Review Filem Shazam!


Filem:
Shazam!

Penilaian:
7/10

Pengarah:
David F. Sandberg

Genre:
Aksi, Pengembaraan & Fantasi

Pelakon:
Zachary Levi, Asher Angel, Mark Strong, Grace Fulton, Djimon Hounsou, Jack Dylan Grazer, & Etc.

Tarikh Tayangan:
4 April 2019

Pengedar:
Warner Bros. Pictures

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan seorang budak lelaki berusia 14 tahun bernama Billy yang telah dikurniakan kuasa enam adiwira purba oleh ahli sihir yang sedang nazak. Dia hanya perlu menyebut nama ahli sihir tersebut iaitu Shazam untuk bertukar menjadi seorang adiwira dewasa. Namun, Billy kini diburu oleh seorang lelaki bernama Dr Thaddeus Sivana yang ingin membunuhnya di atas dasar dendam terhadap ahli sihir Shazam yang tidak memilihnya untuk menjadi adiwira. Tambahan pula lelaki tersebut kini dikuasai oleh tujuh kejahatan yang menjadikan dirinya turut mempunyai kuasa luar biasa. Apakah yang akan terjadi kepada Billy sewaktu pertemuannya dengan Dr Thaddeus nanti? Saksikan filem adiwira yang menarik ini di pawagam berdekatan anda bermula pada 4 April 2019 untuk mengetahui jawapannya.
Ulasan:

Alhamdulillah pihak Rollo De Pelicula mendapat jemputan daripada pihak 20th Century Fox untuk menghadiri tayangan istimewa filem Shazam! bertempat di TGV Cinemas One Utama pada 2 April 2019 yang lepas. Selepas kejayaan hebat Aquaman sebelum ini maka kami tertanya-tanya adakah filem Shazam! akan terus mengekori rapat kejayaan Aquaman atau kembali mengikut jejak filem-filem DCEU terdahulu. Ternyata walaupun tidak sebaik filem Aquaman tetapi Shazam! berjaya menampilkan elemen humor serta mesej kekeluargaan yang setaraf dengan filem Aquaman.



Filem Shazam! bermula dengan penceritaan yang cukup cantik bagi kami apabila dimulakan dengan kisah imbas kembali kehidupan sewaktu kecil Dr Thaddeus Sivana yang merupakan watak antagonis di dalam filem ini. Babak ini sangat cantik apabila ia kemudiannya dihubungkan dengan kisah hidup kanak-kanak bernama Billy yang terpisah dengan ibu kandungnya sewaktu kecil. Hubungan antara kedua-dua karakter watak ini menarik kerana filem ini dapat menyampaikan makna sebenar perbezaan hati dan niat watak Sivana dan Billy dengan cukup jelas yang memberikan kita satu penjelasan mudah tetapi meyakinkan tentang kenapa Billy yang terpilih untuk mewarisi kuasa ahli sihir Shazam! dan bukannya Dr Sivana.


Kelainan seterusnya yang dapat diperhatikan di dalam filem Shazam! ini ialah tentang pengenalan adiwira ini sendiri dimana Shazam! sememangnya tidak sama seperti mana adiwira-adiwira lain yang mempunyai pegangan tersendiri di dalam menilai kefahaman terhadap jenayah, kejahatan serta prinsip kehidupan. Sebaliknya, watak Shazam! ini bertindak balas terhadap sesuatu perkara di dalam membina dan menghidupkan karakternya adalah melalui bantuan tindakan watak antagonis filem ini sendiri iaitu watak Dr Sivana. Namun, keanehan ini sudah dijangka lebih awal dan ianya masih boleh diterima disebabkan Shazam ini merupakan seorang adiwira yang zahirnya memang mempunyai fizikal lelaki dewasa tetapi hakikat sebenarnya ialah Shazam! merupakan seorang remaja yang masih bersekolah. 

Kami merasakan pelakon Zachary Levi telah berjaya menghidupkan watak Shazam ini dengan cukup baik sekali. Kami mengatakan sedemikian kerana kami melihat watak Shazam! dan Billy tiada perbezaan langsung dari segi perwatakan, karakter serta emosinya. Zachary Levi berjaya menjiwai watak remaja bernama Billy yang dilakonkan oleh Asher Angel dengan cukup baik dan berjaya menterjemahkan elemen itu di dalam watak lakonannya sebagai Shazam dengan sangat cemerlang. Jadi, kami langsung tidak berasa canggung apabila menonton babak-babak pertukaran Billy kepada Shazam kerana perubahan ketara hanya pada fizikal tetapi tidak kepada perwatakan, emosi serta bahasa tubuh. Tahniah buat pelakon Zachary Levi yang sememangnya layak memegang peranan sebagai Shazam!

