Review Filem Thadam


Filem:
Thadam

Penilaian:
10/10

Pengarah:
Magizh Thirumeni

Genre:
Aksi & Ngeri

Pelakon:
Arun Vijay, Tanya Hope, Sonia Agarwal, Vidya Pradeep, Yogi Babu, Smruthi Venkat & Etc.

Tarikh Tayangan:
1 Mac 2019

Pengedar:
Lotus Five Star

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan satu kes pembunuhan yang melibatkan dua orang suspek yang berwajah sama. Setiap klu yang ditemui oleh pihak polis sewaktu siasatan hanya memberikan lebih banyak persoalan berbanding jawapan. Kini, pasukan polis harus menyelesaikan segera siasatan bagi mendapatkan bukti siapakah antara berdua sebenarnya yang bersalah sebelum kes dibawa ke mahkamah untuk dibicarakan. Berjayakah mereka mencari siapa pembunuh sebenar di kalangan dua orang suspek ini? Saksikan filem yang sangat menarik dan penuh teka-teka ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 1 Mac 2019 untuk mengetahui jawapannya.

Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah menonton sebuah filem Bollywood berjudul Thadam di Amerin Cineplex pada 2 Mac 2019 yang lepas. Melihat poster filem ini sememangnya memanggil-manggil kami untuk membeli tiket bagi menonton filem tamil yang menjadi sebutan ramai saat ini. Tambahan pula apabila filem ini mendapat kritikan yang sangat baik dan positif daripada peminat filem Tamil serta kaki wayang yang menonton. Lebih menarik ramai yang telah menonton menyatakan filem Thadam ini lebih baik dan hebat daripada filem Ratsasan yang sebelum ini menjadi sebutan dan fenomena buat ramai penonton pada tahun 2018 yang lepas. Jadi, kami tekad membuat keputusan untuk melaburkan duit bagi membeli tiket filem ini yang berharga RM14 untuk melihat adakah segala kata-kata pujian yang diberikan kepada filem ini adalah benar semata-mata benar? Apa yang kami boleh simpulkan selepas selesai menonton filem ini adalah Thadam merupakan sebuah lagi filem di tahun 2019 yang menarik, menghiburkan dan terbaik untuk ditonton selepas filem Bollywood berjudul Gully Boy. Segala-galanya tentang filem ini sangat menarik untuk ditonton, dikupas mahu pun dibicarakan bersama dengan kaki-kaki wayang seantero Malaysia selepas ini.


Industri filem Kollywood mahu pun Bollywood sudah biasa kita lihat gemar memaparkan filem-filem yang mengisahkan tentang watak-watak kembar sama ada berkait rapat atau  pun kisahnya dipaparkan secara kebetulan. Ada filem yang mengisahkan tentang dua watak kembar yang berebutkan seorang wanita. Ada filem yang mengisahkan watak kembar yang tidak berkaitan berebutkan wang. Namun, filem Thadam kali ini memberikan sesuatu yang baru untuk anda rasai dan nikmatinya dengan puas bukan sahaja pada permulaan atau pertengahan filem tetapi meliputi keseluruhan filem ini sendiri termasuklah pada pengakhiran kisahnya. Terima kasih kepada pengarah filem Thadam iaitu Magizh Thirumeni kerana menghidangkan karya yang dipenuhi dengan babak-babak yang cukup menarik dan mencengkam jiwa serta akal fikiran kami sewaktu menonton filem Tamil yang hebat ini. Filem Thadam ini bukan sahaja bijak bermain dengan emosi melalui watak-wataknya namun turut dilihat hebat bermain dengan mesej-mesej berkaitan dengan soal kehidupan, pendidikan serta pembentukan emosi kanak-kanak yang dipengaruhi oleh faktor persekitaran keluarga yang sihat. Hal-hal ini dibentuk dengan cukup baik di dalam penceritaan filem ini untuk kita lebih memahami perkembangan watak-watak utama yang menjadi fokus di dalam filem Thadam iaitu Kavin dan Ezhil.


