Review Filem Banglasia 2.0


Filem:
Banglasia 2.0

Penilaian:
4/10

Pengarah:
Namewee

Genre:
Aksi & Komedi

Pelakon:
Namewee, Nirab Hossain, Saiful Apek, Atikah Suhaimie, Shashi Taran,
Raja Ilya, Jack Lim, Datuk David Arumugam, Lao Za Bor & Etc.

Tarikh Tayangan:
28 Februari 2019

Pengedar:
MM2 Entertainment Sdn Bhd

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan tentang Harris yang merupakan seorang pekerja Bangladesh yang datang bekerja di Malaysia. Harris mahu pulang ke kampung halamannya untuk berkahwin dengan kekasihnya iaitu Hangouren yang merupakan seorang aktivis. Hangouren mahu masyarakat menyertainya untuk menjadikan negara mereka seperti dahulu tanpa pendatang asing. Manakala anak kepada bos Haris iaitu Rina yang merupakan seorang wanita idealistik telah jatuh cinta pandang pertama dengan Harris. Apa yang akan berlaku seterusnya kepada Harris? Saksikan filem ini di pawagam berhampiran anda pada 28 Februari 2019 untuk mengetahui jawapannya.

Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah dijemput oleh pihak WebTVAsia untuk menonton filem Banglasia 2.0 di MMcineplex E Curve pada 27 Februari 2019 yang lepas. Filem yang tajuk asalnya berjudul Banglasia 2014 ini sepatutnya ditayangkan pada 30 Januari 2014 bersamaan dengan Tahun Baru Cina pada ketika itu namun disebabkan pada era tersebut filem ini tidak melepasi syarat-syarat yang dikenakan oleh Lembaga Penapisan Filem (LPF) menyebabkan ia tersadai hampir 6 tahun. Akhirnya penantian ramai peminat filem serta kaki wayang terbalas apabila filem yang diberi nama baru iaitu Banglasia 2.0 ini berjaya ditayangkan di Malaysia selepas mendapat kelulusan Lembaga Penapisan Filem (LPF) dengan tujuh potongan. Apa yang menarik perhatian berkenaan filem ialah ia telah pun ditayangkan di beberapa festival filem antarabangsa seperti Festival Filem Antarabangsa Singapuran, Festival Filem Asia New York dan Festival Filem Asia Osaka.


Banglasia 2.0 merupakan hasil karya filem Namewee selepas filem Nasi Lemak 2.0 dan Hantu Gangster. Walaupun Namewee terkenal dengan pelbagai kontroversi melalui saluran youtube miliknya namun ia agak berlainan dengan karya-karya filemnya yang lebih ke arah menyalurkan mesej positif berkaitan dengan nilai perpaduan serta kerharmonian pelbagai kaum di Malaysia ini. Filem Banglasia 2.0 ini juga sama seperti filem-filem Namewee sebelum ini yang membawakan isu-isu nasional yang menarik seperti rasuah politik, pemerdagangan manusia, masalah perhubungan kaum dengan menggunakan pendekatan satira politik melalui beberapa adegan pilihan raya umum yang ditambah untuk mengekalkan relevan jalan cerita di tahun 2019.




Banglasia 2.0 adalah sebuah filem cult dimana karya Namewee ini sebenarnya membawakan jalan cerita yang sengaja digubah plot dan disampaikan dalam keadaan yang kelihatan ganjil daripada kebiasaan filem-filem tempatan lain. Kelainan ini bukan sekadar boleh dilihat melalui plot cerita sahaja tetapi juga melalui karakter dan latar filemnya yang berbeza daripada kebiasaan. Walaupun filem ini tidak sehebat Nasi Lemak 2.0 daripada hasil karya pengarah yang sama, namun tidak dinafikan ada beberapa perkara di dalam filem yang berjaya dipersembahan dengan cantik dan menarik perhatian walaupun bukan kesemuanya.


Filem ini sebenarnya adalah satira politik negara. Watak-watak ini walaupun diberikan nama yang berlainan namun karakternya dengan mudah dapat dikenal pasti oleh penonton dengan sepantas yang mungkin. Ada beberapa terjahan yang menarik untuk ditonton terutamanya berkenaan sekitar watak Omar, Orang Nombor Satu Omar dan Raja Luk Luk. Namun, ada sebahagiannya yang kelihatan agak membosankan apabila kerap kali ia dipaparkan dengan konsep pengulangan yang sama di dalam filem. Elemen humor yang diguna pakai tidak berjaya sepenuhnya pada karya kali ini. Manakala baki kisahnya pula agak sukar difahami terutama apabila ia berkaitan dengan perkataan-perkataan Mandarin yang lebih dekat dengan kefahaman kaum Cina berbanding penonton lain yang menonton.


