Ulasan Filem Tersebut :)

Catat Ulasan

8 Ulasan

  1. nasib baik tak tengok. tengok trailer hambarudin je. hahhahahhahaa

    BalasPadam
    Balasan
    1. hahahaa
      hambarudin
      tengok trailer sebenarnya okay lagi dari tengok filem

      Padam
  2. pttlah filem ni mcm takde sgt promo, tup2 nk tayang.... bila baca review ko ni dik... alahai baik bt drama je kot.... syg filem ni psl negara tp mcm sambil lewa je kan

    BalasPadam