16/10/18

Review Filem The Negotiation


Filem:
The Negotiation

Pengarah:
Lee Jong Seok

Genre:
Jenayah & Ngeri

Pelakon:
Hyun Bin, Son Ye-jin, Kim Sang-ho,
Young-nam Jang, Juyoung Lee, Jang Gwang & Etc.

Penilaian:
6/10

Sinopsis:

Filem ini mengisahkan ejen Ha Chae-Yoon yang bekerja sebagai seorang perunding krisis untuk Agensi Polis Metropolitan Seoul dimana tugasnya ialah untuk berunding dengan penjenayah dan mengekalkan ketenangan dalam apa jua situasi yang diberi. Namun, kegagalan yang dirasainya setelah kematian dua tebusan dan para penculik yang mati di hadapan matanya sendiri akibat keputusan terburu-buru yang diambil ketuanya menyebabkan dia berasa sangat bersalah, kecewa dan trauma. Ejen Ha kemudian tekad mengambil keputusan untuk berhenti kerja namun dihalang oleh ketuanya. Beberapa hari selepas itu, tiba-tiba ejen Ha dipanggil oleh pihak kerajaan untuk bertemu dengan pihak mereka. Dia yang masih ragu-ragu dan tidak tahu apa-apa kemudian ditugaskan untuk berunding dengan Min Tae-Goo, seorang penjual senjata haram yang sememangnya telah disenarai hitam oleh organisasi jenayah antarabangsa. Apa yang membuat dia terasa pelik ialah Min sendiri yang meminta pihak kerajaan untuk menghantar ejen Ha sebagai wakil perunding. Kini, ejen Ha pula berasa keliru dan mengesyaki ada sesuatu yang disembunyikan oleh pihak kerajaan daripada pengetahuannya. Lebih mengejutkan apabila salah seorang tebusan yang ditahan oleh Min ialah seorang polis yang merupakan ketuanya sendiri. Ejen kini berada di dalam situasi yang sukar kerana perlu bijak berunding dengan Min untuk memastikan ketuanya dan tebusan yang lain dapat diselamatkan. Apakah yang akan berlaku seterusnya? Saksikan filem ini di pawagam berdekatan anda untuk mengetahui jawapannya.

Ulasan Hans:

Aku berpeluang menonton sebuah filem Korea yang berjudul The Negotiation di TGV Cinemas Sunway Pyramid pada tanggal 14 Oktober 2018 yang lepas. Kepada peminat atau penggemar filem Korea pasti mengenali salah seorang pelakon lelaki terkenal mereka iaitu Hyun Bin yang memainkan peranan utama di dalam filem ini bersama Son Ye-Jin. Menariknya pada filem ini ialah Hyun Bin buat pertama kalinya telah tampil di dalam watak antagonis. Adakah filem ini berjaya menonjolkan kehebatan Hyun Bin pada dimensi pilihannya yang berbeza pula kali ini?


Permulaan filem ini agak menarik apabila memperkenalkan watak ejen Ha Chae-Yoon dengan perwatakan dan gaya yang lain daripada anggota keselamatan biasa. Memakai baju bercorak bunga berwarna terang dengan skirt pendeknya sebelum ditegur oleh rakan sepasukannya telah berjaya menghantar mesej kepada penonton tentang perwatakan ejen Ha ini yang tenang dan memberi satu gambaran yang baik terhadap filem The Negotiation. Kemudian ditunjukkan pula kegagalan ejen Ha menyelamatkan tebusan disebabkan arahan serangan yang diberikan oleh seorang kapten yang merupakan ketua ejen Ha. Hal ini juga dilihat berjaya memberi satu teka-teki menarik berkaitan perilaku ketua ejen Ha dan persoalan tentang apakah kaitannya perkara ini dengan dirinya.   


Namun, kelemahan mula dikesan dan dapat dihidu dengan mudah apabila merujuk kepada perkembangan watak-watak utama di dalam filem ini dimana punca ejen Ha Chae-Yoon yang begitu beremosi di atas setiap kematian mangsa yang dihadapinya adalah tersangat rambang dan sukar untuk diterima memandangkan kerjaya yang dibawakan watak ini semestinya memerlukan seorang perunding untuk sentiasa bersedia dan mempunyai mental serta emosi yang kuat dan stabil. Tetapi, kelompongan yang wujud pada bab ini amat ketara dan sukar untuk disembunyikan lagi kepada penonton.


Melihat dan menilai jalan cerita filem ini pula boleh dibuat kesimpulan bahawa pada awalnya filem ini kelihatan bijak memaparkan pertukaran plot apabila penonton diberitahu bawa salah seorang tebusan yang disebut sebagai wartawan itu sebenarnya bukan wartawan. Namun, selepas itu segala-galanya sudah boleh diramal dengan mudah apabila plot ceritanya terlalu bermurah hati menyogok penonton dengan membongkarkan sisi setiap tebusan serta individu-individu yang diminta oleh penjenayah Min untuk ditemui di dalam setiap sesi panggilan video dengannya.


