Review Filem Primal


Filem:
Primal

Penilaian:
5/10

Pengarah:
Nick Powell

Genre:
Aksi

Pelakon:
Nicolas Cage, Kevin Durand, Famke Janssen, Michael Imperioli, LaMonica Garrett & Etc.

Pengedar:
TGV Pictures

Tarikh Tayangan:
14 November 2019

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan Frank Walsh yang merupakan seorang pemburu dan pengumpul haiwan eksotik. Frank telah berjaya mendapatkan haiwan-haiwan eksotik dari hutan Amazon termasuk seekor jaguar putih yang kini sedang dihantar oleh kapal pengangkut Greek. Tanpa pengetahuannya, kapal itu turut mengangkut seorang pembunuh upahan secara rahsia untuk dihantar semula ke Amerika. Apabila pembunuh upahan itu berjaya meloloskan diri, dia membebaskan jaguar putih dan haiwan-haiwan lain menyebabkan huru-hara di atas kapal tersebut. Walsh perlu menggunakan kepakaran dan kemahirannya untuk memburu serta menangkap pembunuh upahan tersebut. Saksikan filem yang menarik ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 14 November 2019 untuk mengetahui kisah seterusnya.

Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah berjaya menonton sebuah filem Hollywood yang cukup menghiburkan iaitu Primal bertempat di TGV Cinemas The Mines pada 14 November 2019 yang lepas. Terpandang teraju utama filem ini iaitu Nicolas Cage membuatkan kami terus mengambil keputusan untuk menonton tanpa melihat trailer mahu pun membaca sinopsis filem ini. Walaupun filem ini boleh dikatakan sebuah filem gred B jika dilihat kepada kualiti serta kos pembikinan filem ini, namun secara zahirnya filem ini masih menghiburkan untuk ditonton.


Filem ini membawa penonton untuk melihat lakonan Nicolas Cage sebagai pemburu luar biasa bernama Frank Walsh yang gemar memburu makhluk-makhluk eksotik untuk dijual kepada pasaran luar. Kali ini Frank berjaya menangkap jaguar putih dimana penduduk kampung berdekatan kawasan jaguar itu ditangkap menyatakan Frank bakal berdepan bahaya yang besar jika membawa keluar jaguar tersebut dari hutan itu. Bahaya yang dimaksudkan itu berasas apabila Frank dan haiwan-haiwan berada di dalam satu kapal pengangkut yang sama dengan tahanan politik yang ganas dan psiko bernama Richard Loffler yang pada akhirnya berjaya melepaskan diri daripada tahanan dan membunuh setiap individu di atas kapal serta melepaskan haiwan-haiwan dari kandang yang ditangkap oleh Frank. Jadi, filem ini cuba untuk memaparkan kepada penonton bagaimana Frank perlu menyelamatkan dirinya serta penumpang lain daripada dibunuh oleh Richard Loffler dan pada masa yang sama menyelamatkan serta mengurung kembali haiwan-haiwan buruannya yang terlepas termasuk Jaguar Putih tersebut.



Premis filem Primal mudah namun sayangnya kelemahan terbesar dan kelihatan jelas di dalam filem ini ialah kesan janaan imej komputer atau CGI yang kelihat sangat buruk atau tangkap muat. Ia secara tidak langsung menjelaskan bahawa Primal ialah sebuah filem gred B yang sememangnya tidak akan berjaya memuaskan hati penonton yang dambakan hasil CGI yang kemas dan cantik. Namun, filem Primal diselamatkan oleh lakonan Kevin Durand yang sangat padu di dalam menjayakan watak pembunuh psikopat bernama Richard Loffler. Mimik wajahnya yang sentiasa senyum dengan mata terbuntang saat melakukan keganasan sememangnya berjaya memberikan debaran kepada penonton setiap kali kemunculannya di skrin. Filem ini juga tidak terlepas daripada menggunakan elemen jump scare dan ada beberada adegan yang berjaya membuatkan kami terkejut.


Namun, filem Primal dilihat gagak berfungsi sebaik mungkin disebabkan banyak watak-watak yang melatari filem ini tidak mempunyai fungsi atau memberi impak dengan sebaik mungkin. Sebagai contoh watak kapten serta anak lelakinya yang seakan-akan tidak wujud kerana perkembangan kisah mereka tidak menyerlah. Belum lagi ditambah dengan kewujudan tentera elit atau nama lain yang langsung tidak mempunyai kekuatan yang hebat untuk menandingi keupayaan pembunuh terkenal yang merupakan watak antagonis utama filem ini. Selain itu, terdapat banyak perkara yang bercanggah terutamanya tentang watak Frank Walsh sendiri yang sebelum menjadi pemburu pernah dinyatakan bekerja di zoo dan sebagai mekanik tentera. Walaupun lakonan Nicolas Cage masih menarik namun pengolahan kisah watak ini sangat lemah. Lebih menyedihkan apabila watak Frank tidak mempunyai sebarang antivenom untuk digunakan bagi merawat mangsa yang dipatuk ularnya yang berbisa. Lebih aneh apabila penjenayah berbahaya yang diketahui potensinya hanya dipenjarakan di dalam sangkar besi dan dibawa menggunakan kapal pengangkut. Sememangnya hal ini boleh dikatakan sangat kelakar untuk dilihat semula. Tetapi, secara keseluruhannya ia masih sebuah filem yang menghiburkan dan penuh dengan debaran menarik untuk membuatkan anda terhibur menonton filem ini sehingga ke akhir.


Jadi, selamat menonton filem Primal di pawagam seluruh Malaysia bermula pada 14 November 2019 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Ialah Sebuah Filem Berjudul Knives OutNantikan Ulasannya!

Catat Ulasan

2 Ulasan

  1. Dia mengingatkan balik filem buaya.. Primeval.. ingatkan cerita haiwan tapi cerita kehaiwanan dalam manusia..

    BalasPadam
    Balasan
    1. hahahaha
      yes
      filem gred B tetapi menghiburkan lah untuk tengok

      Padam