10 Filem Terbaik Tahun 2018 Pilihan Rollo De Pelicula

Assalammualaikum dan salam sejahtera buat semua pembaca blog www.rollodepelicula.com sekalian. Memandangkan lagi beberapa hari lagi kita akan menginjak ke tahun 2019 maka aku kongsikan di sini sepuluh filem terbaik tahun 2018 mengikut citarasa blog RolloDePelicula.


1) ONE CUT OF THE DEAD
Sebuah filem dari Jepun yang berjaya mengejutkan aku daripada keseluruhan aspek sama ada plot cerita, lakonan, suntingan serta perubahan plot yang diolah dengan cukup bijak dan begitu kreatif. Berkisarkan tentang serangan zombie yang berlaku di sebuah lokasi penggambaran, filem bergenre seram komedi ini telah menerima penilaian 10/10 daripada aku. Sebuah filem wajib tonton dan ulasan tentang filem ini boleh dilihat dan dibaca DISINI.

2) ANDHADHUN
Sebuah filem Bollywood yang berjaya mencetuskan fenomena di kalangan kaki wayang pada bulan Oktober 2018 kerana pengakhiran filemnya yang begitu unik dan menimbulkan pelbagai persoalan serta andaian buat sesiapa sahaja yang menonton. Berkisarkan tentang seorang lelaki bernama Akash yang merupakan pemain piano yang buta, filem bergenre romantik, misteri dan ngeri ini telah menerima penilaian 9/10 daripada aku. Sebuah filem wajib tonton dan ulasan tentang filem ini boleh dilihat dan dibaca DISINI.

3) GUANG
Sebuah filem tempatan berbahasa Mandarin yang bagi aku merupakan filem Malaysia paling hebat pada tahun 2018 berdasarkan pelbagai sudut yang dinilai terutamanya berkaitan plot cerita, lakonan dan sinematografi yang sangat mengagumkan. Berkisarkan tentang kisah sebenar berkaitan seorang lelaki yang menghidap penyakit autism, filem bergenre kekeluargaan ini telah menerima penilaian 9/10 daripada aku. Sebuah filem wajib tonton dan ulasan tentang filem ini boleh dilihat dan dibaca DISINI.

4) BADHAAI HO
Sebuah filem Bollywood yang bijak mengangkat isu taboo di kalangan masyarakat Asia berkaitan dengan perihal wanita yang mengandung pada usia yang lanjut. Filem ini bijak menggunakan beberapa permasalahan, persoalan serta tanggapan masyarakat tentang isu yang berat ini di dalam garapan yang santai dan sangat menghiburkan untuk ditonton dan difahami. Lebih menarik walaupun diterajui oleh pelakon veteran yang memegang watak utama namun filem bergenre komedi dan kekeluargaan ini telah menerima penilaian 9/10 daripada aku. Sebuah filem wajib tonton dan ulasan tentang filem ini boleh dilihat dan dibaca DISINI.

5) MORE THAN BLUE
Sebuah filem Mandarin daripada China yang merupakan sebuah filem pembikinan semula daripada karya asal filem Korea ini sememangnya cukup menarik kerana terdapat banyak plot twist yang membuatkan filem ini sentiasa memberikan kejutan berharga kepada setiap penonton sepanjang tontonan filem ini berlangsung. Filem ini yang mengisahkan tentang pasangan sahabat yang tinggal serumah iaitu K dan Cream yang sebenarnya jatuh cinta dalam diam tetapi tidak berani untuk mengakuinya. Apa yang membuatkan filem ini bertambah tragis apabila K sebenarnya menghidap penyakit leukimia dan cuba menyembunyikannya daripada pengetahuan Cream. Filem bergenre drama dan romantik ini telah menerima penilaian 8/10 daripada aku. Sebuah filem wajib tonton dan ulasan tentang filem ini boleh dilihat dan dibaca DISINI.