Filem The Negotiation ini dilihat masih tidak cukup kuat untuk berdiri sebagai sebuah filem bergenre jenayah dan ngeri yang boleh dibanggakan atau menjadi sebutan sepanjang setahun apabila melihatnya secara keseluruhan. Elemen melodrama yang diterapkan terutamanya melalui watak Ejen Ha pula kurang berjaya disempurnakan dengan baik akibat tidak disokong oleh plot cerita selepas kemunculan babak tersebut. Ini menyebabkan nilai simpati yang ditimbulkan untuk menagih perhatian penonton musnah disebabkan percaturan yang kurang kemas gara-gara jalan ceritanya yang mulai hilang magis pada pertengahan filem. Namun, dapat dilihat disini unsur-unsur komedi yang wujud di dalam filem ini secara minimum sama ada secara terancang atau sekadar kebetulan berjaya mengundang hilai tawa penonton dan memastikan filem ini mempunyai sudut pandang lain yang menjadikan naskah ini lebih menarik untuk ditonton.


Filem ini bukannya sebuah filem yang membosankan atau gagal kerana momentum ceritanya bergerak laju dan masih berjaya membawa elemen kejutan melalui banyak perubahan plot yang pasti berjaya menangkap jiwa penonton untuk menyukai filem ini. Tetapi, jika anda merupakan penggemar filem-filem berjiwa kepolisan seperti ini maka anda pasti akan bersetuju bahawa jalan cerita dan persoalan-persoalan yang diutarakan kepada penonton tersangat mudah untuk diteka dan diramal. Jadi, ini menyebabkan filem The Negotiation kelihatan tiada pembaharuan yang menarik atau magisnya yang tersendiri walaupun ia membawa mesej penting tentang amalan dan sistem rasuah yang berlaku di negara Korea Selatan. 


Karakter ejen Ha sebagai salah seorang perunding terbaik untuk berunding dengan jenayah juga sebenarnya kurang meyakinkan. Sebab itu tidak hairan apabila watak penjahat Min sentiasa mengatakan ejen Ha tidak pandai berbohong. Ia dalam dilihat sendiri daripada gerak badan serta reaksi wajahnya yang tidak selesa bila berhadapan dengan sesuatu isu yang serius. Daripada satu sudut, ia kelihatan menarik kerana hal ini memberi elemen tambahan kepada watak ejen Ha supaya gerak-gerinya lebih sukar diramal oleh penonton. Namun apabila filem ini memilih untuk mengekalkan keperibadian watak ini dengan gaya dan kata-kata yang penuh kasih sayang sepanjang filem ini berlangsung menjadikan penonton kurang yakin dan mula menyoal adakah ini pakar perunding yang dibangga-banggakan sangat itu?


Diakui pelakon Hyun Bin dan Son Ye-Jin merupakan antara pelakon terbaik yang pernah dihasilkan industri hiburan Korea Selatan. Lakonan mereka berdua di dalam filem ini juga sebenarnya tidak mengecewakan tetapi karisma watak mereka sedikit pudar gara-gara kelemahan skrip yang gagal membentuk perkembangan hubungan dua watak ini untuk membuatkan penonton faham apakah faktor yang menyebabkan ejen Ha secara mudah boleh berpihak terhadap penjenayah Min sedangkan pengenalan mereka hanya melalui panggilan video yang dihubungkan di sebuah skrin dalam jangka waktu yang sangat terhad. Satu kerugian besar dari sudut pandang ini kerana perkembangan dua watak ini gagal meneruskan dinamik seperti mana dipaparkan pada permulaan filem yang kelihatan lebih menarik dan memberi harapan yang tinggi buat penonton yang sentiasa mahukan yang lebih baik. Ia beransur-ansur menjadi malap pada pertengahan ceritanya. Filem ini bernasib baik kerana kemunculan pelakon veteran Kim Sang-ho sememangnya berjaya memberi beberapa nilai tambah untuk menjadikan filem ini bertambah menarik.  


Namun, filem The Negotiation bukanlah sebuah naskah yang terlalu mengecewakan. Masih berbaloi untuk ditonton cuma jangan terlalu berharap bahawa filem ini akan memberikan lebih seperti yang anda impikan. Jadi, selamat menonton dan semoga terhibur dengan kisah yang dipaparkan di dalam filem The Negotiation ini. Sekian!

P/S : Baru Selesai Menonton Filem Destination Wedding Lakonan Keanu Reeves Dan Winona Ryder. Tidak Pasti Akan Ada Ulasan Atau Tidak Terhadap Filem Ini Kerana Ia Seperti Filem Mencari Rahmat Dimana Kekuatan Utamanya Ialah Bahasa Filem Yang Digunakan Yang Penuh Dengan Kiasan Dan Sindiran. 

2 ulasan:

  1. Walaupun aku xberapa gemar lagu2 k-pop, tapi setakat ni filem2 korea jarang mengecewakan cth train to busan, midnight runner, battleship island, the outlaw, AWTG dll..

    Filem ni pun tak mengecewakan sebab plot cerita agak pantas & xmembuatkan aku rasa bosan..

    Cuma aku agak terganggu dgn dua subtitle (english & malay) dgn saiz & font yg sama..

    BalasPadam