Walaupun momentum penceritaan filem Thadam ini dilihat pada awalnya bermula agak perlahan namun ia dapat diterima atas alasan untuk memberi ruang kepada kedua-dua watak utama iaitu Kavin dan Ezhil untuk berkembang dan dapat difahami serta dibezakan oleh para penonton. Ezhil dipaparkan sebagai seorang jurutera yang berjaya di dalam kerjayanya di sebuah syarikat korporat tetapi kurang bernasib baik di alam percintaan. Segala-galanya berubah selepas pertemuannya dengan Deepika(lakonan Tanya Hope) membuatkan dia jatuh cinta kepada gadis tersebut. Jadi, Ezhil harus bekerja keras untuk menawan hati Deepika berkali-kali melalui pertemuan mereka yang hanya berlaku di dalam lif tempat mereka bekerja. Menarik untuk melihat babak Ezhil cuba menawan Deepika melalui ajakan untuk minum kopi bersama tetapi kerap kali ditolak. Ditolak bukan kerana tidak sudi namun Deepika menyatakan ayat pelawaan yang Ezhil sering gunakan itu tidak sesuai dan salah pada pandangannya. Deepika menanti ayat pelawaan yang betul dari mulut Ezhil untuk dia sudi menerima ajakan tersebut. Maka disini dapat dilihat watak Ezhil ini sentiasa berusaha untuk memenangi hati Deepika melalui pelbagai ayat-ayat yang dirasakannya menepati kehendak Deepika. Permulaan filem ini sahaja sudah memberikan satu bayangan kepada para penonton bahawa misteri filem ini bukan hanya terhenti disini. Tetapim penonton akan menerimanya lebih lagi pada babak-babak seterusnya yang dipenuhi dengan teka-teki yang bukan sahaja mengelirukan tetapi pada masa yang sama membuatkan anda sebagai penonton berasa sangat teruja untuk mengetahui kebenaran sebenarnya disebalik persoalan-persoalan yang ditinggalkan. 


Watak Ezhil yang kelihatan lembut dan penyayang itu pula sangat berbeza dengan watak Kavin yang dipaparkan sebagai seorang lelaki yang terlibat di dalam kegiatan jenayah melalui babak yang memaparkan sebuah mesin ATM yang dicuri tetapi mempunyai pengetahuan yang hebat tentang hal berkaitan undang-undang. Pada masa yang sama, Kavin turut dipaparkan sebagai seorang lelaki yang mempunyai belas ihsan terhadap bakal mangsa-mangsa penipuannya. Konflik mula tercetus apabila Kavin yang dipertontonkan sebagai seorang kaki judi ini berhutang jumlah yang besar dengan seorang ketua penjahat sehingga menyebabkan rakannya (lakonan Yogi Babu) diculik. Kavin kemudian menerima ugutan untuk melangsaikan hutangnya atau rakannya akan dibunuh untuk mendapatkan buah pinggang bagi dijual di pasaran gelap. Jadi, disini dipaparkan bahawa Kavin ini terdesak untuk menyelamatkan rakannya daripada dibunuh. Kemudiannya, filem ini beralih kepada satu babak pembunuhan dimana hasil siasatan mendapati wang yang disimpan si mati hilang dan wajah pembunuh yang dikenal pasti melalui sekeping gambar sangat seiras seperti wajah Ezhil dan Kavin. Jadi, jika dilihat pada permulaannya pasti penonton dengan mudah membuat kesimpulan bahawa Kavin yang membunuh untuk mendapatkan wang bagi menyelamatkan rakannya daripada dibunuh. Namun, ia tidak semudah itu apabila filem ini cuba memerangkap Ezhil yang tidak bersalah melalui watak seorang ketua polis yang berdendam dengan Ezhil disebabkan masalah berkaitan anaknya yang mempunyai kaitan dengan Ezhil sebelum ini.


Jadi, plot penceritaan mula berkembang menjadi menarik selepas itu apabila ramalan dan tekaan menonton sering kali teruji dengan permainan kreatif yang dihidangkan oleh filem Thadam ini. Walaupun momentum penceritaannya pada peringkat awal mengambil masa agak lama untuk tiba kepada titik penceritaan yang ditunggu-tunggu oleh penonton namun percayalah penantian tersebut sangat berbaloi kerana babak filem Thadam yang seterusnya ini berjaya menimbulkan pelbagai teori dan konspirasi terhadap jalan ceritanya yang dikhabarkan diadaptasi daripada sebuah kisah benar yang berlaku di India. Para penonton mulai terpukau dengan prestasi hebat lakonan daripada setiap watak utama mahu pun watak sokongan di dalam filem Thadam ini yang sentiasa memberikan sesuatu yang menarik untuk ditonton. Kami melihat kehebatan dari segi penjiwaan karakter, emosi dan gerak tubuh ini bukan sekadar datang daripada watak utama iaitu Kavin dan Ezhil sahaja tetapi turut disokong kukuh oleh watak-watak lain yang turut memberi pesona kepada penceritaan filem ini terutamanya watak polis wanita bernama Malar. 