6) ONE TWO JAGA
Sebuah filem tempatan yang turut berjaya menimbulkan pelbagai kontroversi sama ada di akhbar atau pun di laman sosial. Walaupun jumlah kutipan tidak memberangsangkan namun filem ini telah memberikan satu sinar baru buat industri perfileman negara untuk tampil dengan filem yang berani untuk mengkritik atau bercerita kepada penonton tentang isu-isu besar yang sebelum ini tidak pernah disentuh atau dibicara secara terbuka seperti mana yang dapat ditonton di dalam filem ini yang memberi fokus berkaitan pasukan badan beruniform Polis Diraja Malaysia. Filem bergenre aksi, drama dan jenayah ini telah menerima penilaian 10/10 daripada aku sebagai galakan dan harapan untuk melihat lebih banyak filem yang berani sebegini dihasilkan dan ditayangkan di pawagam Malaysia. Sebuah filem wajib tonton dan ulasan tentang filem ini boleh dilihat dan dibaca DISINI.

7) DUKUN
Sebuah filem tempatan yang sudah diperap terlalu lama iaitu hampir 12 tahun ini akhirnya menemui penonton Malaysia pada bulan April 2018. Filem yang diadaptasi daripada kes berprofil tinggi ini masih berjaya memberi impak yang cukup hebat kepada seluruh penonton Malaysia melalui lakonan hebat kesemua pelakon-pelakon yang terlibat di dalam filem Dukun ini. Filem bergenre seram, thriller dan jenayah ini telah menerima penilaian 9/10 daripada aku. Sebuah filem wajib tonton dan ulasan tentang filem ini boleh dilihat dan dibaca DISINI.

8) A STAR IS BORN
Sebuah filem yang telah dibuat semula untuk kali ketiga namun berjaya memberikan impak yang sangat padu terutama dari segi emosi saat menonton lakonan Lady Gaga dan Bradley Cooper yang betul-betul menjiwai watak masing-masing. Dibarisi pula dengan pelbagai lagu yang mempunyai lirik yang cukup kuat dan melodi yang indah serta disokong oleh plot cerita yang menarik berkaitan cita-cita seorang wanita serta tewasnya seorang lelaki kepada masalah penagihan menjadikan filem bergenre drama, muzikal dan romantik ini telah menerima penilaian 8/10 daripada aku. Sebuah filem wajib tonton dan ulasan tentang filem ini boleh dilihat dan dibaca DISINI.

9) PASKAL
Sebuah filem tempatan yang berjaya meletakan filem aksi ketenteraan tempatan di satu tahap yang cukup tinggi untuk dikejar oleh produksi filem-filem tempatan yang lain selepas ini. Walaupun plot cerita filem ini tidak kompleks namun babak aksi yang melibatkan tuntutan fizikal para pelakonnya sangat membanggakan tambahan pula semua lagak ngeri dilakukan oleh para pelakonnya sendiri. Ini menjadikan filem ini merupakan salah sebuah filem tempatan yang wajar dipuji dan diberi penghargaan. Filem bergenre aksi dan patriotik ini telah menerima penilaian 8/10 daripada aku. Sebuah filem wajib tonton dan ulasan tentang filem ini boleh dilihat dan dibaca DISINI.

10) AVENGERS INFINITY WAR
Sebuah filem yang tidak perlu diperkenalkan lagi kerana menjadi sebutan kaki wayang di seluruh dunia. Filem yang cukup menghiburkan dan penuh dengan elemen aksi, komedi dan emosi menjadikan filem ini sebagai sebuah filem yang membariskan begitu ramai superhero yang sukar ditandingi buat masa ini. Filem bergenre aksi, pengembaraan dan fantasi ini telah menerima penilaian 9/10 daripada aku. Sebuah filem wajib tonton dan ulasan tentang filem ini boleh dilihat dan dibaca DISINI.

P/S : Apa Pula 10 Filem Terbaik Pilihan Anda? Kongsikan Di Ruangan Komen Di Bawah :)

Catat Ulasan

4 Ulasan

  1. berapa jumlah filem yg hans tgk tahun 2018?

    BalasPadam
  2. Saya tak banyak tengok wayang.. Tapi saya suka baca review je.. Blog ni pun best.. Review agak detail.. Banyak info.. Em, Nak tanya lagi.. Filem terbaik ni ikut susunan ke?..

    BalasPadam