Review Filem M.O.X: Misi Operasi X


Filem:
M.O.X: Misi Operasi X

Penilaian:
5/10

Pengarah:
Zulkifli M. Osman

Genre:
Aksi, Drama & Fiksyen Sains

Pelakon:
Ebi Kornelis, Tya Arifin, Shareeta Selvaraj, Wan Adi Rafuan Datuk Rashid& Etc.

Pengedar:
Empire Film Solution

Tarikh Tayangan:
21 November 2019

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan sebuah badan perisikan yang diketuai oleh `M` manakala KFR13 pula adalah sebuah organisasi diketuai oleh Komander Moshie. KFR13 menjalankan aktiviti haram dan berkait dengan pertubuhan pengganas antarabangsa berpangkalan di Alaska, yang sering melakukan ancaman kepada kestabilan dunia menggunakan peralatan senjata pemusnah yang canggih. Ancaman KFR13 turut menyebabkan ejen-ejen rahsia M.O.X telah terkorban atau hilang tanpa dikesan. Semasa melaksanakan misi rahsia di Filipina, Don Pedro menyelamatkan seorang pelajar Malaysia bernama Martias yang berjaya menggodam rancangan dan formula senjata KFR13. Semenjak itu, KFR13 mengekori Don Pedro ke mana sahaja dia pergi, termasuk Thailand, Malaysia, India dan Alaska, untuk membunuhnya dan memusnahkan bukti. Saksikan filem ini untuk mengetahui kisah seterusnya.

Ulasan:

Alhamdulillah pihak Rollo De Pelicula telah menerima jemputan daripada pihak Empire Film Solution untuk menghadiri malam gala filem M.O.X: Misi Operasi X bertempat di MMcineplexes eCurve, Mutiara Damansara pada 11 November 2019 yang lepas. Memandangkan filem-filem yang bercirikan perisikan atau ejen penyiasat jarang-jarang dihasilkan oleh produksi tempatan maka kemunculan filem ini yang telah lama diperam bagi tujuan suntingan imej janaan komputer atau CGI berjaya memberikan satu pengalaman sinematik yang lain daripada kebiasaan. Tidak dinafikan filem M.O.X ini mempunyai kelemahan-kelemahan yang jelas kelihatan tetapi kami juga tidak nafikan usaha yang dilakukan oleh pihak produksi untuk menghasilkan serta memberikan yang terbaik melalui babak-babak istimewa yang menggunakan CGI di dalam filem ini wajar diberikan pujian kerana sebahagiannya mempunyai kualiti yang agak kemas. Walaupun hal-hal berkaitan bencana alam yang disebabkan kegilaan manusia memanipulasikan teknologi sains kerap kali dipaparkan di dalam filem-filem Hollywood namun ianya tampak masih baru untuk industri filem tempatan.


Mengambil inspirasi daripada siri filem James Bond serta filem penyiasat tempatan terdahulu seperti Mat Bond, filem M.O.X: Misi Operasi X ini dilihat berusaha keras untuk menjadikan jalan ceritanya bersifat antarabangsa dengan menghasilkan latar-latar luar negara yang pelbagai seperti Thailand, Filipina, India dan Alaska dimana semua adegan tersebut dirakam dan dihasilkan di Malaysia. Ketelitian mereka di dalam memadankan latar tersebut dengan kenderaan, busana mahu pun pelakon tambahan mengikut geografi latar negara yang dipaparkan sememangnya mengagumkan. Kami melihat usaha daripada pihak produksi ini sebagai satu usaha yang sangat bagus dan bererti mereka bukannya membuat kerja separuh jalan atau sekadar melepaskan batuk di tangga.

  
Walau bagaimanapun, kami sedar filem M.O.X: Misi Operasi X ini mempunyai kelemahan dari sudut plot ceritanya dimana penerangan tentang organisasi rahsia M.O.X serta organisasi KFR13 yang diketuai oleh Komander Moshie gagal dikembangkan secara jelas dan teliti. Kekaburan ini dilihat berpunca daripada elemen-elemen aksi atau pun adegan-adegan CGI yang lebih ditekankan di dalam filem ini sehingga menyebabkan jalan ceritanya kurang menyengat. Begitu juga dengan pengenalan watak-watak utamanya dimana ianya tidak dikembangkan secara lebih mendalam. Jadi, kami sebagai penonton hanya dapat mengenali watak-watak ini pada permukaannya sahaja yang kami rasakan sedikit ralat kerana sepatutnya watak-watak ini harus dibina lebih kukuh penceritaannya supaya memberikan impak kepada tontonan kami.