Filem Thadam ini dilihat bijak bermain dengan babak imbas kembali kedua-dua watak Kavin dan Ezhil ini saat mereka berdua disoal siasat oleh pihak polis. Ini kerana setiap kali penceritaan imbas kembali ini berlaku, para penonton pasti akan dihidangkan dengan petunjuk serta penemuan baru oleh pihak polis. Tetapi, menariknya disini ialah ia bukannya membantu penonton untuk lebih dekat di dalam misi pencarian jawapan yang dicari bagi merungkai siapakah pembunuh sebenar antara Kavin atau Ezhil sebaliknya menambahkan lebih banyak keliruan, tanggapan, persoalan serta tekaan rambang untuk menentukan siapakah pembunuh sebenar yang dicari-cari selama ini oleh penonton. Lebih menarik apabila penceritaan filem Thadam ini diberi sentuhan misteri yang cukup berkesan di dalam beberapa bahagian kisahnya sehingga berjaya memanipulasikan pemikiran penonton yang keliru apabila ada sangkaan mereka yang tepat pada awal penceritaan tetapi kemudian meleset pada babak yang seterusnya. Filem ini bukan sekadar sebuah filem yang anda fikirkan mudah dan senang diramal pengakhirannya kerana plot penceritaannya yang sentiasa berubah-ubah sememangnya menguji akal fikiran kita. Tetapi, apa yang membanggakan kami ialah filem Thadam ini masih berada di dalam lingkungan logik akal bahasa filem yang membuatkan karya ini boleh diterima dan difahami dengan jelas tanpa sebarang unsur yang menyesatkan pegangan pencinta filem bergenre aksi thriller seperti ini.


Kami percaya para penonton akan berasa lebih teruja sewaktu berada di dalam fasa 20 minit terakhir filem Thadam ini dimana pengarah bijak memanfaatkan plot penceritaan yang sememangnya cukup tegang dan mengasyikkan untuk membuatkan penonton memberi perhatian penuh bagi mengenal pasti siapa sebenarnya yang betul-betul bersalah dan terlibat di dalam jenayah pembunuhan ini. Adakah Kavin yang membunuh? Atau adakah Ezhil yang membunuh? Kehebatan babak akhir filem ini telah berjaya membuatkan para penonton bukan sahaja menyayangi karya menarik ini tetapi turut melupakan beberapa kelemahan yang wujud di dalam filem ini dengan mudah. Kami menyukai filem ini kerana pembayang yang diberikan kepada para penonton untuk kedua-dua watak ini sememangnya sangat mencabar dan kreatif dari segi susunan struktur plot penceritaanya. Sangat sukar untuk menentukan siapa yang bersalah kerana Kavin dan Ezhil mempunyai potensi yang sama rata untuk dituduh sebagai pembunuh. Ini antara sebab-sebab yang membuatkan para penonton terhibur kerana filem ini bukannya sebuah filem biasa yang kosong, stereotaip mahu pun klise. Ia adalah sebuah filem yang penuh dengan simpang siur yang menarik untuk dimasuki dan diredah oleh mana-mana penonton sekali pun.


Pujian harus diberikan kepada pelakon utama filem ini iaitu Arun Vijay yang memegang dua watak sebagai Kavin dan Ezhil. Usaha kerasnya untuk memberikan perbezaan terhadap bahasa tubuh serta lontaran dialog untuk kedua-dua karakter yang dibawakannya tersebut berjaya dilakukan dengan cukup cemerlang. Kemunculan pelawak terkenal filem Tamil iaitu Yogi Babu yang memegang watak sebagai Suruli juga tidak perlu dipertikaikan lagi kehebatannya kerana sering kali berjaya menggeletek hati penonton untuk ketawa melihat babak-babak kelakar yang dijayakan olehnya. Watak Ananthi yang dilakonkan oleh Smruthi Venkat pula dilihat berjaya mempersembahan sebuah lakonan yang penuh emosi dengan sebaik mungkin sehingga membuatkan penonton turut sama merasai kesedihan dan keperitan rasa yang dialami oleh watak ini. Tidak dilupakan juga watak Malarvizhi lakonan hebat Vidya Pradeep yang sungguh memukau kerana memberikan sebuah lakonan yang sangat meyakinkan sebagai seorang anggota polis wanita yang keliru dan berada di dalam tekanan yang tinggi sewaktu bertugas menyiasat jenayah hebat di dalam filem ini.


Persoalannya kini, siapakah pembunuh sebenar yang dicari-cari di dalam filem Thadam ini? Adakah Kavin? Atau Ezhil? Atau ada pihak lain yang mendalangi jenayah terancang ini? Untuk mengetahu jawapan kepada persoalan menarik tersebut, silalah tonton filem hebat berjudul Thadam ini di pawagam-pawagam berdekatan anda bermula pada 1 Mac 2019 untuk mengetahui jawapan kepada persoalan anda. Apa yang kami boleh janjikan, pengakhiran filem ini sangat menarik dan bakal membuatkan mulut anda ternganga kagum dengan jalan ceritanya yang sungguh bijaksana dan kreatif. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem Thadam ini untuk perkongsian buat kita semua. Selamat menonton!

P/S : Filem Apa Pula Yang Bakal Ditonton Dan Ditulis Ulasannya Selepas Ini? Nantikan!

Catat Ulasan

2 Ulasan

  1. Plot twist lagi... Hehehe... Menarik jugak jalan penceritaannnya. Duk ralit baca pun dah tertanya-tanya.. Lagilah menontonnya nanti. Apa-apa pun Portal "Rollo De Pelicula" memang terbaik.

    BalasPadam