Review Filem Hotel Soul Good


Filem:
Hotel Soul Good

Pengarah:
Anthony Yan

Genre:
Komedi & Fantasi

Pelakon:
Chrissie Chau, Louis Cheung, Eric Kot, Maggie Shiu, Richard Ng & Etc.

Penilaian:
5/10

Sinopsis:

Filem ini mengisahkan seorang wanita bernama Mei Qi yang membesar di rumah anak yatim dan sejak kecil dia telah memasang impian untuk menjadi seorang yang berjaya pada satu hari nanti. Kini ketika dia berusia 30 tahun, dia merupakan seorang eksekutif senior di sebuah hotel 5 bintang tetapi rakan baiknya telah mengkhianatinya dan merampas kerja serta teman lelakinya. Perkara menjadi lebih teruk apabila dia terkena serpihan meteor dan apabila sedar, dia secara tiba-tiba dapat melihat tiga roh. Namun, roh-roh ini tidak kelihatan menyeramkan tetapi sebaliknya mereka adalah hantu yang peramah. Jadi, Mei Qi telah membuka sebuah hotel bernama Sebelum Aku Mati bersama roh-roh ini dimana dia cuba memenuhi permintaan tiga hantu tersebut supaya mereka boleh pergi dengan aman. Saksikan filem ini di pawagam berdekatan anda untuk mengetahui kisah selanjutnya.

Ulasan Hans:

Alhamdulillah pada hari ini aku sekali lagi berasa bertuah kerana mendapat jemputan daripada pihak TGV Pictures Sdn Bhd untuk menghadiri tayangan ekslusif sebuah filem dari Hong Kong berjudul Hotel Soul Good yang diadakan di TGV Cinemas Jaya Shopping Centre. Rasa-rasanya mungkin aku seorang sahaja lelaki Melayu campuran di dalam panggung sebentar tadi dan selebihnya ialah media-media serta blogger berbangsa Cina. Tetapi, aku sudah biasa berada di dalam keadaan ini kerana situasinya sama seperti mana bila aku menonton filem Tamil. Hahaha!


Mari kita lihat apakah keistimewaan atau keunikan yang ditawarkan oleh filem Hotel Soul Good ini buat anda semua yang bakal menontonnya di pagawam-pawagam seluruh Malaysia pada 18 Oktober 2018 nanti. Aku yakin filem yang bergenre komedi dan fantasi ini pasti dekat dengan jiwa penonton Cina kerana perjalanan ceritanya banyak memaparkan elemen-elemen kepercayaan agama mereka seperti tilikan nasib di tangan, roh-roh yang ingin dilahirkan semula serta beberapa amalan seperti membakar replika wang dan sebagainya untuk diberi kepada si mati di alam barzakh. Namun, aku tetap berasa terhibur dengan unsur-unsur komedi yang berjaya disampaikan secara sederhana melalui kebanyakan watak-wataknya dimana dialog yang diungkapkan mereka mampu menjentik jiwa aku untuk ketawa sepanjang menyaksikan filem ini sebentar tadi. 


Permulaan filem ini bergerak dengan agak baik melalui pengenalan karakter watak utamanya iaitu Mei Qi yang ditunjukkan begitu angkuh, tidak ada sifat toleransi dan bersifat kejam kepada semua pekerja bawahannya. Namun, plot ceritanya berjaya dikembangkan dengan baik untuk menjawab persoalan penonton berkenaan kenapa Mei Qi perlu bersikap sedemikian. Peringkat awalnya memang dapat dilihat watak wanita ini berjaya ditunjukkan dengan baik sebagai seorang gadis yang bebas dan sangat berdikari. Jadi, secara tidak langsung babak Mei Qi memecat pekerja-pekerjanya dengan mengatakan manusia yang sering memberi alasan bukannya orang yang berjaya itu boleh dikategorikan sebagai lulus dan diterima. 


