Review Filem DreadOut


Filem:
DreadOut

Penilaian:
6/10

Pengarah:
Kimo Stamboel

Genre:
Seram

Pelakon:
Caitlin Halderman, Jefri Nichol, Marsha Aruan, Ciccio Manassero & Etc.

Tarikh Tayangan:
18 April 2019

Pengedar:
TGV Pictures, Horizon Film Entertainment & SG Entertainment And Advertising

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan sekumpulan pelajar yang ingin mencari populariti dengan merakam pengembaraan mistik mereka dan memuat naik video tersebut di sosial media. Untuk video terbaru mereka, mereka memilih untuk merakam kejadian mistik di sebuah bangunan apartment terbiar di mana mereka menemui satu unit rumah yang dihalang dengan pita polis. Mereka berkeras untuk masuk ke dalam unit rumah tersebut dan menjumpai kertas lama. Tanpa disedari, mereka telah melakukan kesilapan besar dengan membacanya dimana secara tiba-tiba sebuah portal misteri telah terbuka di hadapan mereka. Apa yang lebih menakutkan ialah portal tersebut merupakan portal dunia kematian dan penjaganya iaitu makhluk ghaib yang berang dengan tindakan mereka mulai cuba membunuh mereka seorang demi seorang. Mampukan kumpulan pelajar ini menyelamatkan diri masing-masing dan menutup kembali portal misteri tersebut? Saksikan filem yang menarik ini di pawagam berdekatan anda bermula pada 11 April 2019 ini untuk mengetahui kisah seterusnya.

Ulasan:

Alhamdulillah filem DreadOut ini sebenarnya sudah ditonton oleh kami di portal filem Rollo De Pelicula sewaktu kami ke Jakarta tempoh hari. Terima kasih kepada pihak Horizon Film Entertainment kerana membeli peluang kepada kami untuk menonton filem ini terlebih dahulu. Walau bagaimanapun, kami menonton filem ini di dalam keadaan material yang masih belum siap sepenuhnya dan kami turut dikhabarkan tayangan di pawagam adalah berbeza dengan apa yang kami tonton di bangunan syarikat produksi filem ini di sana. Sekali lagi iaitu pada tanggal 15 April 2018, kami berpeluang menonton filem ini di dalam versi pawagam selepas dijemput oleh pihak TGV Pictures serta Horizon Film Entertainment bertempat di TGV Cinemas One Utama.


Untuk pengetahuan semua, filem DreadOut merupakan sebuah filem prekuel yang diadaptasi daripada sebuah permainan video yang sangat popular di Indonesia. Walaupun dikhabarkan jalan cerita filem ini tidak mengikut 100 peratus seperti mana babak-babak cerita di dalam permainan video tersebut tetapi ia masih berada pada paksi yang sama dimana watak Linda (lakonan Caitlin Halderman) ini masih dikekalkan perwatakannya bersama sebuah telefon bimbit yang banyak membantu melindunginya daripada gangguan beberapa jenis hantu yang wujud di dalam filem ini.


Pada pandangan kami, filem DreadOut ini merupakan sebuah filem seram dimana keseramannya berada di paras pertengahan. Ia bukannya terlalu seram dan tidak juga terlalu menakutkan. Elemen jumpscare kurang digunakan di dalam filem dan ia hanya dimanfaatkan pada babak-babak tertentu sahaja tetapi berkesan untuk membuatkan para penonton tidak senang duduk di kerusi. Tetapi, permainan filem ini di dalam menimbulkan rasa seram penonton sebenarnya dapat dilihat pada wajah-wajah hantu yang wujud di dalam filem ini yang memang tidak dinafikan agak mengerikan untuk dilihat seperti wajah perempuan kebaya merah lakonan Rima Melati Adams yang disolek dengan wajah menyeramkan serta dihiasai susunan gigi tajam yang belum pernah kami lihat pada hantu-hantu sebelum ini serta wajah pocong yang penuh ulat dan kelihatan berjaya menimbulkan elemen seram pada babak-babak kemunculan mereka. Walau bagaimanapun, kami melihat satu kerugian disini apabila ada beberapa babak yang melibatkan pocong yang sepatutnya berjaya menakutkan penonton tetapi kelihatan gagal dan akhirnya terasa melucukan terutama pada babak pocong bergerak berjemaah.