Memandangkan filem M.O.X: Misi Operasi X ini lebih banyak bersandarkan kepada babak aksi maka kami tidak nafikan ada sebahagian babak yang cukup menarik untuk ditonton. Tidak kurang juga ada babak-babak yang menggunakan CGI yang kelihatan terlalu animasi tetapi masih menghiburkan untuk ditonton. Namun, ada beberapa kelemahan ketara yang walaupun remeh tetapi sebenarnya ia agak mengganggu tontonan kami untuk filem ini. Pertama ialah aksi tembak menembak yang menampilkan cara menembak yang tidak konsisten. Cara bagaimana watak-watak ini melepaskan tembakan bukan dilihat kekok tetapi ia melambangkan bahawa senjata pistol yang digunakan itu terlalu 'dummy' atau lebih tepat lagi kelihatan seperti replika sehingga memperlihatkan betapa sukarnya untuk setiap watak ini melepaskan tembakan. Kedua ialah dari sudut lontaran suara serta dialog dimana watak utama protagonis serta antagonis yang mempunyai masalah yang sama tetapi dari sudut pandang yang berbeza. Teraju utama watak Don Pedro yang dilakonkan oleh Ebi Kornelis mempunyai karisma serta gaya yang tersendiri tetapi kami melihat lontarannya vokalnya agak lemah pada sebahagian adegan sehingga menyebabkan nada suaranya seakan-akan tidak kena dengan emosi watak tersebut pada situasi yang berkaitan. Manakala watak antagonis Komander Moshie lakonan Dato Jaafri Omar pula kelihatan terlalu mencuba untuk kelihatan kejam dan ganas namun ia tidak lebih daripada sekadar kelihatan seakan-akan guru disiplin sekolah. Lontaran dialog yang disampaikannya gagal memberi impak yang kami harapkan disebabkan ia kedengaran terlalu meleret atau seakan-akan sesi guru bertanyakan soalan kepada anak murid. Namun, satu perkara yang agak meletihkan kami iaitu kualiti audio atau suara pelakon pada beberapa adegan yang tidak jelas dan ditenggelami oleh muzik latar yang terlalu kuat sehingga membuatkan kami tersesat seketika daripada memahami apa yang cuba disampaikan. Selain itu, terdapat beberapa kecuaian dari sudut solekan dimana dapat dilihat pada kesinambungan babak. Sebagai contoh babak A memaparkan Don Pedro yang mengalami luka-luka dimuka sebelum ianya tiba-tiba hilang pada babak B dan kemudian luka-luka di muka kelihatan kembali pada babak C. Hal ini walaupun kelihatan remeh tetapi sebenarnya ia memberi kesan kepada tontonan penonton-penonton seperti kami.


Namun, secara keseluruhannya kami sangat terhibur menonton filem M.O.X: Misi Operasi X ini. Kami melihat pasukan produksi filem mempunyai usaha yang tinggi di dalam mengangkat filem bercirikan perisikan atau penyiasatan ini ke satu tahap yang baik walaupun dengan kos pembikinan yang rendah. Pemilihan watak-wataknya juga tidak mengecewakan. Memandangkan selera masing-masing berbeza maka kami tidak meminta anda untuk menyukai filem ini seperti mana kami gembira menontonnya. Cuma pada kami, filem M.O.X: Misi Operasi X ini mempunyai keunikan yang tersendiri disebalik kelemahan yang ada padanya. Terima kasih kepada pihak produksi filem M.O.X: Misi Operasi X kerana telah mencuba sehabis baik dan setidak-tidaknya telah berjaya menerbitkan satu naskah yang berjaya menghiburkan insan-insan seperti kami yang merindui filem-filem tempatan yang mempunyai elemen penyiasat seperti ini.


Jadi, selamat menonton filem M.O.X: Misi Operasi X di pawagam seluruh Malaysia bermula pada 21 November 2019 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Ialah Sebuah Filem Aksi Tempatan Yang Dinanti Ramai Iaitu WiraNantikan Ulasannya!

Catat Ulasan

4 Ulasan

  1. Tak sangka Zulkifli M. Osman masih aktif dan mengarahkan filem ini. Rasa nya syarikat pengedar yg sama yg menerbitkan KL Vampires, heheh. Pendapat saya, kos yg dikeluarkan untuk ke Alaska tu sepatutnya diagihkan untuk menghasilkan CGI lagi baik. Sekurang² efx CGI nya mungkin boleh jadi lagi mantap. Ataupon kos ke Alaska tu boleh dibuat untuk membayar pelakon² yang lebih terkenal. Apa² pon, syarikat Empire Film Solution seharusnya baca ulasan dari Hans ni utk memperbaiki mutu dan kualiti filem anda di masa hadapan. TQ

    BalasPadam
    Balasan
    1. Semua penggambaran buat di Malaysia.

      Padam
  2. Filem pendeh sangat patut watak2 Tak dapat perhatian.banyak censor kot saya suka filem arahaan zulkifili m.osman

    BalasPadam
  3. Syabas, review ni terperinci, cuma bagi saya masih agak berlapik.

    Saya sendiri turut tonton juga filem MOX ni di panggung wayang, sebab dapat tiket percuma. Tapi saya terpaksa keluar tak sampai separuh jalan. Filem ini unwatchable, terlalu lemah, plot yang lemah, skrip yang tak masuk akal, malah tiada kesinambungan langsung.

    Kawan-kawan saya yang stay dalam panggung dan teruskan menonton sampai habis pun semuanya hanya sekadar menghormati jemputan. Kami semua agak bingung, sebab sangat terkejut dengan filem yang begitu teruk, sampai kami tertanya-tanya sama ada ini adalah sebuah filem parody yang sengaja nak buat lawak.

    BalasPadam