Namun, paparan Banglasia 2.0 terhadap rakyat Bangladesh di dalam filem ini agak menarik dan mendidik sifat kemanusiaan penonton. Satu perkara yang menarik apabila Namewee memaparkan nilai kemanusiaan ini melalui babak-babak realiti yang dipelopori oleh rakyat Malaysia sendiri yang sering memandang pendatang Bangladesh dengan pelbagai jenis fahaman. Ada yang menganggap mereka sebagai ancaman dan ada yang merasakan mereka tidak berpelajaran. Jadi, penceritaan filem ini menjadi cantik apabila watak Harris Dirty ini mewakili kebenaran golongan tersebut dengan paparan kisah tentang tahap pendidikan serta kemahiran mereka yang pelbagai serta hakikat sebenar bahawa mereka mampu melakukan pelbagai jenis kerja. Cuma realitinya apabila keadaan ekonomi sebenar di negara mereka yang lemah dan terlalu terhad menyebabkan mereka perlu berhijrah demi mengejar cita-cita. Menariknya apabila pemandangan rakyat Bangladesh dipaparkan cantik melalui babak nyanyian antara Harris dan Atiqah. Disini Namewee ingin memberitahu penonton tentang nilai penghormatan, persaudaraan serta kesamarataan manusia itu tidak mengira bangsa mahu pun warna kulit. Ini adalah salah satu perkara menarik yang boleh dipuji untuk filem ini.


Ramai yang mengatakan bahawa Namewee ini bersikap rasis. Ada juga yang mengatakan dia seorang yang liberal. Ada juga yang mengatakan lelaki ini bersikap terlampau terbuka seperti rakyat Amerika. Namun, di dalam filem Banglasia ini, ada beberapa babak yang menarik perhatian dimana Namewee telah memukul rata kesemua kaum di Malaysia. Pertama ia dapat dilihat pada babak Omar dan rasuah politiknya. Kedua pula ialah satu babak yang sangat menarik dimana tiga orang melayu sedang belajar kungfu dengan dua orang tenaga pengajar cina dimana mereka berdua ini bercakap bahasa mandarin dan memperlekehkan ketiga-tiga anak murid tersebut sebelum ditegur dan dinasihatkan sendiri oleh ketiga-tiga anak muridnya dengan baris ayat yang sangat hebat. Babak tersebut membuktikan bahawa Namewee sebenarnya berani untuk memukul rata semua kaum yang wujud di Malaysia ini dan kejujuran ini boleh dikatakan menjadikan filem ini menarik dari segi itu.


Walaupun filem berkonsepkan cult filem ini cuba membawa gaya cerita 'trashy movie' namun dapat dilihat impaknya masih belum menyeluruh dan kurang berkesan untuk membuatkan kami merasa lebih dengan penceritaan ini. Kenapa yang tidak memahami apa itu 'Trashy Movie' boleh lihat pada ARTIKEL INI untuk rujukan anda. Tidak dinafikan filem ini masih cuba mengekalkan nilai-nilai perpaduan seperti mana yang dapat dilihat di dalam filem Nasi Lemak 2.0 dan Hantu Gangster sebelum ini. Namun kami masiih meletakkan Nasi Lemak 2.0 sebagai sebuah filem yang masih mendahului filem Banglasia 2.0 ini. Terima kasih kepada pihak WebTVAsia kerana sudi menjemput portal filem Rollo De Pelicula untuk menonton karya anak tempatan ini. Selamat menonton filem ini pada 28 Februari 2019 nanti di pawagam-pawagam terpilih. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Akan Diulas Ialah Sebuah Filem Tempatan Berjudul Bikers Kental 2 . Nantikan Ulasannya!

Catat Ulasan

2 Ulasan

  1. PH baru tonton filem ni tadi. Secara keseluruhan, ok sahaja. Ada hits and miss. Pada PH aksi yang paling lucu ialah adegan dengan nenek Hanguoren. Dialog dalam dailek Hokkien, so PH boleh faham. Yang satu lagi ialah part antara Raja Luk Luk dengan Omar dalam bahasa Luk Luk. hah..hah..

    BalasPadam
    Balasan
    1. yups
      itu Hans cakap dia dekat dengan orang Cina...
      bila translate jadi tak best sebab ayat dah skema...
      hahahaha

      Padam