Kami juga cukup menyukai bagaimana perjalanan cerita filem ini yang dapat menyampaikan kisah adiwira Shazam yang masih berkelakuan kanak-kanak dengan cukup baik. Walaupun ada segelintir babak berunsur negatif yang memaparkan tentang watak Billy mengambil kesempatan menjadi Shazam untuk melakukan perkara-perkara yang hanya dibenarkan untuk dilakukan oleh orang dewasa sahaja seperti masuk ke kelab malam namun kami melihat paparan jalan cerita ini sebenarnya berjaya merujuk kepada pemikiran seorang kanak-kanak yang selalu ingin mencuba apa yang dilakukan oleh golongan dewasa. Jadi, secara tidak langsung ia membantu penonton untuk sentiasa sedar bahawa roh yang terkandung di dalam watak Shazam masih merupakan roh kanak-kanak yang berfikiran mentah.



Mesej kekeluargaan yang cuba disampaikan di dalam filem Shazam! kelihatan menarik untuk diperkatakan. Filem ini cuba memaparkan tiga jenis kategori keluarga yang mempunyai hubungan kekeluargaan yang berbeza. Keluarga pertama ialah keluarga Dr Sivana yang penuh dengan unsur negatif sehingga mengubah jiwa suci Dr Sivana sewaktu kecil menjadi gelap seperti malam. Keluarga kedua pula ialah Billy dan ibunya dimana ibunya tidak berfikiran panjang atau merasa bersalah meninggalkan Billy yang masih kecil seorang diri. Disini juga dapat dilihat bagaimana kebaikan hati Billy walaupun mengetahui kisah sebenar tetapi masih menghormati ibunya tanpa meninggikan suara telah mewajarkannya untuk layak menjadi adiwira Shazam! yang hebat. Berbalik pula kepada keluarga ketiga yang dipenuhi ramai orang luar yang pelbagai karakter dan disatukan dengan duduk sebumbung iaitu di rumah keluarga angkat yang dimiliki sepasang suami isteri yang berhati mulia. Disini dapat dilihat bagaimana ahli keluarga ini menghargai kelebihan serta menghormati kekurangan sesama sendiri yang berjaya membuatkan Billy akhirnya meyayangi mereka dan menganggap mereka sebagai keluarganya yang sebenar. Ketiga-tiga kategori keluarga ini sebenarnya adalah cerminan kepada realiti sebenar keluarga-keluarga di luar sana yang dilihat telah membentuk anak-anak mereka untuk menjadi sama ada Billy atau Sivana. Sememangnya mesej kekeluargaan di dalam filem Shazam! ini berjaya dibentuk dan disampaikan dengan gaya santai tetapi cukup berkesan dan menarik.
 

Walau bagaimanapun, kami agak bersetuju dengan beberapa kritikan yang dilemparkan terhadap filem ini terutamanya berkaitan kostum adiwira Shazam yang kelihatan agak buruk dan janggal buat pelakon Zachary Levi. Rekaan kostum tersebut gagal menaikkan aura Shazam kepada tahap adiwira yang sepatutnya perlu dilihat oleh penonton. Selain itu juga, ada beberapa babak yang menggunakan kesan khas CGI yang dilihat kurang kemas dan agak lemah terutamanya pada aksi pertempuran yang kelihatan agak animasi pada beberapa bahagian. Namun, secara keseluruhan filem Shazam! masih merupakan sebuah karya DCEU yang boleh dibanggakan selepas Aquaman. Apa yang pasti, filem ini sangat berbaloi untuk anda pergi menontonnya di panggung wayang untuk merasai kehebatan visual serta audio yang wujud di dalam filem Shazam! ini.



Jadi, selamat menonton filem Shazam! di pawagam seluruh Malaysia bermula pada 4 April 2019 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Akan Diulas Ialah Sebuah Filem Seram Berjudul Pet Sematary. Nantikan Ulasannya!

Catat Ulasan

2 Ulasan

  1. Jalan ceritanye simple dan lebih ke arah drama.. Sebagai sebuah filem superhero, mengharapkan aksi yg lebih lagi .. Watak makhluk jahat nampak ngeri, tp tak ganas manapun.. Rasenye disesuaikan untuk tontonan seisi keluarga..

    Eh, hans ni team dc ke marvel?.. Huhu..

    BalasPadam
    Balasan
    1. Saya tak team mana-mana..dua-dua saya suka...jadi, kalau bagi saya best maka saya akan cakap best dan begitulah sebaliknya.
      tak suka bias :)

      Padam