Plot penceritaan filem pada dasarnya bermula sangat perlahan pada awal cerita kerana terlalu banyak watak yang ingin dikembangkan. Namun, ia mula membuahkan hasil pada pertengahan jalan cerita kerana sentiasa meninggalkan penonton dengan persoalan-persoalan menarik berkaitan portal ajaib yang membawa mereka ke satu dunia asing yang suram. Namun, pujian harus diberikan kepada kesan khas CGI serta grafik filem ini yang boleh dikatakan cantik, jelas dan agak mengagumkan untuk sebuah filem seram Indonesia. Ia boleh dilihat di dalam banyak babak yang melibatkan portal ajaib dimana menampilkan pusaran air yang kemas dan kelihatan nyata serta kawasan dunia asing yang sangat berjaya memanipulasi minda penonton untuk menerima visual tersebut.


Walaupun filem DreadOut cuba menampilkan beberapa elemen gore yang merupakan identiti pengarah Kimo Stamboel namun ia kurang menonjol jika dibandingkan dengan filem-filemnya yang terdahulu. Sebaliknya, filem ini cuba mengambil pendekatan memasukkan elemen humor untuk meredakan ketegangan yang dihadapi penonton dan ia diakui berjaya kerana banyak dialog-dialog yang melucukan dapat dilihat di dalam filem ini. Filem seram Indonesia tidak dapat lari daripada bunyi bingit jeritan pelakonnya tambah-tambah apabila ia melibatkan banyak watak di dalam satu-satu babak. Adakala ia membuatkan dialog yang diucapkan mereka kedengaran kurang jelas namun dari satu sudut lain, kebanyakkan pelakon utama filem ini berjaya memberikan persembahan lakonan yang bagus.


Filem DreadOut tidak lebih sekadar kisah anak-anak muda yang ingin mendapatkan populariti segera dengan melakukan lintas langsung di kawasan-kawasan tidak sepatutnya untuk dipaparkan di laman sosial masing-masing demi mengejar jumlah pengikut serta peminat yang ramai. Selebihnya filem ini cuba bercerita tentang punca kejadian aneh yang sedang melanda watak-watak ini melalui sebuah portal misteri. Namun, secara keseluruhannya filem ini masih mampu membuatkan anda gelisah dan merasai keseraman yang wujud pada keseluruhan jalan cerita. Lupakan tentang logik akal anda kerana filem ini memang mengikut sepenuhnya konsep permainan video yang popular di Indonesia dan In Sha Allah anda akan terhibur menonton filem seram ini.


Jadi, selamat menonton filem DreadOut di pawagam seluruh Malaysia bermula pada 18 April 2019 ini. Pastikan anda menonton filem ini sehingga penamat kerana ada sesuatu yang menarik buat anda semua. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Akan Diulas Ialah Sebuah Filem Seram Iaitu The Curse Of The Weeping Woman. Nantikan Ulasannya!

Catat Ulasan

6 Ulasan

  1. Tak sabar nk tgk.. Huhu
    From:pawaganfilm

    BalasPadam
  2. Aisheh... dpt average review je. Ingatkan sama level mcm Sebelum Iblis Menjemput. TQ Hans

    BalasPadam
    Balasan
    1. tak sama...
      Sebelum Iblis Menjemput tu elemen seram dia tahap lain...tahap tinggi
      hehehe

      Padam
  3. Heheheh... amat setuju Hans, sampai menggiggil kepala lutut

    BalasPadam