Namun, plot ceritanya mulai kelihatan agak lemah apabila Mei Qi mengalami koma selepas satu insiden dimana watak ini kemudian ditunjukkan hilang pekerjaannya dengan begitu mudah disebabkan pengkhianatan rakannya yang turut merampas teman lelakinya. Memang jika dilihat tiada salahnya kerana rakannya itu sememangnya merupakan anak pemilik hotel tersebut tetapi apabila plot cerita memilih untuk menamatkan kerjaya Mei Qi dengan cara yang terlalu mudah sebegini maka ia sedikit sebanyak mencacatkan perkembangan plot yang sebelum ini terbentuk dengan cantik pada permulaannya. Emosi dan reaksi yang dipertontonkan oleh pelakon Chrissie Chau yang membawakan watak Mei Qi selepas itu juga seolah-olah tidak sampai untuk menggambarkan perasaannya yang terkecut, kacau bilau mahu pun berputus asa pada babak tersebut.


Filem ini bernasib baik kerana kemunculan tiga roh yang sentiasa berada bersama Mei Qi  dilihat berjaya memberi nafas baru kepada pembentukan filem ini secara keseluruhannya. Walaupun pada mulanya dilihat babak kemunculan roh-roh ini agak mengelirukan dan sedikit lemah gara-gara tenggelam dek kekuatan babak awal Mei Qi bertemu dengan pelbagai jenis roh yang kelihatan lebih menarik dan penuh dengan misteri. Perubahan plot yang melibatkan watak ketiga-tiga roh ini dan kaitannya dengan Mei Qi pada peringkat klimaks filem ini akhirnya berjaya menjadikan filem ini kembali bernafas dengan lancar semula walaupun gaya penceritaan seperti itu pernah aku lihat pada filem-filem lain sebelum ini.


Memandangkan filem ini merupakan filem komedi, jadi sememangnya anda akan terhibur dengan pelbagai babak lucu versi Hong Kong. Ada sesetengah babak lucunya yang agak cliche dan slapstik tetapi terdapat juga beberapa babak lucu filem ini yang agak segar dan menghiburkan seperti babak merasuah dua orang penangkap roh yang membuatkan aku ketawa sendiri saat menonton filem ini tadi. Pada masa yang sama, hati anda juga pasti akan terusik dengan beberapa babak yang menyentuh hati seperti kisah cinta watak lelaki yang dibawakan oleh pelakon Louis Cheung yang rupa-rupanya bertepuk sebelah tangan. Lebih menarik apabila babak-babak pembongkaran kisah sebenar keluarga Mei Qi yang mampu membuatkan anda sebagai penonton menitiskan air mata kerana ia dekat dengan jiwa semua orang yang menyayangi dan mementingkan keluarga.


Momentum ceritanya bergerak secara sederhana dan seimbang. Filem Hotel Soul Good ini secara keseluruhannya merupakan sebuah filem komedi berunsur kekeluargaan yang ringan. Mampu membuatkan anda ketawa dan sedih pada waktu yang sama. Sesekali filem ini menjentik naluri manusia anda untuk berfikir tentang perasaan sayang sesama manusia, menghargai keluarga serta cinta hati anda. Ini menjadikan filem ini sesuai ditonton sebagai hiburan dan pada masa yang sama sebagai tauladan buat anda.  


Jadi, selamat menonton filem Hotel Soul Good dan nikmati elemen komedi dan misterinya bersama rakan-rakan atau keluarga anda di pawagam berdekatan bermula 18 Oktober ini. Oh, lupa nak bagitahu! Wajah pelakon Chrissie Chau seakan-akan pelakon Tiz Zaqyah dan merupakan antara sumber tarikan utama apabila anda menonton filem ini. Sekian!

P/S : Ulasan Filem Seterusnya Yang Akan Menemui Anda Ialah Filem Seram Berjudul Malicious. Seram Ker Tidak? Nantikan! 

Catat Ulasan

0 Ulasan